Pinjaman Peribadi, Keperluan Atau Kehendak?

Hari ini, meminjam untuk membiayai tujuan peribadi sudah menjadi seperti suatu kebiasaan dalam kehidupan masyarakat Malaysia. Dengan kemudahan pinjaman yang ditawarkan daripada bank-bank tempatan mahupun daripada syarikat pinjaman berlesen swasta yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan, ramai daripada kita memilih untuk mengambil jalan ini untuk mengatasi masalah kekurangan tunai di dalam tangan.

Semenjak tahun 2013, Bank Negara Malaysia telah mengumumkan perlaksanaan langkah yang bertujuan untuk mengawal hutang isi rumah dan memastikan amalan pemberian pinjaman yang bertanggungjawab oleh bank. Dengan menghadkan tempoh pinjaman maksimum, peminjam perlu membayar balik pinjaman dalam tempoh yang agak singkat, secara puratanya 5 tahun sahaja.

Pinjaman peribadi juga merupakan punca kedua tertinggi rakyat Malaysia bankrap, selepas sewa beli kenderaan.

Jika dibandingkan, jika hutang kereta tidak dibayar, kereta boleh juga ditarik. Bagi hutang rumah pula, rumah boleh disita dan dilelong. Hasil lelongan boleh mengembalikan wang tunai untuk bank, walaupun pihak bank tidak berminat untuk memegang aset secara amnya.

Pinjaman peribadi adalah jenis pinjaman yang tidak bercagar (non-collateral). Ini bermakna bank menanggung risiko yang tinggi semasa memberi pinjaman dan tidak ada jaminan penuh terhadap pelunasan hutang dan faedah.

Tidak hairanlah kadar faedah untuk pinjaman peribadi ini adalah di antara yang tertinggi (8% sehingga 12% setahun, atau lebih) berbanding dengan fasiliti kredit yang lain.

Pengambilan pinjaman peribadi tidaklah merupakan satu kesalahan jika terpaksa diambil untuk memenuhi keperluan, seperti perkahwinan, membeli/mengubahsuai rumah atau hartanah, untuk perniagaan contohnya. Tetapi ini juga perlu diteliti dengan halus dan bijaksana.

Kesilapan yang biasa dilakukan apabila mengambil pinjaman adalah untuk memenuhi kehendak yang tidak penting dan tidak berkesudahan, dan juga tabiat yang suka menjenamakan hidup.

Contohnya, mungkin ramai anak muda hari ini yang sanggup mengambil pinjaman peribadi atau fasiliti kredit selama bertahun-tahun demi tidak ketinggalan memiliki sebuah iPhone yang terbaru!

Sebelum mengambil langkah membuat pinjaman peribadi, tanya diri kita dahulu soalan-soalan berikut:

1. Untuk Apa Sebenarnya Pinjaman Ini?

Adakah untuk keperluan atau kecemasan? Adakah melibatkan persediaan pendidikan anak-anak? Atau hanya ingin memenuhi kehendak melancong atau membeli barangan mewah untuk diperagakan?

Kemungkinan sesetengah kehendak ini boleh ditangguhkan terlebih dahulu.

2. Adakah Ini Jalan Terbaik Buat Masa Ini?

Adakah tiada jalan lain untuk memperolehi wang pada masa ini? Mungkin kita boleh berfikir untuk mengurangkan komitmen bulanan.

Atau adakah kita mempunyai aset lain yang kurang penting dan mungkin boleh dijual untuk mendapatkan wang tunai bagi memenuhi keperluan ini.

3. Adakah Mampu Untuk Buat Bayaran Semula?

Berapa yang perlu dibayar semula setiap bulan, dan berapa lama perlu ditanggung? Apabila berhutang, lima tahun sebenarnya adalah satu tempoh yang sangat lama.

Adakah sumber pendapatan kita sekarang boleh meningkat? Adakah kerja kita terjamin untuk lima tahun berikutnya?

Dalam membuat apa-apa pinjaman, saya suka menggunakan analogi yang saya sekarang sedang menggunakan wang yang diambil dari saku diri saya sendiri dari versi saya di masa hadapan, dan wang ini sebenarnya belum pun saya perolehi. Kita perlu berfikir yang diri kita di masa hadapan perlu bekerja keras untuk mencari wang yang akan kita gunakan sekarang untuk membayar semula hutang beserta faedah!

