7 Langkah Memperbaiki Kewangan Tahun 2021

Tahun baru, mestinya datang dengan azam baru bagi kebanyakan orang. Mereka yang serius nak perbaikan tahap kewangan, jom kita baca perkongsian Tuan Afyan Mat Rawi yang merupakan seorang perunding kewangan.

1. Mulakan Dengan Matlamat Kewangan Yang Jelas

Berapa simpanan yang diperlukan? Berapa pendapatan yang diinginkan? Berapa hutang yang perlu diselesaikan?

Buat senarai. Dengan matlamat yang jelas, memudahkan kita untuk mengambil tindakan yang betul bagi menghasilkan sasaran yang diinginkan.

2. Perbaiki Mindset Kewangan

Mengekalkan mindset kewangan yang lama untuk mendapatkan hasil yang baru adalah gila. Apabila mindset berjaya diubah, tindakan dan hasil akan berubah. Tambah ilmu kewangan.

Ini cara untuk memperbaiki mindset kewangan kita. Makin tinggi ilmu kewangan, makin mudah nak capai matlamat kewangan. Cara paling mudah untuk tambah ilmu ialah baca buku kewangan.

Jika sebulan 1 buku, setahun sekurang-kurangnya 12 buku. Buku yang dicadangkan adalah Buku Bijak Merancang, klik www.bukuBMW.com

3. Buat Pelan Tindakan

Berdasarkan matlamat tadi, perlu ada plan tindakan spesifik yang perlu dilakukan sepanjang tahun. Apa yang perlu dilakukan setiap bulan, setiap minggu dan setiap hari.

Buat senarai berdasarkan matlamat pada No 1 tadi. Buat rekod aliran tunai untuk melihat memantau perkembangan kewangan dari masa ke masa.

Ianya penting untuk melihat sama ada pelan tindakan kita berjalan sebagaimana dirancang.

4. Tingkatkan Pendapatan

Jangan bergantung kepada satu sumber pendapatan sahaja. Semua jenis bisnes dan pekerjaan, mempunyai risiko ketidaktentuan pasaran masa hadapan. Jadi, pelbagaikan.

Tidak kira anda makan gaji, kerja sendiri atau berniaga, perlu tambah sumber pendapatan melalui perniagaan baru. Pilih perniagaan yang dapat dimulakan dengan modal rendah dengan potensi keuntungan yang tinggi.

Tingkatkan nilai diri supaya dapat memberi lebih nilai kepada orang lain dalam pekerjaan dan bisnes kita. Nilai tambah ini mempu meningkatkan tawaran kita kepada majikan atau pun pelanggan.

5. Urus Dan Kawal Perbelanjaan

Apabila pendapatan berjaya ditingkatkan, pastikan perbelanjaan tetap terkawal.Jangan bazirkan wang untuk membeli simbol-simbol kekayaan. Ia tidak memberi nilai tambah kepada diri sendiri dan kepada kewangan kita.

6. Simpanan Dan Pelaburan

Mula-mula tingkatkan simpanan. Apabila kita berjaya tingkatkan pendapatan dan kawal perbelanjaan, maka kita ada wang lebihan untuk tambah simpanan.

Kemudian boleh memulakan pelaburan.

Simpanan sahaja tidak memadai untuk tingkatkan kewangan. Kita perlu juga kepada pelaburan. Boleh mulakan dengan pelaburan yang mudah dengan modal yang rendah seperti emas dan unit trust.

Untuk jangka masa panjang, boleh juga pelbagaikan pelaburan kepads hartanah, saham, private mandate dan sebagainya.

7. Pengukuhan Dan Pertahanan Aset

Lindungi harta dan aset dengan perlindungan takaful. Pastikan takaful yang anda langgan memenuhi keperluan perlindungan pendapatan, pengekelan aset dan penyelesaian hutang. Takaful bukan untuk pelaburan.

Buat perancangan pusaka dan wasiat untuk memastikan harta yang dimiliki dapat dimanfaatkan oleh waris dan tidak berlaku perebutan. Perancangan cukai juga tak dilupakan supaya dapat tidak diambil tindakan undang-undang akibat lari cukai.

Sedekah dan derma juga perlu dijalankan seiring dengan peningkatan harta supaya dapat memberi manfaat kepada orang ramai.

Akhir sekali, jangan lupakan zakat untuk menyucikan harta kita. Dalam harta kita ada milik orang lain yang ALLAH sudah tetapkan.

