Apa itu FinTech dan masa depan FinTech di Malaysia

FinTech Malaysia

Sejak tahun 2015,  startups FinTech telah menggunakan teknologi untuk memudahkan pengguna untuk melabur, membuat bayaran dan juga mendapatkan pinjaman secara online.

Bagi millennials, FinTech amat menarik kerana mereka membesar dengan peranti mudah alih dan ingin melakukan transaksi kewangan dengan cara yang sama mereka berkongsi gambar atau memohon pekerjaan. Perspektif inilah yang membolehkan FinTech berkembang.

Apa Kelebihan FinTech Untuk Pengguna Macam Saya?

Kemudahan Pembayaran Digital

Perbelanjaan pengguna lebih mudah, cepat dan selamat.

Firma Fintech seperti Square membantu SME dengan memudahkan pembayaran pemprosesan kad kredit yang lebih murah. Transaksi boleh dipercayai adalah penting bagi jualan harian begitu juga dengan pemprosesan gaji pekerja.

Aplikasi pembayaran seperti Venmo menyediakan perkhidmatan “Free Digital Wallet” kepada ribuan pengguna telefon pintar. Aplikasi ini membolehkan pengguna menghantar dan meminta wang secara selamat melalui Facebook.

Apple Pay

Platform seperti Apple Pay dan Bitcoin telah menginovasikan kaedah pembayaran gaji pekerja. Bagi mereka yang selalu menghantar wang ke luar negara pula, boleh gunakan TransferWise untuk menjimatkan yuran pemindahan wang antarabangsa.

Kewangan Digital (Peer-to-Peer dan Crowdfunding)

Peer-To-Peer (P2P) adalah model perniagaan yang merangkumi pelbagai produk dan perkhidmatan seperti sewa rumah, perkhidmatan pembersihan, dan apa-apa lagi di dunia ini yang telah “uberized.” Firma startup FinTech telah memudahkan pinjaman di dalam internet, membolehkan anda untuk mendapatkan dana tanpa bantuan bank-bank besar secara konvensional.

Pelaburan dalam platform (Crowdfunding) seperti Indiegogo, Kickstarter dan GoFundme telah membantu beribu-ribu idea menjadi kenyataan – daripada permainan video dan jaket pelbagai guna, perniagaan kecil dan usahawan kini boleh berpaling kepada orang awam untuk bantuan kewangan.

Di Malaysia, Skolafund adalah platform digital untuk membantu biayai pelajar di institusi pendidikan tinggi. Pelajar yang tidak memenuhi kriteria untuk biasiswa atau pinjaman bank, memilih inisiatif ini untuk melangsaikan yuran universiti mereka. Skolafund menyimpan butiran akademik pelajar untuk bacaan orang awam dan agensi-agensi yang akan mengumpul dana kewangan yang mencukupi.

Pelaburan Digital (Robo Advisors, Low Cost Trading Platforms)

Robo advisor akan bertanya beberapa soalan dan kemudian menggunakan algoritma untuk tampil dengan pelan pelaburan terbaik untuk mereka. Pengguna yang tidak mempunyai aset pelaburan boleh memilih pelaburan kos rendah seperti dana indeks atau dana dagangan bursa.

Robo advisor juga boleh mengendalikan pengimbangan semula dan aset peruntukan secara automatik, memudahkan lagi para pelabur. Ia tidak memerlukan banyak penglibatan dari segi masa untuk mewujudkan satu pelan kewangan asas berdasarkan toleransi risiko dan tempoh masa, dan secara tidak langsung memudahkan pelabur–pelabur kecil membuat keputusan.

Masa Depan FinTech

Institusi-institusi perbankan boleh memberi perkhidmatan yang lebih baik jika mereka menerima FinTech dengan minda terbuka, bekerjasama dan melabur di dalam firma startup FinTech. Bank-bank patut mewujudkan cabang FinTech yang selari dengan teknologi terkini. Dengan ini mereka boleh menyesuaikan diri dan menghadapi cabaran dan risiko FinTech dengan lebih baik, lebih cepat dan untuk kekal kompetitif.

Percayalah, bukan sahaja institusi perbankan yang akan menggunakan FinTech, malah syarikat-syarikat besar daripada industri hartanah dan perakaunan juga akan mula melabur di dalam firma FinTech.

Akhir Kata

Revolusi Fintech mempunyai kesan yang positif ke atas pasaran kerja dan sektor kewangan negara dari segi pembukaan firma dan pencarian bakat baru di dalam industri yang berkembang pesat ini. Penerima manfaat terbesar adalah pelanggan perkhidmatan kewangan yang memudahkan mereka mendapat produk yang lebih baik dengan harga yang berpatutan. Oleh itu, adalah penting bagi agensi kawal selia kerajaan bersedia untuk menangani risiko yang akan datang demi kestabilan dan perkembangan ekonomi negara.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

KWSP Suami Meninggal: Boleh Isteri Tuntut Sebagai Harta Sepencarian?

