Mungkin Ini Sebabnya Rakyat Masih Tak Mampu Beli Rumah

Baru-baru ini, Bank Negara Malaysia mengeluarkan kenyataan bahawa bukannya isu kelulusan pinjaman rumah yang menjadi punca – sebaliknya hartanah sememangnya tidak lagi mampu dimiliki.

Menerusi laman web terbaru Housing Watch, Bank Negara Malaysia menyediakan data bagi menangkis tanggapan bahawa kesukaran mendapat pinjaman perumahan adalah penyebab orang ramai tidak mampu memiliki rumah. Jika kita lihat data berikut, kebanyakan negeri mempunyai kelulusan pinjaman perumahan sekitar 70%.

Sumber: Housing Watch

Bank Negara Malaysia berkata industri hartanah harus meningkatkan usaha untuk mengurangkan kos dan meningkatkan bekalan kos rumah harga mampu milik.

Ini disebabkan oleh peningkatan harga rumah saban tahun yang kini menyebabkan median harga rumah di Malaysia 4.4 kali ganda daripada median pendapatan isirumah. Menurut laporan yang dijalankan oleh Khazanah Research Institute pada tahun 2015, pasaran rumah mampu milik sepatutnya hanya 3 kali ganda daripada median pendapatan.

4.4 kali ganda bermakna pasaran rumah Malaysia memang mahal, hampir 50% lebih tinggi daripada standard antarabangsa.

Tetapi jika dibandingkan Kuala Lumpur dengan bandar-bandar lain, rumah di Hong Kong adalah 19 kali ganda pendapatan dan Beijing pula 14.5 kali ganda pendapatan. Kiranya tersangatlah mahal di sana berbanding di Kuala Lumpur.

Jika merujuk kepada artikel Gaji & Upah Rakyat Malaysia Tahun 2016 mengikut Kajian Jabatan Perangkaan Malaysia, gaji median pekerja Malaysia meningkat daripada RM1,600 sebulan kepada RM1,703 iaitu peningkatan sebanyak 6.2%; manakala gaji min pekerja Malaysia pula meningkat daripada RM2,312 sebulan kepada RM2,463 iaitu peningkatan sebanyak 6.3%.

Manakala hanya 20% daripada pelancaran rumah baru di Malaysia pada suku tahun pertama 2017 berharga kurang daripada RM250,000. Sedangkan kebanyakan rumah baru berharga RM250,000 ke RM500,000.

Sumber: Housing Watch

Jika kita ikut Formula 200, seandainya seseorang yang bergaji RM2,500 (iaitu median atau purata gaji rakyat Malaysia):

  1. DSR = 60% * RM2,500 = RM1,500 instalment bulanan yang anda mampu
  2. 1500 * 200 = RM300,000 harga rumah maksimum yang anda mampu

Bagi yang tak berapa faham, boleh rujuk artikel Nak Beli Rumah? Rileks Bro, Fahamkan “Formula 200” Baru Mula Survey Rumah.

Pendapatan Tak Cukup Dan Rumah Terlalu Mahal

Menurut kajian, hanya separuh daripada mereka yang tinggal di Kuala Lumpur mempunyai rumah sendiri.

Tidak boleh nak salahkan pihak bank, kerana mereka perlu “cermat dan bertanggungjawab” dalam meluluskan pinjaman perumahan. Kita tidak mahu krisis sub-prime yang berlaku di Amerika Syarikat, berlaku juga di Malaysia.

Sebaliknya, pemaju perumahan perlu berusaha untuk membina rumah-rumah yang mampu dimiliki orang ramai. Sesetengah pemaju seperti Mah Sing Group Bhd yang merupakan pemaju ketiga terbesar Malaysia, kini menjual apartmen 5 kilometer daripada pusat bandar Kuala Lumpur dengan harga permulaan RM328,000 untuk unit seluas 650 kaki persegi. Bolehlah dimiliki lagi dengan pendapatan median rakyat Malaysia.

Masalah ini bakal menjadi lebih besar jika tidak ditangani sekarang. Pada masa ini, terdapat kekurangan 960,000 unit rumah mampu milik di Malaysia, dan bakal mencecah 1 juta unit menjelang 2020; berdasarkan jangkaan BNM.

Apa Kita Boleh Buat?

Carilah rumah yang kita mampu, tak perlu pun beli rumah landed; sebaliknya beli rumah kos rendah terlebih dahulu. Janji ada rumah atas nama sendiri.

Anda juga boleh berusaha untuk menambah pendapatan, supaya lebih berkemampuan untuk beli rumah. Nak beli rumah perlu juga sediakan deposit dan kos-kos lain seperti yuran guaman dan duti setem.

Kalau tak menyimpan dan menambah pendapatan daripada sekarang, sampai bila baru nak mampu beli rumah?

Sumber rujukan: Malay Mail Online
Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

OIB Lancar Gardens Idaman, Memperkukuh Portfolio Perumahan Mampu Milik Mampan Di Selangor

Rawang, 17 Ogos 2026: Oriental Interest Berhad (OIB) hari ini mengumumkan pelancaran rasmi Myra Idaman, sebuah pembangunan perumahan mampu milik terbaharunya di bawah program Rumah Idaman, yang dipasarkan dengan nama Gardens Idaman. Pelancaran ini memperluas lagi portfolio perumahan mampu milik OIB di Selangor, dengan Gardens Idaman menjadi pembangunan terbaharu Kumpulan di bawah program Rumah Idaman.

Meliputi kawasan seluas 11.226 ekar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM163.8 juta,
Gardens Idaman akan menawarkan 616 unit pangsapuri separa berperabot dengan harga bermula daripada RM250,000 hingga RM270,000. Setiap unit turut dilengkapi dengan dua ruang letak kereta.

