Apa Sebenarnya Tugas Utama Bank Pusat Di Sesebuah Negara?

Dalam artikel ini kita akan melihat secara terperinci apa yang dilakukan oleh majlis mesyuarat bank pusat. Ini akan membantu anda untuk memahami bagaimana kebanyakan bank pusat menetapkan polisi monetari yang mengawal pasaran kewangan di sesebuah negara.

Sebagai seorang pelabur atau pedagang runcit di pasaran saham, di antara kajian yang dilakukan adalah tindakan dan pendirian semasa bank pusat. Hal ini kerana tindakan bank pusat memberi kesan langsung kepada pasaran matawang termasuk saham, bon dan matawang.

Apa Itu Polisi Monetari?

Sebelum itu, penting bagi anda untuk memahami apa itu polisi monetari. Polisi monetari adalah tindakan bank pusat yang menetapkan saiz dan pertumbuhan penawaran wang yang akan memberi kesan kepada kadar faedah. Polisi monetari digunakan dengan mengubah kadar faedah, membeli atau menjual bon kerajaan dan penetapan amaun wang yang perlu disimpan oleh bank sebagai rizab.

Contoh bank pusat yang mengawal polisi monetari ialah Bank Negara Malaysia (BNM) dan The Federal Reserve di Amerika Syarikat atau pun selalu disebut sebagai The Fed.

Ada dua jenis polisi monetari iaitu pelonggaran (easing) dan pengetatan (tightening). Pelonggaran polisi monetari meningkatkan penawaran wang atau jumlah wang yang ada di dalam ekonomi untuk menurunkan pengangguran, merancakkan pinjaman sektor swasta dan perbelanjaan pengguna untuk menstabilkan pertumbuhan ekonomi.

Manakala pengetatan polisi monetari akan mengurangkan pertumbuhan penawaran wang atau jumlah wang di dalam ekonomi bagi mengawal inflasi. Kerana dalam keadaan ekonomi yang meningkat dengan cepat biasanya memberi risiko meningkatnya inflasi yang tidak terkawal. Maknanya di sini walaupun pertumbuhan ekonomi naik begitu cepat, harga barang juga boleh meningkat ke paras yang tinggi.

Oleh itu, bank pusat akan mengurangkan jumlah wang di dalam ekonomi menggunakan polisis pengetatan untuk menstabilkan semula ekonomi ke tahap optimum. Contohnya yang berlaku kepada AS pada tahun 1980 bila mana inflasi meningkat ke paras 15% dan apa yang dilakukan oleh The Fed ialah menaikkan kadar faedahnya (Fed Fund Rate) ke paras 20%. Usaha ini menyebabkan AS mengalami kemelesetan tetapi dapat menurunkan semula kadar inflasi.

Ini adalah satu usaha The Federal Reserve untuk menstabilkan semula ekonomi AS. Selalunya apabila ekonomi meningkat terlalu tinggi akan menyebabkan inflasi turut meningkat. Inilah yang dilakukan oleh bank pusat AS dengan menaikkan kadar faedahnya bagi mengurangkan semula aktiviti dalam ekonomi yang menyebabkan kadar inflasi turun semula.

Instrumen Polisi Yang Digunakan Oleh Bank Pusat

Dalam polisi monetari (kewangan) bank pusat mempunyai tiga instrumen untuk memastikan matlamat kestabilan pasaran kewangan dapat dicapai. Namun dalam artikel kali ini kita hanya akan membincangkan satu sahaja instrumen iaitu ‘Open Market Operation‘ atau OMO.

OMO atau dalam Bahasa Melayu bermaksud ‘Operasi Pasaran Terbuka’ ialah tindakan di mana bank pusat membeli dan menjual bon-bon kerajaan. Operasi pasaran terbuka melibatkan pembelian dan penjualan surat-surat jaminan kerajaan (bon) melalui bank pusat. Tujuan utama operasi pasaran terbuka ialah mengawal jumlah kredit dalam negara. Pada ketika harga barang terlalu tinggi (inflasi) bank pusat akan campur tangan untuk mengurangkan kegiatan ekonomi yang berlebihan.

Melalui operasi pasaran terbuka, bank pusat akan menjual bon (surat-surat jaminan) kepadab ank perdagangan (Maybank, CIMB, dll) dan orang ramai.

Contoh Pengetatan Polisi

Contohnya, Maybank mahu membeli bon yang dijual oleh bank pusat. Oleh itu Maybank perlu membayar kepada bank pusat harga bon itu. Bon ini boleh ditebus pada harga diskaun selepas 5, 10 atau 30 tahun bergantung kepada tempoh matangnya dengan kadar faedah setiap tahun.

Dengan berbuat demikian, simpanan semasa penduduk dan rizab yang dipegang oleh bank-bank perdagangan akan berkurangan. Simpanan atau tunai di tangan yang berkurang menyebabkan perbelanjaan domestik jatuh dan bank-bank ini tiada tunai yang mencukupi untuk dipinjamkan kerana telah digunakan untuk membeli bon.

