10 Perkara Anda Perlu Tahu Tentang Cukai Pendapatan Di Malaysia

Cukai pendapatan adalah cukai yang dikenakan ke atas pendapatan daripada penggajian, komisen, kerja lebih masa, elaun, yuran pengarah, dividen, sewa, royalti, pendapatan perniagaan yang diterima oleh individu, syarikat, koperasi, persatuan dan sebagainya pada setiap tahun.

Mulai tahun 2004, pendapatan yang diterima di Malaysia dari luar Malaysia adalah dikecualikan daripada cukai. Jadi jika anda bermastautin atau yang tidak bermastautin di Malaysia dikenakan cukai atas pendapatan yang diperoleh dari Malaysia sahaja.

Bulan untuk hantar borang cukai pendapatan dah nak sampai. Jom kita ambil tahu 10 perkara berkenaan cukai pendapatan di Malaysia seperti berikut:

1. Jumlah Pendapatan Minimum Yang Dikenakan Cukai

Bermula tahun 2015, individu yang mempunyai pendapatan penggajian tahunan melebihi RM34,000 setahun (selepas potongan KWSP) perlu mendaftar fail cukai pendapatan.

Sekiranya pekerja layak dikenakan Potongan Cukai Berjadual (PCB), pekerja dinasihatkan mendaftar fail cukai pendapatan terlebih dahulu sebelum potongan PCB dibuat.

2. Bagaimana Nak Dapatkan Nombor Cukai Pendapatan?

Boleh semak dulu nombor cukai pendapatan anda di http://edaftar.hasil.gov.my/semaknocukai

Kalau belum pernah ada lagi, boleh mendaftar buat kali pertama di http://edaftar.hasil.gov.my

3. Apakah Yang Patut Saya Lakukan Jika Saya Layak Dikenakan Cukai?

Permohonan pendaftaran nombor rujukan cukai pendapatan juga boleh dibuat di cawangan yang berhampiran.

Dokumen-dokumen yang diperlukan untuk pendaftaran:

  • Satu salinan Borang Penyata Pendapatan (Borang EA/EC) terkini / Slip Gaji terkini;
  • Satu salinan kad pengenalan/kad pengenalan polis/kad pengenalan tentera/passport antarabangsa;
  • Satu salinan sijil perkahwinan (jika ada).

Anda juga boleh membuat pendaftaran nombor rujukan cukai melalui e-Daftar seperti di point #2 di atas.

4. Apa Itu e-Daftar?

e-Daftar adalah aplikasi permohonan pendaftaran fail cukai pendapatan untuk pembayar cukai baru mendapatkan nombor rujukan cukai.

Jika anda merupakan warganegara Malaysia yang menjalankan perniagaan, anda juga perlu memuat naik sijil pendaftaran perniagaan. Pendaftaran fail cukai syarikat perlu dibuat sebaik sahaja syarikat telah berjaya ditubuhkan dan didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) walaupun syarikat belum memulakan operasi.

* Nota tambahan – Sekiranya tiada dokumen lengkap diterima dalam tempoh 14 hari dari tarikh permohonan dan pemohon dikehendaki membuat semula permohonan baru berserta dokumen yang lengkap

5. Pelepasan Cukai

Pelepasan cukai merujuk kepada perbelanjaan-perbelanjaan atau perkara-perkara yang dibenarkan untuk ditolak daripada jumlah pendapatan tahunan supaya dapat mengurangkan pendapatan bercukai.

Senarai pengecualian cukai ini akan berubah-ubah kerana ia bergantung kepada dasar kerajaan yang diumumkan dalam Bajet Kerajaan pada bulan Oktober setiap tahun.

Sumber: Laman Web LHDN

J.A.N.G.A.N nak tipu-tipu pula dekat bahagian pelepasan ni.

