7 Tips Untuk Elak Boros Berbelanja

Bila jalan-jalan mata terpandang itu ini, terasa macam semua pun kita nak beli. Kadang-kadang tak perlu keluar rumah pun, tapi aplikasi membeli-belah di dalam telefon pintar pun kita boleh tergoda untuk membeli tanpa kita sedari.

Memang agak sukar untuk kita mengelakkan diri daripada berbelanja. Ada juga golongan yang menjadi ketagih untuk berbelanja tak kira masa.

Untuk pengetahuan anda, penyakit boros ini takkan hilang dengan sendirinya selagi kita tidak mampu mengawal diri.

Jom kami kongsikan 7 tips untuk elak daripada boros berbelanja.

1. Pinjam Barang Yang Diperlukan

Sekiranya anda memerlukan sesuatu barang dalam masa yang singkat, anda boleh meminjamnya daripada kawan atau jiran. Tidak semestinya anda perlu membeli.

Sekiranya anda membeli, pasti akan membeli barang-barang yang lain pula nanti. Sedangkan barang yang diperlukan itu hanya ingin digunakan sekali dan tidak terlalu penting.

2. Berbelanja Mengikut Senarai Yang Dibuat

Sekiranya anda membeli-belah barangan yang diperlukan untuk rumah atau diri sendiri, pastikan anda berbelanja mengikut senarai yang telah dibuat. Jadi, anda akan mengelakkan diri dari terlebih berbelanja atau boros.

Jika boleh, bawa jumlah wang yang diperuntukkan untuk barang yang ada dalam senarai sahaja. Kesannya, anda hanya membeli apa yang perlu dan tidak membazir dengan perkara yang tidak penting.

3. Dapatkan Barangan Secara Percuma

Sebenarnya terdapat pemberian barangan percuma yang boleh didapati di dalam internet yang boleh anda dapatkan. Maka anda tak perlu boros berbelanja pun, anda sudah dapat merasa benda percuma.

Di antara contoh barang percuma yang boleh didapatkan dari internet adalah seperti sampel produk kecantikan, t-shirt, sample susu dan sebagainya.

4. Tunggu Sekurang-kurangnya Sehari Sebelum Membuat Pembelian

Apabila anda mempunyai keinginan untuk berbelanja, pastikan anda menunggu sekurang-kurangnya sehari sebelum membeli. Dalam tempoh tersebut, anda boleh fikir dengan lebih tenang sama ada barangan tersebut sememangnya diperlukan ataupun tidak.

Kadang kala, dengan menunggu terlebih dahulu, anda mungkin akan mengubah fikiran untuk tidak membelinya. Atau membuat perbandingan dan mencari alternatif lain yang lebih murah.

Tips ini sangat berkesan terutamanya untuk mereka yang suka membeli secara online dan semua benda pun nak Add to Cart.

5. Makan Masakan Dari Rumah

Makan masakan dari rumah juga dapat mengelakkan diri daripada boros berbelanja. Dengan memasak, ia akan mengurangkan kekerapan anda mengunjungi kedai makan dan menghabiskan wang untuk membeli makanan di luar.

Sekiranya bekerja di luar, anda boleh sediakan bekal dari rumah untuk lebih jimat.

6.  Buat Sendiri

Bagi mengelakkan berbelanja dengan boros, anda boleh sibukkan diri dengan melakukan hal-hal lain. Jika keluar rumah menyebabkan anda berbelanja dengan boros, lebihkan banyak masa di rumah.

Banyak aktiviti yang boleh dibuat seperti mengemas, basuh baju, bercucuk tanam dan sebagainya. Tak perlu upah orang lain jika anda buat semua dengan sendirinya.

Bukan sahaja boleh elak daripada boros berbelanja tetapi menyihatkan badan.

7.  Elakkan Kad Kredit

Sekiranya anda ingin buang sikap boros berbelanja, maka elakkan penggunaan kad kredit sekiranya tak mampu nak kawal diri. Dengan cara ini, anda tidak akan boros berbelanja kerana kewangan anda akan menjadi terhad disebabkan penggunaan wang tunai.

