Kenapa Wujud Cadangan Had Pengeluaran KWSP Dinaikkan Ke 65 Tahun?

Kita pernah dikejutkan oleh cadangan dari Bank Dunia untuk menaikkan had umur pesara dari 55 ke 65 tahun dan ia kebanyakannya memberi respons tidak bersetuju. Sebelum kita terus melatah, mari kita berfikir sejenak apa yang membuatkan cadangan ini dikeluarkan?

Menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2007, penduduk warga emas di Malaysia akan meningkat daripada 7% menjadi 14% dalam masa 28 tahun, berbanding Sweden yang mengambil masa 112 tahun.

Ini kerana kemajuan dalam teknologi perubatan dan kesihatan memanjangkan usia rakyat kita, sementara kadar kesuburan pula jatuh kerana ramai berkahwin lewat.

Purata jangka hayat rakyat Malaysia berada pada usia 74.7 tahun pada 2016 dan akan terus meningkat dan kita akan ada lambakan warga tua berbanding kelahiran baru menjelang tahun 2030.

Ini sudah tentu berkaitan keadaan kewangan warga tua ketika itu. Jika wang pengeluaran kesemuanya dikeluarkan pada usia 55 tahun, 70% akan habiskan dalam tempoh 10 tahun.

Bagaimana keadaan kewangan kita dari saat kita pencen pada usia 55 tahun, sehingga usia 75 tahun nanti? 20 tahun juga tu.

Persoalan lain, bagaimana nak kekalkan gaya hidup yang sama setiap bulan?

Sebagai contoh pada usia 30 tahun, kita sudah biasa hidup dengan perbelanjaan isi rumah sebanyak RM5,000 sebulan. Pada usia 55 tahun nanti dengan kadar inflasi 4%, RM5,000 itu meningkat kepada RM13,000 sebulan.

Jika umur kita panjangkan sehingga 75 tahun, kita memerlukan sebanyak RM4.8 juta! Banyak tu, mana nak cari?

Sebab itu ramai sifu hartanah, sifu pelaburan dan sifu perniagaan di Malaysia menyeru rakyat Malaysia memiliki aset, melabur bermula usia muda dan memulakan perniagaan apa pun bagi menampung kehidupan akan datang.

Mengikut statistik, seramai 68% yang berumur 54 tahun ke bawah mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000 dan 20% terbawah mempunyai simpanan sebanyak RM6,909.

Image by StockSnap from Pixabay

Mungkin mereka ada simpanan lain dan menyebabkan terhentinya caruman KWSP. Sekiranya ada wang dan akaun kwsp masih aktif, tidak salah kita terus mencarum secara online setiap bulan ke akaun KWSP kita.

Dari 32 juta rakyat Malaysia, 69% terdiri dari umur bekerja iaitu dari usia 15 sehingga 65 tahum, hanya 48% mempunyai akaun KWSP yang aktif.

Kesimpulannya, cadangan Bank Dunia tersebut adalah untuk kebaikan kita apabila kita sudah tua nanti. Semoga wang persaraan digunakan sebaiknya untuk kita menikmati duit hasil titik peluh semasa kita masih muda.

Uruskan sebaiknya wang yang kita ada. Tak mampu beli aset besar, beli aset kecil dahulu seperti emas, dinar dan melabur secara kecil-kecilan. Yang paling penting kita melabur untuk ilmu terlebih dahulu, bagi mendapatkan hasil yang lebih besar.

Artikel ditulis oleh Puan Sarah Hata. Penulis merupakan seorang konsultan kewangan (pelaburan,takaful dan wasiat) di sebuah institusi kewangan di Malaysia dan juga perunding imej. Mempunyai pengalaman menulis, memberi ceramah di beberapa syarikat seluruh Malaysia dan juga sesi konsultansi individu

Sumber Rujukan:

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Google Tubuh Entiti Tempatan Di Malaysia: Implikasi Terhadap WHT di Malaysia

Google baru-baru ini memaklumkan kepada pelanggan di Malaysia bahawa syarikat itu sedang menubuhkan entiti tempatan, Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd.

