6 Cara Ajar Anak Sekolah Rendah Menyimpan Wang

Anak yang bersekolah rendah pasti cenderung untuk mendapatkan wang yang banyak setiap hari ke sekolah. Kos makanan yang dijual di kantin sekolah sahaja pun sudah tinggi nilainya berbanding dahulu. 

Ditambah pula dengan wang belanja untuk membeli buah-buahan, air, jajan dan mainan ketika pulang dari sekolah nanti.

Kalau dibiarkan tanpa dikawal, memang ke laut jadinya nanti. Maka, inilah masanya untuk anda mengajar anak sekolah rendah menyimpan wang dengan cara dan teknik yang betul. 

Jom kita tengok beberapa cara ajar anak sekolah rendah menyimpan wang dengan berkesan.

1. Sediakan Tabung Kegemaran Anak

Tabung adalah perkara pertama yang anak kita perlu ada. Letakkan di dalam bilik mereka atau di atas meja belajar mereka agar mereka boleh lihat selalu.

Tabung kegemaran mereka mungkin ada kaitan dengan kartun atau rancangan televisyen yang mereka suka tengok.

2. Beri Wang Belanja Dan Explain Satu-Persatu

Pada hari persekolahan, beri wang belanja dan explain satu-persatu apa yang boleh mereka gunakan untuk beli di sekolah. Sebagai contoh, nasi lemak, air, buah untuk dibeli pada waktu rehat.

Jelaskan juga berapa harga setiap item tersebut. Kemudian, minta mereka tinggalkan sekurang-kurangnya duit syiling untuk dibawa pulang dan diletakkan dalam tabung mereka.

3. Bina Target Simpanan

Bina target simpanan tabung mereka seperti seminggu perlu ada RM3 atau RM5 di dalam tabung. Mereka akan mula membuat kira-kira untuk memastikan jumlah yang terdapat di dalam tabung dan jumlah yang perlu ditambah untuk mencukupkannya.

Contohnya, kalau hari ini terlebih belanja; pastikan esok bawa balik lebih untuk dimasukkan ke dalam tabung.

4. Beri Reward Atau Hadiah Kepada Anak

Sekiranya mereka mencapai target simpanan yang kita sasarkan, belikan mereka hadiah. Pastinya mereka suka sangat. 

Reward seperti wang tambahan juga boleh kita beri, sebagai tanda kita harga usaha mereka yang telah bersusah-payah memastikan target simpanan tercapai.

5. Jadi Contoh Terbaik Kepada Anak

Janganlah kita suruh anak kita menyimpan, tetapi kita pula boros dan tamak. Sikap kita sering diperhatikan oleh anak secara diam dan mereka akan mengikut jejak anda. 

Kita sendiri kena amalkan sikap berjimat-cermat, dan gunakan wang dengan bijak.

6.  Dedahkan Anak Dengan Simpanan Bank Dan Pelaburan

Setiap bulan, bawa mereka ke bank bersama tabung mereka untuk disimpan ke dalam akaun simpanan. Kita juga boleh menyimpan di akaun kanak-kanak atau Tabung Haji untuk mendapat manfaat yang lebih besar. 

Orang kata, “Nak melentur buluh, biarlah dari rebungnya”. Lagi awal kita ajar mereka tentang simpanan, lagi baik untuk mereka.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Ada Gaji Tetap Tapi Buat Side Income? Jangan Terkejut Jika Terima Notis CP500 Dari LHDN

Ramai yang mempunyai gaji tetap beranggapan urusan cukai mereka telah selesai kerana majikan sudah membuat potongan cukai bulanan (PCB) setiap bulan. Namun, keadaan berbeza apabila seseorang individu mempunyai pendapatan tambahan selain gaji.

Antara pendapatan sampingan yang sering diterima rakyat Malaysia termasuk:

  • Pendapatan sewa rumah/homestay
  • Bisnes online
  • Grab/Food Panda rider
  • Content creator
  • Komisen jualan
  • Ejen insurans/takaful
  • Ejen hartanah

Jika anda mempunyai pendapatan seperti ini, anda mungkin akan menerima Notis CP500 daripada LHDN.

Apa Itu CP500?

CP500 ialah arahan bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN kepada individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian.

Secara mudahnya, LHDN menganggarkan cukai yang perlu dibayar berdasarkan rekod tahun-tahun terdahulu dan membenarkan bayaran dibuat secara ansuran setiap dua bulan.

Daripada menunggu sehingga hujung tahun dan membayar sekaligus, sistem CP500 membantu menyebarkan beban pembayaran sepanjang tahun.

Kenapa Pekerja Bergaji Tetap Boleh Terima Notis CP500?

Ramai menyangka CP500 hanya untuk peniaga sepenuh masa.

Hakikatnya, seorang pekerja bergaji juga boleh menerima CP500 jika mempunyai pendapatan sampingan yang signifikan.

Sebagai contoh:

Ahmad bekerja sebagai jurutera dan menerima gaji RM8,000 sebulan. Pada masa sama, beliau memperoleh RM3,000 sebulan daripada sewaan rumah.