  • Peralatan penyusuan tu pembayar cukai wanita (isteri) saja yang boleh tuntut.
  • Perbelanjaan perubatan penyakit tu untuk sakit yang sukar diubati. AIDS, sindrom Parkinson, barah, penyakit buah pinggang, leukemia dan lain-lain penyakit yang serupa yang lain. ‘Lain-lain penyakit yang serupa’ termasuk serangan jantung, pulmonary hypertension, penyakit hati kronik, fulminant viral hepatitis, trauma kepala dengan defisit nurologikal, ketumbuhan otak dan kecacatan kepada pembuluh darah, melepuh dan melecur yang keterlaluan, pemindahan organ, pemotongan kaki dan/atau tangan. Perbelanjaan ke klinik masa demam selsema biasa-biasa tu jangan pula tuntut.
  • SSPN tu pula silap haribulan LHDN dah ada siap-siap maklumat penabung.

22 Cara ‘Elak’ Daripada Kena Bayar Cukai Pendapatan Secara Sah

6. Kadar Cukai Pendapatan

Secara umumnya, individu yang berpendapatan lebih tinggi akan dikenakan kadar cukai yang lebih tinggi juga setimpal dengan pendapatan yang diperolehi.

Kadar peratusan serendah 1% dan paling tinggi 28%

Sumber: Laman Web LHDN

7. Apa Itu Potongan Cukai Berjadual (PCB)?

PCB adalah satu mekanisme potongan cukai pendapatan secara berjadual. Ia dapat membantu untuk mengurangkan beban membayar cukai kerana bayaran dilakukan secara potongan bulanan, ditolak daripada gaji yang diterima.

Kerja Makan Gaji Perlu Tahu Potongan Cukai Berjadual (PCB)

8. Hantar Borang Online Menerusi e-Filing

Setiap tahun pada bulan Mac dan April, adalah bulan cukai di mana biasanya kita dapat lihat ‘pesta’ di pejabat-pejabat LHDN yang dipenuhi manusia. Tapi sekarang dah moden, boleh saja kita setelkan secara online menggunakan sistem e-Filing.

Jadi apa itu e-Filing?

Aplikasi e-Filing adalah merupakan sistem yang membolehkan pembayar cukai membuat pengisian dan menghantar Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) dan borang anggaran secara dalam talian. BNCP dan borang anggaran yang disediakan dalam e-Filing adalah seperti berikut:

  • Borang B/BT (e-B/e-BT) – Ada Punca Pendapatan Perniagaan/Pekerja Berpengetahuan atau Berkepakaran
  • Borang BE (e-BE) – Tiada Punca Pendapatan Perniagaan
  • Borang P (e-P) – Borang Nyata Perkongsian
  • Borang M/MT (e-M/e-MT) – Borang Nyata bagi Individu Bukan Pemastautin/Pekerja Berpengetahuan
  • Borang E (e-E) – Borang Nyata Oleh Majikan
  • Borang C (e-C) – Borang Nyata Syarikat
  • Layout Maklumat Praisi 2017 – Borang Nyata Koperasi
  • Borang R (e-R) – Penyata Baki 108 Tersemak
  • Borang CP204 (e-CP204) – Borang anggaran cukai Syarikat/Koperasi/Badan Amanah
  • Borang CP204A (e-CP204A) – Borang pindaan cukai Syarikat/Koperasi/Badan Amanah Pindaan ke-6 atau Pindaan ke-9
  • Borang TF (e-TF) – Borang Nyata Pertubuhan
  • e-Permohonan Pindaan BE – e-Permohonan Pindaan BE adalah permohonan pindaan atas kesilapan atau khilaf bagi Borang Nyata Cukai Pendapatan yang telah dikemukakan secara e-Filing atau m-Filing dalam tempoh
  • Semakan Pengesahan – Semakan semula pengesahan penerimaan borang yang telah dihantar secara e-Filing. Pengguna boleh menyimpan ataupun mencetak semula pengesahan tersebut.

9. Terlupa Kata Laluan e-Filing?

Haruslah kita terlupa, sebab e-Filing ni setahun sekali saja. Kadang-kadang emel pun dah bertukar, apatah lagi kata laluan terlupa.

Senang je, bila nak login tu akan ada butang ‘Terlupa Kata Laluan’.

Bila kita klik, akan keluar seperti berikut:

Arahan #2 tu kata kalau no. telefon bimbit anda berdaftar dengan LHDNM, boleh mohon Kod Pengaktifan Sementara melalui SMS.

