10 Konsep Syariah Dalam Perbankan Islam

Sistem perbankan pada dasarnya mempunyai matlamat yang sama, tetapi terdapat perbezaan daripada segi konsep dan prinsipnya. Perbankan Islam berbeza dengan perbankan konvensional di atas prinsip syariah yang telah ditetapkan iaitu Fiqh al-Muamalat (peraturan-peraturan Islam di dalam urus niaga).

Yang biasa kita dengar adalah konsep syariah dalam perbankan Islam iaitu tiada riba yang dikenakan untuk setiap keuntungan dan transaksi. Selain daripada itu, ada juga beberapa konsep syariah seperti perkongsian untung (Mudharabah), usaha sama (Musyarakah), simpanan (Wadiah), sewaan (Ijarah) dan kos tokok (Murabahah) yang amat sinonim dalam perbankan Islam.

Mari kita lihat 10 konsep syariah dalam perbankan Islam yang kita perlu tahu.

1. Wadiah (Simpanan)

Wadiah bermaksud simpanan dimana bank adalah pemegang amanah dana dan tempat simpanan wang bagi masyarakat. 

Pendeposit mungkin akan diberikan hibah (hadiah) kerana menggunakan perkhidmatan akaun bank.

2. Mudharabah (Perkongsian Untung)

Mudharabah adalah perjanjian di antara pemberi modal dan pengusaha projek di mana pengusaha projek dibenarkan menggunakan dana untuk menjalankan aktiviti perniagaannya.

Sebarang keuntungan yang diperolehi akan dibahagi di antara mereka berdua mengikut nisbah yang telah dipersetujui namun pemberi modal akan menanggung kerugian keseluruhannya. 

3. Musyarakah (Usaha Sama)

Konsep usaha sama ini berbentuk perniagaan yang dikongsi bersama tanggungjawab serta saling bekerjasama di antara kedua-dua belah pihak. 

Keuntungan juga akan dikongsi bersama.

4. Murabahah (Kos Tokok)

Murabahah adalah kos penjualan barangan yang terdiri daripada harga margin keuntungan yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Semasa perjanjian jualan dilakukan, harga belian dan jualan serta kos lain perlu dinyatakan dengan jelas.

5. Bai’ Bithaman Ajil (Pembayaran Jualan Tertangguh)

Bia’ Bithaman Ajil bermaksud penjualan barangan berasaskan pembayaran tertangguh di mana harga tertentu diberikan termasuklah margin keuntungan yang telah dipersetujui.

6. Wakalah (Agensi)

Dalam perbankan Islam, wakalah merupakan wakil yang dilantik untuk melaksanakan transaksi bagi pihak peserta.

7. Qardhul Hassan (Pinjaman Ihsan)

Ia adalah pinjaman yang diberikan kepada peminjam atas ihsan dan peminjam dikehendaki membayar amaun yang dipinjam sahaja.

Namun, peminjam boleh juga membayar balik pinjaman melebihi jumlahnya sebagai tanda penghargaan kepada pemberi pinjaman.

8. Ijarah Thumma Al Bai’ (Sewa Beli)

Konsep sewa beli ini melibatkan dua kontrak yang berasingan. Pertama adalah kontrak Ijarah (pemajakan/menyewa) yang akan ditandatangani terlebih dahulu sebelum kontrak kedua. 

Kontrak kedua adalah kontrak Bai’ (belian) yang akan dikuatkuasakan untuk membolehkan pelanggan membeli barang tersebut pada harga yang telah dipersetujui.

9. Bai’ al-Inah (Perjanjian Jual dan Beli Balik)

Perjanjian jual dan beli balik ini berkaitan jualan aset kepada pelanggan dengan secara bayaran tertangguh. 

Kemudian, aset berkenaan akan dibeli semula oleh pembiaya secara tunai dan mendapat tawaran diskaun.

10. Hibah (Hadiah)

Hibah adalah saguhati atau hadiah yang diberi secara sukarela tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Hibah adalah pilihan bagi mereka yang ingin menguruskan harta pusaka.

Konsep syariah perbankan Islam akan digunapakai dalam setiap transaksi dan urusan kewangan di negara kita. Semuanya bergantung kepada jenis perbankan yang diperlukan. 

Dengan mengamalkan konsep syariah ini, semua urusan kita pastinya akan berjalan lancar dan diredhai Allah.

Sumber RujukanSimple Note IB

Previous ArticleNext Article

Prestasi KWAP Perlu Dinilai Secara Adil, Catat RM12.9 Bilion Untung Bersih – PM Anwar

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) — Prestasi Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) perlu dinilai secara adil memandangkan dana persaraan itu berjaya mencatatkan keuntungan bersih RM12.9 bilion, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata ia tidak mungkin dicapai tanpa kepakaran, komitmen dan dedikasi panel pelaburan, pengurusan serta kepimpinan KWAP.

Mengenai pelaburan dalam eFishery, Perdana Menteri berkata bukan sahaja KWAP, malah syarikat pelaburan terkemuka Singapura seperti Temasek, bank Jepun SoftBank, Sequoia Capital, Aqua-Spark, 42XFund yang berpangkalan di Abu Dhabi and NorthStar dari Indonesia, turut melabur dalam syarikat pemula teknologi akuakultur itu.

“Jadi saya mohon rakan-rakan Yang Berhormat melihat keseluruhannya kerana keuntungan dan pertumbuhan yang disebut pertumbuhan kompaun tahunan itu melebihi 8.5 peratus,” kata beliau pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Perdana Menteri menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda berhubung strategi bagi memastikan tabung persaraan negara iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan KWAP mampu memberikan dividen terbaik walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik global.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan bahawa KWAP tidak hanya melabur dalam syarikat asing, sebaliknya turut mempunyai pelaburan yang besar dalam syarikat pemula tempatan.

Anwar berkata selain pelaburan sedia ada, KWAP turut terbabit dalam inisiatif GEAR-UP yang diterajui Kementerian Kewangan (MOF) bersama KWAN, melibatkan dana berjumlah RM30 bilion.

Menjawab soalan tambahan Mohd Hasbie mengenai unjuran KWAP membiayai sepenuhnya tanggungan pencen melalui pulangan pelaburannya tanpa bergantung kepada dana kerajaan, Anwar berkata setakat ini keuntungan yang dicatatkan, meskipun mencecah puluhan bilion ringgit, masih belum mampu menampung kos pencen bagi jangka panjang.

“Sebab itu kita juga terpaksa berdepan dengan kontroversi mengenai tuntutan sebahagian pihak supaya dana dikeluarkan dengan lebih mudah,” kata beliau.

Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Abdul Hasim Suleiman mengenai keanggotaan jawatankuasa pelaburan KWAP dan sama ada majoritinya terdiri daripada golongan profesional, Anwar berkata panel pelaburan itu dianggotai sepenuhnya oleh golongan profesional manakala lembaganya turut diwakili wakil kementerian dan pekerja.

“Bagaimanapun, saya setuju dengan Yang Berhormat, kerugian itu (atas pelaburan dalam eFishery) harus memberikan kita peringatan, tidak semestinya kelulusan diberikan oleh panel pelaburan besar dunia, macam kita lihat tadi dari Eropah, Jepun, (misalnya) itu harus mempengaruhi kita.

“Tentunya ia memberi sedikit pertimbangan kerana untuk Softbank, misalnya melabur atau Emiriah Arab Bersatu atau Eropah, tentunya bagi pertimbangan besar tapi kalau kita lihat, cerakin proses, ia satu kejadian luar biasa,” kata Anwar.

— BERNAMA