KAPB Umum Kadar Dividen 8 Peratus Bagi Tahun 2022

Kuala Lumpur, 8 April 2023 – Koperasi Amanah Pelaburan Berhad (KAPB) hari ini mengisytiharkan pengagihan dividen sebanyak 8% bagi tahun kewangan berakhir 31  Disember 2022 kepada ahli anggota koperasi yang layak dan akan dikreditkan ke dalam modal syer anggota bermula April ini. Pengumuman tersebut dibuat sewaktu Mesyuarat  Agung Perwakilan Tahunan Ke-8 (2023) yang diadakan di sebuah majlis tertutup petang tadi. 

Prestasi kewangan tahun ke tahun KAPB secara keseluruhan juga menunjukkan  pertumbuhan lebih kukuh dan positif berbanding perolehan tahun lalu apabila berjaya merekodkan peningkatan keuntungan bersih yang melonjak kepada 25.4% berbanding tahun kewangan terdahulu yang didorong oleh aktiviti pembiayaan dan pelaburan mampan tetapi berisiko rendah. 

Dalam tempoh lapan tahun bermula 2015 sehingga kini, KAPB berjaya mengekalkan prestasi  kadar dividen yang tinggi, kompetitif dan optimum berbanding nilai pulangan semasa yang ditawarkan oleh mana-mana institusi pelaburan lain saban tahun. Nilai pulangan  pelaburan yang ditawarkan oleh KAPB juga merupakan antara yang tertinggi di Malaysia dengan kadar terendah sebanyak 8% dan tertinggi sebanyak 15%

Mengulas lanjut mengenai pengumuman kadar dividen tahun ini, YBhg Dato’ Ilyas Mohamed selaku Pengerusi  Eksekutif KAPB berkata, “Walaupun berdepan dengan  persekitaran ekonomi yang serba mencabar, KAPB terus mengekalkan rekod cemerlang dan berdaya saing dalam memberikan pulangan paling optimum yang mana 90%  daripada keuntungan yang dijana oleh KAPB bagi  tahun kewangan 2022 telah diagihkan semula dalam bentuk dividen kepada anggota koperasi sekaligus menjamin masa depan kewangan mereka. Bagi memastikan KAPB terus memberikan pulangan yang mampan kepada para pelabur, kami telah memperhalusi strategi pelaburan kami berdasarkan pelan jangka panjang dengan wawasan jelas yang berpandangan jauh. Kami secara agresif melaksanakan kepelbagaian portfolio berisiko rendah secara berfasa dalam pasaran dan kelas aset yang berbeza bagi memastikan nilai pulangan yang positif.

Kami juga komited memperkasa golongan kontraktor, vendor, pengusaha kecil sederhana  (PKS) dan agensi kerajaan dalam melancarkan aliran tunai perniagaan mereka menerusi  segmen pemfaktoran atau pengurusan pembiayaan invois sekaligus membantu  perkembangan ekonomi secara mampan. Kemudahan pemfaktoran yang kami tawarkan ini memberi alternatif kewangan baharu yang lebih anjal bagi membantu melaksanakan projek  yang diterima. 

Bukan itu sahaja, KAPB turut memberikan pengawasan korporat yang kukuh dan  mempromosikan tadbir urus korporat yang baik untuk memacu pertumbuhan dan prestasi  syarikat-syarikat pelaburan kami. Kami juga mengamalkan ketelusan dan akauntabiliti bagi  memastikan mandat yang diberi oleh pelabur digalas secara konsisten.” 

Sebagai rekod, KAPB mempunyai 12,000 ahli koperasi yang sah berdaftar setakat ini sejak  mula ditubuhkan pada tahun 2014. 

Antara kelebihan utama melabur dengan KAPB adalah dana yang terkumpul akan diuruskan  oleh pengurus dana professional yang berpengalaman dalam mengendalikan isu hal ehwal  pelaburan. Setiap pelaburan yang dibuat oleh KAPB juga patuh Syariah. 

Dengan dana pelaburan minimum serendah RM1,000 sahaja, setiap ahli berpeluang untuk  menikmati pelbagai pulangan menarik. Selain menawarkan agihan pulangan dividen sehingga 8% setahun, KAPB turut menawarkan khairat kematian sebanyak RM3000 buat setiap ahli. Lebih menarik lagi, KAPB juga turut menawarkan bantuan bencana alam dan lain-lain faedah. 

