Pasaran Modal Malaysia Kekal Berdaya Tahan, Catat Pertumbuhan 5.6% pada 2023

SC Keluar Laporan Tahunan 2023, Laporan Tahunan AOB 2023 dan Tinjauan  Kestabilan Pasaran Modal 2023 

KUALA LUMPUR, 19 April — Pasaran modal Malaysia kekal berdaya tahan pada tahun 2023, dengan saiz pasaran  berkembang sebanyak 5.6% kepada RM3.8 trilion (2022: RM3.6 trilion), didorong oleh  pertumbuhan dalam permodalan pasaran ekuiti serta jumlah bon dan sukuk belum  tebus. 

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), dalam Laporan Tahunan 2023 yang dikeluarkan  hari ini, berkata industri pengurusan dana juga berkembang kukuh dengan jumlah  aset di bawah pengurusan (AUM) mencecah paras tertinggi baharu sebanyak RM975.5  bilion (2022: RM906.5 bilion) yang sebahagian besarnya disebabkan daripada kesan  penilaian positif. 

SC juga mengeluarkan Laporan Tahunan Lembaga Pemantauan Audit 2023 (Laporan  AOB 2023), dan Tinjauan Kestabilan Pasaran Modal 2023 (CMSR 2023). 

Pengerusi SC, Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata prestasi pasaran modal yang  kukuh telah dicapai walaupun berhadapan cabaran ekonomi global dan jangkaan yang  berbeza terhadap dasar monetari dalam ekonomi utama. 

“Tahun 2023 amat istimewa kerana ia merupakan ulang tahun ke-30 SC. Ini  merupakan satu pencapaian penting yang jelas memaparkan peningkatan  kematangan dan daya tahan SC sebagai sebuah institusi.,” katanya. 

“SC kekal tidak berbelah bahagi dalam keazaman kami untuk mengukuhkan rangka  kerja kawal selia kami dan menegakkan integriti pasaran, apatah lagi kerana kami  terus diukur berdasarkan piawaian kawal selia global.,” tambahnya. 

Laporan Tahunan 2023 

Antara sorotan utama Laporan Tahunan 2023 ialah: 

▪ Jumlah pengumpulan dana dalam pasaran ekuiti dan bon korporat menyederhana kepada RM127.7 bilion (2022: RM179.4 bilion) berikutan penurunan dalam:

  • terbitan bon korporat dan sukuk kepada RM118.3 bilion (2022: RM153.3  bilion) disebabkan permintaan pembiayaan semula yang lebih rendah; dan
  • pengumpulan dana ekuiti sekunder kepada RM5.8 bilion (2022: RM22.6  bilion), kembali ke tahap pra-pandemik. 

▪ IPO meningkat kepada RM3.6 bilion (2022: RM3.5 bilion)

▪ Aktiviti pembiayaan alternatif mencatatkan pertumbuhan yang menggalakkan dan  terus menyokong keperluan pembiayaan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana  (PMKS), dengan jumlah dana yang diperoleh berjumlah RM3.8 bilion (2022: RM3.0  bilion). 

▪ Ekuiti pendanaan ramai (ECF) dan pembiayaan antara rakan setara (pembiayaan  P2P) telah membolehkan lebih 15,000 PMKS mengumpul lebih RM6 bilion sejak  penubuhannya. 

▪ Walaupun penanda aras FBM KLCI merosot sebanyak 2.7%, indeks pasaran lain  berakhir secara positif pada 2023, mencerminkan minat pelabur terhadap firma  yang mempunyai potensi pertumbuhan yang lebih tinggi, khususnya segmen  Permodalan Pertengahan dan Kecil. Pada masa ini, pasaran ekuiti domestik adalah  antara pasaran berprestasi terbaik di rantau ini, dengan FBM KLCI memperoleh  hampir 7.0% setakat 12 Mac. 

▪ Pasaran modal Islam Malaysia (ICM) berkembang sebanyak 4.5% kepada RM2.4  trilion pada 2023, dengan sukuk terkumpul berkembang sebanyak 7.4% dan ekuiti  patuh Syariah sebanyak 1.5%. Untuk mengukuhkan kelebihan daya saing ICM dan  meningkatkan impak sosial dan ekonominya, SC telah mengeluarkan Panduan  Maqasid Al-Shariah. Ini adalah kali pertama panduan sedemikian digunakan  dalam pasaran modal. 

