3 Perkara WAJIB Tahu Sebelum Refinance Loan Rumah

Soalan pertama yang anda perlu tanya adalah, kenapa anda nak refinance loan rumah anda? 

Apa alasan di sebalik idea untuk mengambil tindakan itu? 

Tenang, memang ramai pemilik rumah yang buat refinance loan rumah atas pelbagai faktor termasuk alasan peribadi dan strategik. 

Buat pengetahuan anda, antara alasan paling popular kenapa pemilik rumah nak refinance adalah :- 

  • Dapatkan cash secepat mungkin 
  • Pendekkan tempoh pinjaman rumah 
  • Dapatkan kadar faedah bank yang lebih rendah 

Kalau anda sedang berkira-kira untuk refinance loan rumah anda, artikel ini akan kongsikan 3 perkara wajib yang anda perlu tahu sebelum refinance loan rumah anda.

Dengan info ini, anda akan faham secara detail sama ada kekuatan kewangan dan kondisi semasa anda melayakkan anda untuk refinance loan rumah atau tidak. 

Baca : ​​Refinance Rumah: Baik Atau Buruk? Ambil Tahu 5 Perkara Ini

3 Perkara WAJIB Tahu Sebelum Refinance Loan Rumah 

1. Lock-in Period Untuk Refinance Loan Rumah 

Bank adalah institusi kewangan yang fokus kepada keuntungan dengan merendahkan risiko peminjam mereka. 

Memandangkan anda sedang berurusan dengan bank, anda perlu sedar yang tindakan menyelesaikan pinjaman rumah sebelum tempoh masa yang dipersetujui akan merugikan bank. 

Oleh yang demikian, ada bank yang akan mengenakan caj penalti dengan kadar 2% – 5% daripada jumlah pinjaman rumah kepada peminjam.

Tempoh lock-in period biasanya seawal 3 tahun dan ada yang 5 tahun. 

Baca : Bank Mana Paling Bagus Untuk Mohon Loan Perumahan? Staff Bank Ini Kata Ada 10 Faktor

2. Kos Untuk Refinance Loan Rumah 

Proses untuk buat permohonan refinance loan rumah sama sahaja seperti anda ingin dapatkan pinjaman rumah yang pertama. 

Anda perlu keluarkan kos untuk bayar legal fee, insurans/takaful, duti setem dan kos perjanjian pinjaman bank. 

Baca : 5 Kelebihan Pembiayaan Semula Rumah

Kos-kos ini biasanya dalam lingkungan 5% – 10% daripada harga rumah. Jika jumlah refinance yang anda cuba dapatkan dari bank adalah RM300,000, maka kos refinance loan rumah yang anda perlu keluarkan adalah dalam lingkungan RM15,000 – RM30,000. 

3. CCRIS & CTOS

Jangan berangan untuk refinance loan rumah jika rekod CCRIS dan CTOS anda melingkup. Ramai peminjam yang ada masalah pembayaran balik dan hutang lapuk selepas berjaya ada sebuah rumah sendiri. 

Selepas itu, mereka culas untuk membuat pembayaran dan membiarkan hutang lapuk sehingga rekod CCRIS dan CTOS mereka tidak cemerlang.

Jika rekod CCRIS dan CTOS anda cemerlang, anda boleh teruskan hasrat dan usaha untuk pergi ke bank dan mohon refinance loan rumah. 

Sekarang, untuk tahu anda sesuai atau tidak untuk refinance loan rumah, ada beberapa kriteria dan tujuan yang anda boleh ikut untuk tahu keperluan untuk buat refinance loan rumah. 

Dalam sesetengah waktu, sesuatu perkara itu boleh menjadi keperluan (must have) dan ada masa, hanya sekadar kehendak (good to have).

Sesuai Refinance Loan Rumah Jika :- 

1. Harga Rumah Sedia Ada Naik 

Harga rumah biasanya akan mengalami kenaikan normal 4% – 7% setiap tahun. Jadi, rumah yang anda beli beberapa tahun lepas berkemungkinan akan naik nilainya selepas beberapa tahun. 

Sebagai contoh, anda ada pinjaman rumah yang bernilai RM300,000 dengan kadar nilai semasa RM450,000. 

Anda boleh buat refinance untuk 90% margin daripada RM450,000.

RM300,000 anda gunakan untuk selesaikan pinjaman rumah dan bakinya RM100,000+ anda boleh gunakan untuk simpan, melabur dan sebagainya. 