  1. Permohonan Kod Pengaktifan Sementara melalui SMS adalah bagi pengguna MAXIS, Celcom, Digi dan Umobile sahaja. Pengguna perlu mempunyai no. telefon bimbit berdaftar dengan LHDNM.
  2. Cara untuk mendapatkan kod pengaktifan sementara :

    Pengguna sijil digital individu, hantar “HASILEF<jarak>IND<jarak><No Pengenalan>” ke 38888.

    Contoh : HASILEF IND 111111111111

    Pengguna sijil digital organisasi, hantar “HASILEF<jarak>IND<jarak><No Pengenalan>” ke 38888.

    Contoh : HASILEF OEF 111111111111

  3. Setiap SMS maklum balas daripada LHDNM akan dikenakan bayaran RM0.50.

Sumber: LHDN Terlupa Kata Laluan

10. Cara Bayar Cukai Pendapatan

a) Melalui FPX
Perkhidmatan ini menggunakan FPX sebagai gateway untuk pembayaran cukai. Pengguna perlu mempunyai akaun perbankan internet dengan mana-mana bank yang menyertai FPX.

Bank yang menawarkan pembayaran secara FPX

b) Melalui Kad Kredit
Pembayaran melalui kad kredit seperti VISA, Mastercard dan American Express yang dikeluarkan di Malaysia secara online di https://byrhasil.hasil.gov.my/creditcard/

Juga boleh menggunakan perkhidmatan Ezypay untuk pemegang kad kredit Maybank.

c) Melalui Kaunter Bayaran

Bayaran cukai pendapatan juga boleh dibuat di kaunter bayaran LHDNM (Jalan Tunku Abdul Halim, Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Sabah & Kuching, Sarawak).

Sebarang maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari portal rasmi LHDN di www.hasil.gov.my atau hubungi Pusat Panggilan di talian 1-800-88-5436.

Membayar Cukai Tanggungjawab Kita Bersama

Bersyukurlah kita tergolong dalam golongan orang yang mempunyai gaji yang besar berbanding kebanyakan orang lain di Malaysia. Oleh itu, jalankan tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia dengan mengisytihar pendapatan dan juga membayar cukai pendapatan setiap tahun.

Bila sebut sahaja LHDN, rata-rata akan tersentap mendengar 4 huruf berbisa ini yang langsung berkait rapat dengan cukai. Topik cukai bukanlah satu isu yang asyik dibincangkan. Malah, mereka yang bukan dari golongan pembayar cukai akan cepat-cepat tutup telinga dan melarikan diri dari isu panas ini.

Sebenarnya, isu cukai adalah topik yang menyeronokkan dan patut diambil berat oleh semua individu yang menjana pendapatan lebih dari RM36,000 SETAHUN, lebih-lebih lagi usahawan dan mereka yang memiliki perniagaan. Kurang daripada itu, anda sebenarnya tak perlu takut.

Previous ArticleNext Article
An introverted chocoholic whom happened to be involved in content curation and stock trading

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

10 Kesilapan Isi e-Filing Yang Ramai Orang Selalu Buat

Setiap kali musim e-Filing, ramai antara kita akan buka MyTax, masukkan maklumat gaji, tuntut pelepasan cukai dan tekan butang “Hantar”.

Nampak mudah. Tapi betul ke semua maklumat dah diisi dengan tepat?

Ada yang tersalah pilih borang. Ada yang terlupa masukkan bonus. Ada juga yang tak lapor pendapatan sewa sebab ingat dah ada potongan PCB, jadi tak perlu risau lagi.

Kesilapan macam ini mungkin nampak kecil, tetapi boleh menyebabkan kita terlepas pelepasan cukai, lambat menerima bayaran balik atau terpaksa membayar cukai tambahan.

Jom semak 10 kesilapan yang patut kita elakkan.

1. ❌ Tersalah pilih Borang B atau Borang BE

Ini antara perkara asas yang ramai pembayar cukai perlu faham.

Borang BE digunakan oleh individu pemastautin yang tidak menjalankan perniagaan, manakala Borang B digunakan oleh individu pemastautin yang menjalankan perniagaan.

