China Bangunkan Industri Semikonduktor Mereka Sendiri Dengan Bantuan Jurutera Dari Taiwan

Hubungan perdagangan yang dingin di antara China dan Amerika  Syarikat telah memasuki fasa baru. China yang dilihat sebagai kuasa besar yang baru, bakal menggugat ekonomi Amerika Syarikat yang sebelum ini merupakan kuasa terbesar ekonomi dunia. 

Kini China telah mengikuti rapat daripada segi teknologi dan juga ekonomi dan menyebabkan Amerika Syarikat tak senang duduk. Ini kerana sektor ini memberi pulangan yang luar biasa kepada mana-mana syarikat yang terlibat di dalamnya.

China yang mendapat sekatan dari Amerika Syarikat dalam industri semikonduktor ini telah mengambil jalan mereka sendiri untuk membangunkan industri tersebut bagi perkembangan ekonomi mereka pada masa hadapan. 

Di antara langkah yang dibuat adalah dengan mengambil jurutera-jurutera yang berkerja di syarikat semikonduktor Taiwan untuk membangunkan industri tersebut di China. 

Baca: Perang Mikrocip Di Antara Amerika Syarikat Dan China Kini Masuk Fasa Baru

Hubungan Amerika Syarikat Dan Taiwan Dalam Industri Semikonduktor 

Taiwan merupakan sebuah pulau yang terletak di timur China. Sejak dari dulu lagi, China mendakwa bahawa Taiwan merupakan sebahagian daripada mereka. Walaubagaimanapun, Taiwan tetap menganggap bahawa mereka merupakan sebuah negara yang merdeka dan bukan sebahagiannya daripada China.

Ini kerena Taiwan merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi yang bertentangan dengan sistem permintahan di China yang mengamalkan komunisme.

Oleh yang demikian, Taiwan telah melakukan kerjasama yang sangat erat dengan Amerika Syarikat dan negara tersebut telah memberi perlindungan daripada segi ketenteraan kepada Taiwan. Selain itu juga, Amerika Syarikat merupakan negara yang banyak membantu membangunkan ekonomi Taiwan, terutamanya di dalam industri semikonduktor sejak era 1970-an lagi. 

Oleh yang demikian, industri semikonduktor Taiwan dapat berkembang dengan pesat. Hari ini, Taiwan merupakan salah sebuah negara terkenal di dalam menghasilkan industri berkenaan semikonduktor.

Syarikat yang paling terkenal di Taiwan yang menghasilkan semikonduktor di peringkat global adalah TSMC. Mereka menjadi tulang belakang kepada industri semikonduktor di Taiwan dengan membekal sebanyak 48% di pasaran global. 

China Buat Tawaran Luar Biasa Kepada Jurutera Taiwan 

Disebabkan Taiwan mempunyai kemahiran yang luar biasa di dalam industri semikonduktor, China telah mengambil peluang tersebut untuk membangunkan industri semikonduktor negara yang dilihat semakin tersepit akibat tekanan yang diberikan oleh Amerika Syarikat terhadap mereka. 

Kredit Gambar: Nikkei Asia 

China bijak mengambil peluang dengan menawarkan jumlah gaji yang luar biasa dan dipercayai negara tersebut telah membayar gaji sebanyak tiga kali ganda kepada mana-mana jurutera yang sanggup berkerja di dalam industri semikonduktor negara tersebut.

Ini menyebabkan ramai jurutera semikonduktor dari Taiwan sanggup  meninggalkan negara tersebut untuk bekerja di dalam industri tersebut di China. 

Antara tokoh industrialist Taiwan yang terkenal dalam industri semikonduktor yang telah berhijrah ke China adalah Liang Mong-song. Tindakan yang dilakukan oleh beliau telah menyebabkan rakyat Taiwan menggelarnya sebagai pengkhianat negara. 

China dijangka menghasilkan produk semikonduktor mereka sendiri pada tahun 2025 dan bakal menjadi kuasa besar di dalam industri semikonduktor.

Cita-cita tersebut bakal menjadi kenyataan dengan bantuan dari jurutera Taiwan yang berkerja di negara tersebut pada ketika ini. Kebergantungan China kepada Amerika Syarikat di dalam industri semikonduktor ini akan berakhir dalam tempoh beberapa tahun yang akan datang.

Sumber Rujukan: Think China  

Previous ArticleNext Article

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.