2. Pendekkan Tempoh Pinjaman Rumah

Ada pemilik yang buat refinance loan rumah selepas 5 tahun – 10 tahun dengan hasrat menyelesaikan terus pinjaman rumah dengan bank. 

Tempoh 5 tahun – 10 tahun diambil kerana :- 

  • Nak elak dikenakan penalti lock-in period 
  • Tunggu kenaikan harga rumah 

Daripada 30 tahun, anda boleh pendekkan loan rumah menjadi 5 tahun – 10 tahun sahaja. 

Baca : Bayar Baki Loan Rumah Lagi Awal Bijak? Ini Ulasannya

3. Kadar Faedah Semasa Tengah Rendah 

Untuk rekod, kadar OPR (Overnight Policy Rate) yang ditentukan (BNM) Bank Negara Malaysia boleh menurun berdasarkan kadar inflasi dan ekonomi domestik. 

Ini bermaksud, kadar faedah asas atau Base Rate (BR) dari pihak bank juga akan turun. 

Baca : Kepelbagaian Kadar Di Bank: OPR-BR-CPR-EPR

Ramai pemilik rumah yang menggunakan kesempatan ini untuk membuat pinjaman rumah dan refinance kerana kos untuk dapatkan pinjaman rumah menjadi lebih rendah.

Perbezaannya boleh mencecah ribuan hingga belasan ribu ringgit bergantung kepada tempoh pinjaman dan margin pinjaman.

Baca : Impak Positif BNM Turunkan Kadar OPR Dalam Industri Hartanah

Tak Sesuai Refinance Loan Jika :-

1. Baki Loan Rumah Kurang 10 Tahun 

Jika loan rumah anda berbaki kurang daripada 10 tahun, tindakan refinance loan rumah sebenarnya kurang bijak kerana anda akan tambah hutang baru untuk satu tempoh yang lebih lama. 

Ada baiknya anda fikir cara untuk selesaikan baki loan rumah secepat mungkin daripada terpaksa mencari modal untuk bayar kos tambahan buat refinance loan rumah.

2. Rekod CCRIS & CTOS Tak Cemerlang 

Seperti yang dijelaskan pada poin di atas, bank tidak akan sesekali memberikan pinjaman pada peminjam yang berisiko gagal membuat bayaran balik pinjaman pada tarikh yang ditetapkan. 

Jika rekod CCRIS dan CTOS anda tidak cemerlang, fokuslah untuk menyusun semula kewangan anda dan buat bayaran balik pada bank mengikut tarikh yang ditetapkan. 

Baca : Pinjaman (Loan) Tak Lulus? 4 Cara Untuk Bersihkan Rekod CCRIS

3. Modal Untuk Kehendak Peribadi 

Wang hasil daripada refinance loan rumah adalah pinjaman yang perlu anda bayar semula pada bank dan bukan duit percuma. 

Jika anda tiada matlamat dan visi yang jelas untuk buat refinance loan rumah, jangan cari penyakit. 

Tambahan komitmen dari refinance loan rumah perlu disusun dengan rapi supaya anda tidak buat sebarang dosa kewangan yang boleh memusnahkan masa depan anda dan orang tersayang kelak. 

Baca : 6 Sebab Bank Tak Luluskan Permohonan Pembiayaan

Hatta apapun nama yang digunakan oleh pihak bank, refinance loan rumah adalah riba’ dan anda ada pilihan untuk mengelakkannya. 

Yang lebih menyedihkan adalah, tidak sedikit jumlah rakyat Malaysia yang muflis ekoran pinjaman hartanah. 

Laporan daripada portal Malaysiakini menunjukkan, bilangan rakyat Malaysia yang muflis 2 kali lebih ramai semejak Mac 2020 – Julai 2021. 

Sehingga memaksa Kerajaan meluluskan pindaan kepada nilai hutang minimum bagi mengemukakan petisyen kebankrapan, dengan menaikkannya daripada RM50,000 kepada RM100,000.

Baca : Pembiayaan Semula (Refinance): Kelebihan Dan Kekurangan

Bank akan sentiasa untung hari demi hari kerana itulah fungsi dan objektif bank. Orang yang bijak akan cepat-cepat tutup sebarang loan berbanding menggali lubang baru untuk menutup lubang lama. 

Andai kata modal daripada refinance loan rumah digunakan untuk pelaburan hartanah sekalipun, pelaburan hartanah adalah benda yang tidak pasti.

Tuah badan anda untung, salah percaturan anda rugi. Dan bayaran balik pinjaman refinance loan rumah itu pasti. 

Nak Tahu Anda Layak Dapat Pinjaman / Pembiayaan Dengan Bank atau Tidak? Semak Laporan CTOS / CCRIS Terlebih Dahulu. Pastikan Cantik!

Memiliki rekod CCRIS yang bersih sangat penting untuk kita semua. Kalau rekod CCRIS kita tak cantik, maka susahlah untuk kita mendapatkan apa sahaja pinjaman / pembiayaan daripada bank. Namun rekod CCRIS hanya sebuah laporan skor kredit, bukan rekod blacklist yang sering jadi salah faham dalam kalangan rakyat Malaysia.

Berapa harga untuk laporan CTOS / CCRIS?

Anda boleh dapatkan di laporan MyCTOS serendah RM27.90 di CTOS score, ataupun muat turun secara online di MyCreditInfo daripada EXPERIAN serendah RM23.90.

Dengan EXPERIAN My Credit Info (nama lama dia RAMCI), mereka ada produk bernama Personal Credit Report Plus (PCRP) yang boleh digunakan untuk mendapatkan laporan lengkap mengenai status kewangan anda.

Laporan ini mengandungi maklumat seperti CCRIS;

  • Kemudahan kredit anda dengan bank / institusi kewangan di Central Credit Reference Information System (CCRIS), Bank Negara Malaysia.
  • Kemudahan kredit peribadi, secara bersama atau diperolehi oleh hak milik tunggal di mana anda adalah pemilik.
  • Nama bank atau institusi kewangan yang memberi kemudahan kredit/pinjaman, cawangan institusi kewangan di mana kemudahan kredit/pinjaman yang anda diperolehi.
  • Jumlah pinjaman/had kredit, baki tertunggak daripada kemudahan kredit anda dan tarikh terakhir untuk jumlah belum dijelaskan akan dilaporkan oleh bank / institusi kewangan.
  • Jenis cagaran atau jaminan yang dicagarkan untuk kemudahan kredit.
  • Pembayaran yang kerap untuk setiap kemudahan, seperti setiap bulan atau mingguan.
  • Permohonan kredit yang diluluskan selama 12 bulan terakhir dengan ahli CCRIS yang mengambil bahagian.
  • Pelbagai kemudahan kredit anda dipantau khas oleh bank atau institusi kewangan di bawah Akaun Perhatian Khas

Selain itu, ada juga maklumat SPGA (Skim Potongan Gaji ANGKASA – baki potongan & sejarah pembayaran), PTPTN, maklumat bukan berkaitan perbankan dan banyak lagi.

Maklumat yang TIDAK termasuk dalam laporan ini adalah:

  • Akaun Deposit atau Simpanan
  • Rekod pekerjaan
  • Status perkahwinan
  • Kesihatan
  • Rekod jenayah
  • Butiran gaji
  • Agama

Contoh Laporan Kredit:

Dapat gred 10 kira dah terbaik, bermaksud kurang risiko untuk pembiayaan tidak dibayar atau default. Agak-agak ada ke bank nak bagi pembiayaan kalau kita berisiko tinggi? Paling teruk sekali dapat skor 1 – 3 (WEAK), bank pasti akan terus tolak bulat-bulat je permohonan korang tu tanpa cakap banyak.

Maklumat yang digunakan bagi mengira skor kredit ini termasuk:

  • Pinjaman yang anda ada (kad kredit, pinjaman / pembiayaan perumahan, kereta, pinjaman peribadi, dan lain-lain.);
  • Sama ada anda membayar pinjaman / pembiayaan tepat pada masanya;
  • Jumlah hutang anda yang belum dijelaskan;
  • Sama ada anda telah secara aktif memohon kredit baru;
  • Sama ada anda mempunyai apa-apa tindakan undang-undang;
  • Usia akaun anda

Skrol bawah sikit akan ada bahagian Banking Credit Information. Dekat sini akan disenaraikan segala pinjaman / pembiayaan / kredit kad dan sejarah pembayaran.

Kena pastikan lebih banyak angka kosong ‘0’ bermakna kita buat bayaran on-time setiap bulan. Kalau dapat semua ‘0’, itu memang terpaling flawlessbank tak akan tergamak nak reject dan dengan rela hati akan meluluskan permohonan pembiayaan korang.

Menarik bukan? Cepat check dan DOWNLOAD sekarang.

