9 Sebab Kenapa Kita Kena Hantar Borang Cukai Pendapatan

Setiap tahun, sudah menjadi tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia untuk menghantar borang cukai pendapatan. Lain orang, lain borang yang perlu dihantar.

5 Jenis Borang Cukai Pendapatan Dan Tarikh Akhir Penghantaran

  1. Borang BE – bagi individu yang tiada punca pendapatan perniagaan, tarikh akhir penghantaran adalah pada atau sebelum 30 April setiap tahun.
  2. Borang B – bagi individu yang mempunyai punca pendapatan perniagaan, tarikh akhir penghantaran adalah pada atau sebelum 30 Jun setiap tahun.
  3. Borang M – bagi individu bukan pemastautin tanpa punca perniagaan, tarikh akhir penghantaran adalah pada atau sebelum 30 April setiap tahun.
  4. Borang M – bagi individu bukan pemastautin dengan punca perniagaan, tarikh akhir penghantaran adalah pada atau sebelum 30 Jun setiap tahun.
  5. Borang P – bagi perniagaan perkongsian, tarikh akhir penghantaran adalah pada atau sebelum 30 Jun setiap tahun.

Pembayar cukai dikehendaki menghantar Borang Nyata Cukai Pendapatan pada atau sebelum tarikh akhir bagi mengelak dikenakan penalti.

Rasanya ramai daripada yang tergolong di dalam kategori yang perlu hantar Borang BE. Maka berbalik kepada soalan tadi, kenapa kita kena hantar borang cukai pendapatan?

Ada beberapa sebab utama kenapa seseorang individu tersebut perlu menghantar borang cukai pendapatan seperti berikut:

1. Perkara Wajib Sebab Memperolehi Pendapatan Di Malaysia

Tak nak bayar cukai di Malaysia, bolehlah sekiranya kita mencari kerja di negara lain yang tidak memerlukan rakyatnya membayar cukai (Ini bukan Pak Menteri cakap).

Merujuk kepada senarai Investopedia, ada 5 negara yang tak perlu bayar cukai pendapatan adalah:

  1. Emiriah Arab Bersatu (United Arab Emirates)
  2. Bahamas
  3. Bermuda
  4. Andorra
  5. Monaco

Silalah pilih negara mana yang anda berkenan.

Manakala jika kita rujuk kepada data yang dikeluarkan oleh Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD), 5 negara yang mempunyai kadar cukai pendapatan yang tertinggi pula adalah:

  1. Denmark – 53%
  2. Australia – 41%
  3. Amerika Syarikat – 40%
  4. Iceland – 39%
  5. New Zealand – 37%

2. Pengesahan Pendapatan

Sebab kedua kita kena hantar borang cukai pendapatan adalah sebagai pengesahan pendapatan yang kita perolehi. Nanti tak tally pula harta kita atau perbelanjaan kita dengan pendapatan kita.

Sebagai contoh beli rumah mahal 2-3 biji, tapi gaji kecil. Atau kerap melancong ke luar negara, tapi gaji tak seberapa.

Jika anda lari daripada kewajipan membayar cukai, sumber pendapatan anda mungkin diragui dan disyaki terlibat dengan penggubahan wang haram. Boleh baca Biasa Dengar Money Laundering? Apa Dia Sebenarnya?

3. Mudahkan Dapat Pembiayaan Bank

Dengan menghantar borang cukai pendapatan dan membayar cukai pendapatan yang ditetapkan, anda akan ada bukti pembayaran cukai tersebut. Maka bila nak buat pembiayaan dengan bank, mereka akan lebih yakin untuk memberikan pembiayaan kepada kita.

Ada bank yang memerlukan kita sertakan sekali bukti pembayaran cukai. Dari situ dia boleh agak kita ni jenis suka lari-lari bayar atau tidak.

4. Bantu Kerajaan Mentadbir Dan Mengurus Negara

Sumber: NajibRazak.com

Cuba tengok infografik di atas berkenaan Bajet 2018, sebanyak RM234.25 bilion telah diperuntukkan bagi urusan perbelanjaan mengurus negara kita. Ini merupakan 83.5% daripada jumlah peruntukan sebanyak RM280.25 bilion.

