TSMC, Syarikat Pengeluar Cip Terbesar Di Dunia Yang Kurang Dikenali Rakyat Malaysia

Industri semikonduktor merupakan industri yang sangat besar serta memberi pulangan yang sangat lumayan kepada pendiri industri tersebut. Industri ini bernilai setengah trilion dolar pada tahun 2019 dan kini masih lagi tidak terjejas teruk walaupun dunia sedang dilanda dengan krisis pandemik.

Di antara syarikat yang terkenal di dalam menghasilkan produk semikonduktor adalah Intel, AMD dan juga Qualcomm. Mungkin ramai di antara kita kurang mengenali Syarikat Taiwan Semiconductor Manufacturing Company (TSMC) ini yang merupakan salah sebuah syarikat pengeluar barangan semikonduktor terbesar di dunia.

TSMC merupakan syarikat yang menyediakan perkhidmatan untuk menghasilkan cip atau mikroprosesor untuk pelanggan mereka. Seperti yang kita tahu, kebanyakan syarikat mula menggunakan perkhidmatan pihak ketiga untuk menghasilkan barangan mereka bagi menjimatkan kos produksi.

TSMC merupakan syarikat yang menyediakan perkhidmatan tersebut kepada pelanggan yang terkenal seperti Apple, AMD, Samsung, Huawei dan juga Mediatek. Syarikat Apple menggunakan cip buatan TSMC selain daripada menggunakan cip keluaran Samsung.

Asal-Usul TSMC

TSMC diasaskan pada tahun 1987 oleh seorang warganegara Taiwan yang bernama Morris Chang. Beliau dilahirkan pada tahun 1945 di China dan kemudian berhijrah ke Taiwan ketika masih kanak-kanak.

Pada mulanya beliau bercita-cita untuk menjadi seorang novelist dan journalist tetapi akhirnya menukar haluan kepada bidang sains selepas dipujuk oleh ayahnya.

Morris Chang merupakan graduan yang berjaya menamatkan pengajian di universii terkenal di dunia iaitu MIT dan kemudian bekerja di sebuah syarikat Sylvania Electric Products. Dalam tempoh 3 tahun, beliau telah berhijrah ke syarikat elektronik terkenal pada ketika itu iaitu Texas Instruments. Dari sini Morris Chang telah menimba banyak pengalaman di dalam industri semikonduktor.

Texas Instruments turut menaja pengajian Morris Chang ke peringkat PhD. Setelah hampir suku dekad Morris Chang bekerja di Texas Instruments, akhirnya beliau telah meletak jawatan ketika menyandang kedudukan yang tinggi dalam syarikat tersebut.

Beliau kemudiannya dipujuk oleh kerajaan Taiwan untuk menghasilkan syarikat pembuatan semikonduktor yang mana akhirnya, pada tahun 1987, syarikat TSMC ditubuhkan dengan kerjasama Kerajaan Taiwan.

Syarikat luar turut melabur di dalam syarikat ini seperti Philips. Permintaan terhadap mikrocip semakin meningkat pada era 1990-an disebabkan penggunaan laptop yang semakin popular pada ketika itu.

TSMC kemudiannya telah mengembangkan syarikat mereka dengan mengapungkan saham syarikat mereka di pasaran saham Taiwan pada tahun 1994. Permintaan yang semakin meningkat dari tahun ke tahun telah memberi keyakinan kepada Morris Chang untuk membawa syarikat ini untuk disenaraikan di pasaran saham New York pada tahun 1997.

Ini menjadikan TSMC sebagai syarikat pertama dari Taiwan yang berjaya menyenaraikan saham mereka di pasaran saham Amerika Syarikat.

Dengan teknologi semakin berkembang,syarikat ini juga tidak ketinggalan dalam pembangunan cip mereka. Mereka kini fokus dalam pembangunan dalam industri telefon pintar.

Apple dan Qualcomm menggunakan wafer cip yang dihasilkan oleh TSMC dalam mengeluarkan cip buatan mereka. Hanya Intel saja yang merupakan syarikat terkenal yang belum menggunakan khidmat syarikat ini dalam menghasilkan wafer mikrocip dan bergantung kepada penghasilan kilang mereka sendiri.

Kini saham TSMC semakin naik dengan mendadak apabila Intel telah mengumumkan penangguhan pengeluaran cip 7 nanometer sedangkan TSMC telah berjaya menghasilkan cip tersebut. Kini,TSMC merupakan di antara 10 syarikat terbesar di dunia dan berjaya mengatasi kedudukan Johnson & Johnson dan Visa.

Sumber Rujukan:

Previous ArticleNext Article

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.