Kenapa Starbucks Gagal Bertapak Di Israel?

Sebelum ini, kami dah kongsikan bagaimana Starbucks berjaya merevolusi minuman kopi di peringkat antarabangsa. Minuman kopi yang dulunya hanya diminum di rumah dan kedai-kedai biasa, telah menjadi fenomena luar biasa kepada masyarakat yang gemarkan minuman kopi.

Baca: Starbucks Merevolusikan Minuman Kopi Sehingga Bernilai Berbilion Dolar

Starbucks telah berjaya mengubah pandangan rakyat Amerika Syarikat terhadap minuman kopi walaupun mereka terpaksa membayarnya dengan harga yang mahal untuk menikmatinya.

Kejayaan yang dibawa oleh Starbucks ini membuka mata banyak pihak bahawa jika sesuatu perniagaan dijalankan bersama dengan strategi yang betul, kemungkinan peluang untuk berjaya adalah sangat tinggi.

Pada pertengahan tahun 1990-an, Starbucks telah megembangkan perniagaan mereka ke luar Amerika Syarikat dan sambutan yang diterima amat menggalakkan sekali, termasuklah di rantau Asia dan Malaysia juga.

Walaupun begitu, tidak semua negara di dunia ini boleh menerima konsep perniagaan yang dibawa oleh Starbucks. Antara negara yang menolak kewujudan Starbucks di negara mereka adalah Israel.

Kredit Gambar: Politico

Memang kelihatan amat janggal apabila Israel merupakan negara yang menolak kehadiran Starbucks di negara mereka.

Mana taknya, orang yang bertanggungjawab mengembangkan syarikat tersebut adalah Howard Schultz. Beliau merupakan seorang Yahudi yang berasal dari Amerika Syarikat dan sering kali Starbucks dituduh sebagai syarikat yang membantu Israel daripada segi kewangan, walaupun perkara ini dinafikan oleh Howard Schultz sendiri.

Sejarah Starbucks Di Israel

Starbucks mula beroperasi di Israel pada tahun 2001. Starbucks telah menjalinkan kerjasama dengan sebuah syarikat konglomerat terkenal di Israel iaitu Delek.

Syarikat ini bertanggungjawab membuka cawangan Starbucks di Israel dan hasilnya, mereka telah berjaya membuka 6 buah cawangan di bandar Tel Aviv. Bandar tersebut dipilih disebabkan lokasinya yang strategik dan jauh daripada zon peperangan.

Pada ketika itu, intifada gelombang kedua telah bangkit di Palestin dengan banyak serangan berani mati giat dilancarkan oleh pejuang Palestin terhadap bandar-bandar di penempatan Yahudi.

This image has an empty alt attribute; its file name is Kenapa-Starbucks-Gagal-Bertapak-Di-Israel2.jpg
Kredit Gambar: News Max

Kenapa Starbucks Gagal Di Israel?

Starbucks hanya mampu bertahan dalam tempoh setahun lebih dari tarikh pembukaan cawangan restoran mereka. Sambutan yang diberikan oleh penduduk Israel terhadap minuman Starbucks di Israel sangat teruk dan cawangan mereka terpaksa ditutup.

Salah satu faktor utama kenapa penduduk Israel tidak menggemari konsep Starbucks adalah disebabkan harga kopi yang ditawarkan terlalu mahal.

Selain daripada itu, kopi Starbucks tidak memenuhi citarasa kopi kegemaran penduduk Israel. Mereka lebih gemar minuman kopi yang mempunyai citarasa Itali.

Kalau nak tahu, pada awal tahun 1990-an ramai usahawan Israel telah pergi ke Itali untuk mempelajari cara membuat kopi dengan betul dan sedap.

Disebabkan jarak penerbangan yang singkat, iatu mengambil masa tiga jam dari Israel untuk ke Itali, ramai usahawan telah berjaya membuka perniagaan kopi mereka di Israel menggunakan teknik pembuatan kopi dari Itali yang asli.

Oleh yang demikian, citarasa tersebut telah menjadi penanda aras untuk kopi di Israel. Malangnya kopi Starbucks tidak mampu memberi rasa dan aroma yang dikehendaki penduduk Israel.

Pada tahun 2003, Starbucks secara rasminya telah meninggalkan perniagaan kopi mereka di Israel.

