6 Kesilapan Biasa Anak Muda. Adik Umur Bawah 30an Mari Baca

kesilapan kewangan

Banyak sebenarnya kesilapan yang telah saya sendiri lakukan sebagai anak muda berumur 30-an. Saya pasti ramai juga anak muda lain yang pernah terbuat kesalahan ini.


“Menyesal aku buat benda tu …”
“Kenapa lah takde orang nasihat aku dulu?…”

Bukan tak ada orang yang nasihatkan. Tapi jiwa muda suka mencuba. Tak nak dengar cakap. Konon nak belajar daripada pengalaman. Dah dapat pengalaman pedih dan perih tu…maka tanggung lah.

Jadi, buat yang masih muda tu korang boleh baca kesilapan-kesilapan di bawah sebagai iktibar:

1. Tak Tahu Aliran Wang

Pernah tak dapat gaji, lepas tu tak tahu duit pergi mana? 2 minggu lepas gaji, meleleh air mata tengok dompet nipis. Kau sendiri yang habiskan duit tu. Kena bijak mengawal aliran duit, bukan duit yang kawal korang. Nak tahu ke mana duit tu pergi, buatlah bajet. Rancang awal belanja yang nak dibuat. Sekarang banyak aplikasi dekat Google Store.

2. Kahwin Guna Personal Loan

Paling banyak buat benda ni adalah mereka yang baru melangkah ke alam pekerjaan terutamanya sektor awam. Dah ada 3 bulan slip gaji, senang la nak buat pinjaman peribadi.

Bila ditanya kenapa buat pembiayaan peribadi, jawapannya sebab nak kahwin. Nak buat majlis gilang-gemilang. Takut apa pula orang kata kalau buat ala kadar. Hmm…berapa lama nak setel loan tu?

Bila awal-awal dah ada personal loan, komitmen anak muda semakin tinggi dan kelayakan di pihak bank untuk beli rumah nanti semakin berkurangan.

3. Tergoda Dengan Kad Kredit

Kad kredit adalah pembunuh senyap pengurusan kewangan korang. Jika korang tak pandai kawal dan main swap je, bayar pun separuh-separuh memang korang akan merana. Kena ingat kadar faedah kad kredit merupakan kadar faedah yang paling tinggi. Boleh mencapai sehingga 18%!

4. Awal-Awal Dah Sambar Kereta Idaman

Tak salah mempunyai impian untuk memiliki kereta hebat. Yang salahnya apabila korang membeli kereta di luar kemampuan korang. Dah tahu gaji sebulan RM 2,000 tapi masih meneruskan impian membeli kereta Honda City (Civic tak lepas). Alasannya itu lah kereta impian sejak zaman belajar lagi. Kos petrol, servis, tol, road tax, saman tak nak ambil kira.

Takkan tiap bulan nak bayar ansuran kereta Honda City tapi malam-malam makan maggi je?Tangguh dulu impian tu. Kumpul duit dulu. Nanti dah stabil belilah kereta impian tu. Tak lari gunung dikejar.

5. Tak Menyimpan

Belanja dulu baru simpan, tapi malangnya belanja sampai tak ada baki!

Ada juga yang berpendapat masa muda ni buat apa nak menyimpan kan? Tunggu tua sedikit lah baru mula menyimpan.

Itulah silapnya. Kalau mula awal, hasilnya juga nampak awal. Cuba mulakan menyimpan 10% daripada pendapatan. Tak seharusnya kena menyimpan 10%. Mulakan dengan menyimpan 2%. Lepas tu naikkan 5%. Asasnya, simpan dulu baru berbelanja. Simple.

6. Duit Sikit Tapi Suka Travel

Jauh perjalanan, luas pengalaman. Ya, pergi travel memang bagus. Korang boleh jumpa ramai orang. Pemikiran jadi hebat. Tapi kalau setiap bulan pergi travel guna duit PTPTN, duit kutu, duit member, baik tak payah. Hutang dah keliling pinggang.

Orang bank telefon tak nak jawab. Member mintak balik hutang, korang maki member. Baik korang travel ke Port Dickson je, guna Myvi zero downpayment korang tu. Lagi jimat. Tak payah travel luar negara.

Eleh, korang tu dekat Insta up gambar pergi travel luar negara. Dekat Facebook marahkan kerajaan harga barang makin naik.

Masa muda lah korang putuskan nak bina aset ataupun bina hutang. Pilihan di tangan korang. Hasilnya bukan nampak sekarang, tapi 10-20 tahun akan datang. Jangan nanti umur dah 30 tahun, baru nak mula titiskan air mata keinsafan.

