Bursa Malaysia Derivatives Lancar Kontrak Niaga Hadapan Mata Wang Pertama

KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) — Bursa Malaysia Derivatives Bhd (BMD) hari ini melancarkan kontrak niaga hadapan mata wang pertamanya, USD/CNH Mini (FCNH) menerusi perjanjian pelesenan yang dijalinkan dengan Hong Kong Exchanges and Clearing Ltd (HKEX).

Pengerusi BMD merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd Datuk Muhamad Umar Swift berkata kontrak FCNH adalah satu pencapaian bermakna yang menawarkan pelbagai manfaat daripada mengurangkan risiko kredit rakan niaga sehinggalah penyediaan peluang dagangan yang telus dan terkawal. 

“Ia memperkasa perniagaan, perdagangan dan pelabur untuk mengemudi pasaran mata wang dengan lebih yakin, mengurus risiko secara berkesan serta merebut peluang pertumbuhan yang sekali gus dapat meningkatkan mudah tunai pasaran,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran FCNH di sini, hari ini.

Muhamad Umar berkata FCNH turut mewujudkan pasaran yang telus, dikawal selia dan boleh diakses yang hanya menguntungkan perusahaan kecil dan sederhana serta pemilik perniagaan yang terbabit dalam urusan perniagaan dengan China.

Beliau berkata ini membolehkan pelabur untuk mengemudi pasaran mata wang dinamik dengan lebih jelas, memanfaatkan FCNH sebagai mekanisme berharga lindung nilai daripada risiko dolar AS dan turun naik renminbi luar pesisir serta memastikan kestabilan operasi perniagaan masing-masing.

Pada masa sama, FCNH juga dapat mewujudkan peluang dagangan baharu bagi melindung nilai risiko mata wang renminbi yang merentasi aset berbeza, katanya.

Beliau berkata kontrak penyelesaian tunai bersaiz lebih kecil ini juga membolehkan kelancaran dagangan, pelabur dapat memanfaatkan perbezaan harga dan ketidakcekapan pasaran di pelbagai bursa, termasuk pasaran derivatif Hong Kong dan Malaysia, tanpa pertukaran prinsipal penuh atau penghantaran secara fizikal.

FCNH juga menarik peserta pasaran untuk melindung nilai daripada turun naik mata wang, meningkatkan kecairan pasaran selain menggalakkan pertumbuhan ekosistem pasaran. 

“Menerusi persekitaran yang selamat dan terkawal ini, kami berhasrat untuk menggalakkan peningkatan penyertaan kalangan pelabur global, mengukuhkan daya maju dan daya saing pasaran,” katanya.

Pelancaran FCNH ini juga strategik dan seiringan dengan langkah BMD memeterai perjanjian pelesenan dengan Bursa Komoditi Dalian (DCE) bagi harga penyelesaian hadapan minyak soya bagi Kontrak Niaga Hadapan Minyak Soya DCE Bursa Malaysia (FSOY) iaitu produk baharu yang akan disenaraikan pada 2024. 

“FCNH akan menjadi pelengkap dan berperanan sebagai alat lindung nilai mata wang untuk peserta pasaran yang berminat dengan perdagangan FSOY didenominasi dalam dolar AS,” katanya. 

Muhamad Umar juga menyifatkan perjanjian pelesenan dengan HKEX untuk FCNH dan kerjasama produk dengan DCE adalah bukti komitmen BMD dalam menjalin pakatan strategik dan mengukuhkan lagi hubungan pasaran global. 

“BMD optimis bahawa usaha ini akan membolehkan peserta pasaran mengemudi kekompleksan pasaran antarabangsa dengan berkesan dan mengurus risiko rentas pasaran,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden HKEX Narendra Hegde pula menyifatkan pelancaran FCNH itu hanya membuktikan lagi hubungan erat China dan Asean.

Menurutnya, perdagangan China dan Asean misalnya telah mengalami pertumbuhan besar sejak bertahun-tahun lamanya berikutan kedudukan Asean kekal sebagai rakan dagang terbesar China di peringkat serantau manakala Beijing menjadi rakan dagang terbesar Asean sejak 2009.

