5 Tips Kewangan Bagi Wanita Yang Baru Bertukar Status Kepada ‘Single’

Seorang wanita perlu membuat persediaan untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan dalam menjalani kehidupan bersendiri. Ini boleh disebabkan oleh suami yang meninggal dunia atau diceraikan oleh pasangan.

Mengikut statistik, lebih kurang separuh daripada perkahwinan di Amerika Syarikat menemui kegagalan. Dan kita semua sedia maklum bahawa jangka hayat perempuan adalah lebih lama berbanding jangka hayat lelaki.

Kebanyakan kita hidup dengan kisah dongeng bahawa apabila dewasa nanti kita akan hidup senang, berkahwin dengan orang yang kita suka, mempunyai anak dan hidup bahagia. Tetapi, kita lupa apabila ianya melibatkan urusan kewangan, cerita dongeng ini bukanlah seindah yang kita sangka.

Wanita yang baru menjadi “single” mungkin akan menghadapi kesukaran apabila kematian suami ataupun berdepan dengan perceraian. Ada juga janda kaya yang menjadi “mangsa” kepada lelaki muda dan kacak.

Daripada sudut kewangan pula, ramai wanita yang tidak pandai menguruskan kewangan kerana banyak bergantung kepada suami. Mereka juga terlalu sibuk menguruskan rumah tangga dan anak-anak.

Jom kita lihat beberapa cara yang dapat membantu wanita yang kini menjadi “single” untuk merancang kewangan dengan lebih baik.

1. Penggantian Pendapatan

Kebanyakan wanita risau tentang pendapatan mereka dan takut tidak dapat mengekalkan kewangan yang stabil jika pasangan meninggal dunia.

Oleh itu, rancanglah kewangan dengan sebaiknya dan sediakan hibah bagi mengganti pendapatan suami.

2. Utamakan Anak-Anak

Selepas ketiadaan suami, pastinya akan menjadi tanggungjawab isteri untuk menjaga anak-anak.

Oleh itu, lengkapkan diri dengan ilmu perancangan harta dan pelaburan. Ini bagi menjamin kelangsungan hidup dan kebajikan anak-anak akan terjaga.

3. Kaji Segala Kemungkinan

Apa kemungkinan yang bakal berlaku apabila status wanita berubah kepada “single”? Adakah perlu menjual rumah?

Bagi seorang surirumah sepenuh masa, adakah perlu untuk bekerja semula?

Cuba bayangkan beberapa senario menggunakan pelbagai andaian. Kaitkan dengan apa yang bakal terjadi dan kaji kesan daripada setiap senario tersebut.

4. Rancang Tindakan Yang Perlu Dibuat

Persediaan daripada segi mental dan emosi juga adalah penting. Dengan membuat persediaan yang rapi, kini masanya untuk membuat tindakan yang sewajarnya.

Kita akan lebih bersedia sekiranya apa-apa berlaku kepada suami dan tak perlu bergantung kepada orang lain.

5. Terbuka Kepada Perubahan

Apabila status wanita berubah, kehidupan bakal berubah. Semuanya bakal berubah secara drastik termasuklah hal-hal yang berkaitan dengan kewangan.

Mungkin selama ini kita terlalu bersikap sambil lewa, tetapi inilah masanya untuk kita menjadi terbuka kepada sebarang perubahan yang boleh mendatangkan kebaikan kepada kita.

Ditulis oleh Abang Yazree Hazwan. Penulis merupakan seorang Eksekutif di sebuah syarikat penyelidikan pasaran di Malaysia. Mempunyai pengalaman dalam bidang insurans/reinsurans di syarikat reinsurans tempatan.

Sumber Rujukan: CFA Institute

Jom belajar ilmu kewangan secara bermodul menggunakan buku Bijak Merancang Wang, klik www.bukuBMW.com. Topik ini terkandung dalam modul kewangan dalam Buku Bijak Merancang Wang yang mengandungi modul kewangan secara tersusun:

1. Aliran tunai
2. Pengurusan aset dan hutang
3. Simpanan
4. Perlindungan
5. Pelaburan
6. Penyucian
7. Pewarisan

Sebagai pengguna, kita patut tahu fungsi dan peranan setiap produk kewangan. Ia saling melengkapi dan memerlukan antara satu sama lain. Dapatkan di www.bukuBMW.com

Previous ArticleNext Article
Individu berlesen/berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti.

