Adakah i-Sinar Mampu Menyinari Kita Semua?

Bermula tengah malam 4 Januari 2021, kebanyakan pemohon i-Sinar akan ternanti-nanti sama ada permohonan mereka diluluskan atau pun tidak.

Tujuan i-Sinar adalah untuk membantu sesiapa saja yang terjejas dengan pandemik Covid-19. Wang dari i-Sinar adalah wang penat lelah hasil pencarum sendiri yang bekerja bertahun lama dan disimpan di dalam KWSP sebagai persediaan untuk hari persaraan.

Itulah misi utama Kumpulan Wang Simpanan Persaraan (KWSP) ditubuhkan. Kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya bersyukur ada juga tabung ini untuk bekalan dan keperluan kita akan datang.

Adanya simpanan kita di dalam KWSP sedikit sebanyak membantu kita menyelesaikan komitmen hutang belajar, pembiayaan perumahan, sakit mahu pun menunaikan haji nanti.

Namun, ada juga yang sudah tidak mencarum atau mencarum sendiri setelah berhenti dari kerja atau bekerja sediri. Ada yang mengambil inisiatif meneruskan caruman dengan membuat caruman sendiri secara bulanan, pindahan secara dalam talian terus ke dalam akaun KWSP.

Tiada masalah jika anda suri rumah mahu pun yang tidak bekerja kerana boleh mencarum menggunakan kaedah i-Saraan.

Baik, pengeluaran i-Sinar terbahagi kepada 2 kategori iaitu Kategori 1 permohonan adalah pada 21 Disember 2020 dan keputusannya akan diketahui pada 4 Januari 2021. Kategori 1 adalah ahli yang telah lama tidak mencarum, suri rumah, bekerja sendiri, hilang pekerjaan dan bermacam-macam lagi. Tak perlu sebarang dokumen sokongan untuk membuat permohonan.

Manakala bagi kategori 2 pula, permohonan bermula 11 Januari 2021 dan ianya bagi mereka yang mengalami pengurangan 30% daripada pendapatan sebelum ini. Kita perlu lampirkan dokumen sokongan seperti notis pengurangan gaji, pemberhentian kerja mahu pun penyata bank. Ia bagi mereka yang terjejas sejak dari tarikh 1 Mac 2020.

Bagi penerima i-Sinar, gunakan wang anda sebaiknya. Terbaik jika ianya digunakan untuk keperluan keluarga. Jika tidak, sekurang-kurangnya ia mampu memberi sinar baru kepada ekonomi keluarga.

Paling penting, jangan sia-siakan i-Sinar anda dengan terlibat dengan Skim Cepat Kaya! 

Baca lagi Cara Mengenal SCAMMERS Dan Skim Cepat Kaya Dengan Panduan Shariah

Laburkan

Ada pelbagai instrumen lain yang dapat kembangkan wang seperti ASB, ASN, Tabung Haji, Unit Amanah, Wahed Invest, Raiz, emas, private mandate, saham dan bermacam-macam lagi.

Muat turun aplikasi Wahed Invest di https://wahedinvest.com/get-started/ dan dapatkan bonus permulaan sebanyak RM10 dengan menggunakan kod ‘ezaado1’ sewaktu pendaftaran.

Nasihat kepada semua, jangan cepat terpedaya dengan skim cepat kaya yang menjanjikan pulangan yang segera. Tiada yang indah jika segera diperolehi, semuanya perlukan masa.

Baik laburkan dalam ilmu sebelum terjun ke dalam mana-mana pelaburan.

Mulakan Perniagaan

Surirumah tambah pendapatan secara online

Ada pakar ekonomi yang menasihatkan orang ramai supaya menggunakan wang tersebut untuk meneruskan kelangsungan hidup akibat tiada pekerjaan dan hilang punca pendapatan.

Kepada yang berhasrat menggunakan duit i-Sinar untuk memulakan perniagaan, harapnya lebih berhati-hati.

Pastikan anda telah memiliki 2 asas penting ini :

  1. Ada ilmu sales & marketing
  2. Tahu menguruskan duit bisnes

Mulakan dengan modal yang kecil. Banyak cara kita boleh buat bisnes tanpa menggunakan wang yang banyak.

Bagaimana?

  1. Mulakan secara separuh masa
    Untuk “set-up” bisnes, tak perlu berhenti kerja. Banyak bisnes yang sesuai dibuat selepas waktu kerja seperti freelancer (menulis, melukis, menterjemah, online tutor dan sebagainya)
  2. Mulakan bisnes dari rumah
    Ramai orang memulakan bisnes dari rumah, dan apabila bisnes sudah berkembang barulah berpindah ke pejabat.
  3. Beli barangan terpakai
    Beli laptop terpakai sudah cukup memenuhi keperluan bisnes kita pada peringkat permulaan.

Akhir sekali, jika semasa PKP tempoh hari ada berhutang dengan rakan atau keluarga eloklah dilangsaikan, itu pun jika ada duit lebihan i-Sinar tadi. Bukan apa, takut bila ajal sampai dan kita tanpa sempat nak bayar, tak bersinar pula kubur kita nanti.