▪ Pada 2023, SC memperoleh lima sabitan jenayah dan denda sebanyak RM8.7 juta, bersama RM4.8 juta penalti sivil yang dikenakan oleh Mahkamah. SC juga  melunaskan RM13.8 juta menurut penyelesaian kawal selia yang dibuat dengan 6 orang dalam kes berasingan. Selain itu, 140 sekatan pentadbiran telah dikenakan.  Ini menyebabkan SC mengenakan denda dan penalti berjumlah RM19.5 juta. 

▪ Untuk meningkatkan keupayaan pengawasan dan penyeliaan, SC telah  membangunkan PLC360, alat dikuasakan AI untuk pengawasan yang lebih teguh  terhadap PLC, yang akan membantu dalam meramalkan kemungkinan salah laku,  memberikan pandangan, mengesan kawasan risiko dan mengenal pasti trend dan  kebimbangan yang muncul. Alat ini dibangunkan secara dalaman dan akan  memberikan gambaran menyeluruh bagi setiap PLC dan juruaudit.

▪ SC terus mengekalkan tumpuan yang kukuh untuk menggalakkan tadbir urus  korporat yang baik (CG). Dalam Penilaian Tadbir Urus Korporat ACGA 2023, SC  mengekalkan kedudukan kelimanya dalam kalangan 12 pasaran Asia-Pasifik.

Selain itu, penyertaan wanita dalam lembaga pengarah PLC dan  pengantara telah bertambah baik, dengan wanita kini memegang 30.7%  jawatan lembaga pengarah, mencapai sasaran 30% yang ditetapkan dalam Kod  Tadbir Urus Korporat Malaysia. 

▪ SC menerima sebanya 3,262 aduan dan pertanyaan mengenai penipuan dan  aktiviti tidak berlesen pada 2023, peningkatan tiga kali ganda dalam tempoh lima  tahun lalu dari 2019 hingga 2023. SC juga telah meningkatkan usaha untuk  melindungi pelabur dan memerangi penipuan dengan menubuhkan Pasukan  Petugas dalaman untuk menyelaraskan campur tangan anti-penipuan,  mempertingkatkan halaman Senarai Peringatan Pelabur dan membangunkan  platform seperti ‘Investment Checker’ (Pemeriksa Pelaburan) dan Meter Penipuan untuk pelabur. 

▪ Inisiatif utama untuk pasaran awam termasuk pengenalan proses pemindahan  dipercepatkan daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama, memudahkan  pengurangan duti setem untuk dagangan saham di Bursa bagi mengurangkan kos untuk pelabur runcit dan perdagangan saham pecahan untuk meningkatkan akses kepada pasaran saham. 

▪ Dalam usaha untuk terus menambah baik fungsi pengampang maklumatnya (gatekeeping), SC memperkemas prosesnya. Ini termasuk memperkenalkan Penilaian Skop Berfokus (FSA) untuk Pengantara Pasaran Modal (CMI) dan  Pengendali Pasaran yang Diiktiraf (RMO) yang layak, mengurangkan masa ke  pasaran kepada tiga bulan daripada enam bulan. 

▪ Selain itu, dengan kerjasama Bursa Malaysia, kelulusan IPO untuk Pasaran  Utama dan Pasaran ACE dipercepatkan kepada tempoh tiga bulan untuk  permohonan baharu yang diterima mulai 1 Mac tahun ini. 

▪ Untuk menangani permintaan untuk maklumat kelestarian yang boleh dipercayai  dan setanding, SC mempengerusikan Jawatankuasa Penasihat antara agensi  mengenai Pelaporan Kelestarian (ACSR) yang telah ditubuhkan untuk  membangunkan Rangka Kerja Pelaporan Kelestarian Kebangsaan.  Rundingan awam untuk mendapatkan maklum balas mengenai cadangan  penggunaan piawaian pendedahan kemampanan yang dikeluarkan oleh Lembaga  Piawaian Kemampanan Antarabangsa dan rangka kerja jaminan, sedang berjalan. 

▪ Untuk memastikan daya saing PKS melalui penggunaan amalan kemampanan,  kami juga menerbitkan Panduan Pendedahan ESG yang dipermudahkan untuk  membimbing PKS dalam membuat perlunya pendedahan untuk eksport. 

