Tatacara Pengurusan Harta Pusaka Untuk Waris Bawah Umur

Kes perebutan pembahagaian harta pusaka sering berlaku apabila tidak memahami hak dan tanggungjawab dalam sistem perwarisan Islam. Bagi yang masih kabur tentang tatacara pengurusan harta pusaka bagi waris bawah umur, Tuan Salkukhairi Abd Sukor akan menerangkan dengan lebih lanjut mengenainya. Beliau merupakan Timbalan Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam).

Pentadbir Adalah Pengurus Harta, Bukan Pemilik

Kebiasaannya dalam kes di mana seseorang meninggal dunia meninggalkan waris bawah umur atau waris kurang upaya, seorang pentadbir akan dilantik oleh mahkamah atau pejabat pusaka kecil untuk mewakili waris-waris dalam menguruskan harta pusaka si mati.

Harta pusaka tersebut tidak boleh terus di turun milik kepada semua waris, sebaliknya akan di turun milik kepada nama pentadbir yang dilantik sehinggalah waris yang bawah umur tersebut telah mencapai umur dewasa iaitu 18 tahun dan sehinggalah status waris kurang upaya tersebut ditarik balik.

Kebiasaannya juga satu kaveat pendaftar akan dimasukkan oleh Pentadbir Tanah pada hakmilik tanah pusaka tersebut untuk melindungi hak dan kepentingan waris-waris bawah umur dan kurang upaya tadi. Dengan adanya kaveat pendaftar tersebut tanah pusaka tadi tidak boleh di pindah milik kepada pihak lain.

Pentadbir tadi walaupun namanya ada dalam geran harta pusaka tersebut, ianya tidak menjadikan beliau mempunyai hak pemilikan terhadap harta pusaka tersebut.

Sebaliknya, Pentadbir hanya berperanan untuk mentadbir harta tersebut sahaja dan mempastikan bahawa hak dan kepentingan semua waris (terutamanya waris yang bawah umur dan kurang upaya tadi) terhadap harta pusaka tersebut dilindungi.

Pentadbir perlu bertanggungjawab untuk mempastikan hasil yang diperolehi daripada harta tersebut diagih-agihkan mengikut bahagian masing-masing sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah pusaka. Beliau juga hendaklah mempastikan yang bahagian untuk waris yang bawah umur dan kurang upaya tadi hanya digunakan untuk tujuan kebajikan mereka sahaja.

Perintah Jualan Harta Pusaka

Sekiranya Pentadbir bercadang untuk menjual harta pusaka tersebut, beliau perlu mendapatkan persetujuan bertulis daripada kesemua waris-waris tersebut terlebih dahulu.

Dengan persetujuan bertulis tersebut beliau hendaklah memfailkan permohonan Perintah Jualan daripada mahkamah Tinggi (untuk kes pusaka yang difailkan di Mahkamah Tinggi) atau memfailkan Borang P (Borang Permohonn Bicara Semula Pusaka) di Pejabat pusaka kecil.

Sebelum perintah jualan diperolehi, Pentadbir perlu membuktikan kepada mahkamah atau pejabat pusaka kecil yang jualan tanah tersebut dipersetujui oleh semua waris.

Pentadbir juga perlu menjelaskan bagaimanakah langkah-langkah yang akan diambil untuk memastikan hasil jualan harta tersebut kelak akan dibahagikan kepada waris-waris termasuklah waris bawah umur dan kurang upaya itu mengikut pembahagian yang telah diputuskan. Biasanya bahagian waris bawah umur dan kurang upaya tadi hasil daripada jualan harta tersebut akan dipegang oleh pemegang amanah yang dilantik seperti peguam atau Amanah Raya.

Sekiranya mahkamah atau pejabat pusaka kecil berpuas hati dengan hujah-hujah pentadbir dengan 2 perkara di atas, barulah perintah jualan akan dikeluarkan dan kaveat pendaftar pada harta tersebut akan ditarik balik.

Dengan adanya perintah jualan barulah Pentadbir boleh jual harta tersebut dan memindahmilikkannya kepada pembeli.

