Sub Topik
Mengikut rekod, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) merekodkan 2.9 juta peminjam dengan 1.4 juta dilaporkan masih culas membayar balik pinjaman masing-masing. Mengapakah peminjam-peminjam ini masih lagi gagal untuk membuat pembayaran berkenaan hutang PTPTN mereka meskipun telah mengakhiri zaman belajar?
Berikut merupakan 4 punca utama kenapa ramai peminjam PTPTN tidak dapat membuat pembayaran semula hutang tersebut.
#1. Gagal Mendapat Pekerjaan
Hari ini, memang agak sukar untuk para graduan yang telah menamatkan pengajian mereka untuk mendapatkan pekerjaan. Ekoran daripada kesukaran ini, apabila tiada pekerjaan maka mana mampu mereka ini untuk membuat pembayaran balik hutang mereka dengan PTPTN.
Bilangan graduan yang tinggi setiap tahun ditambah lagi dengan keadaan ekonomi yang tidak berapa baik, maka semakin ramai yang menjadi penganggur dan berebut-rebut mendapatkan pekerjaan.
#2. Kos Sara Hidup Tinggi
Sana sini perlu berjimat, bagaimana pula untuk membayar hutang PTPTN? Komitmen yang sedia ada telah menjadikan ramai yang cukup terbeban.
Bukan sekadar komitmen sedia ada yang tinggi namun, kos sara hidup yang semakin tinggi membuatkan ramai orang yang memilih jalan untuk mengelak daripada membuat pembayaran semula pinjaman pendidikan.
#3. Gaji Yang Rendah
Meskipun gaji telah naik namun, ia masih tidak dapat menampung kos sara hidup yang semakin meningkat naik daripada kenaikan jumlah gaji. Itu pun kalau ada kenaikan gaji tahunan, kalau gaji tak naik-naik pula bagaimana?
Bagi mengatasi masalah ini, maka tiada jalan lain selain daripada melakukan 2-3 kerja dalam satu masa. Kita perlu menjadi lebih kreatif untuk menjana pendapatan sampingan seperti berniaga atau membuat kerja part-time lain.
#4. Tiada Rasa Tanggungjawab
Yang terakhir sekali, memang akan ada golongan yang tidak bertanggungjawab yang enggan membuat pembayaran semula meskipun mereka ini sebenarnya mampu.
Bagi sesiapa yang tidak membayar hutangnya di dunia, dia akan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti. Hutang akan dibayar kepada si pemiutang dengan pahala amal kebajikan si penghutang dan dosa si pemiutang akan diberi kepada penghutang.
وَ مَنْ مَاتَ وَ عَلَيْهِ دَيْنٌ فَلَيْسَ ثَمَّ دِينَارٌ وَلَا دِرْهَمٌ وَلَكِنَّهَا الحَسَنَاتُ وَ السَيِّئَاتُ
Maksudnya: Barangsiapa yang mati dalam keadaan masih memiliki hutang, maka di hari Akhirat tidak ada lagi urusan dinar dan dirham, yang ada hanyalah urusan berkaitan pahala kebaikan dan dosa kemaksiatan.
Hadith riwayat Abu Daud: (3597)
Kita perlu memupuk sikap yang lebih bertanggungjawab dan memikirkan masa depan generasi akan datang yang bakal menggunakan duit PTPTN ini untuk menampung pembelajaran mereka.
Elakkan sikap mementingkan diri sendiri dan kita kena sedar bahawa hutang adalah wajib dibayar. Takkan kita nak hidup dilabel sebagai manusia yang tidak berintegriti, tidak amanah dan memalukan bangsa dan agama?