AHB Agih Pendapatan Interim 2.50 Sen, Dibayar Pada 15 April Ini

KUALA LUMPUR, 4 April (Bernama) — Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) mengumumkan agihan pendapatan interim  sebanyak 2.50 sen seunit bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Mac, 2024, yang akan dibayar pada 15 April, 2024.

Dalam kenyataan bersama hari ini, pihak AHB, Pelaburan Hartanah Bhd (PHB) dan Maybank Asset Management Sdn Bhd (MAM) berkata agihan itu turut membabitkan pengagihan pendapatan asas sebanyak 2.20 sen seunit dan agihan bonus sebanyak 0.30 sen seunit.

Pembayaran bonus dibuat oleh PHB selaku penaja AHB dan akan dibayar kepada 1,000,000 unit pertama yang dimiliki oleh setiap pemegang unit.

“AHB akan membuat pembayaran berjumlah RM116.6 juta kepada kira-kira 80,000 pemegang unit untuk agihan pendapatan kali ini. Pendapatan pemegang unit tidak hanya dikecualikan daripada cukai, tetapi juga telah dizakatkan.  

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PHB Mohamad Damshal Awang Damit berkata agihan itu menunjukkan strategi pelaburan kumpulan itu yang kukuh dalam menguruskan portfolio hartanah.

“Kami secara strategik membina portfolio AHB kepada RM20 bilion menjelang 2030 dengan secara selektif memperoleh hartanah yang menghasilkan pendapatan serta mengambil bahagian dalam pembangunan hartanah dalam sektor sasaran seperti penjagaan kesihatan, industri dan pendidikan,” katanya.

Selain itu, Mohamad Damshal berkata hampir keseluruhan daripada satu bilion unit tambahan AHB yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Oktober 2023, telah dilanggan.

Ini, kata beliau, membuktikan kepentingan dana pendapatan AHB yang stabil dan dipercayai oleh pelabur, terutamanya dalam merancang portfolio pelaburan keseluruhan mereka.

— BERNAMA

Baca juga: Tutorial Melabur Unit Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) Guna Maybank2u

Previous ArticleNext Article

Prestasi REIT Patuh Syariah di Bursa Malaysia pada Tahun 2025

REIT atau Real Estate Investment Trust ialah cara mudah untuk melabur dalam hartanah tanpa perlu membeli bangunan sebenar. Tak perlu fikir loan tak lepas, tak perlu bayar maintenance, tak perlu hadap penyewa dari neraka. Cuma beli unit REIT, kerja macam biasa dan tunggu dividen sewa masuk setiap suku tahun.

Di Bursa Malaysia hanya beberapa REIT yang disahkan patuh syariah dan fokus artikel ini ialah meninjau prestasi mereka sepanjang tahun 2025, termasuk latar belakang asas, pergerakan harga serta aspek dividen.

REIT Patuh Syariah?

Sehingga artikel ini ditulis, 5 REIT yang disenaraikan di Bursa Malaysia ini berstatus patuh syariah :

  1. AXREIT (Axis REIT)
  2. ALAQAR (Al-’Aqar Healthcare REIT)
  3. KLCC Real Estate Investment Trust (KLCC REIT)
  4. ALSREIT (Al-Salam REIT)
  5. AMEREIT (AME REIT)

Sejarah ringkas:

  • Axis REIT ialah REIT pertama di Malaysia yang mempunyai portfolio hartanah yang terdiri terutamanya daripada pejabat dan industri (industrial/logistik), disenarai pada 3 Ogos 2005.
  • Al-’Aqar ialah REIT penjagaan kesihatan Islamik pertama di Asia seperti Hospital KPJ, disenarai pada 10 Ogos 2006.
  • KLCC REIT tertumpu pada hartanah komersial premium seperti Menara Berkembar Petronas, Menara 3 Petronas dan Menara ExxonMobil, disenarai di pasaran Bursa Malaysia pada 9 Mei 2013.
  • Al-Salam REIT banyak aset runcit dan F&B, contohnya restoran dan premis perniagaan yang mula disenarai di Bursa Malaysia pada 29 September 2015.
  • AME REIT pula memberi fokus kepada industri dan logistik, seperti kilang dan gudang.