Pendek kata tugas Pentadbir ni bukan mudah. Kerana mereka memegang tanggungjawab dan amanah yang sangat berat. Jika silap urus dan tidak amanah pasti beliau akan tanggung dosanya di akhirat kelak dan beliau juga boleh dikenakan tindakan undang-undang yang berkenaan.

Menukar Pentadbir Harta Yang Tidak Amanah

Pentadbir yang tidak jujur dan tidak amanah boleh diganti oleh orang lain. Caranya sama juga seperti mana prosedur untuk dapatkan perintah jualan di atas di mana permohonan boleh dibuat oleh mana-mana waris lain untuk menggantikan Pentadbir yang tidak jujur dan amanah tadi. Jika mahkamah atau pejabat pusaka kecil berpuas hati, kuasa pentadbir sedia ada akan dibatalkan dan pentadbir baru akan dilantik.

Kredit: Salkukhairi Abd Sukor

Tak Guna Berebut Harta Dunia

Sudah seringkali kita dengar pertelingkahan di antara ahli keluarga sehingga menyebabkan putus hubungan silaturahim sesama mereka. Semuanya disebabkan oleh tamak dengan harta dunia yang tak kekal pun.

Akhirat jugalah tempat yang kekal abadi, maka uruskanlah harta pusaka sebaik mungkin.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Anugerah PropertyGuru Asia Malaysia ke-12: Johor Bahru Menerajui Permintaan Hartanah Pengguna

KUALA LUMPUR, 9 Oktober 2025 — Johor Bahru muncul sebagai kawasan pertumbuhan paling pesat di Malaysia pada tahun 2025, berdasarkan data permintaan hartanah terbaharu yang diumumkan di Anugerah PropertyGuru Asia Malaysia ke-12 dengan kerjasama iProperty. Buat pertama kali, anugerah ini menggabungkan penilaian pakar, data pasaran, dan pilihan pengguna untuk memberikan gambaran pasaran hartanah yang dipacu data — menonjolkan kawasan tumpuan pembeli dan pelabur, serta pemaju yang berjaya meraih kepercayaan rakyat.

Berdasarkan jutaan carian dan metrik penglibatan di PropertyGuru.com.my dan iProperty.com.my, anugerah ini mencerminkan peralihan permintaan di seluruh negara — dari pusat bandar ke koridor pertumbuhan wilayah yang mempunyai rangkaian infrastruktur baik, terutamanya di Johor dan Selangor. Dapatan tahun ini jelas menunjukkan rakyat Malaysia semakin cenderung kepada perbandaran bersepadu, pembangunan bercampur, dan projek berteraskan ESG yang menggabungkan gaya hidup menarik, nilai jangka panjang, dan kelestarian, sejajar dengan keutamaan baharu terhadap kemampuan, kesalinghubungan infrastruktur, serta perubahan keutamaan kerja dan kehidupan.

Data Pengguna Menunjukkan Johor Terus Menjadi Tumpuan

Anugerah Permintaan Pengguna edisi pertama meraikan lapan pembangunan paling mendapat perhatian pencari hartanah. R&F Princess Cove dan Leisure Farm mendahului senarai, mencerminkan daya tarikan Johor Bahru yang semakin meningkat dalam kalangan pembeli. Johor turut cemerlang dalam segmen pejabat apabila City Square Office Tower dinobatkan sebagai “Pejabat Paling Diminati untuk Disewa (Johor)”, manakala The Exchange 106 di Kuala Lumpur menduduki tempat teratas bagi “Pejabat Paling Diminati untuk Disewa (Kuala Lumpur)”.

Ketua Perisikan Hartanah Kumpulan PropertyGuru, Dr. Lee Nai Jia berkata, “Data menunjukkan pencari rumah Malaysia semakin melihat ke luar kawasan tumpuan tradisional Lembah Klang. Penguasaan Johor Bahru dalam pelbagai kategori mencerminkan transformasinya sebagai hab serantau yang dinamik, disokong oleh pelaburan infrastruktur berskala besar seperti RTS Link dan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura. Faktor-faktor ini meningkatkan akses rentas sempadan dan keyakinan pembeli serta pelabur tempatan. Kami juga melihat peningkatan minat terhadap komuniti terancang dan bersepadu di mana penduduk boleh tinggal, bekerja dan beriadah dalam komuniti yang sama. Peralihan ke arah perbandaran mampan dan menyeluruh ini menandakan kematangan pasaran hartanah, di mana nilai, kesalinghubungan dan kualiti hidup menjadi pemacu utama keputusan pembelian — bukan sekadar lokasi.”

