Ini Sebab Mengapa Sempadan Ireland Sangat Penting Dalam Perjanjian Brexit

Sempadan di antara Republik Ireland dan Ireland Utara mempunyai sejarah hitam yang melibatkan peristiwa tegang dan kematian ribuan nyawa. Hampir dua dekad selepas berakhirnya konflik yang meragut 3,600 nyawa, sempadan itu sekali lagi menjadi pertelingkahan di antara kedua-dua wilayah.

Kebanyakan penduduk dari dua wilayah Republik Ireland (negara merdeka) dan Ireland Utara (sebahagian daripada UK) tidak terlibat dalam konflik keganasan yang berlaku, tetapi mereka menjadi mangsa pengeboman dan tembakan sejak berdekad lamanya sehingga tahun 1998.

Konflik berakhir secara rasmi melalui perjanjian yang disebut sebagai ‘Good Friday Agreement’ pada tahun 1998. Namun, perjanjian damai itu tidak dapat menyembuhkan luka yang dirasai oleh penduduk Ireland Utara. Buktinya selepas pengeboman yang berlaku lebih dari 20 tahun yang lalu, ketegangan terus wujud di kepulauan Ireland.

Dan sekarang, Brexit – keputusan untuk UK meninggalkan Kesatuan Eropah sekali lagi mengancam keamanan di Ireland Utara.

Mengapa Ireland sangat penting dalam perjanjian Brexit? Sempadan terbuka di kepulauan Ireland telah banyak menyelesaikan konflik di wilayah itu berdekad lamanya. Sempadan terbuka menjadikan ‘puak penyatu’ di Ireland Utara merasa selamat sebagai sebahagian daripada Britain manakala ‘penyokong republikan’ dapat merasa mereka terus terhubung dengan Republik Ireland di selatan.

Kesatuan Eropah (EU) dan pasaran tunggal adalah penyumbang kepada sempadan terbuka itu bagi mengelak pemeriksaan di perbatasan dua wilayah. Jika Ireland Utara meninggalkan EU bersama-sama dengan Britain di sinilah perlunya peranan UK untuk mendapatkan penyelesaian bagi mengekalkan sempadan terbuka dan keamanan di wilayah tersebut.

Apabila tiba masanya untuk Britain keluar dari Kesatuan Eropah, sempadan di kepulauan Ireland itu akan menjadi satu-satunya jalan yang menghubungkan kedua-dua wilayah. Buat masa ini sempadan itu kekal terbuka di mana siapa sahaja bebas untuk pergi dan balik melaluinya.

Bagaimana Sempadan Di Ireland Boleh Wujud?

Pulau tersebut terpisah pada tahun 1921 sebagai sebahagian daripada perjanjian damai antara kerajaan UK dan pemberontak Ireland. Perjanjian itu mengiktiraf Ireland Selatan dengan majoriti penduduk beragama Kristian Katolik sebagai sebuah negara yang bebas dan mendapat kemerdekaan sepenuhnya pada tahun 1948. Manakala Ireland Utara di mana majoriti penduduknya adalah Kristian Protestan kekal bersama UK, Scotland dan Wales.

Proses pemisahan di Ireland berlaku pada tahun 1921 melalui Akta Kerajaan Ireland 1920 di mana kerajaan UK dan Ireland membahagikan kepulauan itu kepada dua bahagian politik yang mana Ireland Utara kini sebahagian daripada UK dan Republik Ireland sebuah negara yang bebas.

Akta tersebut bertujuan untuk menghasilkan dua kerajaan tersendiri di Ireland dengan kedua-duanya masih kekal di dalam UK. Walaubagaimanapun, pada tahun 1922 selepas Peperangan Kemerdekaan (1919-1921), Ireland Selatan dan Ireland Barat menjadi sebuah negara yang bebas, manakala Ireland Utara memilih untuk kekal di dalam United Kingdom.

Adakah Brexit Akan Mengembalikan Pemeriksaan Rapi Di Sempadan?

Ini adalah senario yang mungkin berlaku di mana terdapat kawalan ketat di sempadan tersebut. Buat masa ini sempadan itu adalah terbuka yang hanya dipisahkan oleh padang, sungai dan beberapa kawasan perumahan. Jika penguatkuasaan sempadan diaktifkan ia dijangka akan memperlahankan pergerakan pengangkutan di sempadan dan juga melibatkan kos yang tinggi bagi pembinaan sempadan.

Dalam tinjauan terbaru yang dibuat oleh tentera Ireland menunjukkan terdapat 300 lintasan di sepanjang 500KM sempadan Ireland yang kebanyakan darinya adalah kawasan persendirian dan laluan yang tidak ditandakan sebagai sempadan. Hanya jalan raya yang boleh menentukan sama ada seseorang telah melalui sempadan melalui papan tanda yang diletakkan.