Sehubungan itu, katanya, pelancaran FCNH akan memberi mekanisme baharu untuk pelabur bagi melindungi nilai daripada risiko mata wang akibat peningkatan penggunaan renminbi luar pesisir.

“Kontrak baharu ini juga menangani peningkatan permintaan dalam kalangan pelabur ketika renminbi mendapat tarikan besar di pasaran global sejak beberapa tahun lepas.

“Malah, pelancaran hari ini akan menyumbang kepada pelbagai produk renminbi luar pesisir,” katanya.

FCNH merupakan kontrak penyelesaian tunai yang didenominasi dalam renminbi dengan Harga Penyelesaian Akhir merujuk kepada Harga Penyelesaian Akhir USD/CNH Mini HKEX. 

Peserta pasaran boleh melakukan dagangan FCNH pada sesi dagangan pagi dan petang (9 pagi hingga 6 petang bagi Isnin hingga Jumaat) dan sesi selepas waktu dagangan (T+1) (9 malam hingga 2.30 pagi pada Isnin hingga Khamis).

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Public Gold syarikat Malaysia pertama jadi ahli antarabangsa Shanghai Gold Exchange

KUALA LUMPUR: Syarikat logam berharga bersepadu, Public Gold Group berjaya menjadi ahli antarabangsa dalam Shanghai Gold Exchange (SGE) iaitu satu platform perdagangan emas yang paling berpengaruh di dunia.

Ini menjadikan Public Gold sebagai syarikat Malaysia pertama yang memperoleh pencapaian berkenaan.

Pencapaian bersejarah ini meletakkan kedudukan Public Gold di barisan hadapan dalam industri logam berharga ASEAN sekali gus memberikan akses langsung kepada rangkaian perdagangan global SGE, infrastruktur penghantaran fizikal dan kontrak emas yang dinilai dalam yuan Renminbi.

Syarikat itu berkata, penyertaan ini juga membolehkannya memperoleh serta menghantar emas melalui rangkaian peti simpanan antarabangsa SGE dengan lokasi strategik di Shanghai, Shenzhen dan Hong Kong.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Louis Ng, berkata menyertai SGE bukan sekadar pencapaian perniagaan tetapi ia juga merupakan langkah strategik bagi menghubungkan Malaysia secara langsung dengan pasaran emas terpenting di dunia.

“Dengan kehadiran yang semakin berkembang di Dubai, India, London dan seterusnya, Public Gold bersedia untuk membina rangkaian global yang benar-benar memberi manfaat kepada pelanggan kami serta industri emas Malaysia secara keseluruhannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain daripada keanggotaan SGE, Public Gold kini berada di peringkat akhir untuk memperoleh keahlian dengan India International Bullion Exchange (IIBX) dan akan memasuki pasaran London, seterusnya memperluas jangkauannya ke satu daripada pusat perdagangan emas terbesar dan paling kukuh di dunia.

“Dengan kehadirannya di Dubai iaitu pusat perdagangan emas utama di Asia Barat, Public Gold kini dapat menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan dan rakan kerjasamanya di seluruh Asia, Timur Tengah dan tidak lama lagi, Eropah,” kata Public Gold.

Sebagai ahli Persatuan Emas Malaysia dan Singapore Bullion Market Association, Public Gold berhasrat memperkukuhkan peranan Malaysia dalam perdagangan logam berharga global sebagai sebuah syarikat yang bersepadu sepenuhnya.

Ia juga disasarkan beroperasi merentasi seluruh rantaian nilai emas iaitu daripada perdagangan emas borong hingga produk simpanan runcit, penyelesaian penyimpanan dan tawaran emas yang mematuhi prinsip Syariah.

Syarikat itu berkata, peluasan ke dalam SGE, IIBX, dan London mencerminkan komitmennya untuk meningkatkan kecekapan sumber melalui penyertaan langsung dalam pasaran emas utama dunia sambil memperluas peluang eksport produk emas Malaysia ke China, India, Asia Barat dan Eropah.

-BERNAMA

Baca lagi Perbandingan Simpan Emas dalam MIGA-i dan Public Gold