Perbezaan Pendapatan Aktif dan Pendapatan Pasif

Pastinya kita sering dengar tentang pendapatan aktif dan pendapatan pasif ini. Ada peminat masing-masing, ada juga yang menyarankan kita perlu ada kedua-duanya sekali.

Tapi sebelum itu, apa kata kita kenali kedua-duanya dengan lebih mendalam.

Pendapatan Aktif

Photo by nik radzi on Unsplash

Active income adalah pendapatan yang diterima dengan kita melakukan pekerjaan. Pendapatan perlukan usaha dan kerja berterusan untuk mendapat hasil. Kalau kita inginkan pendapatan aktif, kita perlu terus bekerja.

Contoh pendapatan aktif adalah gaji, komisen dan pendapatan daripada bisnes yang memerlukan penglibatan secara terus-menerus.

Selain daripada itu, pendapatan aktif juga terbahagi kepada dua, iaitu pendapatan utama dan pendapatan sampingan.

Pendapatan utama adalah kerja hakiki yang kita lakukan setiap hari seperti bekerja sebagai seorang doktor, akauntan mahu pun jurutera. Kita perlu bekerja untuk sebahagian besar hari untuk mendapat gaji. Sekiranya diberhentikan kerja, sudah pasti pendapatan utama ini akan terhenti.

Pekerjaan lain seperti perunding hartanah dan pemilik bisnes yang bekerja sepenuhnya untuk menjalankan bisnes juga merupakan pendapatan aktif walaupun masa adalah lebih fleksibel. Namun perlu diingat, disiplin sangat diperlukan kerana sekiranya kita malas, sukar untuk kita tingkatkan pendapatan. Kita juga tidak akan mempunyai pendapatan sekiranya berhenti bekerja atau diberhentikan.

Sesetengah orang mempunyai pendapatan sampingan untuk menambah lagi pendapatan untuk menyara kehidupan. Terlalu banyak pekerjaan yang boleh dilakukan untuk menjana side income ini seperti pemandu Grab, menjadi dropship produk orang lain mahu pun berniaga kecil-kecilan.

Pendapatan Pasif

Passive income adalah pendapatan yang memerlukan usaha dahulu, yang berupaya untuk menjana pendapatan berterusan untuk jangka masa panjang. Pendapatan pasif tidak memerlukan usaha yang berterusan untuk terus kekal menjana pendapatan.

Ada beberapa jenis pendapatan pasif yang kita boleh terokai. Namun kebanyakan passive income memerlukan modal yang besar sebagai permulaan.

Jom kita tengok contoh-contoh pendapatan pasif yang boleh kita buat sekali dan tuai hasilnya berkali-kali.

Hartanah

Pelabur hartanah akan membeli rumah dan kemudian disewakan untuk menjana pendapatan bulanan. Hasil kutipan sewa setiap bulan digunakan untuk membayar ansuran bulanan pinjaman rumah.

Tuan rumah hanya perlu mencari penyewa sekali dan ikat kontrak sewa selama setahun atau dua tahun. Selama tempoh sewaan tersebut, tuan rumah hanya perlu menunggu penyewa bayar sewa bulanan.

Namun ada juga teknik pelaburan hartanah lain yang sedikit berbeza seperti sublet, homestay dan lain-lain.

Dividen Saham

Pelaburan saham merupakan di antara instrumen pelaburan yang menjanjikan keuntungan yang tinggi di samping risiko kerugian yang juga tinggi. Saham adalah pegangan hak milik dalam syarikat yang didagangkan di pasaran saham.

Setiap pemilik saham berpotensi mendapat keuntungan dari kenaikan harga saham dan juga dividen yang diisytiharkan oleh syarikat. Setiap tahun, syarikat akan mengumumkan penyata keuntungan yang telah diaudit untuk sebaran umum.

Syarikat juga akan mengumumkan sekiranya ada dividen yang boleh diambil daripada keuntungan untuk diberi kepada setiap pemegang saham.

Baca juga Penjelasan Terperinci Mengenai Dividen Saham Dan Cara Nak Dapatkan Dividen Saham

Pegangan Dalam Perniagaan

Kebanyakan pemilik bisnes terutama perusahaan kecil dan sederhana yang bekerja sendiri atau membayar gaji sendiri dan terlibat secara langsung dalam bisnes. Ini dikira sebagai pendapatan aktif yang memerlukan penglibatan secara berterusan.

