8 Tips Nak Beli Kereta Terpakai

Membeli kereta terpakai sebenarnya berbaloi. Tapi tak ramai yang tahu bagaimana cara untuk memilih kereta yang masih lagi dalam kondisi baik.

Tips ini dikongsikan oleh Irwan Sanei pemilik Tweak Automotive iaitu syarikat pengimport kereta terpakai.  

Ada sahabat yang baru mahu berjinak-jinak dengan high-end sportscar. Dia bukan enthusiast jenama dan diehard motorhead. Sekadar mahu “rasa”. Saya rekomenkan 2007 997 Porsche 911 Carrera S full GT3-exterior dengan harga RM190,000 OTR.

Kereta terpakai jika kena gaya membeli, memang menang memakai. Untung. Bayangkan 2007 E60 BMW M5 harga baru RM800K++ sekarang susut nilai sehingga RM100K++ sahaja. E46 M3 dah di bawah RM100K, E92 M3 RM150K dan model-model AMG pun sudah mampu milik. Harga 2008 R35 GT-R pun akan karam di bawah paras RM200K tak lama lagi. 

Tetapi adakah hanya harga semasa menjadi kayu ukur dan sandaran memilih kereta terpakai idaman anda? Ada banyak faktor yang harus diambil kira sebelum membuat keputusan.

Photo by Pixabay from Pexels

1. Tahu Apa Anda Mahu

Year make, make, model dan varian – mahu apa? Hati biar teguh tidak berbolak-balik kerana membeli kereta umpama meminang suri jiwa. Jangan ada keraguan sedikit pun. 

2. Harga

Kaji selidik harga semasa model khusus yang dicari supaya kita faham mahal atau murah harga yang ditawarkan. 

3. Kondisi

Mileage? Stock standard atau modified? Light tuned atau heavy tuned? Rujuk rekod adakah diselenggara berjadual dengan teliti? Wear & tear? Sudahkah major parts ditukar? Sejarah kemalangan, jika ada?

Minor accident atau sekadar klip bumper patah atau lampu pecah. Chassis bengkok? Ambil tahu semua. B5 Puspakom kadang-kadang gagal mengenalpasti secara terperinci mengenai chassis kecuali yang dipotong-sambung sahaja. 

4. Dokumen

Jika kenderaan CBU import, pastikan dokumen-dokumen kenderaan lengkap seperti Geran, AP JK69 & Cukai K1 Kastam. 

5. View Di Siang Hari Di Tempat Terbuka

Jangan dibuat di waktu malam atau di tempat tertutup kurang cahaya. Anda mungkin terlepas pandang paintwork yang rosak atau dent halus, calar di rims atau cermin yang ada serpihan kecil dan interior yang pudar atau rosak. 

6. Pandu Uji (Test Drive)

Minta izin jika dibenarkan. Ambil “feel”. Bergantung kepada pengalaman, anda akan dapat rasa kekurangan jika kereta dipandu uji. Semua parts bergerak termasuk enjin dan transmisi, driveshaft dan steering rack, brek disk dan suspensi atau segala electronic-assist jika mempunyai defect, akan ditunjukkan di dash meter kerana kesemua kereta moden pasca tahun 2000an diselia sensor belaka. 

7. Fungsi Elektrikal / Elektronik

Lampu, wiper, signal, seat, side mirror, sunroof, radio/CD player, aircon & GPS – pastikan ianya berfungsi dan dalam keadaan yang baik. 

8. Interior dan Exterior (Luaran dan Dalaman)

Keadaan fizikal luar dan dalam seperti central locking, upholstery wrap, kulit atau fabrik seat dan door trim, karpet, arm rest, meter dan body & paintwork luar. 

Nota: Jangan harap kereta terpakai yang berdiskaun dijual di dalam keadaan baru seperti di galeri pameran. Berkompromi dengan sedikit cacat (yang minor boleh dimaafkan). Jika sudah ditanda kesemua senarai-semak ini, dan anda sudah arif dengan range harga model yang dipilih, hustle untuk sedikit diskaun.

Photo by Gratisography from Pexels

Kenapa perlu diskaun? Kerana mungkin ada kerosakan yang belum timbul tetapi bakal muncul sejurus selepas bertukar tangan. 

