
Kuala Lumpur: Penanda aras baharu bagi simpanan persaraan yang mencukupi di bawah Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA) dianggarkan antara RM1.3 juta hingga RM1.5 juta, sejajar dengan realiti kos sara hidup dan jangka hayat rakyat Malaysia yang semakin meningkat.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Ekonomi, Centre for Future Studies Berhad, Dr Mohd Yusof Saari berkata, penyelarasan semula dasar pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi RIA di bawah Belanjawan 2026 adalah langkah perlu bagi memastikan simpanan persaraan benar-benar mampu menyokong kehidupan pada usia tua.
Katanya, peningkatan kos sara hidup, jangka hayat yang semakin panjang serta perubahan struktur pasaran kerja termasuk pertumbuhan sektor gig menjadikan penanda aras simpanan lama tidak lagi mencukupi untuk menjamin kehidupan persaraan yang selamat dan bermaruah.
“Pendekatan lama yang menganggap simpanan RM1 juta sebagai mencukupi membuka ruang kepada pengeluaran awal yang besar, sekali gus mendedahkan pencarum kepada risiko kehabisan dana ketika usia tua,” katanya.
Beliau menjelaskan, di bawah mekanisme lama, seorang ahli berumur 50 tahun dengan simpanan RM1 juta boleh mengeluarkan sehingga RM300,000, meninggalkan baki RM700,000.
“Namun, jika tempoh persaraan mencecah 30 tahun sehingga usia 80 tahun, baki itu hanya menyediakan kira-kira RM1,940 sebulan, jumlah yang semakin tidak sepadan dengan kos sara hidup semasa, apatah lagi apabila mengambil kira inflasi perubatan dan perumahan,” katanya kepada Bisnes Metro.
Mohd Yusof berkata, RIA diperkenalkan bagi membetulkan kelemahan terbabit dengan menyusun semula penanda aras simpanan berdasarkan keperluan sebenar persaraan.
“Simpanan kini diklasifikasikan kepada tahap ‘Asas dan Mencukupi’ dengan pengeluaran awal hanya dibenarkan sekiranya baki simpanan masih mampu menjamin pendapatan minimum persaraan,” katanya.
Menurutnya, bagi ahli yang belum mencapai tahap kecukupan, pengeluaran awal sama ada tidak dibenarkan atau dihadkan secara ketat, contohnya sekitar RM50,000 hingga RM100,000 bagi tujuan tertentu yang benar-benar kritikal.
Beliau berkata, penanda aras baharu bagi simpanan ‘mencukupi’ yang dianggarkan antara RM1.3 juta hingga RM1.5 juta menunjukkan bahawa ahli berumur 50 tahun dengan simpanan RM1 juta masih belum mencapai tahap terbabit dan perlu mengekalkan sebahagian besar simpanan bagi melindungi pendapatan persaraan minimum.
“Dari sudut jangka panjang, langkah ini adalah positif dan kritikal memandangkan majoriti pencarum berisiko menghabiskan simpanan lebih awal,” katanya.
Selain itu, beliau berkata Simpanan Asas sekitar RM390,000 pula hanya bersamaan kira-kira RM1,300 sebulan selama 25 tahun, iaitu sekadar mencukupi untuk kelangsungan hidup, bukan kehidupan persaraan yang selesa.
“Tanpa penyelarasan semula ini, tekanan kos sara hidup persaraan akhirnya akan dipindahkan kepada keluarga dan kerajaan, sekali gus mewujudkan beban fiskal serta risiko krisis sosial dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang,” katanya.
Namun, beliau mengingatkan kesan jangka pendek dasar ini tidak boleh diketepikan kerana kawalan terhadap pengeluaran awal boleh menjejaskan fleksibiliti kewangan, khususnya bagi isi rumah berpendapatan rendah yang berdepan kecemasan kesihatan, kehilangan pekerjaan atau kejutan ekonomi.
Sehubungan itu, katanya, kawalan pengeluaran KWSP tidak boleh dilaksanakan secara bersendirian tanpa sokongan jaringan keselamatan sosial yang kukuh.
“Secara prinsipnya, KWSP melindungi masa depan, manakala bantuan sosial melindungi keperluan semasa. tanpa sokongan ini, golongan rentan boleh terperangkap antara keperluan tunai segera dan simpanan persaraan yang dikunci,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan pelaksanaan RIA juga bergantung kepada penyepaduan dengan dasar sokongan lain termasuk bantuan kewangan bersasar, perlindungan kehilangan pendapatan, mekanisme kecemasan alternatif selain KWSP serta penyelarasan lebih erat antara KWSP, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan agensi kebajikan.
Pada masa sama, katanya usaha meningkatkan gaji, produktiviti dan literasi kewangan perlu diperkukuh supaya rakyat bukan sahaja dilindungi ketika bersara, tetapi juga mampu membina simpanan mencukupi sepanjang kitaran kehidupan bekerja.
— Harian Metro