Namun sekiranya kita pemilik bisnes dalam perkongsian perniagaan dan merupakan sleeping partner atau penyumbang modal yang tidak terlibat dalam pengurusan bisnes, ini adalah pendapatan pasif untuk kita menjana pendapatan tanpa perlu bekerja.

Amanah Saham

Amanah saham merupakan instrumen pelaburan yang menggunakan kepakaran pengurus dana untuk melabur ke dalam syarikat-syarikat yang berpotensi memberi keuntungan. Pendapatan daripada amanah saham boleh dijana hasil daripada kenaikan harga unit amanah saham dan juga pengagihan pendapatan.

Amanah saham tidak memerlukan modal permulaan yang tinggi untuk mula melabur. Selain daripada itu, modal pelaburan melalui amanah saham juga boleh menggunakan pinjaman daripada bank seperti ASB Financing.

Mata Ganjaran Kad Kredit

Gunakan kad kredit dan kumpul mata ganjaran untuk ditukar dengan cash back, rebat, pulangan tunai, ganjaran perjalanan dan macam-macam lagi. Paling bagus carilah kad kredit yang dapat beri cash back untuk perbelanjaan harian. Biasanya kalau guna kad kredit, kita dapat tawaran cash back. Iaitu kita dapat 1% – 5% (bergantung pada kad kredit) daripada pembelian.

Contoh : Cash back untuk petrol.

Contoh Kad Kredit dengan cash back petrol:

1. Maybank Islamic MasterCard Ikhwan Gold Card-i
2. Maybank Islamic Petronas Ikhwan Visa Gold Card-i
3. RHB Shell VISA Credit Card-i
4. RHB Visa Cash Back Credit Card-i

Baca juga Memilih Kad Kredit Islamik Yang Betul: 5 Perkara Yang Perlu Anda Tahu

Penulis Buku

Sekiranya kita mempunyai kepakaran tertentu dalam bidang yang kita ceburi, boleh pertimbangkan untuk menjadi penulis buku. Royalti akan dibayar kepada penulis buku berdasarkan jumlah buku yang terjual.

Pendapatan kita akan berterusan selagi buku dicetak semula dan dijual di kedai-kedai buku.

Apa Matlamat Kewangan Kita?

Sekiranya diberi pilihan sudah pasti kita mahukan pendapatan pasif kerana pendapatan ini akan berterusan walaupun usaha kita telah berhenti. Matlamat kewangan kita perlu difokuskan supaya passive income kita boleh menampung perbelanjaan harian kita.

Sekiranya tercapai, kita ada pilihan untuk tidak lagi bekerja untuk mendapat pendapatan aktif kerana perbelanjaan harian boleh ditampung oleh pendapatan pasif tanpa usaha yang berterusan.

Artikel ini ditulis oleh Mohd Arif Irfan, seorang juruaudit di salah sebuah firma audit di Malaysia. Beliau telah lulus kesemua kertas peperiksaan ACCA dan sedang mengutip pengalaman untuk menjadi akauntan bertauliah. Meminati bidang hartanah dan pelaburan serta rajin berkongsi ilmu di FB Arif Irfan.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

KWSP Suami Meninggal: Boleh Isteri Tuntut Sebagai Harta Sepencarian?

Selama ini, apabila seorang suami meninggal dunia, ramai mungkin menganggap wang KWSP yang ditinggalkan akan terus menjadi harta pusaka dan dibahagikan kepada waris mengikut faraid.

Namun, perkembangan hukum dan keputusan Mahkamah Syariah menunjukkan perkara ini sebenarnya lebih kompleks.

Pada September 2025, Muzakarah Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-128 memutuskan bahawa tuntutan harta sepencarian terhadap wang KWSP oleh ahli beragama Islam adalah diharuskan, tertakluk kepada pertimbangan dan keputusan Mahkamah Syariah.

Keputusan ini membawa satu implikasi penting kepada pasangan yang berkahwin.

Wang KWSP tidak semestinya keseluruhannya menjadi harta pusaka untuk difaraidkan.

Sekiranya Mahkamah Syariah memutuskan sebahagian wang tersebut merupakan hak harta sepencarian pasangan, bahagian itu akan diberikan kepada pasangan terlebih dahulu. Bahagian yang diperintahkan sebagai harta sepencarian tersebut pula tidak dikira sebagai harta pusaka pencarum dan tidak tertakluk kepada pembahagian faraid.

