7 Perkara Yang Kita Bazirkan

Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini, pembaziran adalah sesuatu yang cuba di elakkan. Tetapi kadang-kadang dalam sedar tak sedar, kita ada terbelanja lebih daripada apa yang kita perlukan. Jadi kalau ingin berjimat secara maksima, cuba elakkan pembaziran di bawah.

1. Kadar Faedah Tinggi

Kebanyakan daripada kita memilih untuk meneruskan pinjaman sedia ada tanpa mempertimbangkan untuk melakukan refinance. Padahal sebenarnya refinance dapat membantu peminjam untuk mendapatkan kadar faedah pinjaman yang lebih rendah. Selain daripada itu, ia juga dapat mengurangkan tempoh bayaran balik pinjaman.

Untuk pemilik kad kredit pula, anda boleh memindahkan baki pinjaman untuk mengurangkan kadar faedah ke atas kad kredit serta kad debit. Tetapi, anda perlu berhati-hati, ini kerana pemindahan baki memerlukan anda membayar balik pinjaman dalam tempoh yang singkat. Jadi anda perlu memastikan diri anda benar-benar mampu untuk membayar pinjaman dalam tempoh tersebut.

2. Beli Barangan Keperluan dalam Jumlah Yang Kecil

Seperti yang semua sedia maklum, harga barangan yang dibeli secara pukal atau dalam kuantiti yang lebih besar adalah lebih murah berbanding barangan yang dibeli secara runcit atau dalam kuantiti yang sedikit.

Katakan anda seorang yang jenis memang suka memasak, anda boleh membeli barangan dapur seperti minyak masak, ataupun sos dalam botol besar. Harganya bukan sahaja lebih murah, tetapi anda juga tidak perlu kerap ke kedai atau pun pasar raya untuk menambah stok barangan dapur.

3. Yuran Kredit Kad

Bankrup disebabkan kad kredit

Kita sebenarnya ada pilihan untuk tidak membayar yuran tahunan kad kredit. Pilihlah kad kredit dengan bank yang menawarkan kemudahan tiada yuran tahunan. Ini kerana yuran tahunan untuk setiap kad kredit adalah berbeza-beza.

Ada yang kita perlu bayar RM68 setahun dan ada pula yang boleh menjangkau sehingga RM600 setahun! Jadi buat apa bayar lebih untuk benda yang anda boleh miliki secara percuma?

Baca juga Jangan Guna Kad Kredit Untuk 5 Perkara Ini!

4. Takaful atau Insurans Perjalanan Saat Akhir

Sekiranya kita seorang yang selalu travel ke luar atas urusan kerja mahu pun urusan peribadi seperti melancong dan sebagainya, kita boleh mempertimbangkan untuk mengambil Takaful atau Insurans Perjalanan. Ini bukan sahaja untuk perlindungan semasa perjalanan, tetapi juga sebelum kita berlepas daripada tanah air lagi.

Sebagai contoh, jika penerbangan terpaksa ditangguhkan di atas faktor cuaca buruk, kita boleh membuat tuntutan terhadap kos tiket penerbangan, tetapi sekiranya kita tiada polisi Takaful atau Insurans, duit tiket akan hangus begitu sahaja.

Jemput baca 9 Perkara Anda Perlu Tahu Tentang Takaful Perjalanan.

5. Pengambilan Supplement

Sekarang sudah menjadi satu trend dalam masyarakat kita untuk mengambil makanan tambahan seperti vitamin dan sebagainya untuk tujuan kesihatan dan juga kecantikan. Tapi, terlebih supplement juga tidak baik sebenarnya untuk badan. Tambah lagi pula dengan lambakan supplement yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan dan mengandungi bahan berbahaya.

Jadi apa kata anda ambil cara yang paling mudah dan selamat iaitu dengan mengamalkan gaya hidup sihat seperti menjaga pemakanan dan juga banyakkan bersenam. Ini sekaligus dapat menjimatkan duit daripada membeli supplement dan ubat-ubatan.

6. Minuman Mahal

Pasti ramai di kalangan kita yang merupakan peminat Starbucks, Tealive, Cool Blog dan yang seangkatan dengannya. Secawan sahaja dah berapa ringgit? Cuba kira berapa purata yang kita belanjakan dalam setahun untuk minuman ini? Sekali sekala tu ok.