Langkah ini membawa perubahan kepada struktur transaksi Google Cloud Platform dan Google Workspace bagi pelanggan yang mempunyai alamat pengebilan di Malaysia dan membuat pembayaran dalam Ringgit Malaysia (MYR).

Sebelum ini, transaksi pelanggan Malaysia dibuat dengan Google Asia Pacific Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura.

Selepas migrasi, kontrak dan akaun pelanggan yang terlibat akan dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd.

Perubahan ini bukan sekadar melibatkan syarikat teknologi, malah berpotensi memberi kesan kepada perniagaan dalam talian (online business) di Malaysia yang bergantung kepada perkhidmatan Google Cloud dan Google Workspace untuk menjalankan operasi harian.

Apa perubahan yang bakal berlaku?

Antara perubahan utama yang diumumkan:

1. Invois dikeluarkan oleh syarikat tempatan

Selepas migrasi, invois dan penyata bil akan dikeluarkan atas nama Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd., termasuk alamat dan nombor pengenalan cukai entiti tempatan.

2. SST 8% dikenakan

SST akan dipaparkan sebagai komponen berasingan dalam invois dan dikutip oleh Google Cloud Malaysia mengikut kadar yang dinyatakan dalam notis tersebut.

3. Kontrak dipindahkan kepada entiti Malaysia

Kontrak sedia ada dengan Google Asia Pacific akan dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia. Entiti tempatan ini akan mengambil alih kedudukan kontrak berkenaan.

Jadi, bagaimana pula dengan Withholding Tax (WHT)?

Ini bahagian yang menarik dari perspektif percukaian.

Sebelum ini, pembayaran pelanggan Malaysia kepada Google Asia Pacific Pte Ltd perlu dinilai dari sudut cukai pegangan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967).

Antara peruntukan yang relevan ialah Seksyen 109 berkaitan pembayaran royalti kepada bukan pemastautin.

Mengapa royalti?

Di bawah Seksyen 2 ACP 1967, definisi royalti merangkumi bayaran bagi penggunaan atau hak untuk menggunakan hak cipta, termasuk perisian (software).

Sebagai contoh, bayaran untuk mendapatkan hak penggunaan sesuatu aplikasi atau perisian oleh pelanggan sendiri berpotensi dikategorikan sebagai royalti dan tertakluk kepada WHT di bawah Seksyen 109.

Kadar domestik WHT bagi royalti ialah 10%, tertakluk kepada kadar atau layanan berbeza di bawah Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali (DTA), jika berkenaan.

Apa implikasinya kepada Malaysia?

Perubahan struktur entiti syarikat teknologi antarabangsa seperti Google AKAN memberikan beberapa implikasi kepada landskap percukaian negara:

  1. Lebih banyak transaksi perkhidmatan digital boleh dilaksanakan melalui entiti tempatan.
  2. Kutipan SST dapat dilaksanakan melalui pembekal tempatan.
  3. Pelanggan Malaysia mungkin tidak lagi perlu membuat potongan WHT bagi pembayaran Google Cloud yang telah dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia, tertakluk kepada struktur kontrak dan penerima sebenar pendapatan.

Bila migrasi ini akan berkuatkuasa?

Google akan menghantar dua notifikasi berasingan kepada pelanggan:

  1. Sebelum migrasi – pemberitahuan awal sebelum akaun dan kontrak dipindahkan.
  2. Selepas migrasi – pengesahan bahawa perubahan telah berkuat kuasa.

Notifikasi akan dihantar ke alamat e-mel yang didaftarkan.

Kesimpulannya, penubuhan entiti tempatan oleh syarikat teknologi antarabangsa bukan sekadar perubahan alamat invois. Ia boleh mengubah kedudukan percukaian transaksi, termasuk kewajipan cukai pegangan di Malaysia.