Tetapi sebenarnya, isu ini bukan bermula pada 2025

Menariknya, beberapa negeri sudah mempunyai perkembangan berkaitan isu ini sebelum keputusan Muzakarah Kebangsaan tersebut.

Kelantan: kes KWSP sebagai harta sepencarian sejak 2000-an

Antara kes yang sering dirujuk ialah Norhayati binti Yusoff lwn Ahmad Shah bin Ahmad Tabrani, yang diputuskan di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu, Kelantan.

Dalam kes tersebut, wang KWSP suami menjadi antara aset yang dituntut sebagai harta sepencarian.

Mahkamah mengiktiraf konsep sumbangan tidak langsung isteri. Walaupun isteri mungkin tidak membuat caruman KWSP secara langsung, sumbangan kepada rumah tangga boleh menjadi faktor dalam menentukan hak harta sepencarian.

Ini penting kerana ia menunjukkan bahawa persoalan harta sepencarian bukan semata-mata tentang siapa yang memasukkan duit ke dalam akaun.

Sumbangan pasangan kepada rumah tangga juga boleh mempunyai nilai dari sudut undang-undang Syariah.

Selangor pula mempunyai pendirian yang jelas

Dalam panduan Jabatan Mufti Selangor pada 2020 berkaitan wang KWSP selepas kematian suami, dinyatakan bahawa isteri boleh membuat tuntutan harta sepencarian sepanjang tempoh perkahwinan dengan arwah suami sebelum lebihan harta tersebut dibahagikan mengikut faraid.

Kemudian pada 2023, Selangor mempunyai fatwa khusus berkaitan harta sepencarian selepas kematian salah satu pihak dalam perkahwinan. Rujuk Fatwa Tentang Harta Sepencarian Selepas Kematian Salah Satu Pihak Dalam Perkahwinan Di Negeri Selangor.

Ini menunjukkan konsep tuntutan harta sepencarian selepas kematian bukan sesuatu yang hanya muncul selepas keputusan MKI pada 2025.

Johor: daripada pendirian lama kepada pendekatan baharu

Pendirian terdahulu di Johor menyatakan wang KWSP pencarum yang meninggal dunia merupakan harta pusaka dan tidak boleh dianggap sebagai harta sepencarian. Fatwa Johor yang lebih lama, dikeluarkan pada 2013, menyatakan:

“Apabila pencarum KWSP meninggal, wang KWSP ialah harta pusaka dan perlu difaraidkan; ia tidak boleh dijadikan harta sepencarian.

Namun, selepas keputusan MKI 2025, Johor mengambil pendekatan baharu yang membenarkan tuntutan harta sepencarian terhadap wang KWSP bagi ahli beragama Islam yang layak, tertakluk kepada keputusan Mahkamah Syariah. Rujuk Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor.

Perubahan ini menunjukkan bagaimana pendirian berkaitan KWSP dan harta sepencarian boleh berkembang mengikut keputusan hukum dan kerangka undang-undang semasa.

NegeriKedudukan yang ditemuiTahun / status
KelantanAda kes Mahkamah Tinggi Syariah yang membenarkan tuntutan terhadap KWSP sebagai harta sepencarian; turut ada fatwa berkaitan tuntutan harta sepencarian selepas kematianKes 2006; Fatwa Negeri 2002
SelangorSecara rasmi mengiktiraf bahawa selepas kematian salah satu pihak, pasangan boleh menuntut harta sepencarian. Soal jawab Mufti Selangor juga secara jelas menyebut isteri boleh menuntut harta sepencarian terhadap KWSP arwah sebelum baki difaraidkanFatwa 2023; panduan 2020
JohorDahulu berpendirian sebaliknya: KWSP ialah harta pusaka dan tidak boleh dijadikan harta sepencarian. Tetapi pada 2026, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor mengeluarkan keputusan baharu yang membenarkan tuntutan KWSP sebagai harta sepencarian, selaras dengan MKI 20252013 → berubah 2026
SarawakPernah memutuskan wang caruman KWSP tidak boleh dianggap harta sepencarian, sebaliknya harta pusaka yang difaraidkanKeputusan terdahulu

Jadi, apa maksudnya kepada pasangan?

Kita ambil contoh mudah.

Katakan seorang suami meninggal dunia dan meninggalkan RM500,000 dalam KWSP.