Pembangunan berstatus pajakan ini dijangka siap pada tahun 2030 dan direka sebagai komuniti berpagar dan berpengawal untuk pembeli rumah pertama serta keluarga yang mencari kediaman yang lebih luas dan selesa.

Setiap unit berkeluasan 1,002 kaki persegi mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik air dan dua ruang letak kereta, serta dilengkapi secara separa berperabot dengan almari pakaian, penghawa dingin, pemanas air, kabinet dapur, peti sejuk, televisyen dan kabinet TV.

Para penghuni juga akan menikmati Central Park yang menampilkan trek joging, gimnasium luar, taman permainan kanak-kanak, gelanggang futsal dan pickleball, selain kemudahan lain seperti dewan serbaguna, tadika serta surau.

William Lew, Pengurus Besar Unit Perniagaan Essential Myra, bahagian hartanah kediaman OIB, berkata program Rumah Idaman Selangor memainkan peranan penting dalam memperluaskan akses kepada perumahan mampu milik berkualiti di seluruh negeri.

“Program Rumah Idaman telah menjadi penanda aras penting dalam menjadikan pemilikan rumah berkualiti lebih mudah dicapai oleh pembeli rumah pertama.

“Sebagai salah satu pemaju yang menyertai program ini, peranan kami bukan sekadar membangunkan kediaman yang memenuhi keperluan program, tetapi juga sentiasa mencari peluang untuk mewujudkan nilai tambah kepada pemilik rumah serta komuniti yang bakal didiami mereka,” katanya

Pelancaran ini turut memperluas portfolio perumahan mampu milik OIB, dengan Gardens Idaman dan pembangunan akan datang, Saujana Idaman di Dengkil, masing-masing menerima pensijilan Provisional GreenRE Bronze, mengiktiraf komitmen projek-projek tersebut terhadap amalan pembangunan yang mampan dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

GreenRE merupakan skim pensijilan bangunan hijau Malaysia yang ditubuhkan oleh
Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), bagi mengiktiraf pembangunan yang
memenuhi penanda aras kelestarian merangkumi aspek seperti kecekapan tenaga, kecekapan air, perlindungan alam sekitar serta kualiti persekitaran dalaman.

Walaupun aspek kelestarian semakin diberi perhatian dalam sektor hartanah Malaysia, penerapan piawaian GreenRE dalam pembangunan perumahan mampu milik masih belum meluas.

Ini menunjukkan masih terdapat ruang untuk memperluaskan penerapan reka bentuk mampan dalam pembangunan perumahan mampu milik, agar manfaat kelestarian dapat dinikmati oleh lebih ramai pemilik rumah.

Lew menambah bahawa walaupun pensijilan GreenRE bukan merupakan keperluan di bawah program Rumah Idaman, OIB percaya aspek kelestarian wajar diterapkan dalam pembangunan perumahan mampu milik dan tidak seharusnya terhad kepada pembangunan bertaraf premium.

“Sering kali wujud persepsi bahawa kelestarian hanya sesuai untuk pembangunan berharga tinggi. Namun, kami percaya perumahan mampu milik juga boleh menerapkan elemen kelestarian tanpa menjejaskan kemampuan milik, terutamanya apabila aspek ini dipertimbangkan sejak peringkat awal reka bentuk.

“Pensijilan Provisional GreenRE Bronze yang diterima oleh Gardens Idaman dan Saujana Idaman menunjukkan bahawa kelestarian dan kemampuan milik boleh bergerak seiring. Pencapaian ini turut mencerminkan usaha kami untuk menerapkan pendekatan pembangunan yang lebih mampan dalam projek perumahan mampu milik,” jelasnya.

Gardens Idaman menggabungkan pelbagai ciri reka bentuk mampan termasuk reka bentuk luaran bangunan bagi mengurangkan penyerapan haba, kelengkapan kecekapan air 100%, penggunaan bahan binaan rendah karbon, sistem acuan aluminium boleh guna semula, sistem lif cekap tenaga, cat rendah penyerapan sebatian organik (VOC) serta pengoptimuman pencahayaan semula jadi.

Secara keseluruhannya, langkah-langkah ini dijangka meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga dan air, memperbaiki kualiti persekitaran dalaman serta mewujudkan persekitaran kediaman yang lebih selesa untuk para penghuni.

Berdasarkan penilaian GreenRE, Gardens Idaman dijangka mencapai penjimatan tenaga kira-kira 30.61% berbanding dengan garis dasar GreenRE, serta mengurangkan pelepasan karbon operasi yang dianggarkan sebanyak 337 tan karbon dioksida setara (CO₂e) setiap tahun.

Terletak di salah satu koridor pertumbuhan utama Selangor, Gardens Idaman menawarkan hubungan strategik ke Rawang, Sungai Buloh, Kwasa Damansara, Petaling Jaya dan Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Koridor Guthrie serta Lebuhraya Utara-Selatan (NSE).

Pembangunan ini turut menawarkan akses mudah ke sekolah, kemudahan penjagaan kesihatan dan rekreasi serta pusat komersial berhampiran.

Gardens Idaman merupakan projek terbaharu dalam portfolio Rumah Idaman OIB, selepas kejayaan pelancaran Putra Idaman di Desa Pinggiran Putra pada tahun 2024.

Dengan Saujana Idaman dijadualkan untuk dilancarkan pada suku ketiga 2026, OIB akan terus mengembangkan portfolio perumahan mampu miliknya di Selangor, selaras dengan aspirasi perumahan negeri. Untuk maklumat lanjut mengenai Gardens Idaman, layari https://www.myra.com.my/myra-homes/gardensidaman