Eksport Berkembang Lebih Pantas Manakala Import Kembali Positif

Pihak MITI mengucapkan terima kasih kepada YB Lim Guan Eng, Menteri Kewangan Malaysia kerana membentangkan Bajet yang komprehensif untuk tahun 2019 bertemakan “Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera” yang mengambil  kira isu dan cabaran yang dihadapi oleh Malaysia. Kerajaan komited untuk menangani isu-isu fiskal dan memperbaiki tadbir urus, demi kepentingan rakyat.

Defisit Belanjawan Semakin Berkurangan

Sehubungan dengan ini, komitmen terhadap defisit belanjawan telah disemak semula kepada 3.7% pada tahun 2018, 3.4% pada tahun 2019, 3.0% pada tahun 2020 dan 2.8% pada tahun 2021.

Kadar Pertumbuhan KDNK Pula Dijangka Menurun

Pertumbuhan KDNK telah disemak semula kepada 4.8% untuk tahun 2018 yang merupakan penurunan dari sasaran sebelumnya iaitu 5% hingga 5.5%, dengan mengambil kira cabaran semasa ekonomi domestik dan global. Secara tidak langsung ia akan memberi impak kepada pihak MITI untuk memperluaskan dan mengalakkan usahawan usahawan Malaysia berniaga secara global.

Perdagangan Malaysia bagi tempoh lapan bulan pertama 2018 berkembang sebanyak enam peratus kepada RM1.23 trilion berbanding tempoh yang sama 2017.

Peningkatan Eksport

Menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), eksport me­ningkat 6.3 peratus kepada RM650.56 bilion, manakala import meningkat lebih perlahan sebanyak 5.6 peratus kepada RM580.11 bilion. Ia membawa kepada penguncupan 83.7 peratus dalam lebihan dagangan kepada RM1.61 bilion yang merupakan kali ke-250 bulan berturut-turut sejak November 1997.

Bagi perbandingan bulan ke bulan, import berkembang tiga peratus manakala jumlah dagangan, eksport dan lebihan dagangan masing-masing menyusut kepada 1.2 peratus, lima peratus dan 80.7 peratus. Bagi prestasi sektor-sektor utama, eksport barangan perkilangan pada Ogos 2018, naik 1.8 peratus tahun ke tahun kepada RM68.5 bilion, me­rangkumi 83.7 peratus daripada jumlah eksport.

Peningkatan itu didorong terutamanya oleh kenaikan eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E), kimia dan bahan kimia, barangan besi dan keluli, serta barangan optik dan saintifik. Pada suku kedua 2018, eksport kasar berkembang pada kadar lebih pantas iaitu 8.2% (S1 2018: 5.8%), disokong terutamanya oleh kegiatan eksport semula yang meningkat sebanyak 53.5% (S1 2018: 42.3%).

Eksport domestik kembali pulih lalu mencatat pertumbuhan positif 0.2% (S1 2018: -0.7%). Lebihan perdagangan terus kukuh, walaupun jumlah lebihan kecil sedikit pada RM27.2 bilion (S1 2018: RM33.4 bilion). Pertumbuhan eksport disokong oleh permintaan yang berterusan daripada rakan perdagangan utama negara, khususnya dari rantau ini. Eksport barangan perkilangan meningkat dua angka sebanyak 10.6% (S1 2018: 8.2%).

Eksport semikonduktor terus mencatat pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 21.0% (S1 2018: 29.6%), sejajar dengan pengembangan berterusan dalam kitaran teknologi global seperti ditunjukkan oleh pertumbuhan dua angka dalam jualan semikonduktor global. Eksport pbarangan perkilangan berasaskan sumber dan bukan sumber meningkat pada kadar lebih pantas, didorong terutamanya oleh eksport kimia dan keluaran kimia, keluaran petroleum dan keluaran logam.