Penganalisis percaya, pihak Starbucks tidak membuat kajian yang terperinci sebelum memasuki pasaran Israel yang telah membawa kepada kerugian besar.

Sumber Rujukan:

Previous ArticleNext Article

Akhirnya Ada Parti Politik Berani Tunjuk Ke Mana Duit Kempen Mereka Pergi

Parti BERSAMA sedang mendahului parti-parti lain dalam satu perkara yang jarang berlaku dalam politik Malaysia dengan mengemukakan data perbelanjaan pilihan raya kepada umum. Sumber: Malaysiakini – Bersama dedah belanja hampir RM800,000 kempen PRN Johor

Bagi sesetengah orang, mungkin ini sekadar laporan perbelanjaan kempen.

Tetapi kalau kita lihat dari sudut pelaburan dan kewangan, sebenarnya ada satu prinsip yang sangat mudah:

Kalau kita mahu orang percaya dan memberikan duit kepada kita, kita perlu bersedia untuk menunjukkan bagaimana duit itu diuruskan.

Bayangkan kita mahu melabur RM100,000 dalam sebuah syarikat.

Kita tentu mahu tahu berapa hasil syarikat, berapa kos operasi, berapa hutang, berapa keuntungan dan bagaimana pengurusan menggunakan wang syarikat.

Kalau pengurusan syarikat berkata,

“Percayalah. Kami akan urus duit dengan baik.”

Tetapi apabila kita minta penyata kewangan, mereka enggan tunjukkan, kita sendiri mungkin akan fikir dua tiga kali sebelum melabur.

Dalam pelaburan, ketelusan adalah sebahagian daripada kepercayaan.

Begitu juga dengan politik.

Dan di sinilah pendedahan BERSAMA menjadi menarik untuk diperhatikan.

Daripada jumlah perbelanjaan kepada sumber dana, rakyat diberikan peluang untuk melihat sendiri bagaimana wang kempen dikumpulkan dan dibelanjakan. Dalam penyata yang dilaporkan Malaysiakini, antara sumber dana ialah kutipan yuran keahlian, majlis makan malam pengumpulan dana dan sumbangan peribadi, manakala perbelanjaan termasuk deposit SPR, bahan kempen dan kerja pembersihan selepas kempen.

Patutkah ketelusan kewangan seperti ini menjadi satu standard baharu dalam politik Malaysia?

Menariknya, idea ketelusan kewangan politik ini bukanlah sesuatu yang baru. Pada 2012, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak sendiri pernah mencadangkan supaya semua sumbangan kepada parti politik dimasukkan ke dalam akaun rasmi parti, disertakan resit dan akaun tersebut diaudit setiap tahun.

Lebih sedekad kemudian, isu yang sama masih relevan. Bezanya, kali ini kita mula melihat parti politik mengambil langkah untuk mendedahkan sendiri data perbelanjaan pilihan raya kepada umum.

1. Rakyat adalah penyumbang kepada sistem politik

Parti politik mungkin menerima sumbangan daripada individu atau organisasi, tetapi dalam konteks yang lebih luas, aktiviti politik akhirnya berkait dengan wang dan sumber awam.

Sebab itu rakyat mempunyai kepentingan untuk tahu bagaimana sesebuah parti menguruskan kewangan kempen mereka.

Kalau kita boleh meminta syarikat yang kita labur supaya telus, tidak salah untuk kita mengharapkan tahap ketelusan yang lebih tinggi daripada organisasi politik.

2. Duit yang masuk dan duit yang keluar perlu boleh dikesan

Dalam dunia kewangan, kita bukan hanya tengok jumlah duit.

Kita mahu tahu cash flow.

Berapa duit masuk?

Dari mana?

Berapa duit keluar?

Dibelanjakan untuk apa?

Siapa penerimanya?

Perkara yang sama boleh diaplikasikan kepada kewangan politik.

Apabila data perbelanjaan pilihan raya didedahkan, rakyat boleh mula melihat aliran wang tersebut, bukannya hanya mendengar dakwaan bahawa semuanya diuruskan dengan baik.

3. Ketelusan mengurangkan information asymmetry

Dalam pelaburan, ada masalah yang dipanggil information asymmetry.

Maksud mudahnya, pihak pengurusan mungkin mempunyai lebih banyak maklumat berbanding pelabur.

Sebab itu syarikat perlu menyediakan laporan kewangan supaya pelabur tidak membuat keputusan dalam keadaan terlalu banyak maklumat yang disembunyikan.