Beberapa shopping mall popular di Malaysia berada di bawah REIT berbeza:

  • Mid Valley Megamall & The Gardens Mall → IGB REIT
  • Pavilion Kuala Lumpur → Pavilion REIT
  • Sunway Pyramid → Sunway REIT

Dari segi volum dan nilai dagangan: 2025 menunjukkan peningkatan yang baik. Sebagai contoh, bulan Jun 2025: nilai dagangan adalah sebanyak RM 1.317 billion manakala bukan Julai 2025 sebanyak RM 1.178 billion.

REITHarga terkiniAnggaran perubahan
AXREIT~ RM2.14 (Okt 2025)+24%
ALAQAR~ RM1.28 (Okt 2025)–5.8%
KLCC REIT~ RM8.70 (Okt 2025)+7.6%
ALSREIT~ RM0.46 (Okt 2025)+24%
AME REIT~ RM1.60 (Okt 2025)+13%

Kenaikan harga bukanlah pengukur utama bagi REIT kerana majoriti pelabur melabur dalam REIT kerana ingin mendapatkan dividen. Setiap REIT di atas juga semuanya mengagihkan dividen kepada para pelabur. 

Dividen bagi tahun kewangan 2025 sehingga artikel ini ditulis:

  • AXREIT = 2.50 + 2.65 + 2.65 = 7.80 sen.
  • KLCC REIT = 7.38 + 7.24 = 14.62 sen.
  • AME REIT = 1.96 + 2.16 = 4.12 sen.
  • ALSREIT = 0.51 + 0.47 = 0.98 sen. (setakat ini)
  • ALAQAR = 1.74 + 1.73 = 3.47 sen. (setakat ini)

Kiraan Jika Melabur RM10,000 Dalam AXREIT

Jumlah unit dibeli:

RM10,000 ÷ RM2.14 = ≈ 4,673 unit

Jumlah dividen diterima:

4,673 unit × RM0.078 = ≈ RM364.50

Ringkasnya:

  • Pelaburan RM10,000 dalam AXIS REIT bagi tahun 2025 dijangka beri pulangan tunai sekitar RM360–RM370 setakat ini.
  • Jika AXIS REIT tambah satu lagi agihan pada hujung tahun (contohnya total dividen naik ke 10 sen), jumlah dividen boleh meningkat ke sekitar RM467.

Cara Melabur Dalam REIT di Bursa Malaysia

1️⃣ Buka Akaun CDS & Trading

  • Sama seperti beli saham biasa.
  • Boleh guna platform seperti M+ Online, CGS iTrade, Maybank Trade, RHB Invest, Kenanga One Trade dan lain-lain.

2️⃣ Pilih REIT Yang Sesuai

Fokus pada:

  • Jenis aset – komersial, industri, kesihatan, runcit
  • Sejarah dividen
  • Occupancy rate

3️⃣ Beli Di Bursa Malaysia

  • Minimum pelaburan adalah 1 lot = 100 unit.
  • Kalau harga AXREIT RM2.14, 1 lot ≈ RM214 sahaja.

Risiko Utama

  • Jika kadar faedah (OPR) naik, harga REIT boleh jatuh. REIT biasanya pinjam duit bank untuk beli atau naik taraf bangunan. Bila kadar pinjaman naik, kos kewangan (interest expense) meningkat. Contoh: Axis REIT ada pinjaman RM1 bilion. Kalau kadar faedah naik 0.5%, kos tambahan dalam RM5 juta setahun. Keuntungan bersih REIT akan berkurang → dividen juga boleh menurun.
  • Nilai hartanah dan kadar sewa boleh terjejas jika ekonomi perlahan.
  • Tak semua REIT sama kukuh, pelabur perlu semak laporan tahunan.

Dulu kita selalu pandang twin tower KLCC dengan penuh bangga.
Sekarang kita boleh pandang dengan senyuman kecil sebab walaupun bahagian kita cuma 0.000001%, sekurang-kurangnya kita secara tidak langsung berkongsi pendapatan sewa dan nilai aset tersebut. Ini contohhhh……

Maklumat yang terkandung di dalam artikel ini adalah untuk tujuan maklumat sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat pelaburan. Semua keputusan pelaburan adalah tanggungjawab individu dan anda harus mendapatkan nasihat daripada penasihat kewangan berlesen sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan. Pelaburan dalam saham melibatkan risiko dan keuntungan sendiri. Prestasi masa lalu juga tidak menjamin prestasi masa hadapan.