Menuju Ke Arah Pasaran Hartanah Inklusif Di Malaysia

Kisah Seorang Penyewa

Roshni masih mengingati rasa kecewa ketika mencari rumah di Kuala Lumpur. Banyak hartanah dengan harga terbaik yang ditemuinya hadir dengan satu syarat tidak bertulis: penyewa daripada bangsanya tidak dialu-alukan. Selain dinafikan pilihan, kadangkala dia terpaksa membayar lebih berbanding orang lain untuk bilik yang sama saiz.

Perjalanan Ikmal juga tidak jauh berbeza. Ketika mencari tempat di Bukit Jalil, dia berdepan penolakan yang sama kerap. Menurut anggarannya, enam atau tujuh daripada 10 tuan rumah atau ejen akan menolak mentah-mentah hanya berdasarkan bangsa. Ada yang menyelindungkan sikap berat sebelah di sebalik alasan remeh, menyuruhnya menerima syarat tertentu yang tidak berkaitan dengan sewaan. Walaupun dipersetujui, alasan lain akan muncul dengan cepat dan pintu tetap tertutup.

Abby, seorang graduan baharu di Pulau Pinang, turut mengalami kekecewaan yang sama. Pangsapuri yang sesuai dengan bajetnya seringkali mempunyai label tidak kelihatan: hanya untuk penyewa daripada bangsa tertentu. Hartanah yang menerimanya pula biasanya berharga lebih tinggi, menyebabkan dia terperangkap antara pengasingan dan ketidakmampuan.

Pengalaman mereka bukanlah sesuatu yang luar biasa. Ia mengingatkan kita bahawa dalam pasaran hartanah Malaysia, keputusan tidak selalu dipandu oleh fakta, tetapi dengan tanggapan. Dan apabila prasangka membentuk akses kepada perumahan, kesannya melangkaui seorang penyewa. Keadaan ini melemahkan kepercayaan terhadap pasaran dan mengehadkan erti sebenar keadilan dalam masyarakat kita.

Skala Cabaran

Kajian oleh Architects of Diversity Malaysia (AOD) menekankan betapa meluasnya diskriminasi ini. Tinjauan tersebut mendapati:

  • Enam daripada 10 penyewa di Malaysia pernah mengalami diskriminasi kaum ketika menyewa.
  • Mengenai sama ada diskriminasi kaum dalam sewaan patut diharamkan, rakyat Malaysia terbahagi:
    • 49.9% berpendapat tuan rumah patut dibenarkan memilih penyewa berdasarkan bangsa.
    • 31.6% percaya ia patut diharamkan.
    • Golongan belia Malaysia (18-24 tahun) dan masyarakat India Malaysia menunjukkan sokongan paling kuat terhadap pengharaman diskriminasi (masing-masing 39% dan 63.8%).

“Angka ini bukan sahaja mendedahkan betapa luasnya diskriminasi, tetapi juga bagaimana setiap komuniti mengalaminya dan melihatnya dengan cara berbeza,” kata Jason Wee, Pengasas Bersama & Pengarah Eksekutif Architects of Diversity Malaysia (AOD).

“Golongan muda, pelajar, dan komuniti tertentu amat terdedah, dengan ramai yang mendapati pilihan perumahan mereka sudah terbatas sebelum pencarian pun bermula. Cabarannya lebih besar bagi kumpulan berpendapatan rendah, di mana dianggarkan separuh daripada isi rumah B40 di Lembah Klang menyewa rumah mereka. Apabila prasangka membentuk hasil sewaan, ia bukan sahaja menafikan individu hak untuk berteduh, malah mengekalkan jurang perpecahan dalam masyarakat. Ia juga menambah beban kepada mereka yang sudah pun bergelut dengan isu kemampuan dalam pasaran sewaan yang mencabar.”

Daripada Stereotaip ke Keadilan

Sikap berat sebelah dalam perumahan sering dirasionalisasikan sebagai langkah berjaga-jaga, namun stereotaip bukanlah penanda aras yang baik untuk kebolehpercayaan. Sistem yang lebih adil perlu mengutamakan kriteria objektif: keupayaan membayar sewa, kestabilan pekerjaan, rekod sewaan lampau, serta rujukan yang disahkan.

“Soalan yang wajar bukanlah ‘siapa anda?’, tetapi ‘adakah anda mampu menunaikan tanggungjawab sebagai penyewa?’,” tambah Jason.

Kenneth Soh, Pengurus Negara – Malaysia, PropertyGuru & iProperty, sependapat: “Apabila tuan rumah menilai penyewa secara telus dan adil, mereka bukan sahaja mengurangkan risiko kekosongan, tetapi turut memperkukuh kepercayaan terhadap pasaran. Ekosistem sewaan yang profesional ialah apabila jangkaan jelas, tanggungjawab dikongsi bersama, dan inklusiviti menjadi piawaian, bukan pengecualian.”

