Anak Muda, Jangan Pernah Putus Asa Untuk Beli Rumah Dan Buatlah 5 Perkara Ini

Perbelanjaan rumah yang merangkumi bayaran pinjaman hartanah atau bayaran sewa bulanan, merupakan 1/3 daripada pendapatan kebanyakan keluarga di Malaysia.

Untuk rekod, terdapat RM3.4 bilion inventori hartanah tidak terjual di Malaysia hasil kaji selidik Khazanah Research Insititute (KRI). Kadar pemilikan hartanah di kalangan Bumiputera sebenarnya telah meningkat kepada 43% berbanding 39.5% sebelum ini.

Rata-rata anak muda di Malaysia telah mengambil inisiatif membeli rumah pertama menerusi program Home Ownership Campaign (HOC) yang dilancarkan pada tahun 2019 yang lalu dengan 28,000 unit hartanah pelbagai jenis dijual pada angka RM21 bilion setakat November yang lalu.

Akan tetapi, terdapat golongan B40 yang sebenarnya masih tidak mampu memiliki hartanah.

Ada yang tidak cukup wang pendahuluan, ada yang masih bergelut untuk mendapatkan pekerjaan tetap dan ada juga yang sedang mencari harga rumah yang sesuai dengan tingkatan gaji mereka.

Skim Perumahan Belia yang dikendalikan Bank Simpanan Nasional bermula 1 Januari 2020 sehingga 31 Disember 2021 juga dipandang sepi.

Perkara ini semakin serius dengan keadaan pasaran ekonomi semasa Malaysia yang terjejas teruk kesan pandemik Covid-19 yang melanda dunia pada ketika ini.

Tetapi, janganlah kita membenarkan isu ini menjadi alasan dan batu penghalang untuk kita memiliki hartanah sendiri.

Anak muda perlu bangkit selepas kegawatan ekonomi ini berakhir dan kekal fokus dalam perjuangan memiliki hartanah sendiri, sekaligus meningkatkan pemilikan hartanah Bumiputera.

Jom kita tengok 5 perkara yang boleh anak muda lakukan seperti berikut.

1. Beli Rumah Murah

Memiliki hartanah adalah keperluan asas semua manusia. Oleh yang demikian, anak muda disarankan untuk membeli rumah murah terlebih dahulu.

Baca : Step by Step Nak Beli Rumah Lelong

Tidak perlu tergesa-gesa membeli rumah impian. Cukup sekadar rumah untuk berteduh dari hujan dan panas, selesa dan bayaran ansuran bulanan yang tidak membebankan.

Solusi terdekat yang anda boleh ambil adalah dengan membeli hartanah subsidi kerajaan seperti Rumah Selangorku atau membeli rumah dari pasaran lelong.

2. Rumah Second? Tiada Masalah

Tahun 2019 menyaksikan hartanah sekunder / subsale mendominasi pasaran hartanah di Malaysia.

Baca : Rumah Mahal? 5 Teknik Ini Boleh Bantu Kita Beli Rumah Dengan Kos Minima

Puncanya? Terdapat lambakan hartanah yang dijual di bawah harga pasaran. Ini gara-gara kelembapan sektor hartanah yang bermula sejak daripada tahun 2016 dan 2017 lagi.

Jika rezeki anda terjumpa iklan rumah flat yang ingin dijual di bawah harga pasaran, apa salahnya?

3. Rumah Bukan Segalanya

Tiada guna jika kita mengembleng tenaga saban hari dan akhirnya sebahagian besar pendapatan digunakan untuk bayaran ansuran pinjaman hartanah.

Baca : 8 Hobi Mahal Orang Kita

Rumah bukan segalanya. Beli rumah ikut kemampuan dan nikmati hidup sebaik mungkin.

Jangan beli rumah yang terlalu mahal dan tidak sesuai dengan gaji kita sehingga menghalang daripada melancong atau melakukan hobi kegemaran.

4. Rumah Sebagai Pelaburan

Rumah merupakan aset yang boleh mendatangkan aliran tunai positif kepada kita jika tahu caranya.

Sekiranya masih bujang, tak salah untuk kita tinggal di bilik master bedroom dan sewakan dua lagi bilik kepada orang lain.

Baca : Jangan Buat 6 Perkara Ini Dalam Pelaburan Hartanah

Atau sewakan rumah pada hujung minggu dan kita boleh pulang ke kampung halaman pada hujung minggu.

Tiada yang mustahil asalkan kita tahu caranya dan jumpa rentaknya.

5. Rumah Hutang Yang Baik

Jangan pernah rasa rugi membuat bayaran bulanan pinjaman hartanah setiap bulan sungguhpun perit membayarnya.

Baca : Jangan Buat 6 Kesilapan Ini Apabila Hendak Bayar Balik Pinjaman Pelajaran

Mungkin hari ini kita sedang bergelut untuk membuat bayaran bulanan, tetapi kita juga yang merasa hasilnya bila harga rumah naik dan dapat merasa keuntungan puluhan ribu ringgit hasil daripada jualan rumah tersebut pada kemudian hari.

Artikel ini bukanlah bertujuan memaksa atau menekan-menekan anak muda supaya membeli rumah dengan kadar segera.

Sebaliknya, ia perlu dilihat sebagai satu motivasi dan peringatan supaya hanya membeli rumah apabila kewangan dan keadaan telah sedia.

Baca : Nak Tingkatkan Pemilikan Hartanah Bumiputera? Ini Caranya

Dan sekiranya gaji anda masih belum layak untuk membolehkan anda membeli hartanah, bertenanglah.

TIngkatkan pendapatan dan kumpul duit terlebih dahulu. Satu hari nanti, anda pasti boleh memiliki hartanah sendiri. InsyaAllah

Sumber Rujukan:

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

OIB Lancar Gardens Idaman, Memperkukuh Portfolio Perumahan Mampu Milik Mampan Di Selangor

Rawang, 17 Ogos 2026: Oriental Interest Berhad (OIB) hari ini mengumumkan pelancaran rasmi Myra Idaman, sebuah pembangunan perumahan mampu milik terbaharunya di bawah program Rumah Idaman, yang dipasarkan dengan nama Gardens Idaman. Pelancaran ini memperluas lagi portfolio perumahan mampu milik OIB di Selangor, dengan Gardens Idaman menjadi pembangunan terbaharu Kumpulan di bawah program Rumah Idaman.

Meliputi kawasan seluas 11.226 ekar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM163.8 juta,
Gardens Idaman akan menawarkan 616 unit pangsapuri separa berperabot dengan harga bermula daripada RM250,000 hingga RM270,000. Setiap unit turut dilengkapi dengan dua ruang letak kereta.

Pembangunan berstatus pajakan ini dijangka siap pada tahun 2030 dan direka sebagai komuniti berpagar dan berpengawal untuk pembeli rumah pertama serta keluarga yang mencari kediaman yang lebih luas dan selesa.

Setiap unit berkeluasan 1,002 kaki persegi mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik air dan dua ruang letak kereta, serta dilengkapi secara separa berperabot dengan almari pakaian, penghawa dingin, pemanas air, kabinet dapur, peti sejuk, televisyen dan kabinet TV.

Para penghuni juga akan menikmati Central Park yang menampilkan trek joging, gimnasium luar, taman permainan kanak-kanak, gelanggang futsal dan pickleball, selain kemudahan lain seperti dewan serbaguna, tadika serta surau.

William Lew, Pengurus Besar Unit Perniagaan Essential Myra, bahagian hartanah kediaman OIB, berkata program Rumah Idaman Selangor memainkan peranan penting dalam memperluaskan akses kepada perumahan mampu milik berkualiti di seluruh negeri.

“Program Rumah Idaman telah menjadi penanda aras penting dalam menjadikan pemilikan rumah berkualiti lebih mudah dicapai oleh pembeli rumah pertama.

