Adakah Harta Yang Dimiliki Menjadikan Kita Berbangga Diri?

Kita semua pasti diuji dengan harta. Sama ada diuji kerana harta yang banyak atau diuji kerana tiada harta. Kedua-dua keadaan akan menguji status iman kita.

Walaubagaimanapun, dugaan dan ujian memiliki harta mungkin lebih berat. Kerana kita mudah dibuai dengan perasaan bangga dengan pemilikan harta dan perhiasan dunia.

Ada smartphone yang paling latest, kereta mewah yang cantik, rumah besar yang tersergam indah, duit berkepuk-kepuk dalam akaun bank dan banyak lagi harta-harta dunia yang mudah melalaikan kita.

Semoga Allah memberikan petunjuk hidayah pada kita untuk merenungkan dan memahami surah ini.

أَلْهَاكُمُ التَّكَاثُرُ (1) حَتَّى زُرْتُمُ الْمَقَابِرَ (2) كَلَّا سَوْفَ تَعْلَمُونَ (3) ثُمَّ كَلَّا سَوْفَ تَعْلَمُونَ (4) كَلَّا لَوْ تَعْلَمُونَ عِلْمَ الْيَقِينِ (5) لَتَرَوُنَّ الْجَحِيمَ (6) ثُمَّ لَتَرَوُنَّهَا عَيْنَ الْيَقِينِ (7) ثُمَّ لَتُسْأَلُنَّ يَوْمَئِذٍ عَنِ النَّعِيمِ (8)

Bermegah-megahan telah melalaikan kamu, (1) sampai kamu masuk ke dalam kubur. (2) Janganlah begitu, kelak kamu akan mengetahui (akibat perbuatanmu itu), (3) dan janganlah begitu, kelak kamu akan mengetahui. (4) Janganlah begitu, jika kamu mengetahui dengan pengetahuan yang yakin, (5) niscaya kamu benar-benar akan melihat neraka Jahiim, (6) dan sesungguhnya kamu benar-benar akan melihatnya dengan ‘ainul yaqin. (7) kemudian kamu pasti akan ditanyai pada hari itu tentang kenikmatan (yang kamu megah-megahkan di dunia itu) (8).

(Surah At Takasur: 1-8)

Ketika mentafsirkan surah ini Ibnu Kathir mengatakan;

 “Kecintaan terhadap dunia, kenikmatan dan perhiasannya telah melalaikan kalian dari mencari akhirat. Hal itu pun berlanjut dan baru berhenti ketika datang maut dan ketika berada di alam kubur saat kalian menjadi penghuni alam tersebut.”

Al Hasan Al Basri pula berkata mengenai surah ini:

“Berbangga-bangga dengan anak dan harta benar-benar telah melalaikan kalian dari ketaatan.”

Daripada tafsiran para ulama’ ini, jelaslah apa yang sering terjadi kepada kita yang mudah berbangga dengan harta dan keturunan.

Perhatikan saja keadaan kita apabila memiliki anak yang pintar, bukankah kita merasa bangga? Lalu ingin ditunjukkan kepada satu dunia tentang kepintaran anak kita.

Begitu juga keadaanya apabila kita diberikan oleh Allah rezeki yang melimpah, bagaimana keadaan kita? 

Sedarilah Semua Harta Dan Kebanggaan Akhirnya Akan Hilang

Dari Abu Hurairah, ia berkata bahwa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

يَقُولُ الْعَبْدُ مَالِى مَالِى إِنَّمَا لَهُ مِنْ مَالِهِ ثَلاَثٌ مَا أَكَلَ فَأَفْنَى أَوْ لَبِسَ فَأَبْلَى أَوْ أَعْطَى فَاقْتَنَى وَمَا سِوَى ذَلِكَ فَهُوَ ذَاهِبٌ وَتَارِكُهُ لِلنَّاسِ

Hamba berkata, “Harta-hartaku.” Bukankah hartanya itu hanyalah tiga: yang dimakan dan akan sirna, yang dipakai(digunakan) dan akan usang, yang diberi yang sebenarnya harta yang dia kumpulkan. Harta selain itu akan sirna dan diberi pada orang-orang yang ditinggalkan.

