
Sub Topik
Pasaran Wall Street meneruskan kejatuhan pada akhir dagangan minggu lalu (20 Mac 2020) sekaligus mencatat penurunan mingguan paling buruk sejak tahun 2008. Pelabur semakin hilang keyakinan terhadap keupayaan kerajaan dalam memerangi pandemik Covid-19 yang mengancam ekonomi dunia, dengan peningkatan jumlah kes ini melepasi angka 27,000 di Amerika Syarikat setakat hari Ahad, 22 Mac.
Ketiga-tiga indeks utama Wall Street merekodkan kejatuhan pada Jumaat dengan Dow Jones Industrial Average (DJIA) menyusut sebanyak 4.55%, S&P 500 jatuh 4.78%, manakala Nasdaq ditutup 3.79% lebih rendah. Dow Jones dan S&P 500 mencatat kejatuhan mingguan terbesar sejak krisis sub-prima tahun 2008.
Rangsangan baru yang diumumkan oleh Presiden Trump untuk melawan penularan koronavirus dibayangi oleh peningkatan mendadak kes positif Covid-19 di Amerika Syarikat, dan negara-negara lain terutamanya Eropah.
Kini saham dunia telah memasuki ‘bear market’, dan lebih banyak ketidaktentuan dijangka akan berlaku dalam minggu-minggu yang mendatang di mana fokus pelabur akan terarah kepada jumlah kes yang akan dicatatkan dari masa ke semasa.
Ada penganalisa pasaran yang berpendapat bahawa ekonomi telah jatuh ke lembah kemelesetan.
Persoalannya sekarang sejauh manakah kemelesetan kali ini akan berlangsung? Ia akan bergantung kepada usaha memerangi Covid-19 di seluruh dunia.
Namun, pasaran Asia pada akhir dagangan minggu lalu merekodkan bacaan yang agak memberangsangkan dengan kenaikan indeks-indeks utama di China, Jepun dan Korea Selatan. Indeks Kospi di Korea Selatan ditutup 7.4% lebih tinggi dan merupakan kenaikan pertama sejak 10 Mac yang lalu. Indeks Hang Seng menokok 5%, manakala indeks CSI 300 di China naik sebanyak 1.79%.
Bukan itu sahaja, indeks-indeks saham di Asia Tenggara juga keseluruhannya merekodkan kenaikan dengan Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) ditutup 6.85% lebih tinggi dengan Indeks Komposit (IDX) di Indonesia menokok 2.18%. Walaubagaimanapun, pasaran Asia pada hari pertama dagangan minggu ini (23 Mac 2020) dijangka akan mengikut jejak pergerakan Wall Street yang menyusut pada Jumaat lepas.
Berikut adalah lima catalyst utama yang akan menjadi perhatian pelabur sepanjang minggu ini.
1. Perkembangan Penularan Covid-19

Covid-19 adalah catalyst utama pergerakan pasaran dunia ketika ini. Perkembangan statistik pandemik ini penting untuk dilihat oleh pelabur bagi mengukur tahap risiko dalam pasaran saham khususnya di Wall Street dan pasaran Eropah.
Penularan koronavirus di Amerika Syarikat terus meningkat dengan kes Covid-19 setakat ini mencatat 316,000 kes di seluruh dunia. Semakin banyak wilayah akan mengaktifkan arahan halangan pergerakan di mana Malaysia mencatat kes tertinggi di Asia Tenggara telah mengarahkan pengurangan pergerakan kepada rakyatnya sehingga 31 Mac.
Jakarta pula telah mengumumkan darurat di negeri itu dengan risiko 500,000 rakyatnya bakal dijangkiti koronavirus.
Di Amerika Syarikat, kes positif Covid-19 telah mencapai angka 27,000 negara keempat tertinggi di belakang Sepanyol, Itali dan China.
Bagi China, kes baru yang dicatatkan adalah dari kalangan rakyat luar negara yang datang ke negara itu di mana sifar kes direkodkan secara domestik. Ini satu berita baik kepada Asia, tetapi ia hanya baru bermula di kalangan negara-negara Asia yang lain khususnya di Asia Tenggara.
2. Respon Kerajaan Terhadap Covid-19

Tindakan susulan autoriti tertinggi terhadap penularan koronavirus di beberapa negara maju menjadi perhatian pelabur dalam tempoh yang mencabar ketika ini. Rangsangan yang diumumkan oleh kerajaan dalam usaha memerangi virus Covid-19 sedikit sebanyak diharap dapat mengurangkan dampak buruk terhadap pasaran saham di negara masing-masing.
Amerika Syarikat dijangka akan meluluskan pakej rangsangan bernilai US$1.3 trilion dengan pelonggaran dasar monetari oleh bank pusat diharap terus menyokong ekonomi negara itu.
Suruhanjaya Eropah dilaporkan dalam usaha untuk melonggarkan syarat pinjaman bagi negara-negara ahli Kesatuan Eropah (EU) di samping pelonggaran kuantitatif oleh European Central Bank (ECB).
Malaysia melalui Bank Negara Malaysia (BNM) pula telah menurunkan nisbah rizab yang perlu disimpan di bank pusat sebagai sebahagian usaha untuk merangsang ekonomi bagi mengurangkan dampak koronavirus di negara ini. Sejumlah RM30 billion bakal dilepaskan ke dalam pasaran kewangan dengan BNM juga telah menurunkan kadar polisi sebanyak 100 mata asas kepada 2% pada 20 Mac yang lalu.
3. Data Terkini Gambaran Impak Koronavirus