Eksport komoditi menguncup sedikit apabila kemerosotan berterusan dalam eksport minyak sawit mentah, Gas asli dan getah dapat diimbangi sebahagiannya oleh jumlah dan harga eksport minyak mentah yang lebih tinggi.

Import Kini Positif

Import kasar kembali pulih untuk mencatat pertumbuhan positif 7.7% pada suku kedua  (S1 2018: -0.8%), disokong oleh aktiviti eksport semula yang memberangsangkan dan pemulihan dalam import modal. Import untuk tujuan eksport semula didorong oleh segmen elektrik dan elektronik (E&E).

Import modal kembali pulih berikutan kegiatan pelaburan dalam negeri yang lebih kukuh dan luputnya kesan asas yang tinggi pada suku pertama 2017 bagi segmen kelengkapan pengangkutan. Walau bagaimanapun, import barangan pengantara terus merosot walaupun pada kadar lebih kecil. Pada era kini, banyak tertumpu kepada teknologi digital. Industri Malaysia perlu lebih berdaya saing bagi dalam memacu ekonomi terus ke hadapan.

Ditulis oleh Muhammad Khairin bin Hairul Nizan, Pelajar Fakulti Ekonomi Dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia

Sumber:

Bank Negara Malaysia: http://www.bnm.gov.my/index.php?lang=en&ch=fea&pg=en_fea_submission&ac=109

Jabatan Perangkaan Malaysia: https://www.dosm.gov.my/v1/index.php?r=column/cthemeByCat&cat=107&bul_id=YVhkaTM5YXNLTjgrMTdLSzlCOU05QT09&menu_id=bThzTHQxN1ZqMVF6a2I4RkZoNDFkQT09

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia: http://www.miti.gov.my/

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Bukan Semua Masalah Hutang Bermula Dengan Sikap Boros

Apabila kita membincangkan isu hutang, tanggapan yang sering muncul ialah seseorang itu mungkin terlebih berbelanja, tidak pandai mengurus wang, atau mengambil pinjaman tanpa berfikir panjang.

Namun, daripada pengalaman saya sendiri dan kerja harian kami bersama peminjam, realitinya tidak semudah itu.

Belakangan ini, ramai yang terperangkap dalam hutang bukan kerana mereka sengaja mahu hidup di luar kemampuan. Sebaliknya, masalah sering bermula daripada perkara yang nampak biasa, seperti kad kredit, bayaran minimum, ansuran kecil, pinjaman peribadi, atau kemudahan Beli Sekarang, dan Bayar Kemudian atau Buy Now, Pay Later (BNPL). Pada awalnya, angka pinjaman kelihatan kecil dan masih terkawal. Walau bagaimanapun, apabila faedah, caj lewat bayar dan komitmen bulanan mula bertambah, hutang yang kecil boleh menjadi suatu beban yang berat.

Inilah jurang yang jarang dibincangkan secara terbuka. Akses kepada kredit semakin mudah, tetapi kefahaman tentang kos sebenar hutang masih belum berkembang pada kadar yang sama.

Menurut Bank Negara Malaysia, hutang isi rumah kekal tinggi pada 84.8% daripada KDNK, bersamaan RM1.67 trilion pada akhir 2025. Angka ini menunjukkan betapa besarnya kebergantungan rakyat Malaysia terhadap kredit. Dalam masa yang sama, AKPK juga menekankan bahawa kad kredit dan pinjaman peribadi menyumbang kepada sebahagian besar kes pelanggan yang berhadapan kesukaran kewangan.

Bagi saya, isu ini bukan sekadar tentang berapa banyak peminjam, sebaliknya tentang berapa ramai yang benar-benar faham apa yang berlaku selepas mereka meminjam.

Sebagai contoh, bayaran minimum kad kredit. Ramai menganggap selagi mereka membayar jumlah minimum setiap bulan, status masih terkawal. Secara teknikal, akaun mungkin tidak tertunggak. Tetapi dari sudut kewangan, baki hutang masih berjalan, faedah masih dikira, dan tempoh pembayaran boleh menjadi jauh lebih panjang daripada yang dijangka.