“Sebagai salah satu pemaju yang menyertai program ini, peranan kami bukan sekadar membangunkan kediaman yang memenuhi keperluan program, tetapi juga sentiasa mencari peluang untuk mewujudkan nilai tambah kepada pemilik rumah serta komuniti yang bakal didiami mereka,” katanya

Pelancaran ini turut memperluas portfolio perumahan mampu milik OIB, dengan Gardens Idaman dan pembangunan akan datang, Saujana Idaman di Dengkil, masing-masing menerima pensijilan Provisional GreenRE Bronze, mengiktiraf komitmen projek-projek tersebut terhadap amalan pembangunan yang mampan dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

GreenRE merupakan skim pensijilan bangunan hijau Malaysia yang ditubuhkan oleh
Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), bagi mengiktiraf pembangunan yang
memenuhi penanda aras kelestarian merangkumi aspek seperti kecekapan tenaga, kecekapan air, perlindungan alam sekitar serta kualiti persekitaran dalaman.

Walaupun aspek kelestarian semakin diberi perhatian dalam sektor hartanah Malaysia, penerapan piawaian GreenRE dalam pembangunan perumahan mampu milik masih belum meluas.

Ini menunjukkan masih terdapat ruang untuk memperluaskan penerapan reka bentuk mampan dalam pembangunan perumahan mampu milik, agar manfaat kelestarian dapat dinikmati oleh lebih ramai pemilik rumah.

Lew menambah bahawa walaupun pensijilan GreenRE bukan merupakan keperluan di bawah program Rumah Idaman, OIB percaya aspek kelestarian wajar diterapkan dalam pembangunan perumahan mampu milik dan tidak seharusnya terhad kepada pembangunan bertaraf premium.

“Sering kali wujud persepsi bahawa kelestarian hanya sesuai untuk pembangunan berharga tinggi. Namun, kami percaya perumahan mampu milik juga boleh menerapkan elemen kelestarian tanpa menjejaskan kemampuan milik, terutamanya apabila aspek ini dipertimbangkan sejak peringkat awal reka bentuk.

“Pensijilan Provisional GreenRE Bronze yang diterima oleh Gardens Idaman dan Saujana Idaman menunjukkan bahawa kelestarian dan kemampuan milik boleh bergerak seiring. Pencapaian ini turut mencerminkan usaha kami untuk menerapkan pendekatan pembangunan yang lebih mampan dalam projek perumahan mampu milik,” jelasnya.

Gardens Idaman menggabungkan pelbagai ciri reka bentuk mampan termasuk reka bentuk luaran bangunan bagi mengurangkan penyerapan haba, kelengkapan kecekapan air 100%, penggunaan bahan binaan rendah karbon, sistem acuan aluminium boleh guna semula, sistem lif cekap tenaga, cat rendah penyerapan sebatian organik (VOC) serta pengoptimuman pencahayaan semula jadi.

Secara keseluruhannya, langkah-langkah ini dijangka meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga dan air, memperbaiki kualiti persekitaran dalaman serta mewujudkan persekitaran kediaman yang lebih selesa untuk para penghuni.

Berdasarkan penilaian GreenRE, Gardens Idaman dijangka mencapai penjimatan tenaga kira-kira 30.61% berbanding dengan garis dasar GreenRE, serta mengurangkan pelepasan karbon operasi yang dianggarkan sebanyak 337 tan karbon dioksida setara (CO₂e) setiap tahun.

Terletak di salah satu koridor pertumbuhan utama Selangor, Gardens Idaman menawarkan hubungan strategik ke Rawang, Sungai Buloh, Kwasa Damansara, Petaling Jaya dan Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Koridor Guthrie serta Lebuhraya Utara-Selatan (NSE).

Pembangunan ini turut menawarkan akses mudah ke sekolah, kemudahan penjagaan kesihatan dan rekreasi serta pusat komersial berhampiran.

Gardens Idaman merupakan projek terbaharu dalam portfolio Rumah Idaman OIB, selepas kejayaan pelancaran Putra Idaman di Desa Pinggiran Putra pada tahun 2024.

Dengan Saujana Idaman dijadualkan untuk dilancarkan pada suku ketiga 2026, OIB akan terus mengembangkan portfolio perumahan mampu miliknya di Selangor, selaras dengan aspirasi perumahan negeri. Untuk maklumat lanjut mengenai Gardens Idaman, layari https://www.myra.com.my/myra-homes/gardensidaman