Apakah Pendirian Penduduk Ireland Utara?

Ireland Utara memilih untuk kekal di dalam EU dalam referendum Brexit yang berlangsung pada Jun 2016 dengan 56% undian ketika itu. Namun, populasi Ireland Utara jauh lebih kecil daripada keseluruhan populasi di United Kingdom – hanya 3 peratus atau 1.8 juta penduduk yang mana tidak banyak dapat mengubah hasil referendum yang berakhir dengan Brexit menang 52% berbanding 48% yang mahu kekal di dalam blok Eropah.

Parti Kesatuan Demokratik Ireland Utara (DUP) dilaporkan enggan menyokong perjanjian yang dicadangkan oleh Boris Johnson dalam undian yang dijalankan pada 19 Oktober 2019 di Parlimen UK.

Sumber DUP memaklumkan ia tidak dapat menyokong isu kastam dan pengaturan cukai jualan, kerana ia bakal termaktub di bawah peraturan EU walaupun Ireland Utara kekal di dalam wilayah Britain.

Di antara kebimbangan pihak DUP adalah berkaitan pergerakan barangan perdagangan tidak kira ke mana destinasi barangan itu yang berkemungkinan tertakluk di bawah kekuasaan EU. Bermakna di sini, Kesatuan Eropah mempunyai kuasa untuk mengenakan tarif atau sebaliknya; kepada barangan yang melalui sempadan di Ireland.

Keadaan semasa perjanjian Brexit

Rundingan Brexit di bawah bekas perdana menteri UK Theresa May telah gagal mendapat sokongan dari Parlimen Britain hinggalah beliau dipaksa untuk meletakkan jawatan. Kini perkara yang sama berlaku kepada Boris Johnson selaku perdana menteri baru yang masih menemui jalan buntu untuk mendapat sokongan majoriti di parlimen walaupun perjanjian telah dipersetujui bersama pihak Eropah.

Tarikh keluar UK daripada EU kini telah dilanjutkan sehingga 31 Januari 2020 bagi menyelesaikan kemelut yang melanda ini.

Sumber Rujukan:

  1. https://www.theguardian.com/politics/2019/oct/02/two-borders-four-years-what-boris-johnson-brexit-offer
  2. https://www.opendemocracy.net/en/can-europe-make-it/irish-border-contradictions-and-chaos-how-will-brexit-affect-northern-ireland/
  3. https://www.washingtonpost.com/world/2019/10/17/what-is-happening-with-brexit-now-boris-johnsons-plans-irish-border-eu-explained/
  4. https://www.vox.com/world/2019/2/18/18204269/brexit-irish-border-backstop-explained
  5. https://en.wikipedia.org/wiki/Republic_of_Ireland%E2%80%93United_Kingdom_border
  6. https://en.wikipedia.org/wiki/Derry
  7. https://en.m.wikipedia.org/wiki/Partition_of_Ireland

Ditulis oleh Roland Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

MGB Raih Kontrak RM34.76 Juta Bina Vila Di Arab Saudi

KUALA LUMPUR: MGB Bhd melalui anak syarikat milik penuh secara tidak langsung, MGB International For Industry memperoleh kontrak bernilai RM34.76 juta bagi pembinaan 75 unit vila di Arab Saudi.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MGB berkata MGB International menerima surat lantikan daripada ROSHN Group Company, pemaju hartanah berpangkalan di Arab Saudi yang dimiliki oleh dana kekayaan berdaulat negara itu, Public Investment Fund bagi projek berkenaan.

“Nilai keseluruhan kontrak projek ini berjumlah 32.98 juta riyal Saudi (RM34.76 juta),” katanya.

Menurut MGB, tarikh permulaan projek akan ditentukan selepas notis untuk memulakan kerja dikeluarkan oleh majikan, manakala tempoh pembinaan ditetapkan selama 242 hari atau kira-kira lapan bulan dari tarikh pembinaan bermula.

“Kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan serta mengukuhkan nilai perolehan kontrak kumpulan.

“Projek ini juga merupakan langkah strategik dalam memperluas penyertaan kumpulan dalam sektor pembinaan di Arab Saudi, selaras dengan strategi pertumbuhan serantau jangka panjang,” katanya.

MGB berkata kontrak itu tidak memberi kesan terhadap modal saham terbitan syarikat, namun dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan aset bersih sesaham kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaan projek.

Dalam pada itu, katanya, tiada pengarah, pemegang saham utama atau ketua pegawai eksekutif serta pihak berkaitan mempunyai sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak berkenaan.