(HR. Muslim no. 2959)

Daripada hadis ini jelas Nabi memberi peringatan kepada kita tentang harta.

Hakikat harta itu sebenarnya adalah 3 perkara sahaja.

  1. Apa yang kita makan, akhirnya dia menjadi najis yang kita buang.
  2. Apa yang kita pakai dan gunakan, lama kelamaan dia menjadi buruk dan rosak.
  3. Apa yang kita sedeqahkan, inilah hakikat harta yang sebenar, harta yang sedang kita kumpulkan di akhirat.

Hadis ini sebenarnya satu peringatan penting buat kita semua, tentang bagaimana seorang yang beriman melihat harta yang hanya duduk di tangan tapi bukan di hati.

Apabila melihat angka-angka yang banyak dalam akaun bank kita, ketahuilah bukan semuanya milik kita. Di situ ada hak isteri dan anak-anak, hak ibu bapa kita, ahli keluarga dan mereka yang ada di sekeliling kita.

Sebagai contoh, ada satu hari tu kereta tiba-tiba meragam buat hal, terpaksa masuk bengkel? Mesti stress kan sebab kena keluar duit untuk urusan kecemasan yang tak disangka-sangka.

Macam mana cara nak atasinya?

Anggap sahaja ada rezeki pemilik bengkel tersebut dalam pendapatan bulan kita untuk bulan tu. Inshaallah hati lebih tenang.

Bila harta atau duit tu benar-benar dah duduk di tangan bukan di hati kita, hidup akan terasa lebih tenang. Kita akan merasakan harta yang ada pada kita sekarang, hanyalah menyinggah sahaja dan akan pergi kepada orang lain. Bila dah diniatkan sedekah, maka itulah harta sebenar yang kita sedang kumpul. Harta akhirat.

Seperti mana sabda Nabi:

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: “Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara : sedekah jariah,atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya.”

(Hadith Sahih – Riwayat Muslim)

Sedeqah jariah lah salah satu harta yang akan membantu urusan akhirat kita selepas kita meninggal dunia. Duit yang banyak, kereta berdozen dan rumah mewah tidak ada nilai langsung selepas kita mati nanti.

Cuba ubah cara pandang kita terhadap dunia.

Apa-apa yang tiada nilainya di ‘bawah’ kubur, maka tiada nilai juga di ‘atas’ kubur.

Ditulis oleh Fakhrur Radzi, seorang konsultan di sebuah firma runding perancangan harta dan urus pusaka. Mengendalikan laman web fakhrurradzi.com. Untuk sebarang pertanyaan boleh hubungi beliau di sini.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Akhirnya Ada Parti Politik Berani Tunjuk Ke Mana Duit Kempen Mereka Pergi

Parti BERSAMA sedang mendahului parti-parti lain dalam satu perkara yang jarang berlaku dalam politik Malaysia dengan mengemukakan data perbelanjaan pilihan raya kepada umum. Sumber: Malaysiakini – Bersama dedah belanja hampir RM800,000 kempen PRN Johor

Bagi sesetengah orang, mungkin ini sekadar laporan perbelanjaan kempen.

Tetapi kalau kita lihat dari sudut pelaburan dan kewangan, sebenarnya ada satu prinsip yang sangat mudah:

Kalau kita mahu orang percaya dan memberikan duit kepada kita, kita perlu bersedia untuk menunjukkan bagaimana duit itu diuruskan.

Bayangkan kita mahu melabur RM100,000 dalam sebuah syarikat.

Kita tentu mahu tahu berapa hasil syarikat, berapa kos operasi, berapa hutang, berapa keuntungan dan bagaimana pengurusan menggunakan wang syarikat.

Kalau pengurusan syarikat berkata,

“Percayalah. Kami akan urus duit dengan baik.”