Begitu juga dengan BNPL. Kemudahan ini boleh membantu jika digunakan secara berdisiplin, terutamanya untuk pembelian yang benar-benar perlu. Walaupun begitu, apabila seseorang mula mengambil beberapa komitmen kecil pada masa yang sama, jumlah keseluruhan boleh menjadi sukar dipantau. RM50 di satu platform, RM80 di platform lain, dan RM120 di tempat lain. Jumlah ini mungkin nampak kecil secara berasingan. Tetapi apabila digabungkan dengan sewa, ansuran kereta, bil telefon, pinjaman peribadi dan kad kredit, tekanan aliran tunai mula terasa.

Apa yang saya lihat adalah ramai peminjam sebenarnya bekerja, mempunyai pendapatan tetap, dan cuba memenuhi komitmen mereka sebaik mungkin. Mereka bukan tidak mahu membayar. Masalahnya, mereka lambat sedar bahawa struktur hutang mereka sudah tidak lagi sihat.

Di BlueBricks, kami menerima sekitar 30 hingga 40 pertanyaan penyatuan hutang setiap hari. Sebahagian besar datang daripada golongan bekerja yang pada awalnya menyangka hutang mereka masih boleh dikawal. Hal ini dapat kita lihat, apabila satu pinjaman digunakan untuk menutup pinjaman lain, atau kad kredit digunakan untuk menampung perbelanjaan asas, itu biasanya tanda bahawa masalah sudah masuk ke peringkat yang lebih serius.

Saya sendiri pernah melalui tekanan hutang yang besar selepas satu pelaburan gagal. Pengalaman itu mengajar saya bahawa tekanan kewangan bukan hanya soal nombor. Implikasinya, dari sudut emosi, keluarga, keyakinan diri dan cara seseorang membuat keputusan. Apabila seseorang berada dalam keadaan terdesak, mereka lebih mudah percaya kepada tawaran yang nampak cepat, mudah dan terlalu baik untuk menjadi benar.

Oleh itu, literasi kewangan tidak boleh berhenti pada nasihat umum seperti “jangan berhutang” atau “belanja ikut kemampuan”. Nasihat itu betul, tetapi tidak cukup. Pengguna perlu faham bagaimana faedah dikira, apa kesan bayaran minimum, bagaimana caj penalti terkumpul, dan bila sesuatu komitmen itu sudah mula menjejaskan kestabilan kewangan mereka.

Kita juga perlu lebih jujur bahawa celik kewangan bukan hanya penting untuk mereka yang berpendapatan rendah. Golongan profesional juga boleh terperangkap, terutamanya apabila gaya hidup, komitmen keluarga, kos sara hidup dan akses mudah kepada kredit bertembung pada masa yang sama.

Pada akhirnya, kad kredit, pinjaman dan BNPL boleh menjadi alat yang berguna jika dimanfaatkan dengan kefahaman dan disiplin. Tetapi tanpa pengetahuan yang mencukupi, alat yang sama boleh menjadi permulaan kepada kitaran hutang jangka panjang.

Jika Malaysia mahu membina masyarakat yang lebih stabil dari segi kewangan, kita perlu bergerak daripada sekadar memberi akses kepada kredit kepada memastikan pengguna benar-benar faham tanggungjawab yang datang bersamanya.

Kerana selalunya, masalah hutang tidak bermula apabila seseorang gagal membayar. Ia bermula lebih awal, apabila seseorang tidak benar-benar tahu berapa mahal harga sebenar hutang yang mereka ambil.

Penafian: Pandangan yang disediakan dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan. Harap maklum bahawa produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh BlueBricks Holdings adalah tidak patuh Syariah.

Nota: Artikel ini merupakan hasil sumbangan daripada Karl Ng, Pengarah BlueBricks Holdings