Politik pun sama.

Parti tahu berapa banyak duit yang mereka terima dan bagaimana ia dibelanjakan.

Rakyat pula hanya nampak kempen di luar.

Jadi apabila data kewangan dibuka, jurang maklumat antara parti dan rakyat dapat dikurangkan.

4. Rakyat boleh menilai kecekapan penggunaan wang

Dalam pelaburan, kita bukan sekadar bertanya:

“Berapa banyak duit syarikat belanjakan?”

Kita juga akan bertanya:

“Apa yang kita dapat daripada duit tersebut?”

RM1 juta dibelanjakan untuk pemasaran tetapi jualan tidak meningkat, kita akan mula persoalkan keberkesanannya.

Begitu juga perbelanjaan pilihan raya.

Apabila data tersedia, kita boleh mula bertanya:

Berapa kos kempen setiap kawasan? Berapa banyak dibelanjakan untuk media sosial? Berapa untuk logistik? Berapa untuk bahan kempen?

Ini membuka ruang untuk menilai kecekapan, bukan sekadar jumlah perbelanjaan.

5. Kita sebenarnya bukan pelik kalau melihat amalan ini di negara lain

Pendedahan kewangan politik bukan sesuatu yang asing di peringkat antarabangsa.

Di United Kingdom, Electoral Commission menerbitkan maklumat berkaitan sumbangan, pinjaman dan perbelanjaan parti politik serta calon kepada umum.

Di Amerika Syarikat, Federal Election Commission (FEC) pula menyediakan pangkalan data awam yang membolehkan orang ramai melihat maklumat kewangan kempen, termasuk sumbangan dan perbelanjaan calon serta jawatankuasa politik.

Di Australia, Australian Electoral Commission (AEC) juga mempunyai sistem funding and disclosure untuk meningkatkan ketelusan kewangan parti politik, calon dan pihak yang terlibat dalam pilihan raya.

Maknanya, idea untuk rakyat melihat money in dan money out dalam politik sebenarnya bukan sesuatu yang pelik.

Bezanya, di sesetengah negara ia merupakan sebahagian daripada sistem pendedahan yang diwajibkan dan diselia oleh badan pilihan raya.

Jadi kalau parti politik Malaysia mula mengambil inisiatif untuk membuka data kewangan mereka kepada umum, ia boleh dilihat sebagai satu langkah ke arah budaya politik yang lebih telus.

6. Boleh membina rekod kewangan yang boleh dibandingkan

Pelabur tidak menilai syarikat berdasarkan satu laporan sahaja.

Mereka melihat prestasi dari tahun ke tahun.

Begitu juga dengan parti politik.

Kalau setiap pilihan raya mereka mendedahkan data kewangan, lama-kelamaan akan wujud satu rekod yang boleh dibandingkan.

Berapa banyak dana diterima?

Berapa banyak yang dibelanjakan?

Adakah perbelanjaan semakin cekap?

Adakah kos kempen meningkat?

Adakah sumber pembiayaan berubah?

Ini menjadikan rakyat bukan sekadar pengundi, tetapi pihak yang boleh membuat penilaian berdasarkan data.


Sebab itu kami melihat pendedahan perbelanjaan pilihan raya sebagai satu langkah yang positif.

Bukan kerana mendedahkan data automatik bermaksud sesebuah parti itu lebih baik daripada parti lain.

Tetapi kerana ketelusan memberikan kita maklumat untuk membuat penilaian sendiri.

Dalam pelaburan, kita selalu diajar:

Jangan melabur hanya kerana percaya. Tengok laporan kewangan.

(Walaupun… tengok laporan kewangan pun belum tentu tak kena scam!)

Dalam politik pun mungkin prinsip yang sama patut digunakan:

Jangan hanya dengar janji. Tengok juga bagaimana wang diuruskan.

Kalau lebih banyak parti mula melakukan perkara yang sama, kita mungkin dapat membina satu budaya politik yang lebih matang di mana data kewangan menjadi sebahagian daripada akauntabiliti politik, bukan sesuatu yang perlu disembunyikan.

Kerana akhirnya, sama ada kita bercakap tentang melabur dalam sebuah syarikat atau memilih sebuah parti politik, prinsipnya hampir sama:

Beri kita data. Kemudian biar rakyat membuat penilaian.