Empat Tumpuan Utama Pasaran Saham Global Pada Minggu Ini (25-29 Mac 2019)

Minggu lalu pasaran global dikejutkan dengan Hasil-bon yang terbalik (Inverted yield-curve) sehingga menyebabkan kejatuhan Wall Street yang agak besar pada Jumaat (22 Mac 2019). Ia menunjukkan kebimbangan pasaran terhadap keadaan semasa ekonomi selepas beberapa kemerosotan data ekonomi di Amerika Syarikat.

Minggu ini pasaran global akan terus meneliti data ekonomi Amerika Syarikat khususnya pertumbuhan ekonomi suku keempat 2018, untuk melihat kekuatan semasa ekonomi negara itu. Selain daripada laporan pertumbuhan ekonomi, data inflasi dijangka turut mewarnai pasaran kerana ia juga menjadi faktor utama kepada penggubalan dasar monetari.

Peranan Bank Pusat dalam menggerakkan pasaran tidak dapat dinafikan kerana kepentingannya dalam menggubal dasar monetari. Sejak akhir-akhir ini, komen yang dikeluarkan oleh Federal Reserve (Bank Pusat Amerika Syarikat) semakin penting untuk pasaran mendapatkan isyarat atau petunjuk halatuju dasar kewangan bagi masa hadapan.

Selepas penetapan dasar Federal Reserve (Fed) minggu lalu, pemain pasaran akan terus meneliti kenyataan yang dikeluarkan oleh ahli-ahli Fed minggu ini, khususnya apabila bank pusat menunjukkan tiada kenaikan kadar faedah untuk tahun 2019.

Dari segi politik, seperti biasa drama Brexit dan rundingan perdagangan AS-China akan terus diteliti kerana dua isu ini juga mampu meningkatkan potensi kemelesetan ekonomi dunia jika kedua-duanya tidak berakhir dengan baik.

Berikut adalah empat perkara penting yang anda perlu tahu dan bakal memberi kesan kepada pasaran saham global sepanjang minggu ini.

1. Bentuk Terkini Keluk Hasil-Bon Amerika Syarikat

Bentuk keluk Hasil-Bon AS adalah penyebab utama kepada kejatuhan besar Wall Street pada Jumaat lalu sehingga memberi kesan kepada pasaran Asia pada Isnin (25 Mac 2019) di mana indeks Nikkei jatuh sehingga 3% dengan majoriti indeks saham Asia berada dalam lautan merah. Di Malaysia, FBMKLCI pula merekodkan penurunan lebih daripada 1% pada hari Isnin.

Untuk pengetahuan anda, buat pertama kalinya perbezaan antara hasil-bon 3 bulan AS dan hasil-bon 10 tahun AS menjadi positif pada Jumaat lepas. Inilah yang dipanggil sebagai ‘Inverted Yield Curve’ yang menunjukkan potensi berlakunya kemelesetan ekonomi jika ia kekal terbalik dalam jangka masa yang lama.

Pelabur ketika ini tertumpu kepada pasaran bon yang menyebabkan hasil-bon (bond-yield) jatuh secara mendadak disebabkan permintaan yang tinggi kepada bon jangka panjang. Ia dilihat sebagai langkah untuk mendapatkan bon pada kadar semasa yang dilihat mungkin akan menurun di masa hadapan. Ini juga bermakna, pasaran mula menyerap (price-in) kemungkinan untuk Fed menurunkan kadar faedah.

2. Data Pertumbuhan Ekonomi Amerika Syarikat Suku Keempat

Sebagai ekonomi terbesar dunia, data ekonomi Amerika Syarikat akan terus menjadi perhatian khususnya selepas laporan data yang kurang memberangsangkan sejak akhir-akhir ini. Data pertumbuhan ekonomi suku keempat akan dikeluarkan pada Khamis pukul 8.30 malam dan dijangka memberi impak kepada Wall Street pada hari sama, dan seterusnya kepada pasaran Asia pada Jumaat.

Pasaran menjangka pertumbuhan sebanyak 2.4% dalam tempoh tiga bulan terakhir 2018 iaitu Oktober sehingga Disember. Pertumbuhan sebelumnya mencatat kenaikan sebanyak 3.4% pada suku ketiga 2018. Hal ini menunjukkan ekonomi Amerika Syarikat kehilangan momentum yang dipercayai berpunca daripada dasar perdagangan Presiden Trump.

Walaupun Trump telah mengurangkan cukai perniagaan, namun kesan perang perdagangan dengan China nampaknya lebih banyak memberi impak kepada kemerosotan ekonomi.

3. Perkembangan Drama Brexit

Risiko Brexit yang paling dibimbangi oleh pasaran adalah keluarnya United Kingdom daripada Kesatuan Eropah (EU) tanpa mendapat sebarang perjanjian. Ia turut menjadi perhatian utama ahli parlimen UK selepas beberapa undian yang dijalankan di Westminster. Majoriti ahli Parlimen mahu UK mendapat perjanjian dalam masa yang sama hak kedaulatan Britain tidak dicabuli oleh EU dalam isu sempadan Ireland.