Selama ini, apabila seorang suami meninggal dunia, ramai mungkin menganggap wang KWSP yang ditinggalkan akan terus menjadi harta pusaka dan dibahagikan kepada waris mengikut faraid.

Namun, perkembangan hukum dan keputusan Mahkamah Syariah menunjukkan perkara ini sebenarnya lebih kompleks.

Pada September 2025, Muzakarah Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-128 memutuskan bahawa tuntutan harta sepencarian terhadap wang KWSP oleh ahli beragama Islam adalah diharuskan, tertakluk kepada pertimbangan dan keputusan Mahkamah Syariah.

Keputusan ini membawa satu implikasi penting kepada pasangan yang berkahwin.

Wang KWSP tidak semestinya keseluruhannya menjadi harta pusaka untuk difaraidkan.

Sekiranya Mahkamah Syariah memutuskan sebahagian wang tersebut merupakan hak harta sepencarian pasangan, bahagian itu akan diberikan kepada pasangan terlebih dahulu. Bahagian yang diperintahkan sebagai harta sepencarian tersebut pula tidak dikira sebagai harta pusaka pencarum dan tidak tertakluk kepada pembahagian faraid.

Tetapi sebenarnya, isu ini bukan bermula pada 2025

Menariknya, beberapa negeri sudah mempunyai perkembangan berkaitan isu ini sebelum keputusan Muzakarah Kebangsaan tersebut.

Kelantan: kes KWSP sebagai harta sepencarian sejak 2000-an

Antara kes yang sering dirujuk ialah Norhayati binti Yusoff lwn Ahmad Shah bin Ahmad Tabrani, yang diputuskan di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu, Kelantan.

Dalam kes tersebut, wang KWSP suami menjadi antara aset yang dituntut sebagai harta sepencarian.

Mahkamah mengiktiraf konsep sumbangan tidak langsung isteri. Walaupun isteri mungkin tidak membuat caruman KWSP secara langsung, sumbangan kepada rumah tangga boleh menjadi faktor dalam menentukan hak harta sepencarian.

Ini penting kerana ia menunjukkan bahawa persoalan harta sepencarian bukan semata-mata tentang siapa yang memasukkan duit ke dalam akaun.

Sumbangan pasangan kepada rumah tangga juga boleh mempunyai nilai dari sudut undang-undang Syariah.

Selangor pula mempunyai pendirian yang jelas

Dalam panduan Jabatan Mufti Selangor pada 2020 berkaitan wang KWSP selepas kematian suami, dinyatakan bahawa isteri boleh membuat tuntutan harta sepencarian sepanjang tempoh perkahwinan dengan arwah suami sebelum lebihan harta tersebut dibahagikan mengikut faraid.

Kemudian pada 2023, Selangor mempunyai fatwa khusus berkaitan harta sepencarian selepas kematian salah satu pihak dalam perkahwinan. Rujuk Fatwa Tentang Harta Sepencarian Selepas Kematian Salah Satu Pihak Dalam Perkahwinan Di Negeri Selangor.

Ini menunjukkan konsep tuntutan harta sepencarian selepas kematian bukan sesuatu yang hanya muncul selepas keputusan MKI pada 2025.

Johor: daripada pendirian lama kepada pendekatan baharu

Pendirian terdahulu di Johor menyatakan wang KWSP pencarum yang meninggal dunia merupakan harta pusaka dan tidak boleh dianggap sebagai harta sepencarian. Fatwa Johor yang lebih lama, dikeluarkan pada 2013, menyatakan:

“Apabila pencarum KWSP meninggal, wang KWSP ialah harta pusaka dan perlu difaraidkan; ia tidak boleh dijadikan harta sepencarian.

Namun, selepas keputusan MKI 2025, Johor mengambil pendekatan baharu yang membenarkan tuntutan harta sepencarian terhadap wang KWSP bagi ahli beragama Islam yang layak, tertakluk kepada keputusan Mahkamah Syariah. Rujuk Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor.

Perubahan ini menunjukkan bagaimana pendirian berkaitan KWSP dan harta sepencarian boleh berkembang mengikut keputusan hukum dan kerangka undang-undang semasa.

NegeriKedudukan yang ditemuiTahun / status
KelantanAda kes Mahkamah Tinggi Syariah yang membenarkan tuntutan terhadap KWSP sebagai harta sepencarian; turut ada fatwa berkaitan tuntutan harta sepencarian selepas kematianKes 2006; Fatwa Negeri 2002
SelangorSecara rasmi mengiktiraf bahawa selepas kematian salah satu pihak, pasangan boleh menuntut harta sepencarian. Soal jawab Mufti Selangor juga secara jelas menyebut isteri boleh menuntut harta sepencarian terhadap KWSP arwah sebelum baki difaraidkanFatwa 2023; panduan 2020
JohorDahulu berpendirian sebaliknya: KWSP ialah harta pusaka dan tidak boleh dijadikan harta sepencarian. Tetapi pada 2026, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor mengeluarkan keputusan baharu yang membenarkan tuntutan KWSP sebagai harta sepencarian, selaras dengan MKI 20252013 → berubah 2026
SarawakPernah memutuskan wang caruman KWSP tidak boleh dianggap harta sepencarian, sebaliknya harta pusaka yang difaraidkanKeputusan terdahulu

Jadi, apa maksudnya kepada pasangan?