Sumber: FB Afyan Mat Rawi

Belajar ilmu kewangan secara bermodul menggunakan buku Bijak Merancang Wang, klik www.bukuBMW.com. Topik ini terkandung dalam modul kewangan dalam Buku Bijak Merancang Wang yang mengandungi modul kewangan secara tersusun:

1. Aliran tunai
2. Pengurusan aset dan hutang
3. Simpanan
4. Perlindungan
5. Pelaburan
6. Penyucian
7. Pewarisan

Baca juga Apa Nak Jadi? 70% Rakyat Malaysia Tak Celik Kewangan

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Akhirnya Ada Parti Politik Berani Tunjuk Ke Mana Duit Kempen Mereka Pergi

Parti BERSAMA sedang mendahului parti-parti lain dalam satu perkara yang jarang berlaku dalam politik Malaysia dengan mengemukakan data perbelanjaan pilihan raya kepada umum. Sumber: Malaysiakini – Bersama dedah belanja hampir RM800,000 kempen PRN Johor

Bagi sesetengah orang, mungkin ini sekadar laporan perbelanjaan kempen.

Tetapi kalau kita lihat dari sudut pelaburan dan kewangan, sebenarnya ada satu prinsip yang sangat mudah:

Kalau kita mahu orang percaya dan memberikan duit kepada kita, kita perlu bersedia untuk menunjukkan bagaimana duit itu diuruskan.

Bayangkan kita mahu melabur RM100,000 dalam sebuah syarikat.

Kita tentu mahu tahu berapa hasil syarikat, berapa kos operasi, berapa hutang, berapa keuntungan dan bagaimana pengurusan menggunakan wang syarikat.

Kalau pengurusan syarikat berkata,

“Percayalah. Kami akan urus duit dengan baik.”

Tetapi apabila kita minta penyata kewangan, mereka enggan tunjukkan, kita sendiri mungkin akan fikir dua tiga kali sebelum melabur.

Dalam pelaburan, ketelusan adalah sebahagian daripada kepercayaan.

Begitu juga dengan politik.

Dan di sinilah pendedahan BERSAMA menjadi menarik untuk diperhatikan.

Daripada jumlah perbelanjaan kepada sumber dana, rakyat diberikan peluang untuk melihat sendiri bagaimana wang kempen dikumpulkan dan dibelanjakan. Dalam penyata yang dilaporkan Malaysiakini, antara sumber dana ialah kutipan yuran keahlian, majlis makan malam pengumpulan dana dan sumbangan peribadi, manakala perbelanjaan termasuk deposit SPR, bahan kempen dan kerja pembersihan selepas kempen.

Patutkah ketelusan kewangan seperti ini menjadi satu standard baharu dalam politik Malaysia?

Menariknya, idea ketelusan kewangan politik ini bukanlah sesuatu yang baru. Pada 2012, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak sendiri pernah mencadangkan supaya semua sumbangan kepada parti politik dimasukkan ke dalam akaun rasmi parti, disertakan resit dan akaun tersebut diaudit setiap tahun.

Lebih sedekad kemudian, isu yang sama masih relevan. Bezanya, kali ini kita mula melihat parti politik mengambil langkah untuk mendedahkan sendiri data perbelanjaan pilihan raya kepada umum.

1. Rakyat adalah penyumbang kepada sistem politik

Parti politik mungkin menerima sumbangan daripada individu atau organisasi, tetapi dalam konteks yang lebih luas, aktiviti politik akhirnya berkait dengan wang dan sumber awam.

Sebab itu rakyat mempunyai kepentingan untuk tahu bagaimana sesebuah parti menguruskan kewangan kempen mereka.

Kalau kita boleh meminta syarikat yang kita labur supaya telus, tidak salah untuk kita mengharapkan tahap ketelusan yang lebih tinggi daripada organisasi politik.

2. Duit yang masuk dan duit yang keluar perlu boleh dikesan

Dalam dunia kewangan, kita bukan hanya tengok jumlah duit.

Kita mahu tahu cash flow.

Berapa duit masuk?

Dari mana?

Berapa duit keluar?

Dibelanjakan untuk apa?

Siapa penerimanya?

Perkara yang sama boleh diaplikasikan kepada kewangan politik.

Apabila data perbelanjaan pilihan raya didedahkan, rakyat boleh mula melihat aliran wang tersebut, bukannya hanya mendengar dakwaan bahawa semuanya diuruskan dengan baik.

3. Ketelusan mengurangkan information asymmetry

Dalam pelaburan, ada masalah yang dipanggil information asymmetry.

Maksud mudahnya, pihak pengurusan mungkin mempunyai lebih banyak maklumat berbanding pelabur.

Sebab itu syarikat perlu menyediakan laporan kewangan supaya pelabur tidak membuat keputusan dalam keadaan terlalu banyak maklumat yang disembunyikan.

Politik pun sama.