Kesan koronavirus terhadap ekonomi akan dapat dilihat lebih jelas apabila data ekonomi dari negara-negara maju dikeluarkan pada minggu ini. Antara negara tersebut adalah Jerman, Perancis, UK dan Amerika Syarikat.
Indeks-indeks aktiviti ekonomi yang akan diumumkan dijangka akan merekodkan bacaan negatif yang menunjukkan kemerosotan dalam aktiviti sektor pembuatan dan perkhidmatan. Data-data ini akan dikeluarkan pada hari Selasa (24 Mac).
Data ekonomi penting dari Amerika Syarikat paling banyak dikeluarkan pada minggu ini dengan bacaan indeks sektor pembuatan akan diumumkan pada hari Selasa diikuti data tempahan barangan tahan lama (Durable Goods) pada hari Rabu (25 Mac). Seterusnya data inflasi pada hari Jumaat (27 Mac) yang menjadi bacaan inflasi keutamaan bank pusat Federal Reserve.
Selain daripada itu, Bank of England (BoE) akan bermesyuarat pada Khamis (26 Mac) dan dijangka bank pusat itu akan mengumumkan rangsangan ekonominya.
4. Nasib Pasaran Saham

Indeks saham bergerak tidak menentu sejak beberapa minggu lalu disebabkan peningkatan mendadak kes Covid-19 di luar China. Pihak-pihak berautoriti dijangka mengambil masa beberapa bulan lagi untuk menghapuskan pandemik tersebut. Ini bermakna pelabur akan menghadapi situasi sukar ini dalam jangka masa yang tidak dapat ditentukan.
Adakah ini bermaksud pelabur perlu menjual semua saham mereka? Atau saham telah mencapai paras terendah dan bakal naik semula?
Ini dua persoalan penting yang sukar untuk dijawab dengan jawapan yang tepat.
Gambaran terhadap pasaran saham akan menjadi lebih jelas beberapa minggu akan datang apabila suku pertama tahun 2020 berakhir pada 31 Mac 2020. Syarikat-syarikat kemudiannya akan menyediakan laporan pendapatan mereka pada suku pertama yang akan diumumkan pada awal bulan April nanti.
5. Negara Pesat Membangun Terjejas

Pasaran Asia dan negara-negara pesat membangun (emerging markets) berhadapan situasi mencabar dengan negara-negara yang bergantung dengan komoditi seperti minyak mentah berhadapan kesukaran yang berganda disebabkan koronavirus dan kejatuhan harga komoditi.
Negara yang sudah merasai kesukaran disebabkan dasar perlindungan ekonomi (protectionism) sebelum wujudnya koronavirus, kini mengalami kejatuhan eksport yang mendadak.
Lebih buruk lagi, Dolar Amerika Syarikat yang semakin mengukuh menyebabkan nilai matawang negara pesat membangun seperti Malaysia semakin susut disebabkan penularan virus Covid-19. Ini menyukarkan negara-negara tersebut dan syarikat yang memegang hutang dalam bentuk Dolar AS untuk menunaikan obligasi mereka kerana nilai matawang tempatan yang bergerak tidak menentu.
Disebabkan risiko menyeluruh ini, pelabur asing membawa dana mereka keluar (out-flow) dan disimpan ke aset selamat (safe-haven) seperti Dolar AS.
Sumber Rujukan:
- https://www.thenews.com.pk/print/632524-stocks-likely-to-see-more-wild-swings-on-virus-fears
- https://edition.cnn.com/2020/03/19/investing/stock-futures-thursday/index.html
- https://www.cnbc.com/2020/03/20/another-harrowing-week-looms-for-markets-as-us-economy-shuts-down-and-virus-spreads.html
- https://www.investing.com/news/stock-market-news/dow-dives-913-points-amid-worst-week-since-2008-2117270
- https://www.investors.com/news/coronavirus-cases-u-s-covid-19-infections-stimulus-deal-coronavirus-stock-market-crash/
- https://www.straitstimes.com/business/economy/malaysia-cuts-reserve-ratio-in-99b-bid-to-boost-economy
- https://www.investing.com/news/economy/economic-calendar–top-5-things-to-watch-this-week-2117829
- https://www.fa-mag.com/news/covid-19-brings-policy-responses–risks-to-emerging-markets–and-hoarding-54793.html?section=3&page=4
Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.