Contohnya, Ali bekerja makan gaji dengan pendapatan tahunan RM72,000. Pada masa yang sama, dia menjalankan perniagaan menjual pakaian secara dalam talian (TikTok Shop, Shopee) dan memperoleh keuntungan bersih RM20,000 setahun.

Ali tidak boleh memilih Borang BE semata-mata kerana dia juga mempunyai pekerjaan tetap. Dia perlu menggunakan borang yang sesuai dengan keadaan pendapatannya.

Jika tersalah menghantar Borang BE, maklumat pendapatan perniagaannya mungkin tidak dilaporkan melalui borang yang sepatutnya.

Kesannya, Ali mungkin perlu mendapatkan panduan HASiL untuk membetulkan pelaporan cukainya.

Penting juga untuk diingat bahawa pendapatan sewa atau pendapatan sampingan tidak secara automatik bermaksud seseorang perlu menggunakan Borang B. Penentuan bergantung pada sifat pendapatan dan sama ada individu itu menjalankan perniagaan bagi tujuan cukai.

2. ❌ Tertinggal bonus ketika mengisi pendapatan penggajian

Katakan pendapatan penggajian seseorang sepanjang tahun ialah RM80,000, terdiri daripada:

  • Gaji tahunan: RM72,000
  • Bonus: RM8,000

Tetapi ketika mengisi e-Filing, dia hanya memasukkan RM72,000 dan terlupa memasukkan bonus.

Akibatnya, pendapatan penggajian terkurang lapor sebanyak RM8,000.

Jika tambahan pendapatan itu dikenakan cukai pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM8,000 × 19% = RM1,520

Jumlah sebenar bergantung pada pendapatan bercukai keseluruhan, pelepasan, rebat dan kadar cukai progresif.

Sebab itu, semak Borang EA atau EC dan pastikan jumlah pendapatan penggajian merangkumi gaji, bonus serta saraan bercukai lain yang berkaitan.

Dah hantar e-Filing? Jangan hantar borang baharu untuk tahun taksiran yang sama. Semak kaedah pindaan yang sesuai dengan HASiL kerana kesilapan ini melibatkan pendapatan terkurang lapor.

3. ❌ Tersalah pilih “Ya” untuk cukai ditanggung oleh majikan

Ada yang keliru antara cukai ditanggung majikan dengan Potongan Cukai Bulanan (PCB).

Ruangan “Cukai ditanggung oleh majikan” merujuk kepada keadaan majikan menanggung cukai pendapatan pekerja mengikut aturan pekerjaan. Ia bukan sekadar bermaksud majikan memotong PCB daripada gaji.

Bayangkan seorang pekerja sepatutnya menerima bayaran balik RM2,000, tetapi tersalah memilih “Ya” walaupun cukai sebenarnya ditanggung sendiri.

Kesilapan ini boleh menyebabkan bayaran balik tertangguh sementara maklumat disemak.

Isu ini pernah mendapat perhatian pada Mac 2026 apabila HASiL menjelaskan tindakan bagi kes pembayar cukai Tahun Taksiran 2025 yang tersilap memilih ruangan tersebut. Bagi kes yang disahkan, pembayar cukai tidak perlu meminda borang dan bayaran balik akan diproses secara berperingkat.

Jadi, jangan klik secara automatik. Fahami maksud setiap ruangan sebelum menghantar borang.

4. ❌ Tuntut Pelepasan Cukai untuk Perbelanjaan yang Sudah Dibayar oleh Majikan

Ramai tak sedar, bukan semua perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai boleh dituntut begitu sahaja, terutamanya apabila kos tersebut sudah ditanggung oleh majikan.

Contohnya, syarikat menyediakan manfaat perubatan yang menanggung 100% kos rawatan pekerja. Ali menerima rawatan penyakit serius bernilai RM5,000 dan keseluruhan bil dibayar oleh syarikat. Ali kemudian cuba menuntut RM5,000 yang sama sebagai pelepasan cukai perubatan dalam e-Filing.

Ini boleh menjadi kesilapan kerana Ali tidak menanggung sendiri perbelanjaan tersebut.

Apa yang perlu dibuat? Semak syarat khusus bagi setiap kategori pelepasan cukai dan pastikan tuntutan dibuat berdasarkan perbelanjaan yang benar-benar layak dituntut.