Jangan terperdaya dengan mentaliti yang salah mengenai bagaimana duit cukai digunakan.

5. Bangunkan Dana Bagi Perbelanjaaan Membangunkan Negara

Selain daripada mengurus negara, sebahagian yang lain akan digunakan bagi tujuan pembangunan. Di antara projek besar yang bakal dibangunkan adalah:

Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL)

Pelaksanaan Projek ECRL yang menghubungkan Lembah Klang ke Pantai Timur sepanjang 600 kilometer yang melalui Port Klang, ITT Gombak, Bentong, Mentakab, Kuantan, Kemaman Kerteh, Kuala Terengganu, Kota Bharu dan berakhir di Tumpat.

Lebuhraya Pan Borneo

Perhubungan di Sabah dan Sarawak akan bertambah baik , jurus membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat Sarawak dan Sabah dengan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo yang dijangka siap pada tahun 2023.

Kerajaan Persekutuan memberi jaminan bahawa Lebuhraya Pan Borneo tidak akan dikenakan tol kerana ia adalah laluan utama pengguna jalan raya penduduk Sarawak dan Sabah.

Klinik 1Malaysia Komuniti

Klinik 1Malaysia Komuniti ditubuhkan bagi menyediakan rawatan perubatan ringan kepada penduduk setempat dengan kadar yang sangat minima. Di antara lain, Klinik 1Malaysia Komuniti menawarkan perkhidmatan:

  • Menyediakan rawatan ringan seperti demam, batuk, selsema dan penyakit-penyakit ringan yang lain
  • Rawatan susulan kes penyakit kronik yang stabil dan terkawal seperti diabetis, darah tinggi dan asma
  • Prosedur rawatan ringan seperti mencuci luka dan membuka jahitan
  • Membuat notifikasi bagi penyakit berjangkit seperti demam denggi
  • Khidmat nasihat dan pendidikan kesihatan
  • Perkhidmatan program saringan HIV di Klinik 1Malaysia tertentu sahaja

Mana lagi nak dapat rawatan perubatan semurah ini?

6. Pengurusan Kewangan Peribadi

Kalau difikir dari sudut yang berbeza pula, dengan adanya cukai pendapatan ini; ia dapat membantu kita mencari ilmu berkaitan kewangan.

Yalah, dah kerja penat-penat takkan nak bayar semuanya dekat kerajaan melalui cukai pendapatan. Kalau tak dikenakan cukai pendapatan, kita pun tak berminat nak mendalami ilmu kewangan, apatah lagi ilmu berkenaan cukai pendapatan.

Baca juga 22 Cara ‘Elak’ Daripada Kena Bayar Cukai Pendapatan Secara Sah, supaya anda dapat memaksimakan pelepasan cukai anda.

7. Bantu Membentuk Masyarakat Dan Memupuk Aktiviti Sihat

Di antaranya, kerajaan Malaysia memberi pelepasan cukai ke atas pembelian buku untuk menanamkan sikap rajin membaca di kalangan rakyat. Maklumlah, rakyat Malaysia secara purata membaca tidak lebih daripada 2 buah buku setahun, dan kita semua sedia maklum bahawa dengan membaca ilmu; kita dapat meningkatkan ilmu pengetahuan.

Dan tiada pelaburan yang lebih penting, melainkan pelaburan terhadap ilmu.

8. Kongsi Rezeki. Tolong Orang Susah

Kalau anda tergolong dalam kategori golongan yang perlu bayar cukai, bersyukurlah kerana anda bernasib baik daripada kebanyakan orang yang ada di Malaysia. Ini termasuk 7.1 juta penerima BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) Bantuan Sara Hidup (BSH).

Anggaplah dengan perbuatan anda menghantar borang cukai pendapatan dan membayar cukai yang sepatutnya, anda secara tak langsung dapat menolong orang yang susah di Malaysia.