Antara portfolio korporat bagi dana pelaburan yang diuruskan oleh KAPB termasuklah Ar Rahnu, APHB (pelaburan), Hartanah AP Rakyat (hartanah), H Group Marine (gaya hidup  marin), Jetvalet (penerbangan), Awesome TV (penyiaran), MFI Group (perkhidmatan  kewangan dan otomotif), Quick Ride (e-hailing), CTG Capital (pembiayaan Automotif) dan  MFI Capital (tenaga boleh diperbaharui). 

Orang ramai yang berminat untuk menjadi ahli atau ingin mengajukan sebarang pertanyaan  berkenaan KAPB boleh menghantar e-mel ke [email protected] atau melayari laman  rasmi www.kapb.com.my 

Terdapat tiga cara mudah untuk memohon sebagai ahli KABP iaitu permohonan secara  online laman web rasmi, permohonan melalui talian rasmi di 03-2711 0050/ 03-2711 0051  ataupun permohonan secara fizikal dengan walk-in ke ibu pejabat KAPB di Tingkat 2,  Menara Kembar Bank Rakyat, No. 33, Jalan Rakyat 50470 Kuala Lumpur. 

Previous ArticleNext Article

Public Gold syarikat Malaysia pertama jadi ahli antarabangsa Shanghai Gold Exchange

KUALA LUMPUR: Syarikat logam berharga bersepadu, Public Gold Group berjaya menjadi ahli antarabangsa dalam Shanghai Gold Exchange (SGE) iaitu satu platform perdagangan emas yang paling berpengaruh di dunia.

Ini menjadikan Public Gold sebagai syarikat Malaysia pertama yang memperoleh pencapaian berkenaan.

Pencapaian bersejarah ini meletakkan kedudukan Public Gold di barisan hadapan dalam industri logam berharga ASEAN sekali gus memberikan akses langsung kepada rangkaian perdagangan global SGE, infrastruktur penghantaran fizikal dan kontrak emas yang dinilai dalam yuan Renminbi.

Syarikat itu berkata, penyertaan ini juga membolehkannya memperoleh serta menghantar emas melalui rangkaian peti simpanan antarabangsa SGE dengan lokasi strategik di Shanghai, Shenzhen dan Hong Kong.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Louis Ng, berkata menyertai SGE bukan sekadar pencapaian perniagaan tetapi ia juga merupakan langkah strategik bagi menghubungkan Malaysia secara langsung dengan pasaran emas terpenting di dunia.

“Dengan kehadiran yang semakin berkembang di Dubai, India, London dan seterusnya, Public Gold bersedia untuk membina rangkaian global yang benar-benar memberi manfaat kepada pelanggan kami serta industri emas Malaysia secara keseluruhannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain daripada keanggotaan SGE, Public Gold kini berada di peringkat akhir untuk memperoleh keahlian dengan India International Bullion Exchange (IIBX) dan akan memasuki pasaran London, seterusnya memperluas jangkauannya ke satu daripada pusat perdagangan emas terbesar dan paling kukuh di dunia.

“Dengan kehadirannya di Dubai iaitu pusat perdagangan emas utama di Asia Barat, Public Gold kini dapat menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan dan rakan kerjasamanya di seluruh Asia, Timur Tengah dan tidak lama lagi, Eropah,” kata Public Gold.

Sebagai ahli Persatuan Emas Malaysia dan Singapore Bullion Market Association, Public Gold berhasrat memperkukuhkan peranan Malaysia dalam perdagangan logam berharga global sebagai sebuah syarikat yang bersepadu sepenuhnya.

Ia juga disasarkan beroperasi merentasi seluruh rantaian nilai emas iaitu daripada perdagangan emas borong hingga produk simpanan runcit, penyelesaian penyimpanan dan tawaran emas yang mematuhi prinsip Syariah.

Syarikat itu berkata, peluasan ke dalam SGE, IIBX, dan London mencerminkan komitmennya untuk meningkatkan kecekapan sumber melalui penyertaan langsung dalam pasaran emas utama dunia sambil memperluas peluang eksport produk emas Malaysia ke China, India, Asia Barat dan Eropah.

-BERNAMA

Baca lagi Perbandingan Simpan Emas dalam MIGA-i dan Public Gold