Ingat, tuntutan pelepasan cukai bukan sekadar tentang berapa banyak kita berbelanja, tetapi juga sama ada perbelanjaan itu memenuhi syarat yang ditetapkan.

Perbelanjaan perubatan bagi penyakit serius termasuk rawatan dibuat ke atas penyakit seperti sindrom Kurang Daya Ketahanan (AIDS), sindrom Parkinson, barah, penyakit buah pinggang, leukemia dan lain-lain penyakit yang serupa. ‘Lain-lain penyakit yang serupa’ termasuk serangan jantung, pulmonari hypertension, penyakit hati kronik, fulminant viral hepatitis, trauma kepala dengan defisit nurologikal, ketumbuhan otak dan kecacatan kepada pembuluh darah, melepuh dan melecur yang keterlaluan, pemindahan organ utama dan pemotongan kaki dan / atau tangan. Potongan sehingga RM10,000 dibenarkan ke atas amaun yang dibelanjakan untuk rawatan ke atas diri sendiri, pasangan atau anak. Rujuk Nota Penerangan BE

5. ❌ Tuntut pelepasan cukai, tetapi resit tak dapat dicari

Contohnya, seseorang menuntut pelepasan bagi pembelian komputer riba bernilai RM3,000 tetapi tidak dapat mengemukakan bukti pembelian apabila diminta.

Jika tuntutan itu tidak dapat disokong dan akhirnya ditolak, pendapatan bercukainya mungkin meningkat RM3,000.

Pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM3,000 × 19% = RM570

Dia mungkin perlu membayar cukai tambahan RM570, bergantung pada pengiraan cukai sebenar.

Sebab itu, pastikan tuntutan memenuhi syarat dan simpan resit, invois serta dokumen sokongan yang berkaitan.

HASiL secara amnya menetapkan rekod dan dokumen berkaitan cukai perlu disimpan selama tujuh tahun mengikut keperluan undang-undang.

6. ❌ Salah masukkan nombor akaun bank

Katakan seseorang layak menerima bayaran balik cukai sebanyak RM1,800, tetapi tersalah memasukkan nombor akaun bank.

Kesilapan ini boleh menyebabkan bayaran balik tertangguh atau memerlukan pengesahan lanjut.

Duit itu tidak semestinya hilang, tetapi pembayar cukai mungkin perlu menghubungi HASiL untuk menyelesaikan masalah tersebut.

7. ❌ Terlupa memasukkan maklumat anak

Ini juga boleh berlaku kepada ibu bapa yang mempunyai beberapa orang anak.

Contohnya, seorang pembayar cukai terlupa menuntut pelepasan anak sebanyak RM2,000 yang sebenarnya layak.

Jika kadar marginal cukainya 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM2,000 × 19% = RM380

Dia mungkin terlepas peluang mengurangkan cukai sebanyak RM380.

Walau bagaimanapun, kelayakan dan jumlah pelepasan bergantung pada syarat yang ditetapkan bagi tahun taksiran berkenaan, termasuk keadaan dan status anak.

Jadi, jangan anggap maklumat yang diisi pada tahun sebelumnya semestinya sudah lengkap untuk tahun semasa.

8. ❌ Tak lapor pendapatan sewa rumah

Ini contoh yang dekat dengan kehidupan ramai pekerja makan gaji.

Amir bekerja dengan pendapatan tahunan RM90,000. Dalam masa yang sama, dia menyewakan sebuah rumah pada harga RM1,200 sebulan.

Pendapatan sewa setahun:

RM1,200 × 12 bulan = RM14,400

Katakan perbelanjaan sewa yang dibenarkan ialah RM3,000. Pendapatan sewa bersih untuk ilustrasi ialah RM11,400.

Jika pendapatan bercukai Amir sebelum mengambil kira pendapatan sewa ialah RM75,000 dan tambahan itu dikenakan cukai pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM11,400 × 19% = RM2,166

Jumlah sebenar bergantung pada pengiraan pendapatan berkanun sewa, perbelanjaan yang dibenarkan, pelepasan dan kadar cukai progresif.