Sama juga halnya apabila anda mengeluarkan zakat, kemudian dapat juga claim anda dah bayar zakat semasa hantar borang cukai pendapatan.

9. Takut Kena Denda

Kalau semua sebab di atas pun anda tidak rasa apa-apa, mungkin anda takut kena denda kalau tidak hantar borang cukai pendapatan.

Nak tahu berapa nilai denda tersebut, tengok di bawah ni:

Sumber: Laman Web LHDN

Denda bagi tidak mengembalikan Borang Nyata Cukai Pendapatan, adalah RM200 sehingga RM2,000, dikenakan hukuman penjara atau kedua-duanya sekali.

Daripada kena denda tak hantar borang cukai pendapatan, lebih baik hantar borang.

Hantar Borang Cukai Pendapatan Merupakan Kewajipan Kita

Walaupun anda belum melepasi paras pendapatan penggajian tahunan melebihi RM34,000 setahun (selepas potongan KWSP), seelok-eloknya anda perlu mulakan tabiat menghantar Borang Nyata Cukai Pendapatan. Jangan pula borang cukai pun tak hantar tapi bila tak puas hati dengan penjawat awam boleh pula kata, “Eh, gaji engkau kami yang bayar tau!”

Kalau nak tahu hanya lebih kurang 2 juta orang saja yang bayar cukai pendapatan dari 14 juta rakyat yang layak dikenakan cukai pendapatan.

Bagi mereka yang telah melepasi paras RM34,000 ini pula, jalankan tanggungjawab anda untuk menghantar borang dan juga membayar cukai yang sewajarnya jika layak.

Terakhir sekali, anda boleh juga baca:

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

10 Produk Makanan Masa Depan: Kesan Daripada Pengecualian Cukai Baharu

Kerajaan mencadangkan pengecualian cukai pendapatan 100% ke atas pendapatan berkanun selama 10 tahun bagi syarikat yang melaksanakan projek baharu pengeluaran bahan makanan, dengan tempoh permohonan dilanjutkan hingga 31 Disember 2030. Bagi syarikat sedia ada yang membuat projek pembesaran, pengecualian 100% selama 5 tahun turut ditawarkan. Pengumuman ini dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026) di bawah Tekad 5: Memperkukuh Ketahanan Negara di Dewan Rakyat.

Langkah ini dilihat bukan sekadar insentif kewangan tetapi berpotensi mencetuskan gelombang inovasi dan teknologi dalam sektor pertanian negara. Pelaksanaan insentif cukai ini dijangka membuka pintu lebih luas kepada syarikat korporat serta entiti GLC dan GLIC yang sebelum ini berhati-hati untuk memasuki sektor makanan. Dengan risiko pelaburan yang kini lebih rendah, mereka boleh mempertimbangkan langkah lebih besar dalam bidang seperti ladang kontrak, pemprosesan makanan, automasi pertanian, akuakultur dan penternakan intensif.

Berikut adalah 10 contoh produk dan inovasi menarik yang kami jangka akan lahir hasil daripada dasar ini:

1. Ladang Tertutup Pintar (Smart Closed Farm)

Kandang atau reban yang dikawal sepenuhnya oleh sensor dan sistem automatik.

Contoh: Syarikat ternak ayam buat reban tertutup automatik — suhu, cahaya & kipas dikawal oleh sensor. Kalau panas, kipas hidup sendiri.

Kesan: Ayam cepat membesar, kurang mati, kurang bau dan data boleh dipantau dari telefon.

Bagaimana pelepasan cukai membantu?

  • Penternak boleh gunakan galakan cukai projek baharu ini untuk melabur dalam projek automasi (sensor, kipas dan controller reban, auto-feeder, pembersih lantai).

Kesan kepada pengguna:

  • Bila kadar kematian rendah, kos pengeluaran per kg menurun maka potensi harga ayam runcit menjadi lebih murah dalam jangka sederhana (masih bergantung kepada kos logistik dan dasar harga siling).