Mungkin ramai daripada kita yang timbul rasa menyesal apabila mula menanggung perit membayar semula kepada bank setiap bulan, dan lebih-lebih lagi bila hari ini tidak nampak sebarang hasil atau aset daripada pinjaman yang dibuat.

Anda mungkin mempunyai alasan dan justifikasi tersendiri kenapa anda memilih untuk membuat pinjaman peribadi. Walau apapun, buatlah perancangan yang bijak bagi memastikan perbelanjaan tidak melebihi daripada pendapatan.

Asingkan sedikit pendapatan bagi tujuan simpanan atau pelaburan pada hari ini bagi mengelakkan daripada terpaksa membuat pinjaman peribadi nanti, kerana ia adalah penyelesaian yang bersifat sementara, tetapi berpotensi menjadi bebanan kepada anda buat selama-lamanya.

Ukur baju di badan sendiri, tepuk dada tanyalah selera.

Ditulis Oleh: Kamil Adlee

Penafian: Jadikanlah pinjaman peribadi ini sebagai langkah terakhir kerana kadar faedahnya yang tinggi. Melainkan dah betul-betul terdesak, tetapi kena ingat bahawa hutang adalah wajib dibayar.

Baca juga:

Pada tahun 2020 yang lalu, kami telah pun menghasilkan buku sulung yang bertajuk ‘Malaysia Melabur: 10 Benda Kita Kena Tahu’. Sambutannya begitu menggalakkan sehingga buku ini terpilih sebagai Top 10 di MPH dalam kategori Malay Non-Fiction bagi tahun 2020.

Alhamdulillah, terkini kami berjaya terbitkan pula buku ‘Malaysia Melabur Saham’.

Kenapa Perlu Baca Buku Ini?

Pastinya anda selalu terdengar atau terbaca tentang peluang menambahkan pendapatan di pasaran saham patuh syariah di Bursa Malaysia.

Jika anda benar-benar berminat untuk terlibat tetapi masih belum memulakan langkah pertama, buku ini teramat sesuai.

Ianya ringkas, padat dan sarat dengan contoh-contoh berbentuk grafik.

Kenapa Kena Miliki Buku Ini?

Tak semua orang boleh belajar menerusi video, jadi boleh baca buku ini di masa lapang. Nak Google semua artikel pun memakan masa. Sebab itu buku ini telah terjual lebih daripada 2,000 naskah!

Kami faham ramai nak mula melabur saham, tapi nak tahu dulu asasnya?

Tak sempat nak belajar secara face-to-face, jom mulakan dengan membaca buku ini.

Senang faham sebab buku ini penuh dengan gambar dan contoh-contoh.

Ditulis oleh mereka yang berpengalaman, kita sama-sama belajar sampai faham.

TERKINI: Miliki Buku Malaysia Melabur Saham di Shopee

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Dapat Hadiah Rumah RM400,000 Sebagai Komisen – Kena Lapor LHDN Ke?

“Kami hadiahkan sebuah banglo bernilai RM400,000 kepada ejen.”

Ayat macam ini memang kedengaran macam hadiah.

Tapi cuba kita ubah sedikit situasinya.

Sebuah syarikat emas menjalankan program insentif. Ejen yang berjaya mencapai sasaran jualan tertentu akan diberikan sebuah banglo bernilai RM400,000.

Contohnya ejen emas, ejen MLM, ejen jualan kereta yang berjaya mencapai sasaran tertentu dan diberikan sebuah banglo sebagai ganjaran.

Persoalannya:

Adakah ini benar-benar hadiah atau sebenarnya komisen/insentif kepada ejen?

Ini penting kerana dari sudut cukai, kita bukan hanya melihat apa nama yang diberikan kepada sesuatu bayaran.

Kalau banglo itu diberikan kerana ejen berjaya menghasilkan jualan, sifat bayaran tersebut perlu dilihat sebagai insentif yang diterima hasil daripada aktiviti ejen.

Dan yang menariknya, CP58 sendiri mengiktiraf bayaran insentif bukan dalam bentuk wang tunai, termasuk rumah.

Komisen tak semestinya dalam bentuk duit

Ramai orang apabila dengar perkataan “komisen”, mereka bayangkan:

Jual RM1 juta → dapat komisen RM50,000.