Jangan anggap pendapatan sewa boleh diabaikan hanya kerana kita sudah mempunyai pekerjaan tetap dan PCB dipotong setiap bulan.

9. ❌ Tak lapor pendapatan freelance atau komisen

Siti bekerja sepenuh masa dan turut melakukan kerja freelance pada hujung minggu.

Sepanjang tahun, dia memperoleh pendapatan freelance bersih sebanyak RM18,000 daripada perkhidmatan reka bentuk dan pengurusan media sosial.

Dia menganggap pendapatan itu tidak perlu dilaporkan kerana bayaran diterima daripada pelanggan secara berasingan daripada gaji.

Jika pendapatan tersebut merupakan pendapatan perniagaan yang perlu dilaporkan, kesilapan ini boleh menyebabkan cukai terkurang dikira.

Dengan andaian keseluruhan RM18,000 itu merupakan tambahan kepada pendapatan bercukainya dan dikenakan cukai pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM18,000 × 19% = RM3,420

Pengiraan sebenar bergantung pada sifat pendapatan, perbelanjaan yang dibenarkan dan pengiraan cukai keseluruhan.

Perkara yang sama perlu diberi perhatian bagi pendapatan komisen, perniagaan dalam talian dan aktiviti lain yang menghasilkan pendapatan bercukai.

10. ❌ Tak lapor pendapatan luar negara kerana ingat semuanya bebas cukai

Ada orang bekerja di Singapura, kemudian memindahkan gaji ke akaun bank Malaysia. Ada juga yang menjalankan perniagaan melalui eBay.

Persoalannya, adakah semua pendapatan ini automatik bebas cukai di Malaysia?

Jawapannya, tidak semestinya. Layanan cukai bergantung pada jenis pendapatan, sumber pendapatan, status pemastautin cukai dan syarat pengecualian yang berkenaan.

Contohnya, Ali bekerja di Singapura dan menerima gaji SGD5,000 sebulan. Dia memindahkan gajinya ke akaun bank Malaysia. Pemindahan wang itu sahaja tidak bermaksud gajinya automatik dikenakan cukai di Malaysia. Ali lazimnya perlu membayar cukai pendapatan di Singapura kerana dia bekerja secara fizikal di sana.

Sebaliknya, Ali turut menjalankan perniagaan menjual barang melalui eBay. Jika perniagaan itu diuruskan dari Malaysia, keuntungan perniagaan tersebut perlu dinilai berdasarkan peraturan cukai Malaysia dan mungkin perlu dilaporkan dalam e-Filing.

Dah hantar e-Filing tetapi baru sedar ada kesilapan?

Jangan terus panik. Tetapi jangan biarkan kesilapan itu tanpa tindakan.

Langkah pertama ialah kenal pasti jenis kesilapan:

  • Terlupa tuntut pelepasan atau rebat: Semak sama ada pembetulan boleh dibuat melalui saluran pindaan yang dibenarkan.
  • Pendapatan terkurang lapor: Semak kaedah pindaan yang sesuai, termasuk Borang Nyata Terpinda jika memenuhi syarat.
  • Salah pilih ruangan atau maklumat peribadi: Semak dengan HASiL sama ada perlu meminda borang atau mengemas kini maklumat sahaja.
  • Salah maklumat akaun bank: Hubungi HASiL untuk mendapatkan panduan mengemas kini maklumat bayaran balik.

Kaedah pembetulan bergantung pada jenis borang, tahun taksiran, tempoh pindaan dan keadaan kes.

Rujuk panduan rasmi: https://www.hasil.gov.my/individu/pindaan-taksiran/

Kesimpulannya

Mengisi e-Filing bukan sekadar memasukkan angka daripada Borang EA dan menekan butang “Hantar”.

Kita perlu memastikan semua pendapatan yang perlu dilaporkan telah dimasukkan, pelepasan memenuhi syarat dan maklumat peribadi adalah tepat.

Lebih baik semak dua kali sebelum hantar daripada terpaksa membetulkan kesilapan kemudian.

Simpan artikel ini untuk rujukan musim e-Filing dan kongsikan kepada kawan-kawan yang sedang mengisi borang cukai mereka.