7 Sebab Ramai Orang Gagal Bab Kewangan

Formula nak berjaya mengurus kewangan ini mudah saja. Hidup di bawah kemampuan, simpan lebihan duit, laburkan duit setelah cukup tabung kecemasan. Tapi kenapa masih ramai yang gagal menguruskannya?

Namun statistik sendiri mengatakan bahawa 75% rakyat Malaysia tidak ada simpanan sebanyak RM1,000 dan ini semestinya membimbangkan.

Jom kita lihat beberapa sebab mengapa gagal urus wang penting untuk anda ambil tahu.

1. Kurangnya Ilmu Pengetahuan

Punca utama adalah kurangnya ilmu berkenaan pengurusan kewangan. Setiap kali dapat gaji saja, mesti duit habis. Silap haribulan, kita terpaksa pula meminjam untuk mengharungi kehidupan.

Kita pun tak tahu berapa banyak kita perlu asingkan daripada gaji untuk simpanan, berapa untuk perlindungan, berapa untuk pelaburan. Dan kesilapan utama adalah kita sangka bahawa untuk bersara nanti, sekadar duit simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sudah mencukupi.

Oleh itu, rajinkanlah diri untuk menuntut ilmu yang betul. Carilah mentor yang dapat membantu.

Tak tahu nak follow siapa? Baca Senarai Sifu-Sifu Saham & Kewangan Di Malaysia dan Follow 5 Akaun Instagram Ini Untuk Kandungan Terbaik Tentang Kewangan.

2. Kurangnya Berkorban

Kalau tadi ilmu tiada, tapi bila dah ada ilmu – tindakan pula tiada. Pengorbanan yang dimaksudkan adalah daripada segi nafsu membeli barang yang tidak penting, tiada disiplin untuk menyimpan dan sebagainya.

Pengorbanan adalah penting dalam pengurusan kewangan. Jangan sesekali takut untuk berkorban biarpun terpaksa menahan daripada membeli sesuatu yang kita minat.

Baca: Bagaimana Membezakan Antara Keperluan Dan Kehendak?

3. Banyak Berangan

Hati dan jiwa kita penuh dengan impian yang ingin dicapai. Nak pakai kereta ini, nak tinggal di rumah itu.

Semua impian tersebut memerlukan wang tetapi sudahkah kita berusaha untuk mencapainya? Atau sekadar angan-angan Mat Jenin?

Nak ubah hidup, perlu berani ambil risiko. Belajarlah ilmu dan skil baru, bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga untuk keluarga.

4. Bertangguh Dalam Menyimpan

Perkara paling asas dalam pengurusan kewangan adalah menyimpan. Sekiranya perbelanjaan dan pendapatan sama setiap bulan, mana duit yang akan disimpan?

Lebih parah apabila perbelanjaan mengatasi simpanan, hutang pula semakin bertambah. Ianya akan berlarutan selagi kita tak dapat kawal nafsu dan selagi kita tak tahu nak bezakan di antara keperluan dan kehendak.

Maka kurangkanlah perbelanjaan dan mulakan simpanan hari ini juga.

5. Matlamat Yang Tak Jelas

Tidak mempunyai matlamat yang jelas adalah salah satu punca kenapa kita gagal untuk mengurus wang dengan baik.

Mula dengan sekecil-kecil berapa simpanan kita perlu buat setiap bulan sehinggalah ke berapa duit yang diperlukan untuk bayar downpayment rumah dan berapa sasaran tabung persaraan bila nak pencen nanti.

Bila dah ada matlamat, senang untuk kita periksa dan perbaiki kelemahan yang ada.

6. Hutang Yang Tinggi

Orang kita memang suka berhutang. Dengan kemudahan kad kredit, maka lagi senang untuk kita berhutang.

Kalau nak tahu, Kakitangan Kerajaan Belanja Lebih Daripada 1/2 Gaji Untuk Bayar Hutang.

Sedar tak sedar, hutang semakin banyak. Bayar pula hanya yang minima setiap bulan.

Kalau hutang baik seperti beli rumah takpe juga, ini hutang jahat seperti kad kredit dan pembiayaan peribadi.

