BREXIT: Kekalahan Bersejarah Kerajaan UK, Ini Sebab Parlimen Menolak ‘Withdrawal Agreement’ Britain-Kesatuan Eropah

Pembuat dasar Parlimen Britain telah mengundi rang undang-undang Brexit pada Rabu dengan kurang daripada tiga bulan lagi sebelum United Kingdom (UK) meningalkan Kesatuan Eropah (EU). Walaubagaimanapun, perancangan yang diusulkan oleh Perdana Menteri Theresa May itu telah ditolak Parlimen, yang akan menyukarkan keseluruhan proses Brexit dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Perancangan Brexit itu ditolak oleh ahli Parlimen UK dengan undian 432-202 dengan kekalahan majoriti 230 undi. Beza undi tersebut adalah rekod perbezaan terbesar yang pernah dicatat oleh kerajaan dalam sejarah negara Britain. Ironinya, daripada 317 kerusi keseluruhan yang dimiliki oleh Parti Konservatif, seramai 118 ahli parlimen mereka tidak menyokong pemimpin parti itu, Theresa May. 

Apakah Sebenarnya Undian Ini?

Perancangan Brexit yang dicadangkan oleh Theresa May terbahagi kepada “Perjanjian Keluar” (Withdrawal Agreement) yang menetapkan terma dan syarat perpisahan UK dan EU. Satu lagi adalah “Hubungan di Masa Hadapan” yang menjadi petunjuk bagaimana kedua-dua pihak menjalin hubungan khususnya dalam perdagangan dua hala.

Kerajaan UK dan Suruhanjaya Eropah telah bersetuju dan menandatangi perjanjian awal sebelum pada November, dan tiba masanya untuk Parlimen UK mengundi sama ada ia boleh diteruskan atau sebaliknya.

Selepas perdebatan Parlimen yang berlangsung selama lima hari, kini undian telah pun dijalankan pada hari Rabu (16 Januari 2019). Umumnya, Parlimen perlu menerima perancangan kerajaan sekaligus merapatkan hubungan di antara UK-EU atau menolaknya dan menimbulkan banyak lagi ketidaktentuan dalam isu Brexit.

Hasilnya, perancangan Withdrawal Agreement telah ditolak oleh majoriti ahli parlimen di Westminster.

Kenapa Majoriti Ahli Parlimen Menolak ‘Withdrawal Agreement’?

Majoriti pihak pembangkang UK sudah dijangka tidak akan menyokong May disebabkan beberapa isu khususnya ‘sempadan Ireland’. Jika undian pada Rabu memihak kepada perancangan May, Britain dan EU berada di landasan tepat memasuki tempoh peralihan dua tahun bermula dari 29 Mac 2019.

Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya, dan May perlu memikirkan cara terbaru untuk melancarkan proses Brexit di Parlimen.

Untuk pengetahuan anda, di antara sebab umum ramai di kalangan ahli Parlimen tidak menyokong perancangan itu adalah kerana mereka tidak mahu UK keluar dari EU (golongan Bremain) di atas sebab kekangan ekonomi. UK ketika ini merupakan ahli di dalam Kesatuan Eropah dan memperoleh beberapa keistimewaan ekonomi khususnya cukai rendah perdagangan ke pasaran besar Eropah.

Keluarnya UK daripada EU akan menyukarkan akses ke pasaran tunggal itu, dan dijangka berhadapan dengan halangan perdagangan berupa cukai yang lebih tinggi dan sudah tentu merugikan peniaga UK – seterusnya ekonomi secara keseluruhan.

Satu lagi sebab utama adalah kandungan ‘Withdrawal Agreement’ yang mengatakan UK tiada hak untuk membantah sebarang dasar baru yang digubal oleh EU semasa tempoh peralihan sehingga Disember 2020. Dalam tempoh ini juga, UK perlu menurut segala peraturan semasa dan membayar Bajet tahunan kepada blok tersebut.

Dalam isu sempadan Ireland pula, ‘Withdrawal Agreement’ menunjukkan bahawa sempadan di antara Ireland dan Utara Ireland perlu terus terbuka walau apa jua hasil daripada rundingan akhir di antara UK-EU. EU mahu sempadan di antara Ireland (negara merdeka ahli EU) dan Ireland Utara (sebahagian daripada UK) terus dibuka, walaupun UK keluar daripada EU tanpa sebarang perjanjian.

Dalam hal ini, ramai di antara ahli parlimen tidak bersetuju kerana ia dilihat mencabuli kedaulatan negara Britain.

Pilihanraya Umum Baru atau Referendum Kedua Brexit?

Selepas kekalahan Theresa May, ketua pembangkang Jeremy Corbyn daripada Parti Buruh telah mengusulkan undi tidak percaya (no-confidence motion) terhadap kerajaan May. Jika gerakan ini berjaya, kerajaan baru perlu dibentuk dalam tempoh 14 hari atau mengadakan pilihanraya umum yang baru.

Mengikut tinjauan semasa, undi tidak percaya ini dijangka gagal kerana ahli parti Konservatif sendiri tidak akan mengorbankan karier politik mereka. Apa yang boleh dilakukan oleh May adalah membawa perjanjian yang lebih baik dengan EU dan itu yang dikatakan beliau semalam dalam usaha untuk mendapatkan sokongan Parlimen.

Buat masa ini, Parti Konservatif tidak memiliki majoriti di Parlimen dan ia menyukarkan rang undang-undang baru untuk diluluskan khususnya dalam perjanjian Brexit. Salah satu pilihan adalah dengan mengadakan pilihanraya umum bagi mengukuhkan kedudukan Konservatif di Parlimen, tetapi ia bukanlah satu pilihan yang bijak kerana boleh sahaja Konservatif tewas kepada Parti Buruh pimpinan Corbyn.

Kerajaan Theresa May juga boleh mengadakan referendum baru Brexit bagi memberi peluang kedua kepada rakyat Britain, sama ada mahu kekal (Bremain) atau keluar daripada Kesatuan Eropah (Brexit). Ini dilihat sebagai pilihan yang lebih bijak berbanding mengadakan pilihan raya umum.

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pedagang runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini menjadi seorang penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.