Akhir sekali, memilih kereta bukan hanya kerana faktor mampu-beli termasuk dengan keupayaan membayar  ansuran bulanan. Harus diingat, kereta adalah liabiliti yang susutnilai dan mempunyai kos pegangan seperti kos selenggara berkala, kos alat ganti preventif berjadual dan wear & tear. 

Kereta memberi kelapangan tetapi adakalanya menjadi sumber migrain dan sakit dada. Kereta memberi makna kepada pemilik, bukan sekadar medium dari poin A ke B. 

Pilih dengan emosi terkawal dipandu rasional fakta dan logik akal. Kebijaksanaan juga perlu bukan hanya semata perasaan. Jika mampu, beli kereta idaman.

Ibarat bercinta dengan pasangan hati dipilih dengan sengaja. 

Kredit: Irwan Sanei

Previous ArticleNext Article
An introverted chocoholic whom happened to be involved in content curation and stock trading

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Rawatan Gigi Yang Mana Tidak Boleh Dituntut Sebagai Pelepasan Cukai?

Ramai yang tidak tahu bahawa kos rawatan pergigian sebenarnya boleh dituntut sebagai pelepasan cukai pendapatan.

Bukan setakat rawatan hospital, pemeriksaan kesihatan atau pembelian ubat-ubatan tertentu. Rawatan gigi seperti scaling, tampalan dan cabutan gigi juga termasuk dalam senarai perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai.

Pelepasan cukai bukan bermaksud kita boleh tuntut semula wang yang dibayar kepada klinik gigi. Sebaliknya, perbelanjaan yang layak akan ditolak daripada pendapatan agregat bagi mengira pendapatan bercukai.

Untuk Tahun Taksiran 2026, pembayar cukai boleh menuntut pelepasan sehingga RM1,000 bagi pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak.

Tetapi tidak semua rawatan gigi layak dituntut.

Ada yang pergi klinik gigi untuk scaling, tampalan, cabutan gigi dan pemeriksaan rutin. Ada juga yang memasang braces, membuat veneer atau menjalani rawatan pemutihan gigi.

Persoalannya, adakah semua perbelanjaan ini boleh dimasukkan dalam e-Filing?

Jawapannya, tidak.

Jom kita lihat rawatan pergigian yang perlu diberi perhatian sebelum membuat tuntutan pelepasan cukai.

1. Pemutihan gigi (Teeth Whitening)

Rawatan pemutihan gigi bertujuan menjadikan gigi kelihatan lebih putih dan menarik.

Ia lazimnya dikategorikan sebagai rawatan kosmetik dan bukannya rawatan pergigian untuk tujuan kesihatan.

Oleh itu, kos pemutihan gigi tidak boleh dituntut sebagai pelepasan cukai.

2. Pemasangan Veneer

Veneer ialah lapisan nipis yang dipasang pada permukaan hadapan gigi untuk memperbaiki warna, bentuk atau penampilan gigi.

Walaupun dilakukan oleh doktor gigi, rawatan ini lazimnya bersifat kosmetik.

Jadi, jangan anggap semua rawatan yang dilakukan di klinik pergigian secara automatik layak mendapat pelepasan cukai.

3. Rawatan Kosmetik Pergigian

Antara rawatan lain yang bertujuan semata-mata untuk memperbaiki penampilan gigi juga perlu diberi perhatian.

Contohnya:

  • Pembentukan semula gigi untuk tujuan kosmetik.
  • Rawatan estetik untuk memperbaiki senyuman.
  • Prosedur kosmetik yang tidak mempunyai indikasi perubatan.

Prinsipnya mudah: rawatan kosmetik semata-mata tidak termasuk dalam skop pelepasan rawatan pergigian.

4. Bagaimana pula dengan pemasangan pendakap gigi (braces)?

Ini antara perkara yang sering mengelirukan pembayar cukai.

Braces atau pendakap gigi digunakan untuk membetulkan kedudukan gigi dan masalah gigitan.

Walaupun rawatan ini dilakukan oleh pakar ortodontik, jangan terus menganggap kos pemasangan braces layak mendapat pelepasan cukai.

