5 Tips Menyimpan Bagi Golongan Muda

Ilmu pengurusan kewangan sangat penting untuk semua orang terutamanya kepada golongan muda. Sebab apa golongan muda?

Kerana mereka ini selalunya baru mula bekerja dan belum ada komitmen kewangan yang terlalu tinggi. Jadi, mereka ini sepatutnya dapat menyimpan duit yang lebih banyak untuk kegunaan di masa hadapan.

Tetapi, ramai juga di antara mereka yang mempunyai masalah untuk menguruskan duit dengan bijak sehinggakan ada yang diisytiharkan muflis, belum pun mencapai usia 30 tahun. Mengikut statistik, ramai yang bankrap disebabkan oleh pinjaman peribadi dan hutang kereta.

Jadi, apa cara cara terbaik yang boleh anda amalkan supaya anda dapat menyimpan pada masa yang sama masih mampu menikmati hidup?

1. Anggap Hutang dan Simpanan Sama Seperti Bil

Dapat sahaja gaji, terus gunakan gaji tersebut untuk membayar segala hutang dan juga bil utiliti. Pada masa yang sama, masukkan sejumlah duit ke dalam akaun simpanan.

Dan kalau boleh pastikan kita menyimpan dengan kadar simpanan yang sama setiap bulan. Sebagai contoh, tetapkan setiap bulan kita perlu menyimpan RM200.

Lebihan daripada gaji itu barulah kita gunakan untuk bershopping. Sekurang-kurangnya dengan cara ini, dapat juga mendisiplinkan diri untuk menyimpan setiap bulan.

2. Berbelanja Sesuai Dengan Pendirian

Gunakan duit untuk sesuatu yang bermanfaat walaupun ketika kita membeli barang yang disukai. Sebagai contoh, kita seorang yang cintakan alam sekitar, maka boleh mulakan dengan membeli produk yang lebih eco-friendly.

Walaupun ianya mungkin lebih mahal berbanding produk sedia ada di pasaran, tetapi sekurang-kurangnya kita dapat menyelamatkan alam sekitar, di samping berada gembira kerana dapat menyumbang terhadap apa yang kita percaya.

3. Sebelum Membeli, Fikirkan Dahulu Susah Payah Bekerja

Jika kita terasa hendak membeli sesuatu, cuba ingat balik penat lelah kita bekerja untuk mencari duit. Pasti kita tidak akan membelanjakan duit untuk sesuatu yang kurang penting atau sia-sia.

Bukanlah niat untuk kita menjadi kedekut tak bertempat. Tetapi, fikir dahulu kepentingan sesuatu itu sebelum membelanjakan duit tersebut. Kalau ianya untuk tujuan yang penting dan untuk sesuatu yang bermakna, belanjakan duit itu dengan sewajarnya.

4. Jejak Kewangan

Salah satu lagi tips pengurusan kewangan terbaik adalah dengan sentiasa tahu ke mana duit kita pergi. Untuk apa kita belanja setiap bulan, berapa banyak kita menyimpan, berapa banyak kita melabur, berapa banyak keuntungan yang kita dapat pada bulan tersebut.

Lakukan ini setiap bulan. Ini dapat membantu kita untuk mengenal pasti jika ada ketirisan. Jika ada perbelanjaan yang tidak perlu yang telah dibuat, jadikan ianya sebagai peringatan supaya tidak melakukan perbelanjaan yang sama pada bulan hadapan.

Kalau ada lebihan simpanan pula, kita boleh tahu dari mana duit itu datang dan ini mungkin boleh memberikan kita idea untuk menambah lagi simpanan pada bulan berikutnya.

5. Buat Secara Automatik

Untung kita yang hidup di zaman serba canggih ini, boleh kata semua benda boleh dibuat melalui hujung jari sahaja. Ini termasuklah dalam urusan pembayaran bil, simpanan dan pelaburan.

Untuk memudahkan kita, tetapkan pembayaran bil, hutang serta simpanan duit secara automatik melalui akaun gaji atau auto-debit. Dengan cara ini, kita bukan saja dapat menjimatkan masa, tetapi juga dapat menggalakkan kita untuk menyelesaikan urusan kewangan dengan lebih efisien.

Tak ada alasan tak mampu menyimpan sebab dah habis untuk shopping. Settelkan bil dan hutang penting, kemudian simpanan dan melabur terlebih dahulu. Bakinya barulah digunakan untuk perbelanjaan diri sendiri.

Bagaimana? Mudah bukan? Zaman sekarang ni, semua benda perlukan duit. Sebab itulah penting untuk kita mula menyimpan untuk kegunaan di masa hadapan.