Ia berbalik kepada poin #2 tadi, iaitu kita perlu banyak berkorban.

Baca: Hutang Dengan Kadar Faedah Tinggi Atau Rendah, Yang Mana Perlu Settle Dahulu?

7. Tak Pandai Melabur

Akhir sekali, bila dah ada simpanan yang cukup, kita gagal untuk melabur dengan baik. Tidak pandai melabur adalah perkara yang biasa. Namun yang menjadi masalahnya adalah kita tidak mahu belajar.

Ada banyak tempat pelaburan yang kita boleh ceburi, ada yang berisiko tinggi dengan potensi pulangan yang tinggi, ada juga yang berisiko rendah. Ada yang perlu modal besar, ada yang perlu modal kecil, ada juga yang boleh guna wang dalam simpanan KWSP.

Baca: 6 Pelaburan Yang Boleh Kita Mula Dengan Modal RM100

Tiada satu pun pelaburan yang sempurna, seeloknya kita pelbagaikan portfolio yang kita ada.

Apa-apa pun, mula dengan pelaburan ke dalam ilmu terlebih dahulu.

Sumber Rujukan:

Asingkan sedikit pendapatan anda dan tukarkan kepada bentuk emas. Kaedah termudah dan termurah di Malaysia buat masa ini bagi sesiapa nak simpan emas. Tak perlu 1 gram pun, minimum 0.25 gram. Boleh mulakan simpanan emas patuh syariah dengan KAB Gold.

Pada tahun 2020 yang lalu, kami telah pun menghasilkan buku sulung yang bertajuk ‘Malaysia Melabur: 10 Benda Kita Kena Tahu’. Sambutannya begitu menggalakkan sehingga buku ini terpilih sebagai Top 10 di MPH dalam kategori Malay Non-Fiction bagi tahun 2020.

Alhamdulillah, terkini kami berjaya terbitkan pula buku ‘Malaysia Melabur Saham’.

Kenapa Perlu Baca Buku Ini?

Pastinya anda selalu terdengar atau terbaca tentang peluang menambahkan pendapatan di pasaran saham patuh syariah di Bursa Malaysia.

Jika anda benar-benar berminat untuk terlibat tetapi masih belum memulakan langkah pertama, buku ini teramat sesuai.

Ianya ringkas, padat dan sarat dengan contoh-contoh berbentuk grafik.

Kenapa Kena Miliki Buku Ini?

Tak semua orang boleh belajar menerusi video, jadi boleh baca buku ini di masa lapang. Nak Google semua artikel pun memakan masa. Sebab itu buku ini telah terjual lebih daripada 2,000 naskah!

Kami faham ramai nak mula melabur saham, tapi nak tahu dulu asasnya?

Tak sempat nak belajar secara face-to-face, jom mulakan dengan membaca buku ini.

Senang faham sebab buku ini penuh dengan gambar dan contoh-contoh.

Ditulis oleh mereka yang berpengalaman, kita sama-sama belajar sampai faham.

TERKINI: Miliki Buku Malaysia Melabur Saham di Shopee

Previous ArticleNext Article

Banyak Keistimewaan Jadi Miskin di Malaysia?

Jangan salah faham. Menjadi miskin bukanlah satu keistimewaan. Tetapi di Malaysia, golongan berpendapatan rendah dan keluarga yang benar-benar memerlukan memang mempunyai akses kepada pelbagai bentuk bantuan kerajaan.

Antaranya:

1. STR – Sumbangan Tunai Rahmah
Bantuan tunai kepada golongan yang memenuhi syarat pendapatan dan kategori ditetapkan.

2. SARA – Sumbangan Asas Rahmah
Bantuan untuk membeli barangan keperluan asas menggunakan MyKad.

Penerima STR 2026 yang telah disahkan daripada data Miskin Tegar dan Miskin eKasih layak SARA 2026 berjumlah RM200 / RM150 / RM100 setiap bulan bagi tempoh 12 bulan (Januari 2026 – Disember 2026).

3. Bantuan perumahan
Ada skim seperti Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Mesra Rakyat (RMR), selain skim sewaan atau subsidi tertentu untuk keluarga berpendapatan rendah.

