Belanjawan 2024: Pakar Cadang Pelepasan Cukai Ke Atas Perancangan Kewangan

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) — Kerajaan perlu memperkenalkan pelepasan cukai ke atas fi perancangan kewangan dalam Belanjawan 2024, yang boleh membantu meningkat pengetahuan dan kesedaran mengenai kemampanan kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia.

 Pengarah Perkhidmatan Pelaburan Perbendaharaan Korporat, Wealth Vantage Advisory Sdn Bhd, Idham Idris berkata insentif seperti itu akan menyokong hasrat kerajaan untuk memastikan setiap orang bersedia dari segi kewangan untuk masa depan.

Langkah untuk memastikan rakyat Malaysia mendapatkan penasihat kewangan yang betul dan berkelayakan berdasarkan keperluan mereka juga penting, katanya semasa taklimat media mengenai harapan Belanjawan 2024 oleh Persatuan Perancangan Kewangan Malaysia (PPKM) di sini, pada Rabu.

Beliau berkata perkara itu meliputi aspek pengurusan kewangan seperti persaraan, simpanan, penyelesaian hutang dan matlamat kekayaan, sekal gus menghindari daripada ditipu.

Sementara itu, Pengarah Alpine Advisory Sdn Bhd, Rozanna Rashid turut bersetuju dengan cadangan itu dengan berkata ia boleh menangani kekurangan pengurusan kewangan terutama kalangan rayat dalam kumpulan berpendapatan B40 dan M40.

Beliau yakin celik kewangan perlu bermula pada usia yang masih muda terutama menerusi pendidikan di sekolah, memandangkan pemegang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan yang berkelulusan lebih rendah kini membentuk lebih separuh daripada tenaga kerja.

Syarikat juga perlu meneliti cara untuk memperkenalkan program celik kewangan bagi membantu pekerja mereka memperkukuh kedudukan kewangan, katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif UNO Advisers Sdn Bhd, Ian Wong berkata menumpukan celik pengurusan risiko juga penting supaya rakyat Malaysia menyedari keperluan masing-masing.

Beliau berkata selain itu ramai yang diinsuranskan secara tidak wajar.

“Jadi, ia mungkin diwajibkan apabila anda membeli polisi, anda diberi pilihan lain yang lebih murah daripada sebaliknya.

“Saya berpandangan penting untuk mereka memahami bahawa insurans perubatan ialah alat pengurusan risiko, dan melihat cara untuk harus menggunakannya dan memikirkannya sebagai kos,” katanya.

Wong berkata pelepasan ke atas fi kewangan juga akan menggalakkan penyertaan aktif dalam kalangan penasihat sekali gus mewujudkan lebih banyak pekerjaan.

Terdapat 1,500 hingga 2,000 perancang kewangan berlesen di Malaysia, namun jumlah mereka yang berkhidmat dan aktif adalah rendah, katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Pembayar Cukai Diseru Bersedia Awal Supaya Pelaksanaan e-Invois Berjalan Lancar

GEORGE TOWN, 23 Sept (Bernama) — Semua pembayar cukai digesa supaya tidak berlengah dan menunggu saat akhir untuk melaksanakan e-Invois, sebaliknya membuat persediaan awal bagi memastikan proses itu berjalan lancar, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata langkah proaktif akan membantu perniagaan dan organisasi menguruskan peralihan kepada sistem percukaian digital dengan lebih baik.

“Sekiranya terdapat sebarang cabaran atau perkara yang memerlukan perbincangan lanjut, pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) sentiasa bersedia untuk berbincang bagi memastikan isu dan cabaran yang dihadapi pembayar cukai dapat diatasi,” katanya ketika berucap merasmikan program Jelajah Mega e-Invois Siri 2/2025 Peringkat Nasional di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut menggalakkan peserta industri, persatuan perdagangan, badan profesional dan perniagaan memberikan cadangan bersifat membina untuk kerajaan menambah baik pelaksanaan e-Invois demi manfaat rakyat secara keseluruhannya.

Dalam pada itu, Amir Hamzah berharap program kesedaran dan pendidikan berkaitan e-Invois yang dilaksanakan LHDN dapat dimanfaatkan sepenuhnya, terutama oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), menjelang pelaksanaan fasa baharu bermula 2026.

Program jelajah itu adalah usaha berterusan untuk meningkatkan kesedaran, pemahaman dan pengetahuan mengenai pelaksanaan e-Invois.

Beliau berkata kerajaan telah bersetuju melanjutkan tempoh pelaksanaan e-Invois mandatori dengan memperkenalkan dua fasa baharu iaitu fasa keempat bagi perniagaan dengan jualan tahunan melebihi RM1 juta dan sehingga RM5 juta mulai 1 Jan, 2026, serta fasa kelima untuk perniagaan dengan jualan tahunan sehingga RM1 juta bermula 1 Julai, 2026.

Selain itu, nilai ambang pengecualian pelaksanaan e-Invois turut dinaikkan daripada jualan tahunan di bawah RM150,000 kepada di bawah RM500,000 bagi memberi manfaat kepada peniaga mikro dan kecil, katanya.

Setakat ini, lebih 102,800 pembayar cukai telah melaksanakan e-Invois dengan pengeluaran lebih 563 juta e-Invois, sekali gus menunjukkan sambutan positif terhadap inisiatif digitalisasi percukaian.

Selepas program itu, Menteri Kewangan II turut memanfaatkan peluang dengan turun padang ke beberapa premis pembayar cukai di sekitar Relau, dekat sini.

Beliau mengadakan lawatan kerja dua hari di Pulau Pinang sejak semalam, tiba di kawasan premis perniagaan itu pada 9.30 pagi dan menyantuni kalangan pemilik premis di kawasan itu.

Amir Hamzah bersama-sama pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) turut memberi penerangan kepada pemilik perniagaan pembayar cukai mengenai e-Invois supaya mereka dapat memahami perkara dengan jelas.

Lawatan turun padang itu juga bertujuan memberikan penerangan dan mendapat maklum balas secara langsung berkaitan dengan pelaksanaan e-Invois yang akan melibatkan lebih banyak perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mulai 1 Jan, 2026.

Hadir sama dalam lawatan turun padang itu ialah Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LHDN Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin.

Pelaksanaan e-Invois adalah sebahagian usaha kerajaan yang selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan diteruskan di dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), bertujuan memperkukuh infrastruktur perkhidmatan digital serta mempercepat pendigitalan ekosistem operasi perniagaan dan pentadbiran percukaian di Malaysia.
— BERNAMA