Sumber Rujukan: CNBC

Jom belajar ilmu kewangan secara bermodul menggunakan buku Bijak Merancang Wang, klik www.bukuBMW.com. Topik ini terkandung dalam modul kewangan dalam Buku Bijak Merancang Wang yang mengandungi modul kewangan secara tersusun:

1. Aliran tunai
2. Pengurusan aset dan hutang
3. Simpanan
4. Perlindungan
5. Pelaburan
6. Penyucian
7. Pewarisan

Sebagai pengguna, kita patut tahu fungsi dan peranan setiap produk kewangan. Ia saling melengkapi dan memerlukan antara satu sama lain. Dapatkan di www.bukuBMW.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Ke Mana Perginya Duit Caruman PERKESO Kita Dilaburkan?

Bila sebut tentang PERKESO (SOCSO), perkara pertama yang terlintas di fikiran kebanyakan pekerja di Malaysia mestilah slip gaji bulanan yang kena potong, tuntutan elaun kemalangan, atau paling tidak pun isu skim wajib baru yang tengah hangat diperkatakan sekarang.

Gambaran Kasar Aliran Wang PERKESO (2024):

Untuk memudahkan kefahaman struktur kewangan mereka:

  • Duit Masuk (Kutipan caruman): ~RM7.58 Bilion
  • Duit Masuk (Untung pelaburan kasar): ~RM2.10 Bilion
  • Duit Keluar (Bayar pampasan/faedah pencarum): ~RM6.20 Bilion

Ini menunjukkan daripada RM7.58 Bilion yang dikutip, hampir RM6.20 bilion dipulangkan semula kepada pekerja/pencarum dalam bentuk bayaran pampasan dan faedah, manakah bakinya menjadi lebihan bersih dana institusi tersebut.

Tetapi, pernah tak anda terfikir: Ke mana perginya berbilion ringgit wang caruman yang dikumpul setiap bulan? Adakah ia sekadar disimpan di dalam bank atau sebenarnya “bekerja keras” menghasilkan untung?

Sebagai portal yang celik kewangan, hari ini kami nak bedah Laporan Tahunan PERKESO 2024 untuk melihat di mana institusi keselamatan sosial ini melaburkan dana mereka, dan berapa pula keuntungan kasar yang mereka berjaya jana!

1. Poket PERKESO Tengah Makin Lebat

Sebelum kita sembang bab kaunter saham mana mereka borong, mari kita tengok prestasi kewangan makro mereka terlebih dahulu.

Menurut laporan rasmi, jumlah Aset di bawah Pengurusan (AUM) PERKESO telah meningkat sebanyak 7.01% kepada sekitar RM36.87 Bilion!

Dari segi hasil atas pelaburan, strategi proaktif pasukan pelaburan mereka nampaknya membuahkan hasil:

  • Pendapatan Pelaburan Kasar (2024): Mencecah ~RM2.17 Bilion.
  • Pertumbuhan: Naik sebanyak 18.27% berbanding RM1,835.30 juta pada tahun 2023.
  • Kadar Pulangan (ROI) Kasar: Melonjak naik kepada 6.64% (berbanding 5.89% pada tahun sebelum).

Untung lebih RM2 bilion setahun ini bukanlah satu angka yang kecil. Jadi, di mana lubuk pelaburan mereka?

2. Di Mana PERKESO Melabur? (Pecahan Portofolio)

Sama seperti KWSP atau PNB, PERKESO menggunakan rangka kerja Alokasi Aset Strategik (SAA) bagi memastikan dana pelaburan mereka mampan, kalis inflasi dan yang paling penting mampu menampung tuntutan bayaran faedah pekerja bagi jangka masa panjang.

Berikut adalah instrumen utama pelaburan mereka:

  • 62.81% Pendapatan Tetap (Fixed Income)
  • 27.52% Ekuiti
  • 6.77% Pasaran Wang
  • 2.90% Pelaburan Alternatif

A. Pasaran Saham (Ekuiti)

Jika anda rasa pelaburan saham ini berisiko, bagi dana gergasi seperti PERKESO, pasaran ekuiti tersiar di Bursa Malaysia merupakan antara lubuk buat duit terbesar mereka untuk tahun 2024. Peningkatan pendapatan pelaburan kasar mereka disumbangkan secara signifikan oleh keuntungan penjualan saham apabila pasaran saham berada dalam momentum yang baik.

Tetapi nampaknya tiada langsung perincian senarai pegangan saham seperti yang dibuat oleh KWSP.

KWSP setiap tahun akan dedahkan:

  • Top 30 pegangan Bursa Malaysia
  • Nilai pegangan
  • Peratus pegangan
  • Kadang-kadang siap cerita prestasi mengikut aset dan pasaran luar negara.