Keluarga berpendapatan kasar isi rumah sehingga RM3,000, belum memiliki rumah dan memenuhi syarat boleh memohon PPR.

4. Rumah Mesra Rakyat (RMR)

Ini berbeza dengan PPR.

Contoh:
Keluarga berpendapatan rendah mempunyai tanah sendiri tetapi belum mempunyai rumah yang sesuai boleh melihat kelayakan RMR.

Antara syarat yang dinyatakan SPNB ialah pendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,000 dan pemohon/pasangan tidak mempunyai rumah sendiri atau mempunyai rumah yang usang/tidak sempurna. Tanah yang sesuai juga diperlukan.

Cara mohon:
Permohonan dibuat melalui SPNB dan dokumen berkaitan tanah, pendapatan serta maklumat keluarga perlu disediakan.

5. Bantuan JKM
Ini antara yang ramai tak tahu sebab bantuan JKM bukan satu jenis sahaja.

Contohnya terdapat bantuan berkaitan kanak-kanak, warga emas, OKU, penjagaan dan keadaan keluarga tertentu.

Cara mohon:
Permohonan boleh dibuat melalui sistem eBantuan JKM bagi negeri yang menyokong permohonan dalam talian, kemudian pemohon perlu hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah bersama dokumen sokongan.

Terdapat pelbagai skim mengikut keadaan penerima, termasuk bantuan kanak-kanak, warga emas dan bantuan am.

6. Bantuan Kesihatan – mySalam

Skim Perlindungan B40 merupakan Skim Perlindungan Takaful PERCUMA yang disediakan oleh kerajaan kepada komuniti B40 di Malaysia. Skim ini bernaung di bawah kelolaan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) melalui Tabung Amanah mySalam dan diuruskan sepenuhnya oleh Syarikat Great Eastern Takaful Berhad.

Bagi penerima yang layak pada 2026, mySalam menyediakan manfaat seperti hospitalisasi sehingga RM700 setahun dan RM8,000 untuk penyakit kritikal yang dilindungi, tertakluk kepada syarat skim.

Cara mohon:
Semak kelayakan di Portal mySalam. Jika layak dan berlaku kejadian yang dilindungi, tuntutan dibuat secara dalam talian dengan memuat naik dokumen seperti nota discaj atau borang doktor.

7. Bantuan pendidikan
Bantuan yuran, tuisyen, biasiswa dan pelbagai bentuk sokongan pendidikan disediakan secara bersasar untuk keluarga yang memerlukan.

  • BAP (Bantuan Awal Persekolahan) → bantuan tunai RM150 seorang murid untuk murid yang layak.
  • RMT (Rancangan Makanan Tambahan) → murid yang layak mendapat makanan pada setiap hari persekolahan; KPM menetapkan sehingga 190 hari setahun.
  • KWAPM (Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin) → bantuan khusus untuk membantu murid miskin supaya tidak tercicir daripada persekolahan.
  • BKP (Biasiswa Kecil Persekutuan) → antara bantuan kewangan pendidikan yang disenaraikan KPM untuk murid yang memenuhi syarat.
  • Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (EMBPK) → bantuan khusus untuk murid yang memenuhi syarat berkaitan pendidikan khas.

8. Bantuan zakat
Bagi orang Islam yang layak, boleh memohon bantuan daripada institusi zakat negeri masing-masing.

Contohnya bantuan boleh melibatkan:

  • sara hidup
  • pendidikan
  • perubatan
  • sewa/rumah
  • bantuan kecemasan
  • modal perniagaan

Cara mohon:
Bergantung kepada negeri. Contohnya di Selangor, permohonan dibuat melalui saluran rasmi institusi zakat negeri dan biasanya memerlukan dokumen pendapatan, tanggungan, tempat tinggal dan dokumen sokongan berkaitan.

9. Bantuan pekerjaan & latihan
Kerajaan juga menyediakan program pekerjaan dan latihan kemahiran untuk membantu golongan berpendapatan rendah meningkatkan pendapatan.

MYFutureJobs
Portal pekerjaan nasional yang dikendalikan PERKESO. Boleh cari kekosongan kerja, daftar sebagai pencari kerja dan dapatkan khidmat padanan pekerjaan.

