
Sub Topik
Para pelabur lebih cenderung mengambil risiko sejak Federal Reserve (Fed) menangguhkan kenaikan kadar faedah pada penghujung tahun lepas. Hasilnya, pasaran saham Amerika Syarikat (AS) kembali berada di paras tertinggi sejak itu.
Kenaikan semula saham di Wall Street sudah tentu disukai oleh Presiden Trump yang mana beliau mahukan kadar faedah lebih rendah selepas kejatuhan saham pada tahun 2018. Walaubagaimanapun, Fed dijangka tidak akan menurunkan kadar faedahnya walaupun mendapat tekanan daripada beliau. Trump telah beberapa kali mengkritik bank pusat itu sebagai faktor kepada kelembapan prestasi saham di Wall Street.
Data terbaru AS seperti jualan runcit dan eksport yang memberangsangkan minggu lalu, memperlihatkan ekonomi kekal stabil dan mengurangkan kebarangkalian penurunan kadar faedah oleh Fed.
Beberapa pakar ekonomi berkata kenaikan kadar faedah tahun lalu adalah wajar dan banyak menyumbang kepada kestabilan ekonomi pada masa ini. Kenaikan tersebut secara teori bagi mengelakkan ekonomi bergerak sehingga terlalu panas (overheating) dan mengelakkan risiko-risiko yang lain.
Minggu lalu, indikator ekonomi global memberi sedikit harapan untuk bank pusat mengekalkan kecenderungan untuk mengetatkan kredit di dalam ekonomi. Data aktiviti ekonomi di Jerman dan Jepun naik sederhana pada Mac, begitu juga halnya dengan China dan Amerika Syarikat.
Minggu ini tumpuan sekali lagi akan terarah kepada prestasi pendapatan syarikat-syarikat di Wall Street, laporan data pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat dan mesyuarat bank pusat tiga negara iaitu Jepun, Kanada dan Turki.
Isu geopolitik juga akan terus mewarnai pasaran global di mana Presiden Trump akan bertemu dengan Shinzo Abe di White House bagi membincangkan isu perdagangan dua hala. Di antara topik yang bakal dibincangkan adalah bagaimana untuk menangani program nuklear Korea Utara.
Berikut adalah empat tema utama yang bakal mewarnai pergerakan pasaran pada minggu ini.
1. Data Pertumbuhan Ekonomi Terbesar Dunia
Data awal pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat bagi suku pertama tahun 2019 akan dikeluarkan pada hari Jumaat (26 April) dengan jangkaan kenaikan 2.4%. Data sebelum ini iaitu pertumbuhan pada suku terakhir 2018 telah mencatatkan bacaan sebanyak 2.2%.
Di antara faktor yang dilihat menyumbang kepada ramalan tersebut adalah pengecilan defisit perdagangan Amerika Syarikat kepada China. Ia berikutan pengurangan import yang disebabkan tarif yang dikenakan terhadap China. Data jualan runcit minggu lalu juga mencatat bacaan tertinggi sejak 18 bulan yang lalu.
Di antara ramalan yang mengejutkan adalah anggaran pertumbuhan yang dikeluarkan oleh Federal Reserve cawangan Atlanta yang menjangka kenaikan sebanyak 2.8% pada suku pertama 2019.
2. Laporan Pendapatan Syarikat Global Suku Pertama
Bull-Market sepanjang 10 tahun ini mungkin menunjukkan tanda ia semakin perlahan, tetapi sejak beberapa bulan lepas isyarat itu tampak semakin pudar.
Khamis lalu, saham Wall Street ditutup lebih tinggi dengan Dow Jones naik lebih daripada 100 mata. Minggu ini lebih banyak laporan pendapatan korporat yang ditunggu-tunggu pelabur global dengan jangkaan pasaran yang lebih tinggi berikutan nada dovish Fed sejak penghujung tahun 2018.
Di antara yang menjadi tumpuan pada minggu ini adalah, Amazon, Facebook, Twitter, Tesla, Halliburton, Coca-Cola, AT&T, Caterpillar, dan Microsoft. Bukan itu sahaja, pasaran juga teruja dengan penyenaraian Pinterest dan Zoom.
3. Mesyuarat Tiga Bank Pusat
Tiga bank pusat iaitu Jepun, Kanada, dan Turki akan bermesyuarat pada minggu ini. Bank of Japan (BoJ) dijangka akan mengekalkan dasar sedia ada pada Khamis (25 April). BoJ sejak beberapa tahun lalu masih berusaha untuk mencapai sasaran inflasi 2% dan kini sejak 2018 dunia berhadapan dengan pertumbuhan ekonomi global yang semakin perlahan.
Bank of Canada (BoC) pula akan bermesyuarat pada hari Rabu (24 April) dengan jangkaan dasar monetari turut dikekalkan.
Turki yang berhadapan dengan kejatuhan nilai matawangnya Lira, juga dijangka akan mengekalkan kadar faedah di paras semasa.
4. Perkembangan Isu Campur Tangan Rusia Pada Pilihanraya AS 2016
Kempen pilihanraya Presiden Trump telah dikaitkan dengan Rusia yang membantu ahli perniagaan itu memenangi Pilihanraya Presiden AS pada 2016. Selepas lebih daripada dua tahun menjalankan penyiasatan, Penyiasat Khas Robert Mueller telah memuktamadkan kes tersebut dengan pihak Jabatan Keadilan AS menerbitkan laporan siasatan yang mengandungi 400 muka surat itu.
Mengejutkan, William Barr peguam negara AS berkata laporan siasatan itu tidak menunjukkan kesepakatan di antara kempen Trump 2016 dengan Rusia pada ketika itu.
Walaubagaimanapun, pihak pembangkang dari Parti Demokrat menuduh White House telah mempengaruhi siasatan yang telah dijalankan oleh Robert Mueller yang juga merupakan bekas Pengerusi FBI. Pasaran akan terus memerhatikan isu ini dari semasa ke semasa.
Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.