Peranan Pemain Industri
Mewujudkan pasaran sewaan inklusif bukanlah tanggungjawab satu pihak sahaja, sebaliknya seluruh ekosistem:

  • Profesional hartanah boleh menetapkan piawaian lebih tinggi melalui latihan, kod etika, dan rangka kerja penilaian penyewa yang konsisten.
  • Tuan rumah dan penyewa boleh mengukuhkan keadilan melalui pilihan harian mereka, dengan mengiklankan secara inklusif sehinggalah menyokong platform yang menegakkannya.
  • Platform boleh membentuk norma dengan ciri-ciri yang menjadikan inklusiviti lebih ketara, di samping menyediakan perlindungan seperti moderasi kandungan dan alat aduan.
  • Penggubal dasar boleh memperkukuh kemajuan dengan peraturan yang boleh dikuatkuasakan, mekanisme penyelesaian pertikaian yang mudah, serta perkongsian maklumat yang lebih seimbang untuk mengurangkan ketidaktentuan.

“Sebagai sebuah pasaran, kami bukanlah pemerhati neutral,” kata Kenneth. “Setiap senarai, setiap penapis, setiap pilihan moderasi membentuk nada bagaimana keadilan diamalkan dalam pasaran. Dengan mengintegrasikan ketelusan dalam reka bentuk, industri menghantar isyarat bahawa inklusiviti bukan sekadar etika, tetapi sebahagian penting daripada profesionalisme dalam hartanah.”

Isyarat Pasaran untuk Inklusiviti

Bagi membantu mengubah budaya, PropertyGuru Malaysia memperkenalkan tanda Everyone Welcome pada tahun 2025, satu ciri sukarela yang membolehkan tuan rumah dan ejen memberi isyarat bahawa senarai mereka terbuka kepada penyewa daripada semua bangsa, agama, jantina, dan latar belakang.


Responsnya amat menggalakkan sejak pelancaran awal pada April 2025. Hari ini, 10% daripada senarai sewaan aktif menggunakan tanda ini, dan 2.5% penyewa secara aktif mencari senarai inklusif ini. Ini menandakan satu isyarat budaya yang lebih luas: pencari rumah menjangkakan keadilan sebagai sebahagian daripada perjalanan sewaan mereka.


“Tanda Everyone Welcome direka untuk lebih daripada sekadar memperbaiki senarai,” jelas Kenneth. “Ia memberi isyarat bahawa inklusiviti boleh menjadi satu kebanggaan. Penerimaan awal menunjukkan tuan rumah dan ejen sanggup berdiri di belakang prinsip tersebut.”

Perumahan sebagai Asas Perpaduan
Sebuah rumah lebih daripada sekadar tempat berlindung. Ia adalah tempat keluarga membina kehidupan, jiran berhubung, dan komuniti berakar.

Memastikan akses kepada perumahan bebas daripada prasangka bukan sahaja soal keadilan, tetapi juga soal membina pasaran yang telus, profesional, dan berdaya tahan. Ia juga tentang membentuk sebuah Malaysia di mana perpaduan dijalani setiap hari, bermula dengan tempat yang kita semua panggil rumah.

Previous ArticleNext Article

PropertyGuru & iProperty Anjur FutureBuilt Summit 2025, Bentuk Era Baharu Pembangunan Bandar Malaysia

Kuala Lumpur, 30 Oktober 2025 – Haluan Malaysia menuju ke arah pertumbuhan bandar mampan menjadi tumpuan utama hari ini apabila PropertyGuru Malaysia dan iProperty Malaysia menghimpunkan lebih daripada 121 pemaju dan 350 delegasi di FutureBuilt Summit 2025.

Dengan kerjasama Green Building Index, GreenRE, dan People Systems Consultancy, sidang sehari ini menggabungkan pemaju hartanah, pembuat dasar, institusi kewangan, jurutera, dan pakar kelestarian bagi membincangkan bagaimana ekosistem hartanah dapat mempercepat peralihan negara ke arah bandar yang lebih hijau, pintar dan berdaya tahan.

Seiring dengan matlamat Malaysia untuk mencapai neutral karbon menjelang 2050, sektor hartanah kini diiktiraf sebagai pemacu utama pertumbuhan mampan. Menurut kajian terhadap 91 syarikat hartanah tersenarai di Malaysia[1], prestasi ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) yang kukuh dikaitkan dengan keuntungan yang lebih tinggi dan penilaian pasaran yang meningkat – memperkukuh hujah bahawa amalan mampan membawa nilai nyata kepada perniagaan. Ini menunjukkan bahawa pemaju yang melaksanakan prinsip ESG dengan menyeluruh bukan sahaja menyumbang kepada sasaran nyahkarbon negara, tetapi juga mencipta nilai yang dapat diukur untuk pemegang saham dan pihak berkepentingan.

Antara sorotan utama ialah Dr. Lee Nai Jia, Ketua Perisikan Hartanah, PropertyGuru Group, yang berkongsi pandangan tentang bagaimana keadaan ekonomi, dasar kerajaan, dan perubahan gaya hidup membentuk semula corak pembelian rumah di Malaysia. Berdasarkan data eksklusif PropertyGuru, permintaan perumahan mula pulih pada April 2025 selepas sedikit penyusutan, mencerminkan daya tahan pembeli walaupun dalam keadaan tidak menentu. Harga rumah bertingkat di Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang juga terus meningkat dari tahun ke tahun, menunjukkan keyakinan pasaran yang stabil.