Kita ambil contoh mudah.

Katakan seorang suami meninggal dunia dan meninggalkan RM500,000 dalam KWSP.

Isteri membuat tuntutan harta sepencarian.

Jika Mahkamah Syariah selepas mempertimbangkan tuntutan tersebut memutuskan bahawa RM150,000 adalah hak harta sepencarian isteri, maka RM150,000 itu bukan lagi sebahagian daripada harta pusaka suami untuk difaraidkan.

Baki RM350,000 pula barulah menjadi sebahagian daripada harta pusaka, tertakluk kepada proses pengurusan pusaka dan pembahagian mengikut faraid.

Jadi bukan bermaksud:

“Isteri automatik dapat separuh KWSP.”

Tidak.

Yang betul ialah:

“Isteri yang layak boleh membuat tuntutan, dan jumlah yang menjadi harta sepencarian bergantung kepada keputusan Mahkamah Syariah.”

Kenapa perkara ini penting untuk perancangan pusaka?

Sebab ramai orang melihat KWSP hanya daripada sudut simpanan persaraan.

Tetapi apabila berlaku kematian, ia menjadi sebahagian daripada proses pengurusan harta si mati.

Dalam konteks pasangan Islam, terdapat beberapa perkara yang perlu dibezakan:

Pertama, harta sepencarian.

Ini ialah tuntutan pasangan terhadap harta yang diperoleh sepanjang tempoh perkahwinan, tertakluk kepada undang-undang dan keputusan Mahkamah Syariah.

Kedua, harta pusaka.

Selepas hak-hak yang berkaitan seperti harta sepencarian ditentukan, baki harta si mati boleh menjadi harta pusaka.

Ketiga, faraid.

Baki harta pusaka kemudiannya dibahagikan kepada waris yang berhak mengikut hukum faraid.

Sebab itu seseorang tidak boleh terus melihat angka KWSP dan berkata:

“Ini semua akan difaraidkan.”

Ia bergantung kepada keadaan dan, bagi tuntutan harta sepencarian, keputusan Mahkamah Syariah.

Namun, jangan salah faham

Keputusan MKI 2025 bukan bermaksud setiap isteri automatik mendapat sebahagian daripada KWSP suami.

Ia hanya membuka ruang bahawa tuntutan tersebut diharuskan.

Tuntutan masih perlu dibuat dan dipertimbangkan oleh Mahkamah Syariah.

Jumlahnya juga tidak semestinya 50:50.

Mahkamah boleh melihat kepada pelbagai faktor dan bukti berkaitan sumbangan pasangan serta keadaan harta yang dituntut.

Satu lagi perkara penting ialah status keputusan hukum tersebut di setiap negeri. Keputusan Muzakarah MKI perlu dilihat bersama peruntukan dan proses undang-undang Syariah negeri masing-masing.

Daripada “siapa dapat KWSP?” kepada “apa hak setiap pihak?”

Ini sebenarnya perubahan cara kita melihat perancangan pusaka.

Bila seorang suami meninggal dunia, persoalannya bukan semata-mata:

“Berapa banyak isteri dapat?”

Tetapi:

“Apakah hak isteri sebagai pasangan? Apakah yang menjadi harta sepencarian? Apakah yang benar-benar menjadi harta pusaka? Dan siapa yang berhak menerima baki tersebut melalui faraid?”

Perbezaan ini nampak kecil, tetapi dari sudut nilai harta, ia boleh menjadi sangat besar.

Lebih-lebih lagi bagi keluarga yang mempunyai simpanan KWSP jutaan ringgit.

Maka, bagi pasangan yang beragama Islam, memahami kedudukan harta sepencarian dan faraid semasa masih hidup jauh lebih baik daripada cuba memahami semuanya selepas berlaku kematian.

KWSP bukan sekadar soal berapa banyak kita berjaya kumpul. Kita juga perlu tahu bagaimana wang itu akan diurus apabila kita sudah tiada.

Penafian: Artikel ini bertujuan memberikan maklumat umum dan bukan nasihat undang-undang, fatwa atau nasihat kewangan. Kedudukan harta sepencarian, tuntutan wang KWSP dan proses pembahagian harta pusaka boleh berbeza mengikut negeri, fakta kes dan keputusan Mahkamah Syariah. Pembaca disarankan mendapatkan nasihat daripada peguam syarie, pihak berkuasa agama negeri atau pihak yang berkelayakan sebelum membuat sebarang tuntutan atau keputusan berkaitan harta pusaka.