“Eleh, pergi travel pun bukan pakai duit kau.”

Ye, memang mereka beli kereta besar, pergi travel sana sini tak guna duit kita. Tapi bangsa Melayu lah paling ramai muflis, paling ramai miskin dan paling ramai yang hidup dalam hutang yang tinggi. Melayu beb. Syarat muflis mudah – bila korang ada hutang RM 30 ribu dan ke atas tetapi tak bayar, standby.

Orville Wright pernah berpesan iaitu “Apa yang kalian buat pada masa ini, hasilnya adalah pada masa hadapan kalian.” Kah!

Sumber asal : Amir Syahir


CCRIS

Kesilapan lain yang bakal dibuat adalah bila tak ambil tahu tentang laporan CCRIS. Kalau tak dijaga sakit nanti bila nak mohon loan rumah. Kalau tak jaga bayaran ansuran kereta dan kad kredit nanti dalam laporan CCRIS tercatat angka 1, 2, 3 dan seterusnya.

Jangan risau, sekarang dah boleh semak CCRIS online.

Ambil Inisiatif Untuk Semak Sendiri Laporan Kredit (Credit Report)

Dengan kemudahan internet dan semuanya kini di hujung jari, anda boleh dapatkan skor kredit (credit score) secara online saja. Dengan RAM Credit Info, mereka ada produk bernama RAMCI Personal Credit Report Plus (PCRP) yang boleh digunakan untuk mendapatkan laporan lengkap mengenai status kewangan anda.

Laporan ini megandungi maklumat seperti i-Score (skor kredit), CCRIS, SPGA (Skim Potongan Gaji ANGKASA), PTPTN, maklumat bukan berkaitan perbankan dan banyak lagi.

Contoh laporan RAMCI Personal Credit Report Plus (PCRP):

Dapat gred 10 kira dah terbaik, bermaksud kurang risiko untuk pembiayaan tidak dibayar atau default. Agak-agak ada ke bank nak bagi pembiayaan kalau kita berisiko tinggi?

Sama macam CCRIS, kena pastikan lebih banyak angka kosong ‘0’ bermakna bayaran dibuat on-time setiap bulan.

Bukan mahal pun, hanya RM19.50 untuk mendapatkan laporan tersebut secara on-line.

Previous ArticleNext Article

Ada Gaji Tetap Tapi Buat Side Income? Jangan Terkejut Jika Terima Notis CP500 Dari LHDN

Ramai yang mempunyai gaji tetap beranggapan urusan cukai mereka telah selesai kerana majikan sudah membuat potongan cukai bulanan (PCB) setiap bulan. Namun, keadaan berbeza apabila seseorang individu mempunyai pendapatan tambahan selain gaji.

Antara pendapatan sampingan yang sering diterima rakyat Malaysia termasuk:

  • Pendapatan sewa rumah/homestay
  • Bisnes online
  • Grab/Food Panda rider
  • Content creator
  • Komisen jualan
  • Ejen insurans/takaful
  • Ejen hartanah

Jika anda mempunyai pendapatan seperti ini, anda mungkin akan menerima Notis CP500 daripada LHDN.

Apa Itu CP500?

CP500 ialah arahan bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN kepada individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian.

Secara mudahnya, LHDN menganggarkan cukai yang perlu dibayar berdasarkan rekod tahun-tahun terdahulu dan membenarkan bayaran dibuat secara ansuran setiap dua bulan.

Daripada menunggu sehingga hujung tahun dan membayar sekaligus, sistem CP500 membantu menyebarkan beban pembayaran sepanjang tahun.

Kenapa Pekerja Bergaji Tetap Boleh Terima Notis CP500?

Ramai menyangka CP500 hanya untuk peniaga sepenuh masa.

Hakikatnya, seorang pekerja bergaji juga boleh menerima CP500 jika mempunyai pendapatan sampingan yang signifikan.

Sebagai contoh:

Ahmad bekerja sebagai jurutera dan menerima gaji RM8,000 sebulan. Pada masa sama, beliau memperoleh RM3,000 sebulan daripada sewaan rumah.

Walaupun PCB telah dipotong daripada gajinya, pendapatan sewa tersebut tidak tertakluk kepada PCB.

Oleh itu, LHDN boleh mengeluarkan CP500 bagi memastikan cukai ke atas pendapatan sewa itu dibayar secara berperingkat.

CP500 Bukan Cukai Tambahan

Salah faham yang sering berlaku ialah ramai menganggap CP500 sebagai cukai tambahan.