Pemaju yang Meraih Kepercayaan Awam

Anugerah Pilihan Rakyat, yang ditentukan melalui hampir 28,000 undian awam, mengiktiraf 10 pemaju paling dipercayai pengguna Malaysia. Pemenangnya ialah Berinda Group; CPI Land; Gunung Impian Development Sdn Bhd; Mah Sing Group Berhad; Malton Berhad; Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS); Platinum Victory; Tiland Group; Tropicana Corporation Berhad; dan TRX City Sdn Bhd. Pemenang dipilih daripada senarai pendek 30 pemaju terkemuka.

Keputusan ini mengesahkan bahawa pengguna terus menaruh kepercayaan terhadap pemaju hartanah mapan yang konsisten menawarkan kualiti dan nilai jangka panjang. Dapatan ini memberi panduan berguna kepada pemaju, pelabur dan pembuat dasar tentang projek paling mendapat permintaan serta pemaju yang menikmati tahap kepercayaan pengguna tertinggi.

Pemimpin Industri Tetapkan Piawaian Baharu dalam Kelestarian & Inovasi

JLand Group muncul sebagai pemenang paling cemerlang, meraih gelaran Pemaju Terbaik (Malaysia), Pemaju Terbaik (Malaysia Selatan) dan Pemaju Perindustrian Terbaik. Projek unggulnya, Bandar Dato’ Onn di Johor Bahru, turut meraih pelbagai anugerah termasuk Pembangunan Perbandaran Terbaik (Malaysia), menyerlahkan kepimpinan JLand dalam pembangunan komuniti bersepadu.

Pemaju negeri PKNS menonjol sebagai peneraju ESG dengan gelaran Sustainable Design Champion dan Low Carbon Champion, mengiktiraf komitmen kukuh terhadap reka bentuk mesra alam melalui projek seperti Linkar 52, Aludra Residensi dan Galeria SA Sentral.

Pengurus Besar PropertyGuru Asia Property Awards & Events, Jules Kay berkata, “Anugerah ini bukan sekadar meraikan kecemerlangan, tetapi turut mencerminkan gambaran tentang apa yang paling dihargai oleh pasaran hartanah. Pemaju kini menetapkan piawaian dalam kelestarian, kesalinghubungan dan kualiti hidup, manakala data pengguna menunjukkan permintaan jelas terhadap pembangunan berkualiti. Terdapat peralihan ketara ke arah komuniti yang selesa didiami dan mempunyai rangkaian baik, khususnya di Johor dan Selangor yang menyaksikan pembangunan berskala besar mengubah landskap hartanah. Dalam masa yang sama, kelestarian bukan lagi pilihan — pemaju memimpin dengan mengintegrasikan prinsip ESG ke dalam setiap projek. Penyelarasan antara inovasi, data dan keperluan pengguna inilah yang akan membentuk kejayaan hartanah Malaysia pada masa depan.”

Meraikan Kecemerlangan Hartanah di Seluruh Malaysia

Sebanyak 73 kategori mengiktiraf pencapaian cemerlang dalam industri hartanah Malaysia — daripada kediaman mewah hingga perumahan mampu milik, serta pembangunan komersial inovatif di seluruh negara. Menandakan edisi ke-20 pada tahun 2025, siri Anugerah Hartanah Asia PropertyGuru akan mencapai kemuncaknya dalam Grand Final di Bangkok pada 12 Disember 2025. Seramai 23 pemenang dari Malaysia akan bersaing bagi gelaran Terbaik di Asia bersama penyertaan dari 14 pasaran lain di pentas antarabangsa.

Untuk maklumat lanjut, sila rujuk senarai penuh pemenang di bawah atau layari: AsiaPropertyAwards.com.