Dr. Nai Jia menambah bahawa pembeli muda – khususnya Generasi Z dan Milenial – kini lebih berhati-hati dan berorientasikan nilai, mengutamakan kepercayaan, jenama dan kelestarian apabila memilih pemaju. Beliau berkata, “Pemaju yang telus dan bertanggungjawab akan lebih menonjol dalam pasaran berhati-hati hari ini.” Kajian turut menunjukkan bahawa 84% rakyat Gen Z Malaysia memilih rumah bertingkat kerana kedekatannya dengan tempat kerja, pengangkutan awam dan kemudahan[2], manakala pembeli Milenial lebih cenderung membeli rumah hijau apabila mereka melihat harga yang adil, nilai yang baik dan memahami ciri mesra alam[3].

Kenneth Soh, Pengurus Negara PropertyGuru & iProperty Malaysia berkata: “Fokus FutureBuilt Summit terhadap ESG dan teknologi mencerminkan dua faktor utama yang membentuk landskap hartanah Malaysia. Di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 dan Belanjawan 2026, kita melihat penyelarasan lebih kukuh terhadap kelestarian, pendigitalan dan kemampuan memiliki rumah – dengan RM6.09 bilion diperuntukkan bagi meningkatkan kebolehdiaman, serta Skim Jaminan Kredit Perumahan yang diperluas bernilai RM20 bilion untuk membantu lebih ramai rakyat Malaysia memiliki rumah. Data kami menunjukkan permintaan tertinggi ialah bagi rumah di bawah RM300,000, terutamanya di Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang. Namun, kemampuan kini tidak hanya bergantung pada harga – ia turut merangkumi sambungan, keselesaan dan kelestarian. Perubahan ini membuka peluang kepada industri untuk mencipta pembangunan yang lebih inklusif, bertanggungjawab dan bersedia untuk masa depan.”

Sidang ini turut menampilkan sesi perbincangan bersama pemimpin pemikiran dan pembuat dasar mengenai pembiayaan mampan, pelaksanaan ESG, dan peranan teknologi dalam perancangan bandar pintar. Antara penceramah termasuk Ar. Sarly Adre Sarkum, Ketua Pegawai Eksekutif Green Building Index, yang membincangkan inovasi dalam pembangunan mampan, serta Nur Fateha Jamaluddin, Pengurus Kanan, GreenRE, yang menekankan nilai jangka panjang ESG. Panel oleh Green Building Index, GreenRE, Think City dan The Institution of Engineers Malaysia membincangkan pembangunan berfokus ESG, perancangan bandar, serta keperluan pembeli muda. Acara diakhiri dengan Meja Bulat CEO oleh Think City dan Triterra, yang menegaskan visi bersama ke arah komuniti yang mampan dan inklusif.

Cécile Corda, Ketua Kelestarian, PropertyGuru Group berkata: “Pasaran kini cenderung kepada kehidupan yang mampan dan inklusif, dan PropertyGuru bertindak balas dengan penyelesaian yang praktikal. Dengan melengkapkan pencari hartanah dan rakan industri dengan alatan untuk membuat keputusan yang bijak dan bertanggungjawab, kami membantu membentuk bandar yang berdaya tahan dan mendorong perubahan bermakna dalam landskap perumahan.”

Cécile turut berkongsi dapatan daripada Laporan Kelestarian PropertyGuru 2024, yang mendapati 83% rakyat Malaysia sanggup membayar lebih untuk rumah dengan ciri mampan, manakala 77% telah mempertimbangkan risiko iklim dalam keputusan hartanah mereka.

FutureBuilt Summit 2025 menegaskan pemikiran pertumbuhan baharu yang mentakrif semula kejayaan melebihi keuntungan semata-mata – iaitu memberi keutamaan kepada nilai jangka panjang untuk rakyat, komuniti dan alam sekitar. Ketika sektor hartanah Malaysia melangkah ke dekad penting yang dipengaruhi oleh urbanisasi, perubahan iklim dan jangkaan pembeli yang berkembang, sidang ini menyeru kerjasama awam-swasta bagi mempercepat peralihan ke arah bandar yang mampan, berdaya tahan dan inklusif. Para pemimpin bersetuju bahawa visi ini memerlukan ketelusan data, pembiayaan inovatif dan penjajaran dasar yang lebih kukuh untuk menterjemah aspirasi ESG kepada tindakan nyata.

Sidang ini mencerminkan komitmen PropertyGuru untuk membina sektor hartanah Malaysia yang lebih mampan, inovatif dan inklusif. Dengan menyatukan pemimpin industri, pembuat dasar dan pemaju, PropertyGuru terus memacu pertumbuhan bertanggungjawab dan komuniti yang bersedia untuk masa depan.

Untuk maklumat lanjut, layari www.propertyguru.com.my.