6 Perkara Perlu Dibuat Warga 30-an

Happy Birthday! Welcome to the 3-series club

Ini ungkapan keramat apabila melangkah ke umur separa matang dalam kehidupan. Umur 30-an kebanyakannya sudah berkahwin, berkeluarga dan dalam fasa struggle membesarkan anak-anak, menjaga orang tua dan paling banyak membina hutang seperti hutang kereta, hutang peribadi, hutang kredit kad, hutang rumah, dan pelbagai komitmen lain juga.

Pada usia 30an juga kebanyakannya berada dalam fasa ‘generasi sandwich’ kerana golongan ini tersepit dalam perihal kewangan dan kesihatan bagi anak-anak dan orang tua mereka

Istilah Sandwich Generation ini wujud pada tahun 1981 oleh Dorothy Miller seorang pekerja sosial yang memberi istilah ini.

Hasil kajian dari StatsCan menyatakan golongan sandwich ini terpaksa mengurangkan standard hidup sendiri bagi memenuhi keperluan kedua belah pihak. Ada juga yang mengalami masalah depresi, lewat jodoh, masalah kesihatan kerana terlampau letih melakukan 2-3 kerja, sukar fokus dan seolah mereka tiada ruang untuk melakukan aktiviti sendiri kerana beban tanggungjawab.

Baiklah,

Hidup ini umpama roda,jika kita berbakti dan berbuat sehabis baik untuk dua generasi iaitu ibu bapa dan anak-anak, kita juga mungkin dapat yang baik nanti. Apa pun kita perlu merancang kehidupan kita bila tua nanti dan apa yang perlu kita rancang untuk anak-anak nanti.

1. Fikirkan Simpanan Persaraan

Berapa banyak perlu ada? Pihak KWSP menetapkan sasaran minimum RM228,000 bagi yang berumur 55 nanti. Penanda aras ini diambil bersamaan dengan minimum pencen yang diterima bulanan  berjumlah RM950 bermula umur 55 hingga 75 tahun.Tiada simpanan langsung?mulakan simpan dan labur 15% dari gaji, komisyen, bonus gaji anda ke ASB, TH, unit amanah atau SSPN.

2. Laraskan Takaful

Ketika usia ini perlu fikir untuk wajib memiliki takaful. Paling utama adalah takaful perlindungan pendapatan. Bagi ketua keluarga dan mereka yang berhutang digalakkan untuk mengambilnya sekiranya berlaku musibah seperti kematian, pampasan yang diterima waris dapat mengurangkan beban hutang yang dibuat ketika hayat.

Bagi takaful perubatan, ia juga perlu difikirkan. Sekiranya syarikat ada menanggung kos perubatan keluarga,ia salah satu yang bagus. Namun, perlu diingat apabila umur meningkat, bayaran takaful turut meningkat. Usahakan satu keluarga untuk memiliki takaful perubatan.

3. Selesaikan Hutang

Usaha selesaikan hutang kecil seperti kad kredit, pinjaman peribadi, hutang belajar, hutang perabot, hutang telefon dahulu. Cuba perbanyakkan urusan menggunakan wang tunai atau direct debit. Jika pembelian besar sahaja menggunakan kad kredit untuk mendapatkan tawaran rebat dan pulangan wang serta hadiah lain.

4. Pantau Skor Kredit

Ketika usia ini pembelian aset seperti rumah, tanah dan pelbagai lagi aktif dilakukan. Untuk menjayakan pembelian rumah kedua, ketiga dan seterusnya skor kredit anda mestilah cantik.

Boleh baca lebih lanjut mengenainya di eCCRIS – Laporan Kredit di Hujung Jari.

5. Tingkatkan Pendapatan Dan Simpanan Kecemasan

Seiring peningkatan usia, kemahiran yang sudah digilap sejak usia 20-an sudah semakin mahir di usia 30-an. Oleh itu permintaan terhadap gaji, bayaran yang boleh kita minta sesuai dengan pengalaman yang dimiliki. Usahakan ada pendapatan sendiri minimum RM1000 bagi wanita walaupun sudah tidak bekerja.Ini kerana ia sebagai persediaan kepada diri sendiri sekiranya suami sebagai ketua keluarga pergi dahulu atau kecemasan. Simpanan kecemasan 3-6 bulan gaji.

Jika bergaji RM7000 sebulan, maka perlu ada dalam RM21K – RM35K wang tunai.

Jika berlaku sesuatu kepada kita seperti kemalangan, atau masalah kesihatan yang menganggu rutin bekerja dalam tempoh yang lama, wang kecemasan tadi boleh digunakan. Jika terlampau lama bercuti kemungkinan besar diberhentikan itu ada. Kita perlu bersedia dengan segala kemungkinan.