Walaupun risiko buruk Brexit dapat ditangani setakat ini, tetapi kebarangkalian tetap ada untuk UK keluar tanpa perjanjian. Hal ini disebabkan Theresa May masih belum mendapat sokongan yang mencukupi untuk meneruskan perjanjian UK-EU. Kita bakal mendapat isyarat lebih jelas pada 12 April ataupun penangguhan Brexit berlangsung lebih lama melangkaui bulan Mei.

Buat masa ini, penangguhan Brexit yang lebih lama dilihat positif kepada pasaran UK dan matawang Sterling.

4. Rundingan Perdagangan Amerika Syarikat-China

Amerika Syarikat dan China akan meneruskan rundingan di peringkat lebih tinggi pada minggu ini, dalam usaha mencapai kata sepakat dalam isu perang perdagangan. Kumpulan perunding Amerika Syarikat akan diketuai oleh Robert Lighthizer dan Setiausaha Perbendaharaan Steven Mnuchin di mana rundingan akan bermula pada hari Khamis.

Kata Presiden Trump pada minggu lalu, “rundingan ini bertujuan untuk menyelesaikan pertelingkahan perdagangan sejak lapan bulan lalu”. Menurut beliau rundingan juga semakin positif dan perjanjian berkemungkinan dapat dicapai.

Isu di antara kedua-dua negara ini bukan sahaja berkisar tentang perdagangan, tetapi juga isu hakcipta dan juga diskriminasi perniagaan di negara masing-masing. Amerika Syarikat mendakwa syarikat Amerika di China tidak mendapat hak seperti syarikat tempatan dan perunding dijangka meminta kerajaan China untuk mengurangkan halangan kepada syarikat teknologi.

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Fahmi Rasmi Gudang Autonomi AI Dikuasakan 5G Pertama Di Malaysia

SHAH ALAM, 12 Okt (Bernama) — Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil hari ini merasmikan gudang autonomi kecerdasan buatan (AI) dikuasakan 5G pertama di Malaysia yang dikendalikan oleh CelcomDigi Bhd dengan kerjasama DHL Supply Chain Malaysia.

Gudang itu dilengkapi dengan AI dan penyelesaian robotik terkini untuk pengurusan inventori yang optimum dan cekap, disokong oleh rangkaian 4G LTE CelcomDigi dan kesambungan 5G di Pusat Logistik Bersepadu DHL di sini.

Fahmi berkata sinergi antara CelcomDigi dan DHL yang menggunakan nilai sebenar teknologi dan penyelesaian 5G, berserta AI dan robotik adalah dipuji dan berada di landasan yang betul untuk memacu pertumbuhan ekosistem digital negara.

“Sejajar dengan aspirasi digital kerajaan, Malaysia memiliki potensi menjadi Harimau Digital Asia, memandangkan kerjasama seperti hari ini berpotensi berkembang dan meningkatkan kecekapan, inovasi dan penerimagunaan teknologi secara ketara dalam kalangan perusahaan di Malaysia serta ekonomi digital negara,” katanya ketika berucap merasmikan gudang itu di sini, pada Khamis.

Beliau berkata industri pengudangan dan logistik mempunyai potensi untuk diberikan nafas baharu dan berubah kepada gudang yang menggunakan teknologi automatik sepenuhnya, boleh beroperasi sepanjang masa dengan pengunaan teknologi 5G dan penyelesaian AI.

Fahmi juga gembira apabila pelaksanaan itu tidak akan berhenti pada tahap itu sahaja, memandangkan kedua-dua organisasi komited untuk memperluas penggunaan teknologi dan penyelesaian 5G di semua gudang DHL di seluruh negara, serta berpotensi bekerjasama dengan organisasi lain daripada industri lain.

“Apabila inovasi dan teknologi digunakan dalam dan di luar industri, saya berharap lebih banyak lagi usaha transformasi seperti yang direalisasikan hari ini,” katanya.

Kerjasama CelcomDigi dengan DHL dalam memanfaatkan teknologi 5G dan penyelesaian AI untuk sistem pengurusan inventori robotik menyediakan pengurusan gudang berbilang tingkat yang dipertingkatkan dan cekap pada standard yang optimum.

Penyelesaian itu membolehkan operasi pengiraan stok yang cekap iaitu mencapai sehingga 20 kali kecekapan dengan sehingga 100 peratus kejituan dan ketepatan di samping menambahkan penggunaan ruang dalam gudang dan mengurangkan penggunaan elektrik harian.

Sementara itu, Fahmi berkata DHL kini mengendalikan 25 gudang di seluruh negara dan sedang membina sebuah lagi gudang di Bayan Lepas, Pulau Pinang yang akan beroperasi secara automasi sepenuhnya menggunakan teknologi 5G terkini.

“Saya harap lebih banyak syarikat akan mengenal pasti dan memahami manfaat teknologi 5G kepada industri masing-masing untuk membantu meningkatkan kecekapan dan produktiviti perniagaan,” katanya.

— BERNAMA