Tetapi insentif kepada ejen tidak semestinya dibayar dalam bentuk tunai.

Ia boleh diberikan dalam bentuk manfaat atau aset tertentu.

Contohnya:

  • kereta
  • rumah
  • pakej pelancongan
  • perabot
  • komputer
  • atau bentuk insentif bukan tunai yang lain.

Dalam dokumen CP58, HASiL memang menyediakan ruangan khusus untuk “Nilai insentif berbentuk bukan wang tunai”, termasuk kategori “Rumah”.

Jadi, kalau sebuah syarikat memberikan rumah kepada ejen sebagai ganjaran kerana pencapaian jualan, kita tidak boleh sekadar berkata:

“Ini hadiah, bukan pendapatan.”

Kita perlu lihat sebab rumah itu diberikan.

Katakan

Syarikat emas: ABC Gold Sdn Bhd

Ejen: Ali

Syarat program:

“Ejen yang mencapai jualan RM5 juta dalam tempoh tertentu akan menerima sebuah banglo bernilai RM400,000.”

Ali berjaya mencapai sasaran tersebut.

Syarikat kemudiannya memberikan sebuah banglo bernilai RM400,000 kepada Ali.

Pada zahirnya, syarikat mungkin menggunakan perkataan:

“Hadiah banglo.”

Tetapi dari perspektif cukai, soalan yang lebih penting ialah:

Mengapa Ali mendapat banglo tersebut?

Kalau jawapannya:

“Sebab Ali berjaya mencapai sasaran jualan yang ditetapkan.”

Maka kita sudah nampak ciri sales incentive yang jauh lebih jelas.

Jadi, bila ejen kena lapor?

Ini juga perkara yang selalu mengelirukan.

Bukan bermaksud ejen hanya perlu fikir tentang cukai apabila dia menjual banglo tersebut.

Persoalan yang perlu dilihat ialah bila ejen memperoleh hak atau manfaat daripada insentif tersebut, berdasarkan terma program dan fakta transaksi.

Contohnya, jika semua syarat telah dipenuhi dan ejen sudah mempunyai hak terhadap banglo tersebut, itulah titik yang perlu dianalisis dari sudut pengiktirafan pendapatan.

Bukan semata-mata tunggu banglo itu dijual.

Dan tarikh S&P, pindah milik atau penyerahan juga perlu dilihat bersama dokumen dan terma sebenar transaksi.

Sebab itu kita tidak boleh menetapkan secara automatik:

“Tarikh S&P = tarikh cukai.”

atau

“Tarikh geran keluar = tarikh cukai.”

Bagaimana pula dengan syarikat?

Kalau syarikat membayar insentif kepada ejen, pengedar atau pengagih, terdapat tanggungjawab di bawah Seksyen 83A ACP 1967 untuk menyediakan penyata bayaran insentif melalui Borang CP58.

HASiL menyatakan bahawa CP58 merangkumi bayaran insentif berbentuk wang tunai dan bukan wang tunai kepada ejen, pengedar atau pengagih. Salinan CP58 perlu diberikan kepada penerima sebelum atau pada 31 Mac tahun berikutnya.

Dan tengok apa yang terdapat dalam CP58.

Di bahagian insentif bukan tunai, terdapat:

(a) Kenderaan
(b) Rumah
(c) Pakej pelancongan/perjalanan
(d) Lain-lain

Maksudnya, kalau kita bercakap tentang banglo yang diberikan kepada ejen sebagai insentif, memang terdapat ruang dalam CP58 untuk melaporkan rumah sebagai insentif bukan tunai.

Bagaimana pula dengan Withholding Tax 2%?

Ini satu lagi perkara yang perlu dibezakan.

Di bawah Seksyen 107D, terdapat potongan cukai 2% bagi bayaran tertentu kepada ejen, pengedar atau pengagih.

Tapi untuk banglo RM400,000 yang diberikan sebagai insentif bukan tunai, 2% tidak dikenakan atas nilai banglo tersebut.

Ejen pula kena buat apa?

Ejen jangan anggap “Syarikat dah bagi CP58, jadi selesai.”

Tidak.

CP58 ialah penyata yang membantu menunjukkan berapa banyak insentif yang telah diterima.

Ejen, pengedar atau pengagih perlu melaporkan bayaran insentif yang diterima dalam e-filing masing-masing.