Sebenarnya tidak.

Bayaran CP500 hanyalah bayaran pendahuluan terhadap cukai yang bakal dikira apabila anda mengemukakan borang cukai pendapatan.

Jika jumlah CP500 yang dibayar melebihi cukai sebenar, lebihan tersebut boleh dituntut semula. Jika tidak mencukupi, baki cukai perlu dijelaskan.

Musim Borang B: Semak Jika Anda Ada CP500

Bersempena musim penghantaran Borang B, individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian disarankan untuk menyemak MyTax masing-masing.

Ramai pembayar cukai hanya menyedari kewujudan CP500 selepas menerima peringatan atau notis tunggakan.

Lebih baik mengetahui lebih awal dan merancang aliran tunai berbanding berdepan cukai yang besar secara mengejut.

Apa Yang Perlu Dilakukan Jika Menerima Notis CP500?

Apabila menerima notis CP500, anda perlu memberi perhatian kepada tiga perkara utama:

  • Membuat bayaran cukai secara ansuran setiap dua bulan.
  • Membayar jumlah yang dinyatakan dalam notis CP500.
  • Memastikan bayaran dibuat sebelum tarikh akhir yang ditetapkan.

Ramai pembayar cukai menyimpan notis tersebut tanpa mengambil sebarang tindakan kerana menyangka ia sekadar makluman biasa. Hakikatnya, CP500 adalah jadual bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN dan memerlukan tindakan daripada penerima notis.

Jika anda tidak bersetuju dengan jumlah yang ditetapkan atau menjangkakan pendapatan anda jauh berbeza daripada tahun sebelumnya, anda boleh menghubungi LHDN untuk mendapatkan penjelasan lanjut atau membuat semakan yang bersesuaian.

Bagaimana LHDN mengetahui anda mempunyai pendapatan tambahan? Secara umumnya, CP500 ditentukan berdasarkan maklumat yang telah dilaporkan dalam borang cukai tahun-tahun terdahulu. Dengan pelaksanaan e-Invois yang semakin meluas, data transaksi yang direkodkan juga dijangka membantu meningkatkan ketepatan maklumat percukaian pada masa hadapan.

Terlepas Bayar CP500, Ada Penalti?

Ya. Jika bayaran CP500 tidak dijelaskan dalam tempoh yang ditetapkan, penalti lewat bayar boleh dikenakan oleh LHDN.

Namun bagi Tahun Taksiran 2026, LHDN memberikan pengecualian penalti kepada individu yang mempunyai pendapatan penggajian serta pendapatan bukan penggajian yang menyebabkan notis CP500 dikeluarkan, termasuk pendapatan seperti sewa, faedah dan royalti.

Artikel The Star juga menekankan bahawa kelayakan bergantung kepada jenis pendapatan dan profil pembayar cukai, bukan sama ada penerima CP500 kali pertama atau tidak.

Langkah ini diperkenalkan bagi membantu kumpulan tersebut menyesuaikan diri dengan pelaksanaan sistem CP500 sepanjang tempoh peralihan.

Contoh:

Ahmad bekerja makan gaji dan PCB dipotong setiap bulan. Pada masa sama, beliau menerima pendapatan sewa rumah. Oleh sebab pendapatan sewa tidak tertakluk kepada PCB, Ahmad menerima notis CP500.

Sekiranya Ahmad tidak membuat bayaran ansuran CP500 pada Tahun Taksiran 2026, beliau tidak akan dikenakan penalti 10% di bawah Seksyen 107B(3) Akta Cukai Pendapatan.

Namun begitu, cukai yang masih belum dibayar tetap perlu dijelaskan apabila beliau mengemukakan borang cukai pendapatan kelak.

Ringkasnya, yang dikecualikan adalah penalti, bukannya cukai.

Baca lagi KONSESI PENGENAAN PENALTI KE ATAS NOTIS BAYARAN ANSURAN (CP500) BAGI INDIVIDU YANG MENERIMA PENDAPATAN PENGGAJIAN

Kesimpulan

Mempunyai pendapatan sampingan sememangnya satu perkara yang baik kerana ia membantu meningkatkan pendapatan. Namun begitu, jangan lupa bahawa setiap pendapatan juga datang bersama tanggungjawab percukaian.

Jika anda mempunyai pendapatan selain gaji, luangkan sedikit masa untuk memahami CP500. Ia bukan hukuman, bukan juga cukai tambahan, tetapi mekanisma yang membantu pembayar cukai mengurus bayaran cukai dengan lebih teratur sepanjang tahun.