Cuti Panjang di Jepun Cetus Kebimbangan Terjadinya ‘Flash-Crash’ Dalam Pasaran Global

Jepun memulakan cuti panjangnya selama 10 hari bermula Sabtu (27 April 2019) bagi menyambut peralihan takhta Maharaja Jepun kepada Putera Mahkota Naruhito pada Selasa (30 April) dan Rabu (1 Mei).

Cuti panjang yang dikenali sebagai ‘Golden Week’ menggabungkan beberapa cuti umum yang jatuh pada 29 April dan 3 hingga 6 Mei. Ini adalah cuti umum 4 hari yang diraikan di Jepun pada setiap tahun. Oleh sebab berlakunya peralihan takhta Maharaja pada minggu yang sama, Jepun menggabungkan kesemua cuti tersebut.

Ironinya, sebahagian besar daripada rakyat Jepun kurang gembira dengan cuti yang begitu panjang. Tidak kurang juga yang gembira dan meraikannya sehingga agensi pelancongan mengalami peningkatan permintaan.

Ini juga bermaksud sektor perbankan dan pasaran kewangan Jepun terpaksa ditutup selama enam sesi dagangan berturut-turut menjadikan ia penutupan paling panjang sejak Perang Dunia Kedua.

Cuti panjang memang menggembirakan dan memberi peluang kepada rakyat Jepun untuk bersantai, tetapi ia juga mungkin memberi kesan buruk kepada pasaran kewangan. Masih ingat lagi ‘flash crash’ yang berlaku di Jepun tahun lalu semasa cuti tahun baru? Untuk pengetahuan anda, cuti umum ketika itu hanya berlangsung selama empat hari.

Apa Masalah Yang Mungkin Timbul?

Cuti umum di Jepun tidak menghalang kepada peristiwa penting dan juga pengumuman data ekonomi termasuk penetapan dasar monetari The Federal Reserve pada 2 Mei ini. Pedagang dan pelabur tidak akan dapat keluar dari posisi mereka di Tokyo pada cuti umum walaupun pasaran di negara lain buka seperti biasa. Ini menimbulkan kebimbangan di kalangan pelabur global.

Agensi Perkhidmatan kewangan Jepun telah menggesa pedagang matawang untuk menguruskan posisi mereka secara berhemah sebelum cuti bermula. Agensi tersebut juga telah mengambil langkah berjaga-jaga dan terus memerhatikan pergerakan pasaran bagi mengesan aktiviti ‘manipulasi pasaran’ sepanjang cuti.

Hal ini kerana semasa cuti, jumlah dagangan begitu kecil dan begitu juga dengan kecairan yang rendah memudahkan pasaran untuk dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Ia juga memberi amaran ketidaktentuan volatility (turun-naik) selepas pasaran dibuka pada minggu hadapan.

Benarkah Kejutan Pasaran Boleh Berlaku?

Pasaran matawang khasnya adalah pasaran yang paling mudah terkesan. Tempoh di antara penutupan pasaran New York dan pembukaan di Tokyo sering memperlihatkan pergerakan besar berikutan kecairan yang rendah, inikan pula cuti umum di mana kecairan pasaran jauh lebih kecil.

3 Januari lalu telah berlaku pergerakan besar pasaran semasa cuti umum di Jepun tahun ini di mana Dolar Australia dan Lira (Turki) dijual secara besar-besaran berbanding Yen. Ia menyebabkan Yen melonjak tinggi dalam masa hanya tujuh minit. Sebulan selepas itu, Swiss Franc pula jatuh hampir satu peratus hanya dalam masa seminit pada permulaan pasaran Asia semasa cuti umum di Jepun.

Apakah Persediaan Pelabur ?

Terdapat broker seperti Daiwa Securities yang merancang membuka pasaran Amerika dan Eropah di platform mereka agar pedagang dan pelabur Jepun dapat berdagang semasa cuti umum. Ada juga syarikat insurans yang memanjangkan tempoh matang posisi pelaburan yang ada sehingga pasaran dibuka semula.

Tidak kurang juga broker-broker yang menghentikan pembelian saham sebelum cuti di samping menyediakan ‘manual’ untuk staf berdepan dengan kemungkinan buruk yang mungkin berlaku.

Yasuo Sakuma, Ketua Pegawai Pelaburan di Libra Investments berkata, “Ia menakutkan di mana kita tidak dapat berdagang dalam masa enam hari. Kami perlu mengubahsuai posisi pelaburan sebelum cuti bermula. Namun, sukar untuk memperkatakan apa yang perlu diubah, tetapi saya akan pastikan posisi pelaburan kami adalah neutral sebelum cuti umum.”

Pasaran akan memerhati lebih dekat pasaran Jepun terutamanya matawang Yen kerana sifatnya yang sensitif kepada sentimen semasa. Pelabur akan cuba melihat impak yang dibawa oleh beberapa peristiwa minggu ini terhadap Yen terutamanya penetapan dasar dua bank pusat utama Federal Reserve dan Bank of England. Bukan itu sahaja, data penting sektor pekerjaan Amerika Syarikat (Non-Farm Payroll) pada Jumaat juga akan menjadi data ekonomi paling penting pada minggu ini.

Lebih banyak kesan terhadap Yen jika beberapa isu berisiko seperti perang perdagangan, Brexit dan Korea Utara tercetus semasa tempoh cuti umum di Jepun.

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

MGB Raih Kontrak RM34.76 Juta Bina Vila Di Arab Saudi

KUALA LUMPUR: MGB Bhd melalui anak syarikat milik penuh secara tidak langsung, MGB International For Industry memperoleh kontrak bernilai RM34.76 juta bagi pembinaan 75 unit vila di Arab Saudi.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MGB berkata MGB International menerima surat lantikan daripada ROSHN Group Company, pemaju hartanah berpangkalan di Arab Saudi yang dimiliki oleh dana kekayaan berdaulat negara itu, Public Investment Fund bagi projek berkenaan.

“Nilai keseluruhan kontrak projek ini berjumlah 32.98 juta riyal Saudi (RM34.76 juta),” katanya.

Menurut MGB, tarikh permulaan projek akan ditentukan selepas notis untuk memulakan kerja dikeluarkan oleh majikan, manakala tempoh pembinaan ditetapkan selama 242 hari atau kira-kira lapan bulan dari tarikh pembinaan bermula.

“Kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan serta mengukuhkan nilai perolehan kontrak kumpulan.

“Projek ini juga merupakan langkah strategik dalam memperluas penyertaan kumpulan dalam sektor pembinaan di Arab Saudi, selaras dengan strategi pertumbuhan serantau jangka panjang,” katanya.

MGB berkata kontrak itu tidak memberi kesan terhadap modal saham terbitan syarikat, namun dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan aset bersih sesaham kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaan projek.

Dalam pada itu, katanya, tiada pengarah, pemegang saham utama atau ketua pegawai eksekutif serta pihak berkaitan mempunyai sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak berkenaan.