Walaupun PCB telah dipotong daripada gajinya, pendapatan sewa tersebut tidak tertakluk kepada PCB.

Oleh itu, LHDN boleh mengeluarkan CP500 bagi memastikan cukai ke atas pendapatan sewa itu dibayar secara berperingkat.

CP500 Bukan Cukai Tambahan

Salah faham yang sering berlaku ialah ramai menganggap CP500 sebagai cukai tambahan.

Sebenarnya tidak.

Bayaran CP500 hanyalah bayaran pendahuluan terhadap cukai yang bakal dikira apabila anda mengemukakan borang cukai pendapatan.

Jika jumlah CP500 yang dibayar melebihi cukai sebenar, lebihan tersebut boleh dituntut semula. Jika tidak mencukupi, baki cukai perlu dijelaskan.

Musim Borang B: Semak Jika Anda Ada CP500

Bersempena musim penghantaran Borang B, individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian disarankan untuk menyemak MyTax masing-masing.

Ramai pembayar cukai hanya menyedari kewujudan CP500 selepas menerima peringatan atau notis tunggakan.

Lebih baik mengetahui lebih awal dan merancang aliran tunai berbanding berdepan cukai yang besar secara mengejut.

Apa Yang Perlu Dilakukan Jika Menerima Notis CP500?

Apabila menerima notis CP500, anda perlu memberi perhatian kepada tiga perkara utama:

  • Membuat bayaran cukai secara ansuran setiap dua bulan.
  • Membayar jumlah yang dinyatakan dalam notis CP500.
  • Memastikan bayaran dibuat sebelum tarikh akhir yang ditetapkan.

Ramai pembayar cukai menyimpan notis tersebut tanpa mengambil sebarang tindakan kerana menyangka ia sekadar makluman biasa. Hakikatnya, CP500 adalah jadual bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN dan memerlukan tindakan daripada penerima notis.

Jika anda tidak bersetuju dengan jumlah yang ditetapkan atau menjangkakan pendapatan anda jauh berbeza daripada tahun sebelumnya, anda boleh menghubungi LHDN untuk mendapatkan penjelasan lanjut atau membuat semakan yang bersesuaian.

Bagaimana LHDN mengetahui anda mempunyai pendapatan tambahan? Secara umumnya, CP500 ditentukan berdasarkan maklumat yang telah dilaporkan dalam borang cukai tahun-tahun terdahulu. Dengan pelaksanaan e-Invois yang semakin meluas, data transaksi yang direkodkan juga dijangka membantu meningkatkan ketepatan maklumat percukaian pada masa hadapan.

Terlepas Bayar CP500, Ada Penalti?

Ya. Jika bayaran CP500 tidak dijelaskan dalam tempoh yang ditetapkan, penalti lewat bayar boleh dikenakan oleh LHDN.

Namun bagi Tahun Taksiran 2026, LHDN memberikan pengecualian penalti kepada individu yang mempunyai pendapatan penggajian serta pendapatan bukan penggajian yang menyebabkan notis CP500 dikeluarkan, termasuk pendapatan seperti sewa, faedah dan royalti.

Artikel The Star juga menekankan bahawa kelayakan bergantung kepada jenis pendapatan dan profil pembayar cukai, bukan sama ada penerima CP500 kali pertama atau tidak.

Langkah ini diperkenalkan bagi membantu kumpulan tersebut menyesuaikan diri dengan pelaksanaan sistem CP500 sepanjang tempoh peralihan.

Contoh:

Ahmad bekerja makan gaji dan PCB dipotong setiap bulan. Pada masa sama, beliau menerima pendapatan sewa rumah. Oleh sebab pendapatan sewa tidak tertakluk kepada PCB, Ahmad menerima notis CP500.

Sekiranya Ahmad tidak membuat bayaran ansuran CP500 pada Tahun Taksiran 2026, beliau tidak akan dikenakan penalti 10% di bawah Seksyen 107B(3) Akta Cukai Pendapatan.

Namun begitu, cukai yang masih belum dibayar tetap perlu dijelaskan apabila beliau mengemukakan borang cukai pendapatan kelak.

Ringkasnya, yang dikecualikan adalah penalti, bukannya cukai.

Baca lagi KONSESI PENGENAAN PENALTI KE ATAS NOTIS BAYARAN ANSURAN (CP500) BAGI INDIVIDU YANG MENERIMA PENDAPATAN PENGGAJIAN

Kesimpulan

Mempunyai pendapatan sampingan sememangnya satu perkara yang baik kerana ia membantu meningkatkan pendapatan. Namun begitu, jangan lupa bahawa setiap pendapatan juga datang bersama tanggungjawab percukaian.

Jika anda mempunyai pendapatan selain gaji, luangkan sedikit masa untuk memahami CP500. Ia bukan hukuman, bukan juga cukai tambahan, tetapi mekanisma yang membantu pembayar cukai mengurus bayaran cukai dengan lebih teratur sepanjang tahun.