Cuba kurangkan pengambilan minuman manis dan tak berapa nak murah ni. Berubahlah kepada pilihan minuman yang lebih sihat seperti jus atau pun smoothies homemade dan juga air putih. Ia bukan sahaja lebih sihat, tetapi poket juga lebih sihat.

7. Saluran TV Berbayar

Langganan TV berbayar boleh mencecah lebih daripada RM100 bergantung kepada pakej yang kita pilih. Secara jujurnya, jika difikirkan balik, berapa jam yang kita habiskan sehari untuk menonton TV? Adakah ianya berbaloi dengan duit yang kita bayar setiap bulan?

Sekiranya kita jarang menonton TV, buat apa nak bazirkan duit dengan melanggan pakej TV berbayar?

Sumber Rujukan:

https://www.comparehero.my

Memang Banyak Pembaziran Yang Dilakukan Tanpa Kita Sedari

Kalau kita kira jumlah yang kita perlu bayar untuk semua perkara di atas, ianya mungkin mencecah ribuan ringgit setahun! Jumlah ini jika dikumpulkan dapat digunakan untuk keperluan lain yang lebih penting lagi. Jadi, pilihlah untuk menjadi pengguna bijak.

Jangan bazirkan wang untuk perkara yang tidak perlu. Baca juga Bagaimana Membezakan Antara Keperluan Dan Kehendak?

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

135 Bilion Nilai Aset Digital Mungkin Beku?

Risiko dalam Dunia Kewangan Digital

Dalam era baru transformasi digital yang pesat hari ini, rakyat Malaysia telah diperkenalkan dengan pelbagai platform kewangan digital. Dari e-wallet hingga akaun pelaburan atas talian, kita menyimpan sebahagian besar kekayaan kita dalam bentuk digital. Namun, di sebalik perkembangan teknologi ini, tersembunyi satu risiko yang jarang kita bincangkan iaitu apa akan terjadi kepada aset digital kita apabila kita tiada?

RM135 Bilion: Satu Angka yang Membimbangkan

Menurut anggaran firma perakaunan PwC, menjelang tahun 2030, nilai transaksi digital akan menjangkau angka RM135 bilion oleh rakyat Malaysia. Jumlah ini merangkumi baki dalam e-wallet, akaun pelaburan digital, mata wang kripto, dan pelbagai transaksi kewangan yang berlaku dalam platform digital atas talian yang semakin popular dalam kalangan rakyat Malaysia.

Angka ini bukan sekadar statistik tetapi ia juga berkait dengan simpanan keluarga, pelaburan masa depan anak-anak, dan hasil titik peluh bertahun-tahun yang mungkin hilang begitu sahaja kerana ketiadaan perancangan yang sewajarnya.

Mengapa Aset Digital Berbeza?

Tidak seperti aset fizikal atau akaun bank tradisional, aset digital menghadapi cabaran unik:

Ketiadaan Dokumen Fizikal. Tiada buku bank, tiada sijil saham fizikal – hanya data dalam simpanan awan (cloud storage) yang dilindungi oleh kata laluan dan pengesahan dua faktor.

Sistem Sekuriti. Sistem sekuriti akaun yang direka untuk melindungi kita semasa hidup daripada akses orang tidak dikenali menjadi penghalang terbesar kepada waris selepas kematian.

Pelbagai Platform. Rata-rata rakyat Malaysia menggunakan 3-5 platform kewangan digital yang berbeza. Tanpa dokumentasi yang jelas, waris mungkin tidak tahu kewujudan aset-aset ini.

Proses Tuntutan Platform yang Pelbagai. Setiap platform mempunyai prosedur tersendiri untuk tuntutan waris, dan tidak semua mempunyai mekanisme yang jelas atau mesra pengguna.

Realiti di Malaysia

Situasi di Malaysia menjadi lebih rumit dengan beberapa faktor:

Kesedaran yang masih rendah tentang pentingnya perancangan harta pusaka digital di kalangan rakyat Malaysia. Ramai yang masih menganggap perancangan harta pusaka hanya untuk mereka yang mempunyai aset yang besar atau umur yang lanjut.

Ketiadaan dokumentasi yang sistematik – majoriti pengguna tidak menyimpan rekod lengkap tentang platform digital yang mereka gunakan. Termasuk rata-rata tidak berkongsi maklumat apatah lagi akses platform kewangan dengan yang tersayang.