Laporan Tahunan 2023 termasuk tiga Rencana Khas yang menekankan sumbangan SC dalam perlindungan pelabur, mengukuhkan kelebihan daya saing pasaran modal  Islam, dan pembangunan bakat pasaran modal. Rencana Khas tersebut termasuk:

Rencana Khas 1: Ke Arah Perlindungan Pelabur yang Lebih Baik Rencana ini menyerlahkan lonjakan dalam penipuan dan aktiviti tidak berlesen yang  dilaporkan kepada SC pada tahun 2023 dan cara SC menangani ancaman ini dengan  penekanan pada langkah proaktif dan campur tangan kolaboratif. 

Rencana Khas 2: Panduan Maqasid Al-Shariah untuk Pasaran Modal Islam  Malaysia  

Pada Oktober 2023, SC memperkenalkan Panduan Maqasid Al-Shariah untuk Pasaran  Modal Islam Malaysia berasaskan prinsip untuk mengukuhkan ekosistem pasaran  modal Islam Malaysia (ICM) dan selaraskan dengan prinsip kewangan Islam. Dengan  penyelarasan yang lebih rapat dengan maqasid al-shariah, ICM berusaha untuk  memupuk ekosistem yang inklusif dan kondusif untuk produk dan perkhidmatan. 

Rencana Khas 3: Program pembangunan bakat pasaran modal yang  dilaburkan, investED 

Melalui investED, SC menyasarkan untuk menangani kekurangan tenaga kerja dalam  pasaran modal dengan membangunkan kumpulan tenaga mahir yang mampan dan  mewujudkan kesedaran yang lebih besar tentang industri pasaran modal dalam  kalangan graduan Malaysia. 

Laporan AOB 2023 

Antara sorotan utama Laporan AOB 2023 ialah: 

▪ Untuk tiga penilaian berturut-turut, Malaysia menduduki tempat pertama  dalam ACGA Corporate Governance (CG) Watch, termasuk pada tahun 2023,  bagi kategori Juruaudit dan Pengawal Selia Audit. 

▪ Terkini, 34 individu baharu dan 1 firma baharu telah didaftarkan, manakala 1  individu telah diiktiraf. 

▪ Pada masa ini, terdapat 374 juruaudit Individu Berdaftar di 41 firma audit yang  berdaftar dan diiktiraf. Juruaudit ini terlibat dalam mengaudit 1,256 PIE dengan  permodalan pasaran PLC RM1.77 trilion, dan audit 1,339 dana jadual dengan Nilai  Aset Bersih RM696 bilion. 

CMSR 2023 

Tinjauna Kestabilan Pasaran Modal (CMSR), dalam laporan 2023 berkata pasaran  modal Malaysia beroperasi dengan teratur pada 2023 tanpa sebarang kebimbangan  kestabilan sistemik yang diperhatikan. Sorotan CMSR termasuk:

Broker saham dan bank pelaburan kekal berdaya tahan dan mempunyai penampan  modal yang mencukupi untuk menguruskan kedudukan kecairan masing-masing  secara berhemat. 

▪ PLC mencatatkan pendapatan yang lebih tinggi, terutamanya disebabkan oleh  sektor pengangkutan dan perkhidmatan kewangan. 

Memandang ke Hadapan 

Melangkah ke hadapan, SC kekal komited untuk memajukan pasaran modal Malaysia  dan menyokong peralihannya ke arah ekonomi rendah karbon. 

SC sedang memperhalusi Taksonomi SRI dan membangunkan Rangka Kerja  Pelaporan Kemampanan Kebangsaan untuk membimbing peserta industri ke  arah menyelaraskan dengan piawaian kemampanan global. 

SC juga sedang menjalankan semakan menyeluruh terhadap Akta Pasaran Modal  dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) dan Akta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia 1993 (SCMA)  untuk memastikan kami kekal relevan dan selaras dengan perubahan dalam  pasaran. 

SC juga tidak lama lagi akan melancarkan Pelan Hala Tuju 5 tahun PMKS, yang  bertujuan untuk menyediakan peningkatan akses kepada pasaran modal untuk PMKS. 

SC akan terus meningkatkan perlindungan pelabur. Ini melibatkan pengawasan ketat terhadap aktiviti tidak berlesen. Di samping itu, SC juga sedang mengkaji rangka kerja  kawal selia yang mentadbir pengumpulan dana oleh Syarikat Awam Tidak  Tersenarai (UPC). 

Untuk memerangi risiko pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan, SC  terus meningkatkan usaha dalam penyeliaan dan kawalan industri untuk memastikan  keberkesanan kawal selia rejim AML, dan menyokong penyediaan Penilaian Bersama  Pasukan Petugas Tindakan Kewangan pada 2025. 