Artikel ditulis oleh Puan Sarah Hata. Penulis merupakan seorang konsultan kewangan (pelaburan, takaful dan wasiat) di institusi kewangan di Malaysia dan juga perunding imej. Mempunyai pengalaman menulis, memberi ceramah di beberapa syarikat seluruh Malaysia dan juga klien individu.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

KWSP Suami Meninggal: Boleh Isteri Tuntut Sebagai Harta Sepencarian?

Selama ini, apabila seorang suami meninggal dunia, ramai mungkin menganggap wang KWSP yang ditinggalkan akan terus menjadi harta pusaka dan dibahagikan kepada waris mengikut faraid.

Namun, perkembangan hukum dan keputusan Mahkamah Syariah menunjukkan perkara ini sebenarnya lebih kompleks.

Pada September 2025, Muzakarah Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-128 memutuskan bahawa tuntutan harta sepencarian terhadap wang KWSP oleh ahli beragama Islam adalah diharuskan, tertakluk kepada pertimbangan dan keputusan Mahkamah Syariah.

Keputusan ini membawa satu implikasi penting kepada pasangan yang berkahwin.

Wang KWSP tidak semestinya keseluruhannya menjadi harta pusaka untuk difaraidkan.

Sekiranya Mahkamah Syariah memutuskan sebahagian wang tersebut merupakan hak harta sepencarian pasangan, bahagian itu akan diberikan kepada pasangan terlebih dahulu. Bahagian yang diperintahkan sebagai harta sepencarian tersebut pula tidak dikira sebagai harta pusaka pencarum dan tidak tertakluk kepada pembahagian faraid.

Tetapi sebenarnya, isu ini bukan bermula pada 2025

Menariknya, beberapa negeri sudah mempunyai perkembangan berkaitan isu ini sebelum keputusan Muzakarah Kebangsaan tersebut.

Kelantan: kes KWSP sebagai harta sepencarian sejak 2000-an

Antara kes yang sering dirujuk ialah Norhayati binti Yusoff lwn Ahmad Shah bin Ahmad Tabrani, yang diputuskan di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu, Kelantan.

Dalam kes tersebut, wang KWSP suami menjadi antara aset yang dituntut sebagai harta sepencarian.

Mahkamah mengiktiraf konsep sumbangan tidak langsung isteri. Walaupun isteri mungkin tidak membuat caruman KWSP secara langsung, sumbangan kepada rumah tangga boleh menjadi faktor dalam menentukan hak harta sepencarian.

Ini penting kerana ia menunjukkan bahawa persoalan harta sepencarian bukan semata-mata tentang siapa yang memasukkan duit ke dalam akaun.

Sumbangan pasangan kepada rumah tangga juga boleh mempunyai nilai dari sudut undang-undang Syariah.

Selangor pula mempunyai pendirian yang jelas

Dalam panduan Jabatan Mufti Selangor pada 2020 berkaitan wang KWSP selepas kematian suami, dinyatakan bahawa isteri boleh membuat tuntutan harta sepencarian sepanjang tempoh perkahwinan dengan arwah suami sebelum lebihan harta tersebut dibahagikan mengikut faraid.

Kemudian pada 2023, Selangor mempunyai fatwa khusus berkaitan harta sepencarian selepas kematian salah satu pihak dalam perkahwinan. Rujuk Fatwa Tentang Harta Sepencarian Selepas Kematian Salah Satu Pihak Dalam Perkahwinan Di Negeri Selangor.

Ini menunjukkan konsep tuntutan harta sepencarian selepas kematian bukan sesuatu yang hanya muncul selepas keputusan MKI pada 2025.

Johor: daripada pendirian lama kepada pendekatan baharu

Pendirian terdahulu di Johor menyatakan wang KWSP pencarum yang meninggal dunia merupakan harta pusaka dan tidak boleh dianggap sebagai harta sepencarian. Fatwa Johor yang lebih lama, dikeluarkan pada 2013, menyatakan:

“Apabila pencarum KWSP meninggal, wang KWSP ialah harta pusaka dan perlu difaraidkan; ia tidak boleh dijadikan harta sepencarian.

Namun, selepas keputusan MKI 2025, Johor mengambil pendekatan baharu yang membenarkan tuntutan harta sepencarian terhadap wang KWSP bagi ahli beragama Islam yang layak, tertakluk kepada keputusan Mahkamah Syariah. Rujuk Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor.

Perubahan ini menunjukkan bagaimana pendirian berkaitan KWSP dan harta sepencarian boleh berkembang mengikut keputusan hukum dan kerangka undang-undang semasa.