Baca 7 Perkara Penting Yang Perlu Anda Tahu Sebelum Swipe Kad Kredit

Tanpa wang tunai, anda tidak dapat membeli barang. Justeru, anda juga cenderung untuk berjimat cermat.

Kesimpulannya, tips-tips elak boros berbelanja ini sememangnya memerlukan sedikit masa dan dedikasi untuk mengubah sikap suka berbelanja anda selama ini.

Sumber Rujukan: My Money Coach

Previous ArticleNext Article

135 Bilion Nilai Aset Digital Mungkin Beku?

Risiko dalam Dunia Kewangan Digital

Dalam era baru transformasi digital yang pesat hari ini, rakyat Malaysia telah diperkenalkan dengan pelbagai platform kewangan digital. Dari e-wallet hingga akaun pelaburan atas talian, kita menyimpan sebahagian besar kekayaan kita dalam bentuk digital. Namun, di sebalik perkembangan teknologi ini, tersembunyi satu risiko yang jarang kita bincangkan iaitu apa akan terjadi kepada aset digital kita apabila kita tiada?

RM135 Bilion: Satu Angka yang Membimbangkan

Menurut anggaran firma perakaunan PwC, menjelang tahun 2030, nilai transaksi digital akan menjangkau angka RM135 bilion oleh rakyat Malaysia. Jumlah ini merangkumi baki dalam e-wallet, akaun pelaburan digital, mata wang kripto, dan pelbagai transaksi kewangan yang berlaku dalam platform digital atas talian yang semakin popular dalam kalangan rakyat Malaysia.

Angka ini bukan sekadar statistik tetapi ia juga berkait dengan simpanan keluarga, pelaburan masa depan anak-anak, dan hasil titik peluh bertahun-tahun yang mungkin hilang begitu sahaja kerana ketiadaan perancangan yang sewajarnya.

Mengapa Aset Digital Berbeza?

Tidak seperti aset fizikal atau akaun bank tradisional, aset digital menghadapi cabaran unik:

Ketiadaan Dokumen Fizikal. Tiada buku bank, tiada sijil saham fizikal – hanya data dalam simpanan awan (cloud storage) yang dilindungi oleh kata laluan dan pengesahan dua faktor.

Sistem Sekuriti. Sistem sekuriti akaun yang direka untuk melindungi kita semasa hidup daripada akses orang tidak dikenali menjadi penghalang terbesar kepada waris selepas kematian.

Pelbagai Platform. Rata-rata rakyat Malaysia menggunakan 3-5 platform kewangan digital yang berbeza. Tanpa dokumentasi yang jelas, waris mungkin tidak tahu kewujudan aset-aset ini.

Proses Tuntutan Platform yang Pelbagai. Setiap platform mempunyai prosedur tersendiri untuk tuntutan waris, dan tidak semua mempunyai mekanisme yang jelas atau mesra pengguna.

Realiti di Malaysia

Situasi di Malaysia menjadi lebih rumit dengan beberapa faktor:

Kesedaran yang masih rendah tentang pentingnya perancangan harta pusaka digital di kalangan rakyat Malaysia. Ramai yang masih menganggap perancangan harta pusaka hanya untuk mereka yang mempunyai aset yang besar atau umur yang lanjut.

Ketiadaan dokumentasi yang sistematik – majoriti pengguna tidak menyimpan rekod lengkap tentang platform digital yang mereka gunakan. Termasuk rata-rata tidak berkongsi maklumat apatah lagi akses platform kewangan dengan yang tersayang.

Kelewatan dalam proses tuntutan pusaka tradisional yang boleh mengambil masa bertahun-tahun, sementara aset digital mungkin mempunyai tarikh luput atau tertakluk kepada dasar akaun tidak aktif.