Perbelanjaan domestik jatuh akan menyebabkan inflasi berkurangan dan ekonomi bergerak perlahan ke tahap optimum.

Contoh Pelonggaran Polisi

Contoh seterusnya, andaikan Zon-Eropah sedang mengalami kegawatan ekonomi yang mana pertumbuhan ekonomi ialah 0.5% di bawah jangkaan asal iaitu 2% dan juga kadar pengangguran yang meningkat. Bank pusat mahu menaikkan semula pertumbuhan ekonomi
dan mengurangkan pengangguran. Oleh itu Bank pusat boleh menggunakan OMO untuk mencapai tujuannya.

Bank pusat boleh meningkatkan penawaran wang di dalam ekonomi untuk merancakkan semula aktiviti ekonomi seperti pelaburan dan perbelanjaan domestik. Bagi meningkatkan penawaran wang, Bank pusat boleh membuat OMO dengan membeli bon dari pihak swasta
yang menyebabkan penawaran wang meningkat dalam ekonomi. Penawaran wang bertambah di mana orang ramai lebih mudah untuk membuat pinjaman dengan kos yang rendah.

Orang ramai mempunyai tunai untuk digunakan membeli-belah ataupun untuk tujuan perniagaan. Apabila orang ramai berbelanja di dalam ekonomi bertambah, perniagaan pun akan mendapat keuntungan seterusnya perniagaan ini mungkin akan mengembangkan
perniagaan dan memerlukan lebih ramai pekerja.

Apabila firma-firma ini menambahkan pekerja akan berkuranglah kadar pengangguran di dalam ekonomi. Firma-firma ini pula berkembang dan akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang positif kepada sesebuah negara. Begitulah cara bank pusat menstabilkan pasaran kewangan dengan menggunakan alatan yang ada dalam polisi monetari.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Pemohon Pembiayaan Peribadi Lebih RM100,000 Wajib Hadiri Modul Pendidikan Kewangan – BNM

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) — Pengguna yang memohon pinjaman peribadi melebihi RM100,000 perlu menghadiri dan melengkapkan modul pendidikan kewangan, menurut Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini.

Dalam dokumen dasar pembiayaan peribadi yang dikeluarkan di sini hari ini, bank pusat berkata syarat-syarat ini merupakan antara keperluan baharu yang ditetapkan oleh BNM.

Dokumen dasar itu bertujuan memperkenalkan amalan pembiayaan yang berhemah dan bertanggungjawab berhubung dengan penyediaan pembiayaan peribadi oleh penyedia perkhidmatan kewangan, di samping menggalakkan gelagat peminjaman yang bertanggungjawab dalam kalangan pengguna kewangan.

Ia juga untuk memastikan pelaporan yang jelas daripada penyedia perkhidmatan kewangan berhubung jangkaan sedia ada BNM mengenai penggunaan tempoh maksimum 10 tahun untuk pembiayaan yang ditawarkan di bawah produk pembiayaan rumah atau dijamin oleh harta tanpa halangan bagi kegunaan peribadi.

Ia juga melarang tawaran pembiayaan peribadi di mana caj faedah/keuntungan dikira menggunakan kaedah kadar rata dan/atau Peraturan 78 yang merujuk kepada kaedah pengiraan faedah/keuntungan.

Di samping itu, ia juga mengukuhkan jangkaan untuk penyedia perkhidmatan kewangan mendedahkan kadar faedah/keuntungan yang berkesan kepada pengguna kewangan.

Dengan persaingan yang sengit dalam pasaran kredit runcit, perubahan telah diperhatikan dalam amalan pemberian pinjaman oleh penyedia kredit dalam segmen pembiayaan peribadi, menurut gambaran keseluruhan dokumen dasar. Keadaan ini menyumbang kepada pinjaman yang tidak mampu ditanggung oleh isi rumah.

Apa yang menjadi kebimbangan utama adalah kemunculan produk pembiayaan baharu yang nampak seperti pinjaman mampu milik tetapi sebenarnya menggalakkan pengumpulan hutang yang tidak berhemah. Pengguna kewangan tidak mampu menanggungnya tanpa risiko kesulitan yang ketara sepanjang tempoh pembiayaan disebabkan kekurangan simpanan kewangan yang mencukupi.

Menurut dokumen itu, penyedia perkhidmatan kewangan dikehendaki menjalankan penilaian kesesuaian dan kemampuan membayar bagi setiap kemudahan pembiayaan baharu dan tambahan yang ditawarkan kepada pengguna kewangan, tetapi keperluan yang lebih khusus diperlukan untuk mencegah perkembangan tidak sihat dalam segmen pembiayaan peribadi.

Dokumen dasar ini terpakai kepada semua bank berlesen, bank Islam berlesen dan institusi kewangan pembangunan yang ditetapkan, berkuat kuasa mulai hari ini.
— BERNAMA