Tetapi apabila kita minta penyata kewangan, mereka enggan tunjukkan, kita sendiri mungkin akan fikir dua tiga kali sebelum melabur.

Dalam pelaburan, ketelusan adalah sebahagian daripada kepercayaan.

Begitu juga dengan politik.

Dan di sinilah pendedahan BERSAMA menjadi menarik untuk diperhatikan.

Daripada jumlah perbelanjaan kepada sumber dana, rakyat diberikan peluang untuk melihat sendiri bagaimana wang kempen dikumpulkan dan dibelanjakan. Dalam penyata yang dilaporkan Malaysiakini, antara sumber dana ialah kutipan yuran keahlian, majlis makan malam pengumpulan dana dan sumbangan peribadi, manakala perbelanjaan termasuk deposit SPR, bahan kempen dan kerja pembersihan selepas kempen.

Patutkah ketelusan kewangan seperti ini menjadi satu standard baharu dalam politik Malaysia?

Menariknya, idea ketelusan kewangan politik ini bukanlah sesuatu yang baru. Pada 2012, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak sendiri pernah mencadangkan supaya semua sumbangan kepada parti politik dimasukkan ke dalam akaun rasmi parti, disertakan resit dan akaun tersebut diaudit setiap tahun.

Lebih sedekad kemudian, isu yang sama masih relevan. Bezanya, kali ini kita mula melihat parti politik mengambil langkah untuk mendedahkan sendiri data perbelanjaan pilihan raya kepada umum.

1. Rakyat adalah penyumbang kepada sistem politik

Parti politik mungkin menerima sumbangan daripada individu atau organisasi, tetapi dalam konteks yang lebih luas, aktiviti politik akhirnya berkait dengan wang dan sumber awam.

Sebab itu rakyat mempunyai kepentingan untuk tahu bagaimana sesebuah parti menguruskan kewangan kempen mereka.

Kalau kita boleh meminta syarikat yang kita labur supaya telus, tidak salah untuk kita mengharapkan tahap ketelusan yang lebih tinggi daripada organisasi politik.

2. Duit yang masuk dan duit yang keluar perlu boleh dikesan

Dalam dunia kewangan, kita bukan hanya tengok jumlah duit.

Kita mahu tahu cash flow.

Berapa duit masuk?

Dari mana?

Berapa duit keluar?

Dibelanjakan untuk apa?

Siapa penerimanya?

Perkara yang sama boleh diaplikasikan kepada kewangan politik.

Apabila data perbelanjaan pilihan raya didedahkan, rakyat boleh mula melihat aliran wang tersebut, bukannya hanya mendengar dakwaan bahawa semuanya diuruskan dengan baik.

3. Ketelusan mengurangkan information asymmetry

Dalam pelaburan, ada masalah yang dipanggil information asymmetry.

Maksud mudahnya, pihak pengurusan mungkin mempunyai lebih banyak maklumat berbanding pelabur.

Sebab itu syarikat perlu menyediakan laporan kewangan supaya pelabur tidak membuat keputusan dalam keadaan terlalu banyak maklumat yang disembunyikan.

Politik pun sama.

Parti tahu berapa banyak duit yang mereka terima dan bagaimana ia dibelanjakan.

Rakyat pula hanya nampak kempen di luar.

Jadi apabila data kewangan dibuka, jurang maklumat antara parti dan rakyat dapat dikurangkan.

4. Rakyat boleh menilai kecekapan penggunaan wang

Dalam pelaburan, kita bukan sekadar bertanya:

“Berapa banyak duit syarikat belanjakan?”

Kita juga akan bertanya:

“Apa yang kita dapat daripada duit tersebut?”

RM1 juta dibelanjakan untuk pemasaran tetapi jualan tidak meningkat, kita akan mula persoalkan keberkesanannya.

Begitu juga perbelanjaan pilihan raya.