Impak kepada Keluarga

Bayangkan senario ini: Seorang bapa meninggal dunia secara mengejut. Keluarganya tahu beliau aktif dalam pelaburan aset digital dan mempunyai baki yang signifikan dalam e-wallet yang digunakan bagi membuat belian di platform e-commerce seperti Shopee dan Grab. Namun, mereka tidak tahu platform mana yang digunakan, tiada akses kepada kata laluan, dan tidak pasti langkah-langkah yang perlu diambil.

Proses untuk mendapatkan semula aset ini boleh mengambil masa berbulan-bulan hingga bertahun-tahun, melibatkan:

  • Mengenal pasti semua platform yang digunakan si mati
  • Mendapatkan surat kuasa mentadbir atau surat perintah probet
  • Berhubung dengan setiap platform secara individu
  • Memenuhi keperluan dokumentasi yang berbeza-beza
  • Menunggu proses verifikasi dan kelulusan

Dalam tempoh ini, keluarga yang mungkin memerlukan dana tersebut untuk perbelanjaan harian atau pendidikan anak-anak terpaksa menunggu dengan ketidakpastian.

Apakah Yang Boleh Dilakukan?

Walaupun situasi ini membimbangkan, terdapat langkah-langkah praktikal yang boleh diambil oleh setiap individu:

1. Inventori Aset Digital

Buat senarai lengkap semua platform kewangan digital yang anda gunakan – e-wallet (Touch ‘n Go eWallet, Boost, GrabPay, ShopeePay), platform pelaburan (Rakuten Trade, M+, StashAway), akaun bank dalam talian, mata wang kripto, dan lain-lain di platform pusaka digital seperti sampul.co

2. Dokumentasi Sistematik

Simpan maklumat penting (bukan kata laluan) dalam format yang selamat – nama platform, jenis akaun, anggaran nilai, dan maklumat hubungan platform.

3. Wasiat atau Hibah Digital

Pastikan wasiat atau dokumen hibah anda merangkumi aset digital dengan jelas. Sebutkan platform-platform spesifik dan berikan arahan yang jelas.

4. Penama Penerima

Gunakan kemudahan penama benefisiari jika disediakan oleh platform. Ini boleh mempercepatkan proses tuntutan.

5. Berkomunikasi dengan Keluarga

Maklumkan kepada ahli keluarga atau wakil yang dipercayai tentang kewujudan aset digital anda tanpa perlu berkongsi kata laluan.

6. Semak Semula Secara Berkala

Kemas kini dokumentasi anda setiap 6-12 bulan kerana platform dan aset digital berubah dengan kerap.

Kesimpulan

RM135 bilion bukanlah sekadar angka – ia adalah peringatan tentang keperluan mendesak untuk kita semua mengambil perancangan harta pusaka digital dengan serius. Dalam usaha kita merangkul kemudahan teknologi digital, janganlah kita lupa untuk melindungi masa depan orang tersayang.

Perancangan harta pusaka bukan lagi sesuatu yang boleh ditangguhkan sehingga usia tua. Dalam dunia digital hari ini, ia menjadi satu tanggungjawab bagi setiap individu yang mempunyai aset digital, tidak kira umur atau jumlah kekayaan.

Mulakan hari ini. Dokumentasikan aset digital anda. Buat perancangan yang sesuai. Pastikan kerja keras anda tidak sia-sia dan orang tersayang anda terlindung.

Kerana aset digital yang tidak dirancang bukan sahaja menjadi beku, ia menjadi kehilangan kekal yang boleh dielakkan.


Penafian: Artikel ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran umum dan tidak sepatutnya dianggap sebagai nasihat undang-undang atau kewangan. Pembaca digalakkan untuk mendapatkan nasihat profesional yang sesuai dengan situasi peribadi mereka.


Artikel ini dibawa kepada anda oleh Sampul Sdn Bhd. Artikel ini diterbitkan bersama MajalahLabur untuk membantu jenama bercerita melalui kandungan berkualiti.