Ketetapan Umum LHDN tidak menyenaraikan braces secara khusus sebagai rawatan yang layak.

Jika rawatan mempunyai keperluan klinikal atau perubatan, dapatkan pengesahan LHDN berdasarkan keadaan sebenar rawatan sebelum membuat tuntutan.

Rawatan gigi apa yang boleh dituntut?

Antara rawatan pergigian yang termasuk dalam skop pelepasan cukai ialah:

  • Pemeriksaan pergigian.
  • Scaling dan pembersihan karang gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Cabutan gigi.

Rawatan tersebut mestilah dilakukan oleh pengamal pergigian yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC) dan disokong dengan resit rasmi.

Boleh tuntut untuk isteri dan anak-anak?

Ya sudah tentu!

Di bawah perenggan 46(1)(g)(iv), Akta Cukai Pendapatan 1967, pembayar cukai layak menuntut pelepasan bagi perbelanjaan pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk:

  • Diri sendiri.
  • Suami atau isteri.
  • Anak-anak.

Pelepasan yang dibenarkan adalah terhad kepada RM1,000 secara terkumpul, bukannya RM1,000 untuk setiap individu.

Contohnya:

Anda membelanjakan RM500 untuk scaling dan tampalan gigi sendiri, RM400 untuk rawatan gigi isteri dan RM300 untuk rawatan gigi anak.

Jumlah perbelanjaan ialah RM1,200.

Namun, jumlah maksimum yang boleh dituntut hanyalah RM1,000.

Bagaimana pula rawatan gigi untuk ibu bapa?

Ini lebih menarik.

Rawatan pergigian ibu bapa dan datuk nenek mempunyai kategori pelepasan cukai yang berbeza.

Di bawah perenggan 46(1)(c) Akta Cukai Pendapatan 1967, perbelanjaan rawatan perubatan dan pergigian ibu bapa serta datuk nenek boleh dituntut sehingga RM8,000 setahun. Ibu bapa atau datuk nenek hendaklah bermastautin di Malaysia.

Antara rawatan yang dinyatakan termasuk:

  • Cabutan gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Scaling.
  • Gigi palsu.
  • Rawatan akar (root canal).
  • Rawatan menggantikan gigi.
  • Pembaikan gigi.

Had RM8,000 ini dikongsi dengan perbelanjaan perubatan lain yang layak untuk ibu bapa dan datuk nenek.

Jangan lupa simpan resit!

Sebelum meninggalkan klinik pergigian, pastikan anda mendapatkan resit rasmi yang menyatakan jenis rawatan yang dilakukan.

Pastikan juga maklumat klinik atau doktor gigi dapat dikenal pasti.

Simpan semua resit dan dokumen sokongan selama tujuh tahun kerana LHDN boleh meminta dokumen tersebut sekiranya tuntutan dipilih untuk semakan atau audit.

Satu lagi perkara penting: jika kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh majikan atau syarikat (klinik panel), jangan tuntut semula perbelanjaan yang sama sebagai pelepasan cukai individu.

Bila tarikh akhir untuk mendapatkan pelepasan cukai?

Perbelanjaan yang dibuat dari 1 Januari hingga 31 Disember 2026 akan diambil kira untuk Tahun Taksiran 2026.

Maksudnya, jika anda memang bercadang untuk membuat pemeriksaan atau rawatan gigi, jangan tangguh sehingga tahun hadapan.

Pergi buat pemeriksaan. Kalau ada karang gigi, buat scaling. Kalau ada gigi berlubang, buat tampalan sebelum masalah menjadi lebih serius.

Ajak sekali pasangan dan anak-anak. Jangan lupa periksa keadaan gigi ibu bapa juga.

Kesimpulannya, pelepasan cukai bukan alasan untuk berbelanja secara berlebihan. Tetapi kalau memang ada keperluan rawatan, manfaatkan pelepasan yang telah disediakan oleh kerajaan.

Jaga kesihatan gigi, jaga poket dan jangan biarkan pelepasan cukai yang layak dituntut begitu sahaja.

Sumber: Ketetapan Umum No. 7/2025, Pencukaian Individu Bermastautin Bahagian I – Hadiah atau Sumbangan dan Potongan yang Dibenarkan.