Sub Topik
Pelaburan sememangnya mendatangkan pulangan yang lumayan buat kita semua. Jika kita melabur di dunia, maka kita akan peroleh faedahnya di dunia. Manakala jika kita melabur di akhirat, kita akan peroleh kesenangan yang tiada penghujungnya.
Selain pelaburan dunia, penting untuk kita bergiat aktif dalam melabur bagi mendapatkan saham akhirat.
Jom kita lihat 5 pelaburan saham akhirat yang boleh kita salurkan duit lebihan yang kita ada. Mudah-mudahan bermanfaat dalam kita mengimarahkan harta pelaburan kita.
1. Membantu Pembinaan Masjid

Ganjaran pahala yang sangat besar bagi mereka yang membantu membina masjid untuk kegunaan masyarakat awam. Tidak kiralah sama ada darpadai sudut fizikal, tenaga, sumber idea, sumber kewangan ataupun sebarang bantuan kepada pembinaan masjid tersebut.
Kesemua bantuan tersebut pasti akan diberi ganjaran yang besar daripada Allah S.W.T. Pelaburan saham akhirat ini juga pasti akan terus mengalir pahalanya selagi mana orang menunaikan solat di masjid tersebut walaupun kita sudah meninggal dunia.
2. Sedekahkan Harta
Dalam setiap harta milik kita, sebenarnya terdapat hak atau bahagian orang lain di dalamnya. Selagi sedekah tersebut diberikan dengan ikhlas dan tidak diungkit akan pemberian tersebut.
Bersedekah atau menyumbangkan sebahagian harta benda juga dapat menyucikan rezeki yang diperoleh kerana sumber asalnya tidak diketahui dari mana tempatnya. Contoh sedekahkan harta yang bermanfaat adalah pemberian tanah untuk tapak perkuburan Islam.
Pelaburan saham akhirat sebegini juga adalah antara saham akhirat yang paling bermakna kerana ia akan mengingatkan kita akan kematian.
3. Infak Al-Quran Dan Bahan Bacaan Agama

Menginfakkan kitab suci al-Quran, kitab tafsir, buku agama dan lain-lain bahan bacaan agama di masjid, surau, perpustakaan awam, sekolah atau maahad tahfiz untuk kegunaan umum akan mendatangkan pahala yang sangat besar kepada kita.
4. Berkongsi Ilmu Pengetahuan
Terdapat banyak cara yang boleh dilakukan untuk berkongsikan ilmu pengetahuan. Selain melalui sekolah, universiti, kolej, ceramah, kursus motivasi, anda juga boleh berkongsi ilmu melalui Facebook, Blogspot, Twitter, Instagram dan pelbagai jenis media sosial lain.
Perkongsian yang baik dan dikongsi oleh ramai orang ini akan menjadi bekalan akhirat untuk anda kelak. Jadi, semakin banyak ilmu yang dikongsi, maka semakin besarlah ganjaran yang bakal diperolehi.
5. Membina Sumber Air Untuk Kegunaan Awam

Selain daripada itu, pelaburan saham akhirat juga boleh diperoleh dengan membina sumber air untuk kegunaan awam. Tidak kiralah sama ada kolam, perigi ataupun sebarang jenis yang berkaitan dengan air yang mendatangkan manfaat kepada orang awam.
Semakin ramai orang yang mendapat manfaat, semakin banyaklah saham yang dimiliki oleh kita semua di akhirat.
Kesimpulannya, idea pelaburan saham di atas dalah merupakan di antara pelaburan yang berkekalan sepanjang masa selagi ia digunakan oleh masyarakat awam dengan sebaik mungkin. Selain itu, banyak lagi cara untuk mendapatkan saham akhirat asalkan ia membawa manfaat kepada masyarakat dan juga agama.
Oleh itu, marilah kita bersama-sama mencari saham akhirat agar mendapat kesenangan yang berkekalan di sana.
Sumber Rujukan: