Apa Perlu Anda Tahu Tentang Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT)? – LHDNM

Kini, ramai mempunyai kesedaran untuk memiliki harta tanah di usia muda. Walau bagaimanapun, masih ramai juga yang kurang arif berkenaan melaporkan keuntungan pelupusan harta tanah mereka.

Kebiasaannya, penyediaan dokumen pelupusan harta tanah diuruskan peguam atau ejen cukai tetapi kita juga perlu mempunyai pengetahuan asas mengenainya. 

CKHT merupakan singkatan daripada Cukai Keuntungan Harta Tanah dimana cukai dikenakan ke atas keuntungan daripada pelupusan harta tanah (rumah pangsa, rumah, kondominium, pangsapuri, ladang, tanah kosong dan lain-lain). Mulai 21 Oktober 1988, cukai ini diperluaskan ke atas keuntungan daripada pelupusan syer dalam Syarikat Harta Tanah.

CKHT diperkenalkan pada tahun 1976 di bawah Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976. Walau bagaimanapun, mulai April 2007 sehingga Disember 2009, cukai ini dikecualikan untuk sementara menerusi Perintah Cukai Keuntungan Harta Tanah (Pengecualian) 2007 [P.U. (A) 146/2007]. Perintah pengecualian tersebut dibatalkan mulai 1 Januari 2010 melalui Perintah Cukai Keuntungan Harta Tanah (Pengecualian) 2009 [P.U. (A) 376/2009]. 

Bagaimana Duti Setem Dikaitkan Dengan Pengenaan CKHT?

Mengikut Akta CKHT 1976, CKHT ialah Cukai Keuntungan Modal dikenakan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) bagi setiap keuntungan diperoleh menerusi jualan harta tanah atau syer dalam Syarikat Harta Tanah apabila harga jual semula lebih tinggi daripada harga belian.

CKHT tidak dikenakan sekiranya harga jualan semula harta tanah adalah sama atau lebih rendah daripada harga asal. Ia hanya dikenakan apabila terdapat keuntungan daripada pelupusan harta tanah.

Pengenaan cukai bagi pindahan milik harta bukan sahaja melibatkan pelupus malah turut melibatkan pemeroleh dimana mereka tertakluk kepada CKHT bagi pelupus dan duti setem bagi pemeroleh. Walau bagaimanapun, keuntungan daripada pelupusan harta tanah atau saham syarikat harta tanah juga boleh dikenakan cukai di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 sekiranya keuntungan itu terbit daripada transaksi bercorak perdagangan. 

Kadar CKHT

Kadar CKHT ditentukan berdasarkan kategori pelupus sama ada:

  • Syarikat diperbadankan di Malaysia atau pemegang amanah bagi suatu amanah atau pertubuhan didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan 1966;
  • Individu bukan warganegara dan bukan pemastautin tetap atau harta pusaka si mati bukan warganegara dan bukan juga pemastautin tetap atau syarikat tidak diperbadankan di Malaysia; atau
  • Selain daripada di atas. Contohnya individu warganegara dan pemastautin tetap atau harta pusaka si mati warganegara atau pemastautin tetap

Kadar CKHT dikenakan bergantung kepada tempoh pegangan aset tersebut iaitu dari tarikh aset mula dimiliki oleh pelupus sehingga tarikh ia dilupuskan. Kadar CKHT lebih rendah bagi aset yang dipegang lebih lama di tangan pelupus.

Tanggungjawab Pelupus dan Pemeroleh

Transaksi pelupusan harta tanah melibatkan dua pihak iaitu pelupus dan pemeroleh dimana kedua-duanya mempunyai tanggungjawab masing-masing iaitu dengan mengemukakan Borang Nyata CKHT yang boleh dimuat turun daripada Portal Rasmi LHDNM atau memperolehnya dari cawangan LHDNM berdekatan.

Setiap pelupus dan pemeroleh hendaklah mengemukakan Borang Nyata CKHT yang diisi dengan lengkap, jelas dan ditandatangan. Pastikan juga mempunyai nombor rujukan cukai pendapatan. Pendaftaran nombor rujukan  cukai pendapatan boleh dibuat menerusi aplikasi e-Daftar di https://mytax.hasil.gov.my/ atau di semua Cawangan LHDNM.

Borang tersebut perlu dihantar dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pelupusan dimana tarikh pelupusan merujuk kepada tarikh perjanjian jual beli harta tanah. Borang tersebut perlu diisi secara berasingan mengikut bilangan pelupus/ pemeroleh.

Pastikan dokumen sokongan pelupusan, pemerolehan dan tuntutan perbelanjaan untuk pembuktian  disimpan sekiranya diminta oleh LHDNM.

Insentif Cukai Pelupusan Harta Tanah Dalam Situasi Pandemik

Kerajaan telah memperkenalkan beberapa pakej rangsangan ekonomi bagi meringankan beban ditanggung rakyat susulan pandemik Covid-19. Menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) diumumkan oleh Perdana Menteri pada 5 Jun 2020, pengecualian CKHT diberikan kepada individu warganegara Malaysia ke atas pelupusan rumah kediaman dibuat dalam tempoh 1 Jun 2020 sehingga 31 Disember 2021.

Perjanjian hendaklah disetemkan dengan sewajarnya tidak lewat daripada 31 Januari 2022. Pengecualian ini dihadkan bagi pelupusan tiga unit rumah kediaman untuk setiap individu berbanding pengecualian sedia ada di bawah Seksyen 8 Akta CKHT yang terhad kepada satu unit sebelum ini. 

Pengecualian CKHT diberi kepada individu sahaja bagi kediaman persendirian seperti bangunan atau sebahagian daripada bangunan di Malaysia dimiliki oleh seseorang individu dan diduduki atau disahkan layak untuk diduduki sebagai tempat kediaman dengan syarat pemohon mestilah individu warganegara Malaysia atau pemastautin tetap Malaysia.

Selain untuk merancakkan semula pasaran hartanah, pengecualian CKHT ini pastinya satu kelegaan buat rakyat Malaysia yang terkesan dengan pandemik Covid-19 sehingga terpaksa menjual rumah kediamannya bagi melancarkan aliran tunai.

Sekiranya masih terdapat sebarang pertanyaan dan penjelasan lebih lanjut berkaitan CKHT dan Duti Setem, adalah dinasihatkan untuk berjumpa dengan pegawai di mana-mana Cawangan LHDNM berdekatan dengan membuat temujanji terlebih dahulu secara dalam talian di https://janjitemu.hasil.gov.my.

Artikel ini disediakan oleh Bahagian Perhubungan Awam dan Multimedia, Jabatan Khidmat Korporat, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia.

Banyak perkara yang perlu anda ambil tahu sebelum memiliki rumah. 


InshaAllah, kami berhasrat untuk berkongsi ilmu yang kami ada mengenai hartanah kepada pembaca setia Majalah Labur.

Kunci pertama sebelum beli rumah adalah ilmu, ilmu dan ilmu. 

Lebih awal belajar, lebih cepat dapat menilai sesebuah rumah.Jika berminat boleh isi borang .

ILMU PREMIUM HARTANAHSEKARANG!

Previous ArticleNext Article

Pembayar Cukai Diseru Bersedia Awal Supaya Pelaksanaan e-Invois Berjalan Lancar

GEORGE TOWN, 23 Sept (Bernama) — Semua pembayar cukai digesa supaya tidak berlengah dan menunggu saat akhir untuk melaksanakan e-Invois, sebaliknya membuat persediaan awal bagi memastikan proses itu berjalan lancar, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata langkah proaktif akan membantu perniagaan dan organisasi menguruskan peralihan kepada sistem percukaian digital dengan lebih baik.

“Sekiranya terdapat sebarang cabaran atau perkara yang memerlukan perbincangan lanjut, pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) sentiasa bersedia untuk berbincang bagi memastikan isu dan cabaran yang dihadapi pembayar cukai dapat diatasi,” katanya ketika berucap merasmikan program Jelajah Mega e-Invois Siri 2/2025 Peringkat Nasional di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut menggalakkan peserta industri, persatuan perdagangan, badan profesional dan perniagaan memberikan cadangan bersifat membina untuk kerajaan menambah baik pelaksanaan e-Invois demi manfaat rakyat secara keseluruhannya.

Dalam pada itu, Amir Hamzah berharap program kesedaran dan pendidikan berkaitan e-Invois yang dilaksanakan LHDN dapat dimanfaatkan sepenuhnya, terutama oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), menjelang pelaksanaan fasa baharu bermula 2026.

Program jelajah itu adalah usaha berterusan untuk meningkatkan kesedaran, pemahaman dan pengetahuan mengenai pelaksanaan e-Invois.

Beliau berkata kerajaan telah bersetuju melanjutkan tempoh pelaksanaan e-Invois mandatori dengan memperkenalkan dua fasa baharu iaitu fasa keempat bagi perniagaan dengan jualan tahunan melebihi RM1 juta dan sehingga RM5 juta mulai 1 Jan, 2026, serta fasa kelima untuk perniagaan dengan jualan tahunan sehingga RM1 juta bermula 1 Julai, 2026.

Selain itu, nilai ambang pengecualian pelaksanaan e-Invois turut dinaikkan daripada jualan tahunan di bawah RM150,000 kepada di bawah RM500,000 bagi memberi manfaat kepada peniaga mikro dan kecil, katanya.

Setakat ini, lebih 102,800 pembayar cukai telah melaksanakan e-Invois dengan pengeluaran lebih 563 juta e-Invois, sekali gus menunjukkan sambutan positif terhadap inisiatif digitalisasi percukaian.

Selepas program itu, Menteri Kewangan II turut memanfaatkan peluang dengan turun padang ke beberapa premis pembayar cukai di sekitar Relau, dekat sini.

Beliau mengadakan lawatan kerja dua hari di Pulau Pinang sejak semalam, tiba di kawasan premis perniagaan itu pada 9.30 pagi dan menyantuni kalangan pemilik premis di kawasan itu.

Amir Hamzah bersama-sama pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) turut memberi penerangan kepada pemilik perniagaan pembayar cukai mengenai e-Invois supaya mereka dapat memahami perkara dengan jelas.

Lawatan turun padang itu juga bertujuan memberikan penerangan dan mendapat maklum balas secara langsung berkaitan dengan pelaksanaan e-Invois yang akan melibatkan lebih banyak perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mulai 1 Jan, 2026.

Hadir sama dalam lawatan turun padang itu ialah Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LHDN Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin.

Pelaksanaan e-Invois adalah sebahagian usaha kerajaan yang selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan diteruskan di dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), bertujuan memperkukuh infrastruktur perkhidmatan digital serta mempercepat pendigitalan ekosistem operasi perniagaan dan pentadbiran percukaian di Malaysia.
— BERNAMA