AIA Public Takaful Umum Lebihan Agihan Tertinggi Berjumlah RM70.7 Juta


KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) — AIA Public Takaful Bhd mengumumkan lebihan pengagihan sebanyak RM70.7 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2023, melibatkan kira-kira 467,000 pemegang sijil.

Syarikat itu berkata lebihan daripada Dana Risiko Peserta (PRF) mewakili peningkatan 63 peratus berbanding tahun sebelumnya dan merupakan lebihan tertinggi yang diagihkan sejak pengagihan pertama syarikat pada 2014.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Elmie Aman Najas berkata lebihan agihan itu mencerminkan nilai unik Takaful, dengan manfaat tersebut bukan sahaja diterima oleh pihak menuntut, malah bukan pihak menuntut, yang menerima bahagian lebihan mereka dengan saksama dan berkadar.

“Pelanggan yang tidak membuat tuntutan mendapat manfaat daripada lebihan ini sebagai hasil langsung daripada konsistensi mereka dalam mengekalkan caruman mereka dan memastikan sijil mereka aktif,” katanya.

Elmie berkata langkah ini mempamerkan nilai memupuk tingkah laku kewangan yang positif dalam kalangan pelanggan, seterusnya menggalakkan keselamatan kewangan yang lebih besar dan faedah yang dikongsi dalam komuniti Takaful.

Menurut syarikat itu, pelanggan yang menyertai pelan AIA Public Takaful terpilih juga mempunyai pilihan untuk mendermakan lebihan yang layak mereka terima kepada badan amal, yang selaras dengan prinsip Takaful iaitu bantuan dan sokongan bersama.

Untuk tahun kewangan 2023, lebih 10,000 pelanggan memilih untuk menyalurkan lebihan mereka, berjumlah RM2.2 juta, kepada Dana Amal Penyala Harapan AIA Public Takaful.

Lebihan Takaful ialah ciri unik yang ditentukan dan diisytiharkan oleh pengendali Takaful, hasil daripada PRF selepas menolak semua tuntutan yang perlu dibayar, rizab berkanun, dan keperluan modal kesolvenan.

AIA Public Takaful berkata lebihan itu diagihkan setiap tahun, dikongsi secara berkadar dalam kalangan peserta yang layak berdasarkan sumbangan, jumlah perlindungan dan tempoh sijil mereka, dengan syarat sijil mereka kekal berkuat kuasa dan tiada tuntutan dibuat sepanjang tahun kewangan.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Untung Bersih Takaful Malaysia Susut Kepada RM83.82 Juta Pada Suku Kedua 2025

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) — Keuntungan bersih Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd (Takaful Malaysia) mengecil kepada RM83.82 juta pada suku kedua yang berakhir 30 Jun, 2025 daripada RM93.10 juta pada suku kedua 2024.

Syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, perolehan meningkat kepada RM1.01 bilion daripada RM998.07 juta sebelumnya, disumbangkan terutamanya oleh perniagaan Takaful Keluarga.

Mengenai prospek, Takaful Malaysia menjangkakan permintaan terhadap takaful dan insurans akan kekal kukuh memandangkan masih wujud jurang perlindungan yang berterusan.

“Perniagaan teras kumpulan dalam Bancatakaful, Perbendaharaan, Faedah Pekerja dan Takaful Am merupakan pemacu utama kejayaan kami sebagai peneraju dalam industri Takaful dan kami terus melihat permintaan yang baik dalam segmen-segmen ini,” katanya.

Bagi separuh pertama tahun kewangan 2025, keuntungan bersih syarikat berkurang kepada RM178.36 juta daripada RM195.40 juta dalam separuh pertama 2024 manakala perolehan berkembang kepada RM2.14 bilion daripada RM1.96 bilion sebelumnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Nor Azman Zainal berkata dengan perniagaan teras yang diperkukuh, syarikat berada dalam kedudukan yang baik untuk mengharungi baki tahun ini dengan penuh ketangkasan.

“Inovasi berteraskan pelanggan, pemerkasaan digital serta integrasi alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) akan terus menjadi tunjang strategi kami bagi menyampaikan nilai jangka panjang kepada pihak berkepentingan sambil menyumbang kepada kemajuan sosioekonomi Malaysia dan pemeliharaan alam sekitar,” katanya.

— BERNAMA