NegeriKedudukan yang ditemuiTahun / status
KelantanAda kes Mahkamah Tinggi Syariah yang membenarkan tuntutan terhadap KWSP sebagai harta sepencarian; turut ada fatwa berkaitan tuntutan harta sepencarian selepas kematianKes 2006; Fatwa Negeri 2002
SelangorSecara rasmi mengiktiraf bahawa selepas kematian salah satu pihak, pasangan boleh menuntut harta sepencarian. Soal jawab Mufti Selangor juga secara jelas menyebut isteri boleh menuntut harta sepencarian terhadap KWSP arwah sebelum baki difaraidkanFatwa 2023; panduan 2020
JohorDahulu berpendirian sebaliknya: KWSP ialah harta pusaka dan tidak boleh dijadikan harta sepencarian. Tetapi pada 2026, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor mengeluarkan keputusan baharu yang membenarkan tuntutan KWSP sebagai harta sepencarian, selaras dengan MKI 20252013 → berubah 2026
SarawakPernah memutuskan wang caruman KWSP tidak boleh dianggap harta sepencarian, sebaliknya harta pusaka yang difaraidkanKeputusan terdahulu

Jadi, apa maksudnya kepada pasangan?

Kita ambil contoh mudah.

Katakan seorang suami meninggal dunia dan meninggalkan RM500,000 dalam KWSP.

Isteri membuat tuntutan harta sepencarian.

Jika Mahkamah Syariah selepas mempertimbangkan tuntutan tersebut memutuskan bahawa RM150,000 adalah hak harta sepencarian isteri, maka RM150,000 itu bukan lagi sebahagian daripada harta pusaka suami untuk difaraidkan.

Baki RM350,000 pula barulah menjadi sebahagian daripada harta pusaka, tertakluk kepada proses pengurusan pusaka dan pembahagian mengikut faraid.

Jadi bukan bermaksud:

“Isteri automatik dapat separuh KWSP.”

Tidak.

Yang betul ialah:

“Isteri yang layak boleh membuat tuntutan, dan jumlah yang menjadi harta sepencarian bergantung kepada keputusan Mahkamah Syariah.”

Kenapa perkara ini penting untuk perancangan pusaka?

Sebab ramai orang melihat KWSP hanya daripada sudut simpanan persaraan.

Tetapi apabila berlaku kematian, ia menjadi sebahagian daripada proses pengurusan harta si mati.

Dalam konteks pasangan Islam, terdapat beberapa perkara yang perlu dibezakan:

Pertama, harta sepencarian.

Ini ialah tuntutan pasangan terhadap harta yang diperoleh sepanjang tempoh perkahwinan, tertakluk kepada undang-undang dan keputusan Mahkamah Syariah.

Kedua, harta pusaka.

Selepas hak-hak yang berkaitan seperti harta sepencarian ditentukan, baki harta si mati boleh menjadi harta pusaka.

Ketiga, faraid.

Baki harta pusaka kemudiannya dibahagikan kepada waris yang berhak mengikut hukum faraid.

Sebab itu seseorang tidak boleh terus melihat angka KWSP dan berkata:

“Ini semua akan difaraidkan.”

Ia bergantung kepada keadaan dan, bagi tuntutan harta sepencarian, keputusan Mahkamah Syariah.

Namun, jangan salah faham

Keputusan MKI 2025 bukan bermaksud setiap isteri automatik mendapat sebahagian daripada KWSP suami.

Ia hanya membuka ruang bahawa tuntutan tersebut diharuskan.

Tuntutan masih perlu dibuat dan dipertimbangkan oleh Mahkamah Syariah.

Jumlahnya juga tidak semestinya 50:50.

Mahkamah boleh melihat kepada pelbagai faktor dan bukti berkaitan sumbangan pasangan serta keadaan harta yang dituntut.

Satu lagi perkara penting ialah status keputusan hukum tersebut di setiap negeri. Keputusan Muzakarah MKI perlu dilihat bersama peruntukan dan proses undang-undang Syariah negeri masing-masing.

Daripada “siapa dapat KWSP?” kepada “apa hak setiap pihak?”

Ini sebenarnya perubahan cara kita melihat perancangan pusaka.

Bila seorang suami meninggal dunia, persoalannya bukan semata-mata:

“Berapa banyak isteri dapat?”

Tetapi:

“Apakah hak isteri sebagai pasangan? Apakah yang menjadi harta sepencarian? Apakah yang benar-benar menjadi harta pusaka? Dan siapa yang berhak menerima baki tersebut melalui faraid?”

Perbezaan ini nampak kecil, tetapi dari sudut nilai harta, ia boleh menjadi sangat besar.

Lebih-lebih lagi bagi keluarga yang mempunyai simpanan KWSP jutaan ringgit.

Maka, bagi pasangan yang beragama Islam, memahami kedudukan harta sepencarian dan faraid semasa masih hidup jauh lebih baik daripada cuba memahami semuanya selepas berlaku kematian.

KWSP bukan sekadar soal berapa banyak kita berjaya kumpul. Kita juga perlu tahu bagaimana wang itu akan diurus apabila kita sudah tiada.

Penafian: Artikel ini bertujuan memberikan maklumat umum dan bukan nasihat undang-undang, fatwa atau nasihat kewangan. Kedudukan harta sepencarian, tuntutan wang KWSP dan proses pembahagian harta pusaka boleh berbeza mengikut negeri, fakta kes dan keputusan Mahkamah Syariah. Pembaca disarankan mendapatkan nasihat daripada peguam syarie, pihak berkuasa agama negeri atau pihak yang berkelayakan sebelum membuat sebarang tuntutan atau keputusan berkaitan harta pusaka.