Portal Semak Sebelum Labur SC membolehkan anda menyemak sama ada seseorang individu atau entiti dibenarkan oleh SC untuk menawarkan, mempromosi atau menjual sebarang produk dan perkhidmatan pasaran modal.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Akhirnya Ada Parti Politik Berani Tunjuk Ke Mana Duit Kempen Mereka Pergi

Parti BERSAMA sedang mendahului parti-parti lain dalam satu perkara yang jarang berlaku dalam politik Malaysia dengan mengemukakan data perbelanjaan pilihan raya kepada umum. Sumber: Malaysiakini – Bersama dedah belanja hampir RM800,000 kempen PRN Johor

Bagi sesetengah orang, mungkin ini sekadar laporan perbelanjaan kempen.

Tetapi kalau kita lihat dari sudut pelaburan dan kewangan, sebenarnya ada satu prinsip yang sangat mudah:

Kalau kita mahu orang percaya dan memberikan duit kepada kita, kita perlu bersedia untuk menunjukkan bagaimana duit itu diuruskan.

Bayangkan kita mahu melabur RM100,000 dalam sebuah syarikat.

Kita tentu mahu tahu berapa hasil syarikat, berapa kos operasi, berapa hutang, berapa keuntungan dan bagaimana pengurusan menggunakan wang syarikat.

Kalau pengurusan syarikat berkata,

“Percayalah. Kami akan urus duit dengan baik.”

Tetapi apabila kita minta penyata kewangan, mereka enggan tunjukkan, kita sendiri mungkin akan fikir dua tiga kali sebelum melabur.

Dalam pelaburan, ketelusan adalah sebahagian daripada kepercayaan.

Begitu juga dengan politik.

Dan di sinilah pendedahan BERSAMA menjadi menarik untuk diperhatikan.

Daripada jumlah perbelanjaan kepada sumber dana, rakyat diberikan peluang untuk melihat sendiri bagaimana wang kempen dikumpulkan dan dibelanjakan. Dalam penyata yang dilaporkan Malaysiakini, antara sumber dana ialah kutipan yuran keahlian, majlis makan malam pengumpulan dana dan sumbangan peribadi, manakala perbelanjaan termasuk deposit SPR, bahan kempen dan kerja pembersihan selepas kempen.

Patutkah ketelusan kewangan seperti ini menjadi satu standard baharu dalam politik Malaysia?

Menariknya, idea ketelusan kewangan politik ini bukanlah sesuatu yang baru. Pada 2012, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak sendiri pernah mencadangkan supaya semua sumbangan kepada parti politik dimasukkan ke dalam akaun rasmi parti, disertakan resit dan akaun tersebut diaudit setiap tahun.

Lebih sedekad kemudian, isu yang sama masih relevan. Bezanya, kali ini kita mula melihat parti politik mengambil langkah untuk mendedahkan sendiri data perbelanjaan pilihan raya kepada umum.

1. Rakyat adalah penyumbang kepada sistem politik

Parti politik mungkin menerima sumbangan daripada individu atau organisasi, tetapi dalam konteks yang lebih luas, aktiviti politik akhirnya berkait dengan wang dan sumber awam.

Sebab itu rakyat mempunyai kepentingan untuk tahu bagaimana sesebuah parti menguruskan kewangan kempen mereka.

Kalau kita boleh meminta syarikat yang kita labur supaya telus, tidak salah untuk kita mengharapkan tahap ketelusan yang lebih tinggi daripada organisasi politik.

2. Duit yang masuk dan duit yang keluar perlu boleh dikesan

Dalam dunia kewangan, kita bukan hanya tengok jumlah duit.

Kita mahu tahu cash flow.

Berapa duit masuk?

Dari mana?

Berapa duit keluar?

Dibelanjakan untuk apa?

Siapa penerimanya?

Perkara yang sama boleh diaplikasikan kepada kewangan politik.

Apabila data perbelanjaan pilihan raya didedahkan, rakyat boleh mula melihat aliran wang tersebut, bukannya hanya mendengar dakwaan bahawa semuanya diuruskan dengan baik.

3. Ketelusan mengurangkan information asymmetry

Dalam pelaburan, ada masalah yang dipanggil information asymmetry.

Maksud mudahnya, pihak pengurusan mungkin mempunyai lebih banyak maklumat berbanding pelabur.