Apabila data tersedia, kita boleh mula bertanya:

Berapa kos kempen setiap kawasan? Berapa banyak dibelanjakan untuk media sosial? Berapa untuk logistik? Berapa untuk bahan kempen?

Ini membuka ruang untuk menilai kecekapan, bukan sekadar jumlah perbelanjaan.

5. Kita sebenarnya bukan pelik kalau melihat amalan ini di negara lain

Pendedahan kewangan politik bukan sesuatu yang asing di peringkat antarabangsa.

Di United Kingdom, Electoral Commission menerbitkan maklumat berkaitan sumbangan, pinjaman dan perbelanjaan parti politik serta calon kepada umum.

Di Amerika Syarikat, Federal Election Commission (FEC) pula menyediakan pangkalan data awam yang membolehkan orang ramai melihat maklumat kewangan kempen, termasuk sumbangan dan perbelanjaan calon serta jawatankuasa politik.

Di Australia, Australian Electoral Commission (AEC) juga mempunyai sistem funding and disclosure untuk meningkatkan ketelusan kewangan parti politik, calon dan pihak yang terlibat dalam pilihan raya.

Maknanya, idea untuk rakyat melihat money in dan money out dalam politik sebenarnya bukan sesuatu yang pelik.

Bezanya, di sesetengah negara ia merupakan sebahagian daripada sistem pendedahan yang diwajibkan dan diselia oleh badan pilihan raya.

Jadi kalau parti politik Malaysia mula mengambil inisiatif untuk membuka data kewangan mereka kepada umum, ia boleh dilihat sebagai satu langkah ke arah budaya politik yang lebih telus.

6. Boleh membina rekod kewangan yang boleh dibandingkan

Pelabur tidak menilai syarikat berdasarkan satu laporan sahaja.

Mereka melihat prestasi dari tahun ke tahun.

Begitu juga dengan parti politik.

Kalau setiap pilihan raya mereka mendedahkan data kewangan, lama-kelamaan akan wujud satu rekod yang boleh dibandingkan.

Berapa banyak dana diterima?

Berapa banyak yang dibelanjakan?

Adakah perbelanjaan semakin cekap?

Adakah kos kempen meningkat?

Adakah sumber pembiayaan berubah?

Ini menjadikan rakyat bukan sekadar pengundi, tetapi pihak yang boleh membuat penilaian berdasarkan data.


Sebab itu kami melihat pendedahan perbelanjaan pilihan raya sebagai satu langkah yang positif.

Bukan kerana mendedahkan data automatik bermaksud sesebuah parti itu lebih baik daripada parti lain.

Tetapi kerana ketelusan memberikan kita maklumat untuk membuat penilaian sendiri.

Dalam pelaburan, kita selalu diajar:

Jangan melabur hanya kerana percaya. Tengok laporan kewangan.

(Walaupun… tengok laporan kewangan pun belum tentu tak kena scam!)

Dalam politik pun mungkin prinsip yang sama patut digunakan:

Jangan hanya dengar janji. Tengok juga bagaimana wang diuruskan.

Kalau lebih banyak parti mula melakukan perkara yang sama, kita mungkin dapat membina satu budaya politik yang lebih matang di mana data kewangan menjadi sebahagian daripada akauntabiliti politik, bukan sesuatu yang perlu disembunyikan.

Kerana akhirnya, sama ada kita bercakap tentang melabur dalam sebuah syarikat atau memilih sebuah parti politik, prinsipnya hampir sama:

Beri kita data. Kemudian biar rakyat membuat penilaian.

Penafian: Artikel ini bertujuan membincangkan kepentingan ketelusan dan pendedahan kewangan dalam politik dari perspektif kewangan dan tadbir urus. Ia bukan bertujuan menyokong atau menolak mana-mana parti politik, calon atau individu. Sebarang angka, fakta dan maklumat berkaitan perbelanjaan kempen adalah berdasarkan sumber yang dinyatakan dan hendaklah dirujuk kepada sumber asal untuk konteks penuh.