Deloitte: Pembayar Cukai Terjejas Perlu Menilai Implikasi Cukai Minimum

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) — Firma audit Deloitte berkata terdapat keperluan mendesak untuk menilai implikasi cukai minimum global (GMT) terhadap aliran tunai syarikat, pembayaran dividen serta kedudukan cukai berikutan pentingnya persediaan yang lebih awal.

Menurutnya kumpulan besar tertentu terutamanya kumpulan yang tersenarai di Malaysia, dana pencen, entiti kerajaan, dan pelaburan dalam negara oleh syarikat multinasional besar berasaskan asing, akan terjejas.

“Mana-mana cukai tambah nilai sehingga 15 peratus akan dikutip di bawah Cukai Tambah Nilai Minimum Domestik yang Layak (QDMTT), diikuti Peraturan Rangkuman Kewangan (IIR) dan akhir sekali, Peraturan Keuntungan Kadar Cukai Rendah (UTPR) dengan kesemuanya beroperasi dalam mekanisme yang kompleks,” katanya dalam kenyataan hari ini.

GMT dan QDMTT yang telah diumumkan pada Bajet 2023 dijangka dilaksanakan pada 2024.

“Di sebalik kerumitan GMT, komitmen Malaysia untuk melaksanakan GMT adalah jelas, dan langkah Kesatuan Eropah baru-baru ini mengukuhkan lagi hakikat bahawa GMT tidak boleh dihalang,” katanya.

Deloitte berkata pembayar cukai yang terjejas perlu melaksanakan penilaian impak dan menilai kesediaan data mereka pada awal 2023.

“Mereka tidak sewajarnya terkesan dengan keadaan bahawa Malaysia belum menggubal peraturan ini. Tambahan pula, peraturan GMT ini sepatutnya sejajar dengan kedudukan Pertubuhan bagi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) dan dijangka tidak membabitkan perubahan besar.

“Walaupun pulangan GMT yang pertama hanya akan dibayar kemudian, masa adalah penting berikutan penilaian impak mungkin akan mengambil masa terutamanya bagi kumpulan lebih besar. Justeru, penting untuk mengenal pasti entiti dalam kumpulan itu yang membawa risiko tinggi kerana ia mungkin mewujudkan cukai tambah nilai,” kata Deloitte.

Meskipun tanpa cukai tambah nilai, katanya obligasi kepada pematuhan secara besar-besaran perlu dipenuhi.

Menurut firma audit berkenaan, impak terhadap insentif cukai sedia ada serta permohonan baharu juga perlu dipertimbangkan sewajarnya.

Dari sudut pelaporan kewangan, antara yang sering ditanya adalah bagaimana cukai tambah nilai GMT ini boleh diambil kira dalam penyata kewangan, katanya.

“Pada bulan lepas, Lembaga Piawaian Perakaunan Antarabangsa (IASB) telah membincangkan perkara ini dan akan melaksanakan segera penetapan standard untuk mengecilkan ruang lingkup.

“Pada Januari 2023, ia berhasrat untuk mengeluarkan draf pendedahan mengenai pindaan disarankan, yang akan memberi pengecualian sementara daripada perakaunan cukai tertunda untuk cukai tambah nilai dan memerlukan syarikat untuk menyediakan pendedahan baharu dalam mengimbangi potensi kehilangan maklumat akibat pengecualian sementara itu,” katanya.

Menurut firma itu, berikutan perubahan yang dicadangkan ke atas IAS 12, disertai dengan agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus yang semakin penting, keperluan kepada laporan GMT itu juga perlu ditangani memandangkan penghitungannya membabitkan peraturan kompleks dan keperluan data yang meluas.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/deloitte-pembayar-cukai-terjejas-perlu-menilai-implikasi-cukai-minimum/

Previous ArticleNext Article

Tiada Cadangan Laksana Cukai Kekayaan Buat Masa Ini – MOF

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) — Kerajaan ketika ini tidak bercadang untuk melaksanakan cukai kekayaan sebanyak dua peratus ke atas individu kaya raya bagi menampung perbelanjaan kerajaan, menurut Kementerian Kewangan (MoF).

MoF menjelaskan bahawa buat masa ini kerajaan mendapati sumbangan hasil cukai kekayaan adalah tidak signifikan sekiranya elemen pengecualian dan pelepasan cukai diberikan sepertimana pelaksanaan lain-lain cukai yang sedia ada.

“Pelaksanaan cukai kekayaan dalam apa-apa bentuk atau mekanisme perlu diteliti daripada pelbagai aspek termasuk asas kenaan cukai yang kecil dan terhad di Malaysia.

“Namun, kerajaan sentiasa komited dalam memastikan dasar percukaian yang dilaksanakan adalah berlandaskan prinsip keadilan dan saksama serta lebih bersasar supaya struktur percukaian kekal progresif dan mampu mengurangkan jurang ketidaksamaan sosioekonomi,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Pada masa sama, menurut MoF, pendekatan secara lebih bersasar telah dilaksanakan dengan meluaskan asas cukai kepada golongan yang lebih berkemampuan.

Ini termasuk melalui pelaksanaan cukai keuntungan modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai, cukai dividen bagi pendapatan dividen melebihi RM100,000 dan cukai yang dikenakan ke atas agihan keuntungan melebihi RM100,000 yang diterima oleh pekongsi daripada perkongsian liabiliti terhad.

— Bernama