Kelewatan dalam proses tuntutan pusaka tradisional yang boleh mengambil masa bertahun-tahun, sementara aset digital mungkin mempunyai tarikh luput atau tertakluk kepada dasar akaun tidak aktif.

Impak kepada Keluarga

Bayangkan senario ini: Seorang bapa meninggal dunia secara mengejut. Keluarganya tahu beliau aktif dalam pelaburan aset digital dan mempunyai baki yang signifikan dalam e-wallet yang digunakan bagi membuat belian di platform e-commerce seperti Shopee dan Grab. Namun, mereka tidak tahu platform mana yang digunakan, tiada akses kepada kata laluan, dan tidak pasti langkah-langkah yang perlu diambil.

Proses untuk mendapatkan semula aset ini boleh mengambil masa berbulan-bulan hingga bertahun-tahun, melibatkan:

  • Mengenal pasti semua platform yang digunakan si mati
  • Mendapatkan surat kuasa mentadbir atau surat perintah probet
  • Berhubung dengan setiap platform secara individu
  • Memenuhi keperluan dokumentasi yang berbeza-beza
  • Menunggu proses verifikasi dan kelulusan

Dalam tempoh ini, keluarga yang mungkin memerlukan dana tersebut untuk perbelanjaan harian atau pendidikan anak-anak terpaksa menunggu dengan ketidakpastian.

Apakah Yang Boleh Dilakukan?

Walaupun situasi ini membimbangkan, terdapat langkah-langkah praktikal yang boleh diambil oleh setiap individu:

1. Inventori Aset Digital

Buat senarai lengkap semua platform kewangan digital yang anda gunakan – e-wallet (Touch ‘n Go eWallet, Boost, GrabPay, ShopeePay), platform pelaburan (Rakuten Trade, M+, StashAway), akaun bank dalam talian, mata wang kripto, dan lain-lain di platform pusaka digital seperti sampul.co

2. Dokumentasi Sistematik

Simpan maklumat penting (bukan kata laluan) dalam format yang selamat – nama platform, jenis akaun, anggaran nilai, dan maklumat hubungan platform.

3. Wasiat atau Hibah Digital

Pastikan wasiat atau dokumen hibah anda merangkumi aset digital dengan jelas. Sebutkan platform-platform spesifik dan berikan arahan yang jelas.

4. Penama Penerima

Gunakan kemudahan penama benefisiari jika disediakan oleh platform. Ini boleh mempercepatkan proses tuntutan.

5. Berkomunikasi dengan Keluarga

Maklumkan kepada ahli keluarga atau wakil yang dipercayai tentang kewujudan aset digital anda tanpa perlu berkongsi kata laluan.

6. Semak Semula Secara Berkala

Kemas kini dokumentasi anda setiap 6-12 bulan kerana platform dan aset digital berubah dengan kerap.

Kesimpulan

RM135 bilion bukanlah sekadar angka – ia adalah peringatan tentang keperluan mendesak untuk kita semua mengambil perancangan harta pusaka digital dengan serius. Dalam usaha kita merangkul kemudahan teknologi digital, janganlah kita lupa untuk melindungi masa depan orang tersayang.

Perancangan harta pusaka bukan lagi sesuatu yang boleh ditangguhkan sehingga usia tua. Dalam dunia digital hari ini, ia menjadi satu tanggungjawab bagi setiap individu yang mempunyai aset digital, tidak kira umur atau jumlah kekayaan.

Mulakan hari ini. Dokumentasikan aset digital anda. Buat perancangan yang sesuai. Pastikan kerja keras anda tidak sia-sia dan orang tersayang anda terlindung.

Kerana aset digital yang tidak dirancang bukan sahaja menjadi beku, ia menjadi kehilangan kekal yang boleh dielakkan.


Penafian: Artikel ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran umum dan tidak sepatutnya dianggap sebagai nasihat undang-undang atau kewangan. Pembaca digalakkan untuk mendapatkan nasihat profesional yang sesuai dengan situasi peribadi mereka.


Artikel ini dibawa kepada anda oleh Sampul Sdn Bhd. Artikel ini diterbitkan bersama MajalahLabur untuk membantu jenama bercerita melalui kandungan berkualiti.