2. Vertical Farm / Greenhouse Bandar

Tanam sayur secara bertingkat dalam bangunan tertutup (guna LED & baja cecair).

Contoh: Startup dekat Shah Alam buat farm dalam kontena, tanam salad dan herba premium untuk hotel.

Kesan: Tanam sepanjang tahun tanpa gangguan cuaca; hasil lebih konsisten & mesra bandar.

3. Protein Alternatif & Makanan Ternakan daripada Serangga

Guna larva lalat BSF (black soldier fly) sebagai makanan ayam/ikan menjadi sumber protein yang murah dan mampan.

Contoh: Kilang kecil proses sisa makanan jadi makanan larva BSF, kemudian jual semula larva kering ke ladang ayam.

Kesan: Kurangkan kebergantungan kepada dedak import.

Laporan Bernama (25 Jul 2022) & Astro Awani (26 Jul 2022) pernah menyebut tentang kerjasama penyelidik Universiti Malaya × Ain Aquaculture di Kampung Gajah, Pengkalan Chepa (Kelantan); projek penternakan BSF yang bermula tahun 2020 dengan kos awal sekitar RM10,000 sebagai usaha mengurangkan kebergantungan pada sumber import seperti jagung bijian dan soya.

4. Rantaian Sejuk (Cold Chain) Pintar

Sistem simpanan dan penghantaran bahan makanan dengan kawalan suhu automatik.

Contoh: Lori ikan laut dalam dipasang sensor suhu & GPS. Kalau suhu naik, HQ terus dapat amaran.

Kesan: Kurang pembaziran makanan, kualiti kekal segar dari laut ke kedai.

5. Biofertilizer & Biopestisid Tempatan

Baja dan racun organik yang dibuat daripada mikrob atau bahan semula jadi.

Contoh: Syarikat guna sisa kelapa sawit untuk hasilkan baja mikrob aktif untuk sayur-sayuran organik.

Kesan: Kurangkan penggunaan bahan kimia import dan lebih mesra alam.

6. Jejak Halal & Kebolehkesanan (Traceability)

Sistem QR code pada produk untuk sahkan asal-usul bahan makanan.

Contoh: Beli ikan beku, scan QR → keluar info ‘diternak di Johor, dituai 5 Oktober 2025, disimpan pada -18°C’.

Kesan: Tingkatkan keyakinan pengguna dan potensi eksport halal.

7. Agri-Automation-as-a-Service (Sewa Teknologi Pertanian)

Ladang kecil boleh sewa atau langgan servis automasi tanpa perlu beli mesin mahal.

Contoh: Syarikat drone datang sembur baja dan racun secara automatik, ladang cuma bayar ‘per ekar’.

Kesan: Teknologi sampai ke petani kecil tanpa modal besar.

8. Produk Makanan Sedia Makan (Ready-to-Eat) Tempatan

Produk siap masak tapi dibuat daripada bahan mentah tempatan sendiri.

Contoh: Ladang ayam keluarkan nasi lemak ayam kampung sejuk beku – semua bahan dari ladang sendiri.

Kesan: Rantaian nilai lebih panjang, keuntungan lebih tinggi.

9. Benih & Varieti Premium Tempatan

Benih tempatan yang tahan penyakit dan sesuai dengan iklim Malaysia.

Contoh: Usahawan R&D hasilkan benih cili ‘Kampung King’ – tahan panas & cepat berbuah.

Kesan: Petani tak perlu bergantung kepada benih import.

10. Pusat Latihan & Data Agronomi

Tempat petani belajar guna teknologi & kongsi data hasil tanaman.

Contoh: ‘Agri Tech Lab’ ajar guna sensor tanah dan tunjuk data hasil purata untuk banding prestasi ladang.

Kesan: Produktiviti meningkat sebab petani belajar dari data sebenar.

Dasar pengecualian cukai ini membuka ruang untuk transformasi menyeluruh dalam ekosistem makanan negara. Jika digerakkan dengan betul, Malaysia boleh jadi peneraju dalam inovasi agro-teknologi Asia Tenggara.

Baca juga :