Ekonomi Malaysia Terus Kukuh Seiring Dengan Bursa Malaysia – Rafizi

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) — Peningkatan indeks pasaran saham negara, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) kepada paras tertinggi tahun ini iaitu 1,567.57 mata di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan, pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengesahkan bahawa ekonomi Malaysia akan terus menguat.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata FBM KLCI hari ini mencecah paras 1,567.57 mata pada paras tertinggi harian menjelang 11 pagi, sebelum ditutup pada paras 1,561.64 mata.

Menurutnya walaupun sentimen negatif terus dimainkan oleh pihak pembangkang, sentimen ini tidak sama dengan keadaan yang berlaku di pasaran.

“Bursa Malaysia telah menunjukkan peningkatan secara konsisten sejak 12 bulan lepas untuk mencecah paras tertinggi pada paras 1,567.57 mata pagi tadi.

“Peningkatan berterusan yang konsisten ini bersamaan dengan kenaikan 14.45 peratus pulangan tahunan kepada pelabur,” katanya dalam hantaran di laman X (Twitter) rasminya hari ini.

Rafizi berkata dana-dana rakyat yang dikendalikan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan), Permodalan Nasional Bhd, Khazanah Nasional Bhd, Lembaga Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera adalah antara pemegang saham terbesar syarikat-syarikat di Bursa Malaysia.

“Apabila pasaran saham naik secara konsisten dalam setahun yang lepas dan memberi peningkatan 14.45 peratus dalam pulangan tahunan, ini akan dapat diterjemahkan dalam bentuk keuntungan yang lebih besar kepada rakyat pada masa hadapan sekiranya maraton ini dapat diteruskan.

“Tanggungjawab membaiki ekonomi negara memerlukan perspektif jangka panjang. Namun, peningkatan yang berlaku (tanpa kita sedar) seperti hari ini memberi pengesahan bahawa ekonomi kita akan terus menguat,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

IOI Corp Lantik Bekas Pengerusi Bursa Malaysia Sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) — IOI Corporation Bhd telah melantik bekas Pengerusi Bursa Malaysia Bhd Tan Sri Abdul Wahid Omar sebagai Pengerusi Bukan Eksekutifnya, berkuat kuasa 5 Nov, 2025.

Kumpulan perladangan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata Abdul Wahid menggantikan Tan Sri Peter Chin Fah Kui, yang bersara daripada lembaga pengarah hari ini.

Sebelum ini, Abdul Wahid berkhidmat sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank dari Mei 2008 hingga Jun 2013, selain Pengerusi Persatuan Bank-Bank di Malaysia.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Senator dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam perancangan ekonomi dari Jun 2013 hingga Jun 2016.

Abdul Wahid turut berkhidmat sebagai Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd dari Ogos 2016 hingga Jun 2018 dan menamatkan tempoh lima tahun sebagai Pengerusi Bursa Malaysia pada 30 April 2025.

Ketika ini, Abdul Wahid merupakan Pengerusi Cypark Resources Bhd, Tabung Alam Sedunia (WWF) Malaysia (WWF-Malaysia) dan Yayasan MySDG.
— BERNAMA