Jadi orang ramai boleh tahu:

  • KWSP pegang saham Maybank berapa banyak
  • CIMB
  • Public Bank
  • Tenaga
  • YTL Power
  • Sunway dan sebagainya.

Menariknya, orang ramai sebenarnya tidak mengetahui pegangan saham PERKESO secara menyeluruh. Sebaliknya, sesuatu pelaburan hanya mendapat perhatian apabila ia menjadi berita atau melibatkan pengumuman kepada Bursa Malaysia.

Antara contoh yang pernah berlaku ialah:

Cypark Resources (2023)

Pada tahun 2023, PERKESO muncul sebagai pemegang saham utama dalam Cypark Resources selepas pegangan melepasi ambang pelaporan Bursa Malaysia. Ketika itu, Ketua Eksekutif PERKESO menjelaskan bahawa Cypark merupakan sebahagian daripada portfolio ekuiti PERKESO kerana syarikat tersebut mempunyai “good fundamental value” serta selari dengan fokus ESG organisasi.

Pharmaniaga (2025)

Pada Jun 2025 pula, The Edge Malaysia melaporkan bahawa PERKESO sedang berbincang untuk menyertai private placement Pharmaniaga Berhad dan berpotensi muncul sebagai pemegang saham yang besar sekiranya urus niaga itu dimuktamadkan. Walau bagaimanapun, Pharmaniaga menjelaskan ketika itu bahawa belum ada keputusan muktamad mengenai pelabur yang akan mengambil bahagian dalam private placement tersebut.

B. Bon Domestik & Sukuk (Sekuriti Hutang)

Bagi mengimbangi risiko pasaran saham yang turun naik, PERKESO meletakkan sebahagian besar dana dalam instrumen berpendapatan tetap (fixed income) iaitu bon korporat dan sukuk domestik. Ini memberikan aliran pendapatan faedah yang stabil setiap tahun.

Antara sektor-sektor utama dalam negara yang disokong oleh dana bon PERKESO termasuklah:

  • Perbankan & Perkhidmatan Kewangan
  • Tenaga & Utiliti (Sektor kritikal negara)
  • Pengangkutan & Telekomunikasi
  • Hartanah & Kewangan Awam

C. Aset Kewangan Sedia Untuk Dijual

Aset kewangan sedia untuk dijual boleh diibaratkan sebagai “stok pelaburan” yang boleh dijual pada bila-bila masa jika pengurus dana melihat peluang yang lebih baik. Ia lazimnya terdiri daripada saham, bon, sukuk, REIT dan instrumen pelaburan lain yang mudah diniagakan di pasaran.

Kantung kecairan PERKESO dalam kategori aset ini adalah sangat besar. Nilai aset kewangan sedia untuk dijual di bawah kumpulan PERKESO dilaporkan mencecah RM32.88 bilion. Ini memberikan fleksibiliti tinggi kepada pengurus dana mereka untuk bertindak mengikut kitaran ekonomi semasa.

D. Hartanah Fizikal & Deposit Tunai

PERKESO juga mempunyai pegangan dalam pasaran hartanah bagi menjana pendapatan bersih melalui hasil sewaan serta modal apresiari. Di samping itu, dana selebihnya diletakkan dalam instrumen pasaran wang dan deposit tegar bersama institusi kewangan berlesen demi keperluan kecairan tuntutan faedah harian pekerja.

3. Untung Bilion-Billion Tapi Belanja Pun Besar?

Satu fakta menarik yang pekerja perlu tahu ialah: Walaupun pendapatan pelaburan mereka mencecah RM2.17 Bilion, kos tanggungjawab atau belanja tanggungan (tuntutan pampasan/faedah) yang PERKESO perlu bayar semula kepada pekerja yang ditimpa musibah juga meningkat sebanyak 7.29% kepada ~RM6.2 Bilion!.

Peningkatan bayaran keluar (payout) ini disebabkan oleh pertambahan bilangan penerima faedah serta peluasan skim perlindungan kepada sektor pekerja asing dan bekerja sendiri (SKSPS).

Melalui data ini, jelaslah bahawa PERKESO bukan sekadar menyimpan duit caruman. Wang tersebut digulung masuk ke dalam ekosistem korporat Malaysia demi menjana pulangan berbilion ringgit untuk memastikan kantung institusi ini sentiasa sihat dan kalis risiko masa depan.

Nota: Artikel ini adalah berdasarkan maklumat yang didedahkan dalam Laporan Tahunan PERKESO 2024. Sebarang pegangan saham individu tidak dinyatakan dalam laporan tersebut. Oleh itu, artikel ini hanya membincangkan maklumat yang didedahkan secara rasmi oleh PERKESO dan tidak membuat sebarang andaian mengenai saham-saham yang dimiliki.