6. Tulis Wasiat

Bukan tunggu waktu usia 50-an nanti baru nak buat.Tahukah anda sejumlah 66 billion harta pusaka umat islam tidak dituntut malah ada harta pusaka seperti rumah dan tanah tidak diurus.

Sebenarnya bila kita fikir lebih dalam lagi, kasihan kepada para arwah kerana harta yang mereka tinggalkan tidak dapat diurus dengan baik.Setiap apa yang kita miliki akan dihisab kelak.Jika waris tidak peduli atas asbab kos yang tinggi untuk urusan mahkamah dan kos lain yang terlibat, hendak atau tidak kita yang waris masih hidup perlu selesaikan juga dengan cara faraid.

Jika dibiarkan, waris akan berlapis dan ini merumitkan keadaan. Boleh guna khidmat As Salihin Trustee bagi individu dan juga syarikat.

Artikel ditulis oleh Puan Sarah Hata. Penulis merupakan seorang konsultan kewangan di sebuah institusi kewangan di Malaysia dan juga perunding imej. Mempunyai pengalaman menulis, memberi ceramah di beberapa syarikat seluruh Malaysia dan juga klien individu

Asingkan sedikit pendapatan anda dan tukarkan kepada bentuk emas. Kaedah termudah dan termurah di Malaysia buat masa ini bagi sesiapa nak simpan emas. Tak perlu 1 gram pun, minimum 0.25 gram.

Boleh mulakan simpanan emas patuh syariah dengan KAB Gold.

This image has an empty alt attribute; its file name is kab-gold-uncang-emas-800-700x990.jpg

Dengan minimum pembelian 0.25 gram emas atau serendah RM65 (berdasarkan harga emas RM260 segram), semuanya boleh dilakukan secara online.

Prosesnya sangat mudah:

  • Layari laman web KAB Gold
  • Lengkapkan borang pendaftaran
  • Verify emel

Kemudian dah boleh login dan buat pembelian pertama anda hari ini juga.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Rawatan Gigi Yang Mana Tidak Boleh Dituntut Sebagai Pelepasan Cukai?

Ramai yang tidak tahu bahawa kos rawatan pergigian sebenarnya boleh dituntut sebagai pelepasan cukai pendapatan.

Bukan setakat rawatan hospital, pemeriksaan kesihatan atau pembelian ubat-ubatan tertentu. Rawatan gigi seperti scaling, tampalan dan cabutan gigi juga termasuk dalam senarai perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai.

Pelepasan cukai bukan bermaksud kita boleh tuntut semula wang yang dibayar kepada klinik gigi. Sebaliknya, perbelanjaan yang layak akan ditolak daripada pendapatan agregat bagi mengira pendapatan bercukai.

Untuk Tahun Taksiran 2026, pembayar cukai boleh menuntut pelepasan sehingga RM1,000 bagi pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak.

Tetapi tidak semua rawatan gigi layak dituntut.

Ada yang pergi klinik gigi untuk scaling, tampalan, cabutan gigi dan pemeriksaan rutin. Ada juga yang memasang braces, membuat veneer atau menjalani rawatan pemutihan gigi.

Persoalannya, adakah semua perbelanjaan ini boleh dimasukkan dalam e-Filing?

Jawapannya, tidak.

Jom kita lihat rawatan pergigian yang perlu diberi perhatian sebelum membuat tuntutan pelepasan cukai.

1. Pemutihan gigi (Teeth Whitening)

Rawatan pemutihan gigi bertujuan menjadikan gigi kelihatan lebih putih dan menarik.

Ia lazimnya dikategorikan sebagai rawatan kosmetik dan bukannya rawatan pergigian untuk tujuan kesihatan.

Oleh itu, kos pemutihan gigi tidak boleh dituntut sebagai pelepasan cukai.

2. Pemasangan Veneer

Veneer ialah lapisan nipis yang dipasang pada permukaan hadapan gigi untuk memperbaiki warna, bentuk atau penampilan gigi.

Walaupun dilakukan oleh doktor gigi, rawatan ini lazimnya bersifat kosmetik.

Jadi, jangan anggap semua rawatan yang dilakukan di klinik pergigian secara automatik layak mendapat pelepasan cukai.

3. Rawatan Kosmetik Pergigian

Antara rawatan lain yang bertujuan semata-mata untuk memperbaiki penampilan gigi juga perlu diberi perhatian.

Contohnya:

  • Pembentukan semula gigi untuk tujuan kosmetik.
  • Rawatan estetik untuk memperbaiki senyuman.
  • Prosedur kosmetik yang tidak mempunyai indikasi perubatan.

