HASiL Laksana Operasi Khas Lawatan Banci Bisnes “Ops Stardust Kuala Lumpur”

Kuala Lumpur, 27 Februari 2024 – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) meneruskan usaha-usaha memperluas asas cukai dengan melaksanakan satu Operasi Khas Lawatan Banci Bisnes “Ops Stardust Kuala Lumpur”. Lawatan Banci Bisnes (LBB) ini berlangsung selama 2 hari bermula pada 26 Februari 2024 di sekitar Kuala Lumpur.

Operasi Lawatan Banci Bisnes ini adalah untuk mengenalpasti, mengumpul dan mengemaskini maklumat pemilik-pemilik perniagaan secara bersemuka oleh pegawai HASiL. Seramai lapan puluh (80) orang pegawai HASiL daripada Jabatan Perisikan dan Profiling (JPDP), WP Kuala Lumpur, WP Putrajaya, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka terlibat di dalam operasi kali ini. Di dalam majlis perasmian LBB tersebut, YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin, Ketua Pegawai Eksekutif HASiL berkata bahawa, strategi pematuhan yang menyeluruh merangkumi peringkat pengesanan, pengauditan, penyiasatan sehinggalah cukai sebenar dikutip hendaklah sentiasa dipatuhi, dilaksana dan ditambah baik agar selari dengan persekitaran dan cabaran semasa.

Selain itu, melalui LBB ini juga pegawai HASiL akan turut menyampaikan info-info berkait dengan percukaian bagi mendidik para peniaga agar tahap kesedaran dan pematuhan mereka meningkat. YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin turut ‘turun padang’ di dalam LBB tersebut pada hari pertama di sebelah malam bersama-sama dengan YBhg. Datuk Hisham Rusli, Timbalan Ketua Eksekutif (Pengurusan) serta barisan pengurusan kanan HASiL di lokasi operasi sekitar Bukit Bintang yang tertumpu kepada aktiviti-aktiviti perniagaan seperti gerai makanan, minuman dan buah-buahan.

HASiL turut menegaskan bahawa segala hasil penemuan maklumat yang diperolehi akan disemak dengan teliti dan tindakan audit atau siasatan akan dijalankan ke atas individu, perniagaan dan syarikat yang cuba mencari helah atau mengelak daripada melaporkan pendapatan dan membayar cukai yang sepatutnya baik warga tempatan mahupun asing.

Tindakan pematuhan secara berterusan juga akan dibuat termasuklah mengenakan penalti dan tindakan pendakwaan sekiranya didapati para peniaga gagal melaporkan jumlah pendapatan dan melanggar undang-undang percukaian. Menerusi pelaksanaan program seumpama ini, HASiL berharap aktiviti pelarian cukai dapat dibendung sekaligus dapat menyumbang kepada kelestarian ekosistem percukaian negara.

Untuk sebarang pertanyaan serta maklum balas, sila hubungi kami menerusi:

  1. Hasil Contact Centre (HCC) di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1000
    (Luar Negara);
    1. HASiL Live Chat; atau
    1. Borang Maklum Balas di Portal Rasmi HASiL di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/

Previous ArticleNext Article

Sistem e-Invois LHDN Capai 106,000 Pengguna, Nilai Transaksi Lebih RM675 Juta

PUTRAJAYA, 4 Nov (Bernama) – — Pelaksanaan Sistem e-Invois oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) terus menunjukkan pencapaian memberangsangkan apabila merekodkan lebih 106,000 pembayar cukai dengan transaksi berjumlah lebih RM675 juta, setakat ini.

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata sistem itu merupakan langkah besar ke arah pendigitalan menyeluruh yang bukan sahaja meningkatkan kecekapan, tetapi turut memperkukuh ketelusan dan integriti sistem percukaian negara.

“Pelaksanaan e-Invois adalah satu langkah besar ke arah digitalisasi menyeluruh. Ia bukan sekadar memodenkan proses percukaian, tetapi juga membina keyakinan rakyat terhadap kecekapan serta ketelusan pentadbiran hasil negara,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Sambutan Hari Inovasi dan Integriti 2025 LHDN di Menara Hasil Cyberjaya, Selangor, yang turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin.

Pada masa sama, Lim turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga LHDN atas komitmen dan dedikasi dalam memastikan sistem percukaian negara terus berfungsi dengan cekap serta berintegriti.

Selain itu, beliau menyifatkan kejayaan pelaksanaan Sistem Taksir Sendiri (STS) duti setem yang akan bermula 1 Januari 2026 sebagai satu lagi bukti inovasi progresif LHDN.

Melalui sistem itu, pembayar duti diberi kepercayaan menaksir sendiri kadar dan amaun duti, sekali gus mempercepat urusan serta menjimatkan masa pelanggan.

Beliau juga menekankan bahawa nilai inovasi dan integriti perlu sentiasa digerakkan seiring bagi membentuk perkhidmatan awam yang berprestasi tinggi dan dipercayai oleh rakyat.

“Inovasi tanpa integriti boleh membawa kepada penyalahgunaan manakala integriti tanpa inovasi boleh menyebabkan kita ketinggalan. LHDN telah membuktikan kedua-duanya boleh bergerak seiring dan berani mencuba perkara baharu sambil kekal berpaksikan nilai amanah dan tanggungjawab,” katanya.
— BERNAMA