Parti tahu berapa banyak duit yang mereka terima dan bagaimana ia dibelanjakan.

Rakyat pula hanya nampak kempen di luar.

Jadi apabila data kewangan dibuka, jurang maklumat antara parti dan rakyat dapat dikurangkan.

4. Rakyat boleh menilai kecekapan penggunaan wang

Dalam pelaburan, kita bukan sekadar bertanya:

“Berapa banyak duit syarikat belanjakan?”

Kita juga akan bertanya:

“Apa yang kita dapat daripada duit tersebut?”

RM1 juta dibelanjakan untuk pemasaran tetapi jualan tidak meningkat, kita akan mula persoalkan keberkesanannya.

Begitu juga perbelanjaan pilihan raya.

Apabila data tersedia, kita boleh mula bertanya:

Berapa kos kempen setiap kawasan? Berapa banyak dibelanjakan untuk media sosial? Berapa untuk logistik? Berapa untuk bahan kempen?

Ini membuka ruang untuk menilai kecekapan, bukan sekadar jumlah perbelanjaan.

5. Kita sebenarnya bukan pelik kalau melihat amalan ini di negara lain

Pendedahan kewangan politik bukan sesuatu yang asing di peringkat antarabangsa.

Di United Kingdom, Electoral Commission menerbitkan maklumat berkaitan sumbangan, pinjaman dan perbelanjaan parti politik serta calon kepada umum.

Di Amerika Syarikat, Federal Election Commission (FEC) pula menyediakan pangkalan data awam yang membolehkan orang ramai melihat maklumat kewangan kempen, termasuk sumbangan dan perbelanjaan calon serta jawatankuasa politik.

Di Australia, Australian Electoral Commission (AEC) juga mempunyai sistem funding and disclosure untuk meningkatkan ketelusan kewangan parti politik, calon dan pihak yang terlibat dalam pilihan raya.

Maknanya, idea untuk rakyat melihat money in dan money out dalam politik sebenarnya bukan sesuatu yang pelik.

Bezanya, di sesetengah negara ia merupakan sebahagian daripada sistem pendedahan yang diwajibkan dan diselia oleh badan pilihan raya.

Jadi kalau parti politik Malaysia mula mengambil inisiatif untuk membuka data kewangan mereka kepada umum, ia boleh dilihat sebagai satu langkah ke arah budaya politik yang lebih telus.

6. Boleh membina rekod kewangan yang boleh dibandingkan

Pelabur tidak menilai syarikat berdasarkan satu laporan sahaja.

Mereka melihat prestasi dari tahun ke tahun.

Begitu juga dengan parti politik.

Kalau setiap pilihan raya mereka mendedahkan data kewangan, lama-kelamaan akan wujud satu rekod yang boleh dibandingkan.

Berapa banyak dana diterima?

Berapa banyak yang dibelanjakan?

Adakah perbelanjaan semakin cekap?

Adakah kos kempen meningkat?

Adakah sumber pembiayaan berubah?

Ini menjadikan rakyat bukan sekadar pengundi, tetapi pihak yang boleh membuat penilaian berdasarkan data.


Sebab itu kami melihat pendedahan perbelanjaan pilihan raya sebagai satu langkah yang positif.

Bukan kerana mendedahkan data automatik bermaksud sesebuah parti itu lebih baik daripada parti lain.

Tetapi kerana ketelusan memberikan kita maklumat untuk membuat penilaian sendiri.

Dalam pelaburan, kita selalu diajar:

Jangan melabur hanya kerana percaya. Tengok laporan kewangan.

(Walaupun… tengok laporan kewangan pun belum tentu tak kena scam!)

Dalam politik pun mungkin prinsip yang sama patut digunakan:

Jangan hanya dengar janji. Tengok juga bagaimana wang diuruskan.

Kalau lebih banyak parti mula melakukan perkara yang sama, kita mungkin dapat membina satu budaya politik yang lebih matang di mana data kewangan menjadi sebahagian daripada akauntabiliti politik, bukan sesuatu yang perlu disembunyikan.

Kerana akhirnya, sama ada kita bercakap tentang melabur dalam sebuah syarikat atau memilih sebuah parti politik, prinsipnya hampir sama:

Beri kita data. Kemudian biar rakyat membuat penilaian.

Penafian: Artikel ini bertujuan membincangkan kepentingan ketelusan dan pendedahan kewangan dalam politik dari perspektif kewangan dan tadbir urus. Ia bukan bertujuan menyokong atau menolak mana-mana parti politik, calon atau individu. Sebarang angka, fakta dan maklumat berkaitan perbelanjaan kempen adalah berdasarkan sumber yang dinyatakan dan hendaklah dirujuk kepada sumber asal untuk konteks penuh.