Prinsipnya mudah: rawatan kosmetik semata-mata tidak termasuk dalam skop pelepasan rawatan pergigian.

4. Bagaimana pula dengan pemasangan pendakap gigi (braces)?

Ini antara perkara yang sering mengelirukan pembayar cukai.

Braces atau pendakap gigi digunakan untuk membetulkan kedudukan gigi dan masalah gigitan.

Walaupun rawatan ini dilakukan oleh pakar ortodontik, jangan terus menganggap kos pemasangan braces layak mendapat pelepasan cukai.

Ketetapan Umum LHDN tidak menyenaraikan braces secara khusus sebagai rawatan yang layak.

Jika rawatan mempunyai keperluan klinikal atau perubatan, dapatkan pengesahan LHDN berdasarkan keadaan sebenar rawatan sebelum membuat tuntutan.

Rawatan gigi apa yang boleh dituntut?

Antara rawatan pergigian yang termasuk dalam skop pelepasan cukai ialah:

  • Pemeriksaan pergigian.
  • Scaling dan pembersihan karang gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Cabutan gigi.

Rawatan tersebut mestilah dilakukan oleh pengamal pergigian yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC) dan disokong dengan resit rasmi.

Boleh tuntut untuk isteri dan anak-anak?

Ya sudah tentu!

Di bawah perenggan 46(1)(g)(iv), Akta Cukai Pendapatan 1967, pembayar cukai layak menuntut pelepasan bagi perbelanjaan pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk:

  • Diri sendiri.
  • Suami atau isteri.
  • Anak-anak.

Pelepasan yang dibenarkan adalah terhad kepada RM1,000 secara terkumpul, bukannya RM1,000 untuk setiap individu.

Contohnya:

Anda membelanjakan RM500 untuk scaling dan tampalan gigi sendiri, RM400 untuk rawatan gigi isteri dan RM300 untuk rawatan gigi anak.

Jumlah perbelanjaan ialah RM1,200.

Namun, jumlah maksimum yang boleh dituntut hanyalah RM1,000.

Bagaimana pula rawatan gigi untuk ibu bapa?

Ini lebih menarik.

Rawatan pergigian ibu bapa dan datuk nenek mempunyai kategori pelepasan cukai yang berbeza.

Di bawah perenggan 46(1)(c) Akta Cukai Pendapatan 1967, perbelanjaan rawatan perubatan dan pergigian ibu bapa serta datuk nenek boleh dituntut sehingga RM8,000 setahun. Ibu bapa atau datuk nenek hendaklah bermastautin di Malaysia.

Antara rawatan yang dinyatakan termasuk:

  • Cabutan gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Scaling.
  • Gigi palsu.
  • Rawatan akar (root canal).
  • Rawatan menggantikan gigi.
  • Pembaikan gigi.

Had RM8,000 ini dikongsi dengan perbelanjaan perubatan lain yang layak untuk ibu bapa dan datuk nenek.

Jangan lupa simpan resit!

Sebelum meninggalkan klinik pergigian, pastikan anda mendapatkan resit rasmi yang menyatakan jenis rawatan yang dilakukan.

Pastikan juga maklumat klinik atau doktor gigi dapat dikenal pasti.

Simpan semua resit dan dokumen sokongan selama tujuh tahun kerana LHDN boleh meminta dokumen tersebut sekiranya tuntutan dipilih untuk semakan atau audit.

Satu lagi perkara penting: jika kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh majikan atau syarikat (klinik panel), jangan tuntut semula perbelanjaan yang sama sebagai pelepasan cukai individu.

Bila tarikh akhir untuk mendapatkan pelepasan cukai?

Perbelanjaan yang dibuat dari 1 Januari hingga 31 Disember 2026 akan diambil kira untuk Tahun Taksiran 2026.

Maksudnya, jika anda memang bercadang untuk membuat pemeriksaan atau rawatan gigi, jangan tangguh sehingga tahun hadapan.

Pergi buat pemeriksaan. Kalau ada karang gigi, buat scaling. Kalau ada gigi berlubang, buat tampalan sebelum masalah menjadi lebih serius.

Ajak sekali pasangan dan anak-anak. Jangan lupa periksa keadaan gigi ibu bapa juga.

Kesimpulannya, pelepasan cukai bukan alasan untuk berbelanja secara berlebihan. Tetapi kalau memang ada keperluan rawatan, manfaatkan pelepasan yang telah disediakan oleh kerajaan.

Jaga kesihatan gigi, jaga poket dan jangan biarkan pelepasan cukai yang layak dituntut begitu sahaja.

Sumber: Ketetapan Umum No. 7/2025, Pencukaian Individu Bermastautin Bahagian I – Hadiah atau Sumbangan dan Potongan yang Dibenarkan.