Untuk banglo, bila ejen sudah memperoleh hak ke atas rumah tersebut, contohnya selepas S&P ditandatangani dan hak menerima banglo itu sudah tidak lagi bersyarat maka nilai insentif tersebut perlu diambil kira dalam tahun taksiran yang berkaitan.

Bagaimana kalau syarikat panggil ia “hadiah”?

Ini bahagian yang paling menarik.

Dalam percukaian, nama yang diberikan kepada transaksi tidak semestinya menentukan sifat sebenar transaksi.

Kalau syarikat kata:

“Kami hadiahkan banglo kepada ejen.”

tetapi dokumen program menyatakan:

“Ejen yang mencapai jualan RM5 juta akan mendapat sebuah banglo bernilai RM400,000.”

maka terdapat hubungan yang jelas antara:

prestasi jualan → kelayakan → insentif → banglo.

Ini jauh berbeza daripada seseorang yang membeli emas seperti biasa, menyertai cabutan bertuah dan kebetulan memenangi sebuah banglo.

Dalam kes kedua, kita tidak boleh terus melabelkan banglo tersebut sebagai komisen.

Sifat transaksi bergantung kepada fakta.

Jadi, jangan tengok “hadiah” sahaja

Bayangkan dua situasi.

Situasi 1 – Ejen capai target

“Jualan RM5 juta → dapat banglo RM400,000.”

Ini mempunyai ciri sales incentive/commission.

Situasi 2 – Menang peraduan

“Beli produk, masuk peraduan → terpilih sebagai pemenang → dapat banglo RM400,000.”

Ini adalah situasi yang berbeza dan perlu dianalisis berdasarkan struktur peraduan dan sifat bayaran tersebut.

Bagaimana pula kalau ejen tidak menjual banglo itu?

Tidak penting sama ada ejen:

  • duduk dalam banglo itu,
  • sewakan banglo itu,
  • simpan banglo itu,
  • atau jual banglo itu kemudian.

Isu awalnya ialah apa yang ejen terima sebagai balasan kepada aktiviti yang menghasilkan pendapatan.

Kalau banglo tersebut merupakan incentive kerana prestasi jualan, hakikat bahawa ia berbentuk rumah tidak semestinya mengubah sifat asas bayaran tersebut.

RM400,000 bukan angka kecil

Sebab itu kes seperti ini menarik dari sudut pematuhan.

Katakan syarikat memberikan:

1 banglo = RM400,000

Kalau ia merupakan insentif kepada ejen, kita bukan lagi bercakap tentang:

“Dapat hadiah kecil.”

Kita bercakap tentang manfaat bernilai RM400,000.

Dan nilai tersebut perlu dilihat dalam pengiraan cukai penerima berdasarkan fakta sebenar.

Jangan terus ambil RM400,000 dan darab satu kadar cukai untuk menentukan cukai sebenar, kerana cukai individu bergantung kepada keseluruhan pendapatan, status pemastautin, perbelanjaan/potongan yang dibenarkan dan keadaan pembayar cukai.

Kesimpulannya

Kalau syarikat emas berkata:

“Kami hadiahkan sebuah banglo RM400,000 kepada ejen.”

Jangan berhenti pada perkataan “hadiah”.

Tanya:

Kenapa ejen dapat banglo itu?

Kalau jawapannya:

“Sebab dia berjaya mencapai sasaran jualan.”

maka kita perlu melihatnya sebagai insentif/komisen bukan tunai, bukan semata-mata hadiah biasa.

Dan yang lebih menarik:

CP58 sendiri mempunyai ruangan khusus untuk melaporkan insentif bukan tunai dalam bentuk “Rumah”.

Syarikat perlu menyediakan CP58 kepada ejen mengikut tempoh yang ditetapkan, manakala ejen pula perlu mengambil kira bayaran insentif tersebut dalam e-filingnya.

Penafian: Artikel ini adalah untuk tujuan perkongsian informasi dan pendidikan sahaja, bukan nasihat cukai atau nasihat profesional. Layanan cukai sebenar bergantung kepada fakta, struktur transaksi dan keadaan setiap pembayar cukai. Sila rujuk LHDN atau penasihat cukai berlesen untuk mendapatkan nasihat berkaitan kes khusus.