Sebab itu syarikat perlu menyediakan laporan kewangan supaya pelabur tidak membuat keputusan dalam keadaan terlalu banyak maklumat yang disembunyikan.

Politik pun sama.

Parti tahu berapa banyak duit yang mereka terima dan bagaimana ia dibelanjakan.

Rakyat pula hanya nampak kempen di luar.

Jadi apabila data kewangan dibuka, jurang maklumat antara parti dan rakyat dapat dikurangkan.

4. Rakyat boleh menilai kecekapan penggunaan wang

Dalam pelaburan, kita bukan sekadar bertanya:

“Berapa banyak duit syarikat belanjakan?”

Kita juga akan bertanya:

“Apa yang kita dapat daripada duit tersebut?”

RM1 juta dibelanjakan untuk pemasaran tetapi jualan tidak meningkat, kita akan mula persoalkan keberkesanannya.

Begitu juga perbelanjaan pilihan raya.

Apabila data tersedia, kita boleh mula bertanya:

Berapa kos kempen setiap kawasan? Berapa banyak dibelanjakan untuk media sosial? Berapa untuk logistik? Berapa untuk bahan kempen?

Ini membuka ruang untuk menilai kecekapan, bukan sekadar jumlah perbelanjaan.

5. Kita sebenarnya bukan pelik kalau melihat amalan ini di negara lain

Pendedahan kewangan politik bukan sesuatu yang asing di peringkat antarabangsa.

Di United Kingdom, Electoral Commission menerbitkan maklumat berkaitan sumbangan, pinjaman dan perbelanjaan parti politik serta calon kepada umum.

Di Amerika Syarikat, Federal Election Commission (FEC) pula menyediakan pangkalan data awam yang membolehkan orang ramai melihat maklumat kewangan kempen, termasuk sumbangan dan perbelanjaan calon serta jawatankuasa politik.

Di Australia, Australian Electoral Commission (AEC) juga mempunyai sistem funding and disclosure untuk meningkatkan ketelusan kewangan parti politik, calon dan pihak yang terlibat dalam pilihan raya.

Maknanya, idea untuk rakyat melihat money in dan money out dalam politik sebenarnya bukan sesuatu yang pelik.

Bezanya, di sesetengah negara ia merupakan sebahagian daripada sistem pendedahan yang diwajibkan dan diselia oleh badan pilihan raya.

Jadi kalau parti politik Malaysia mula mengambil inisiatif untuk membuka data kewangan mereka kepada umum, ia boleh dilihat sebagai satu langkah ke arah budaya politik yang lebih telus.

6. Boleh membina rekod kewangan yang boleh dibandingkan

Pelabur tidak menilai syarikat berdasarkan satu laporan sahaja.

Mereka melihat prestasi dari tahun ke tahun.

Begitu juga dengan parti politik.

Kalau setiap pilihan raya mereka mendedahkan data kewangan, lama-kelamaan akan wujud satu rekod yang boleh dibandingkan.

Berapa banyak dana diterima?

Berapa banyak yang dibelanjakan?

Adakah perbelanjaan semakin cekap?

Adakah kos kempen meningkat?

Adakah sumber pembiayaan berubah?

Ini menjadikan rakyat bukan sekadar pengundi, tetapi pihak yang boleh membuat penilaian berdasarkan data.


Sebab itu kami melihat pendedahan perbelanjaan pilihan raya sebagai satu langkah yang positif.

Bukan kerana mendedahkan data automatik bermaksud sesebuah parti itu lebih baik daripada parti lain.

Tetapi kerana ketelusan memberikan kita maklumat untuk membuat penilaian sendiri.

Dalam pelaburan, kita selalu diajar:

Jangan melabur hanya kerana percaya. Tengok laporan kewangan.

(Walaupun… tengok laporan kewangan pun belum tentu tak kena scam!)

Dalam politik pun mungkin prinsip yang sama patut digunakan:

Jangan hanya dengar janji. Tengok juga bagaimana wang diuruskan.

Kalau lebih banyak parti mula melakukan perkara yang sama, kita mungkin dapat membina satu budaya politik yang lebih matang di mana data kewangan menjadi sebahagian daripada akauntabiliti politik, bukan sesuatu yang perlu disembunyikan.

Kerana akhirnya, sama ada kita bercakap tentang melabur dalam sebuah syarikat atau memilih sebuah parti politik, prinsipnya hampir sama:

Beri kita data. Kemudian biar rakyat membuat penilaian.