Isteri membuat tuntutan harta sepencarian.

Jika Mahkamah Syariah selepas mempertimbangkan tuntutan tersebut memutuskan bahawa RM150,000 adalah hak harta sepencarian isteri, maka RM150,000 itu bukan lagi sebahagian daripada harta pusaka suami untuk difaraidkan.

Baki RM350,000 pula barulah menjadi sebahagian daripada harta pusaka, tertakluk kepada proses pengurusan pusaka dan pembahagian mengikut faraid.

Jadi bukan bermaksud:

“Isteri automatik dapat separuh KWSP.”

Tidak.

Yang betul ialah:

“Isteri yang layak boleh membuat tuntutan, dan jumlah yang menjadi harta sepencarian bergantung kepada keputusan Mahkamah Syariah.”

Kenapa perkara ini penting untuk perancangan pusaka?

Sebab ramai orang melihat KWSP hanya daripada sudut simpanan persaraan.

Tetapi apabila berlaku kematian, ia menjadi sebahagian daripada proses pengurusan harta si mati.

Dalam konteks pasangan Islam, terdapat beberapa perkara yang perlu dibezakan:

Pertama, harta sepencarian.

Ini ialah tuntutan pasangan terhadap harta yang diperoleh sepanjang tempoh perkahwinan, tertakluk kepada undang-undang dan keputusan Mahkamah Syariah.

Kedua, harta pusaka.

Selepas hak-hak yang berkaitan seperti harta sepencarian ditentukan, baki harta si mati boleh menjadi harta pusaka.

Ketiga, faraid.

Baki harta pusaka kemudiannya dibahagikan kepada waris yang berhak mengikut hukum faraid.

Sebab itu seseorang tidak boleh terus melihat angka KWSP dan berkata:

“Ini semua akan difaraidkan.”

Ia bergantung kepada keadaan dan, bagi tuntutan harta sepencarian, keputusan Mahkamah Syariah.

Namun, jangan salah faham

Keputusan MKI 2025 bukan bermaksud setiap isteri automatik mendapat sebahagian daripada KWSP suami.

Ia hanya membuka ruang bahawa tuntutan tersebut diharuskan.

Tuntutan masih perlu dibuat dan dipertimbangkan oleh Mahkamah Syariah.

Jumlahnya juga tidak semestinya 50:50.

Mahkamah boleh melihat kepada pelbagai faktor dan bukti berkaitan sumbangan pasangan serta keadaan harta yang dituntut.

Satu lagi perkara penting ialah status keputusan hukum tersebut di setiap negeri. Keputusan Muzakarah MKI perlu dilihat bersama peruntukan dan proses undang-undang Syariah negeri masing-masing.

Daripada “siapa dapat KWSP?” kepada “apa hak setiap pihak?”

Ini sebenarnya perubahan cara kita melihat perancangan pusaka.

Bila seorang suami meninggal dunia, persoalannya bukan semata-mata:

“Berapa banyak isteri dapat?”

Tetapi:

“Apakah hak isteri sebagai pasangan? Apakah yang menjadi harta sepencarian? Apakah yang benar-benar menjadi harta pusaka? Dan siapa yang berhak menerima baki tersebut melalui faraid?”

Perbezaan ini nampak kecil, tetapi dari sudut nilai harta, ia boleh menjadi sangat besar.

Lebih-lebih lagi bagi keluarga yang mempunyai simpanan KWSP jutaan ringgit.

Maka, bagi pasangan yang beragama Islam, memahami kedudukan harta sepencarian dan faraid semasa masih hidup jauh lebih baik daripada cuba memahami semuanya selepas berlaku kematian.

KWSP bukan sekadar soal berapa banyak kita berjaya kumpul. Kita juga perlu tahu bagaimana wang itu akan diurus apabila kita sudah tiada.

Penafian: Artikel ini bertujuan memberikan maklumat umum dan bukan nasihat undang-undang, fatwa atau nasihat kewangan. Kedudukan harta sepencarian, tuntutan wang KWSP dan proses pembahagian harta pusaka boleh berbeza mengikut negeri, fakta kes dan keputusan Mahkamah Syariah. Pembaca disarankan mendapatkan nasihat daripada peguam syarie, pihak berkuasa agama negeri atau pihak yang berkelayakan sebelum membuat sebarang tuntutan atau keputusan berkaitan harta pusaka.