TVET
Kalau nak belajar kemahiran seperti automotif, elektrik, kimpalan, penyelenggaraan, teknologi dan sebagainya, boleh semak institusi TVET kerajaan dan permohonan melalui UP_TVET.

HRD Corp
Terdapat pelbagai program peningkatan kemahiran dan latihan pekerjaan, bergantung kepada program serta kelayakan peserta.

Program penempatan pekerjaan PERKESO
PERKESO juga menjalankan program padanan pekerjaan, karnival kerjaya dan penempatan pencari kerja dengan majikan.

10. Bantuan membaiki atau membina rumah
Program bantuan perumahan turut merangkumi pembinaan baharu dan baik pulih rumah, khususnya bagi isi rumah miskin tegar.

Contoh 1 : Program Baik Pulih Rumah Daif di Bandar

KPKT ada Program Baik Pulih Rumah Daif di Bandar untuk isi rumah yang memenuhi syarat kemiskinan, termasuk yang disahkan dalam eKasih.

Contohnya rumah mengalami:

  • bumbung rosak
  • kerosakan akibat banjir/ribut/kebakaran
  • kerosakan kecil kerana faktor usia
  • keadaan rumah yang tidak lagi selesa tetapi masih ekonomik untuk dibaiki

Kadar bantuan maksimum yang dinyatakan KPKT ialah RM13,000 di Semenanjung dan RM15,000 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

11. Bantuan / inisiatif sewa rumah mengikut negeri

  • Selangor → Skim Smart Sewa – sewa pada kadar berpatutan + 30% bayaran sewa boleh dikumpulkan untuk membantu pemilikan rumah.
  • Johor → Bantuan Sewa Rumah Perumahan Kasih Johor – bantuan RM2,500 kepada penerima yang layak. Antara penambahbaikan yang diperluaskan bagi Bantuan Sewa Rumah ialah syarat kelayakan dengan membuka peluang kepada pelajar IPTA/IPTS di Negeri Johor untuk memohon.
  • Sarawak → Skim Bantuan Sewa Rumah (SRAS) – bantuan sewa untuk isi rumah yang memenuhi syarat.
  • Perak → Skim Bantuan Sewa Rumah MAIPk – bantuan sewa sehingga RM500 sebulan untuk asnaf yang layak.

12. Nak berniaga tetapi perlukan bantuan

Contohnya di Selangor:

  • Dana Usahawan Madani Selangor menyediakan bantuan dalam bentuk mesin dan peralatan perniagaan sehingga RM30,000, tertakluk kepada syarat kelayakan. Ini geran bukan pinjaman. Tetapi setiap program ada syarat, kategori penerima dan tempoh permohonan tersendiri.
  • Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor menyediakan bantuan berbentuk mesin dan peralatan kepada usahawan kecil bernilai sehingga RM10,000. Program ini merupakan salah satu usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk meningkatkan taraf ekonomi peniaga kecil melalui pemberian bantuan peralatan atau mesin berdasarkan perniagaan yang sedang dijalankan.

Jadi, betul ke “banyak keistimewaan jadi miskin”?

Banyak bantuan disediakan untuk mereka yang berada dalam keadaan miskin atau berpendapatan rendah. Dan bantuan ini bukan bermaksud hidup mereka lebih mudah.

Sebab di sebalik setiap bantuan itu ada satu perkara yang kita selalu terlupa:

Miskin tetap bermaksud mempunyai sumber kewangan yang terhad.

Bantuan kerajaan mungkin meringankan beban, tetapi tidak semestinya mengubah kehidupan seseorang menjadi senang.

Bantuan ialah jaring keselamatan. Bukan tiket untuk hidup mewah.

Bantuan ini diwujudkan untuk membantu mereka yang layak. Gunakan bantuan sebagai ruang untuk meringankan beban, bukan untuk mengambil kesempatan.

Dan jangan lupa, Islam juga mengajar kita untuk berusaha mencari rezeki.

Rasulullah SAW bersabda:

“Tidaklah seseorang makan makanan yang lebih baik daripada hasil kerja tangannya sendiri.”
— Riwayat al-Bukhari