Program pembangunan bakat pasaran modal yang diterajui SC, investED, yang  dilancarkan oleh Perdana Menteri pada Jun 2023, memasuki tahun keduanya, dengan  kohort pertama yang menamatkan pengajian pada bulan Mei ini. Program ini telah  mencapai kemajuan ketara, melangkaui semua sasarannya sejak dilancarkan. 

Untuk melihat laporan ini, sila lawati: 

1) Laporan Tahunan SC 2023 

2) Laporan Tahunan AOB 2023 

3) Kajian Kestabilan Pasaran Modal 2023

Previous ArticleNext Article

SC Lancar investED For Returning Women, Sokong Wanita Kembali Bekerja Dalam Pasaran Modal

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini melancarkan investED for Returning Women, program latihan dan kemasukan semula yang direka untuk menyokong wanita yang ingin menyertai semula pasaran modal selepas berhenti seketika daripada kerjaya (career break).

Program ini akan melengkapi wanita yang ingin kembali bekerja dengan pengetahuan, kemahiran dan peluang untuk berjaya dalam pasaran modal.

Program tersebut dilancarkan oleh Timbalan Menteri Kewangan YB Lim Hui Ying di SC.

investED for Returning Women, yang pertama kali diumumkan pada bulan Oktober tahun ini, telah menerima lebih 600 permohonan, mencerminkan minat dan permintaan tinggi dalam kalangan wanita yang mencari laluan berstruktur untuk kembali ke dalam pekerjaan profesional.

Umur pemohon adalah dalam linkungan pertengahan 30-an hingga akhir 40-an, dengan pengalaman dalam sektor minyak & gas, perbankan, kewangan dan insurans. Kebanyakan pemohon menyatakan sebab utama mereka berhenti bekerja adalah kerana tanggungjawab keluarga dan keperluan penjagaan (caregiving).

investED for Returning Women direka untuk menyokong wanita kembali bekerja selepas berhenti seketika, khususnya dalam sektor pasaran modal. Program ini disampaikan dalam dua fasa:

  1. REFRESH (kesediaan profesional & peribadi)

Tertumpu kepada membina keyakinan, memperkenalkan semula budaya tempat kerja dan meningkatkan kemahiran insaniah melalui klinik kerjaya, bimbingan peribadi dan networking untuk menyediakan peserta bagi penempatan kerja.

  1. RESKILL (kecekapan teknikal & pasaran)

Melengkapkan peserta dengan kemahiran teknikal dan pengetahuan industri terkini yang berkaitan dengan pasaran modal, disokong oleh latihan berstruktur, pendedahan industri dan sokongan susulan semasa enam bulan pertama pekerjaan.

Kedua-dua fasa menyediakan laluan komprehensif untuk wanita kembali ke dunia pekerjaan dengan jayanya. Peserta yang melengkapkan kedua-dua fasa akan menerima insentif sebanyak RM2,000 beserta sijil.

Pengerusi SC Dato’ Mohammad Faiz Azmi berkata program ini sejajar dengan usaha SC dalam meningkatkan kepelbagaian dan keterangkuman tenaga kerja pasaran modal, yang mana wanita mewakili sebahagian besar daripadanya.

“Dalam 100 syarikat tersenarai teratas di Bursa Malaysia, lebih 34% daripada jawatan lembaga pengarah dipegang oleh wanita setakat 1 Okt 2025.

“Dengan pasaran modal yang semakin canggih, serta dalam menghadapi kekurangan bakat, program ini bertujuan untuk memanfaatkan pengalaman dan kepakaran profesional untuk kembali memperkukuh daya tahan pasaran,” katanya.

Sama seperti pendekatan yang diambil untuk Program Kepimpinan investED SC, investED for Returning Women menggabungkan pembelajaran bilik darjah, bimbingan dan penempatan industri.

SC juga akan memudahcarakan penempatan pekerjaan dengan menghubungkan peserta dengan syarikat rakan kongsi. Peserta juga akan menerima bimbingan daripada profesional berpengalaman dalam firma terkemuka.

Program ini disokong oleh 30% Club Malaysia, LeadWomen Sdn Bhd, Securities Industry Development Corporation (SIDC), PricewaterhouseCoopers Malaysia Holdings Sdn Bhd (PwC) dan Talent Corporation Malaysia Berhad. Rakan kongsi memainkan peranan aktif dalam mereka bentuk modul latihan dan menawarkan penempatan tempat kerja.

Untuk maklumat lanjut, sila lawati https://www.invested.my/invested-for-women/.