Artikel ini ditulis oleh Mehmed Aezhad yang juga seorang pakar pemasaran digital dalam bidang hartanah, software dan pelancongan.

Previous ArticleNext Article

OIB Lancar Gardens Idaman, Memperkukuh Portfolio Perumahan Mampu Milik Mampan Di Selangor

Rawang, 17 Ogos 2026: Oriental Interest Berhad (OIB) hari ini mengumumkan pelancaran rasmi Myra Idaman, sebuah pembangunan perumahan mampu milik terbaharunya di bawah program Rumah Idaman, yang dipasarkan dengan nama Gardens Idaman. Pelancaran ini memperluas lagi portfolio perumahan mampu milik OIB di Selangor, dengan Gardens Idaman menjadi pembangunan terbaharu Kumpulan di bawah program Rumah Idaman.

Meliputi kawasan seluas 11.226 ekar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM163.8 juta,
Gardens Idaman akan menawarkan 616 unit pangsapuri separa berperabot dengan harga bermula daripada RM250,000 hingga RM270,000. Setiap unit turut dilengkapi dengan dua ruang letak kereta.

Pembangunan berstatus pajakan ini dijangka siap pada tahun 2030 dan direka sebagai komuniti berpagar dan berpengawal untuk pembeli rumah pertama serta keluarga yang mencari kediaman yang lebih luas dan selesa.

Setiap unit berkeluasan 1,002 kaki persegi mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik air dan dua ruang letak kereta, serta dilengkapi secara separa berperabot dengan almari pakaian, penghawa dingin, pemanas air, kabinet dapur, peti sejuk, televisyen dan kabinet TV.

Para penghuni juga akan menikmati Central Park yang menampilkan trek joging, gimnasium luar, taman permainan kanak-kanak, gelanggang futsal dan pickleball, selain kemudahan lain seperti dewan serbaguna, tadika serta surau.

William Lew, Pengurus Besar Unit Perniagaan Essential Myra, bahagian hartanah kediaman OIB, berkata program Rumah Idaman Selangor memainkan peranan penting dalam memperluaskan akses kepada perumahan mampu milik berkualiti di seluruh negeri.

“Program Rumah Idaman telah menjadi penanda aras penting dalam menjadikan pemilikan rumah berkualiti lebih mudah dicapai oleh pembeli rumah pertama.

“Sebagai salah satu pemaju yang menyertai program ini, peranan kami bukan sekadar membangunkan kediaman yang memenuhi keperluan program, tetapi juga sentiasa mencari peluang untuk mewujudkan nilai tambah kepada pemilik rumah serta komuniti yang bakal didiami mereka,” katanya

Pelancaran ini turut memperluas portfolio perumahan mampu milik OIB, dengan Gardens Idaman dan pembangunan akan datang, Saujana Idaman di Dengkil, masing-masing menerima pensijilan Provisional GreenRE Bronze, mengiktiraf komitmen projek-projek tersebut terhadap amalan pembangunan yang mampan dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

GreenRE merupakan skim pensijilan bangunan hijau Malaysia yang ditubuhkan oleh
Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), bagi mengiktiraf pembangunan yang
memenuhi penanda aras kelestarian merangkumi aspek seperti kecekapan tenaga, kecekapan air, perlindungan alam sekitar serta kualiti persekitaran dalaman.

Walaupun aspek kelestarian semakin diberi perhatian dalam sektor hartanah Malaysia, penerapan piawaian GreenRE dalam pembangunan perumahan mampu milik masih belum meluas.

Ini menunjukkan masih terdapat ruang untuk memperluaskan penerapan reka bentuk mampan dalam pembangunan perumahan mampu milik, agar manfaat kelestarian dapat dinikmati oleh lebih ramai pemilik rumah.

Lew menambah bahawa walaupun pensijilan GreenRE bukan merupakan keperluan di bawah program Rumah Idaman, OIB percaya aspek kelestarian wajar diterapkan dalam pembangunan perumahan mampu milik dan tidak seharusnya terhad kepada pembangunan bertaraf premium.

“Sering kali wujud persepsi bahawa kelestarian hanya sesuai untuk pembangunan berharga tinggi. Namun, kami percaya perumahan mampu milik juga boleh menerapkan elemen kelestarian tanpa menjejaskan kemampuan milik, terutamanya apabila aspek ini dipertimbangkan sejak peringkat awal reka bentuk.

“Pensijilan Provisional GreenRE Bronze yang diterima oleh Gardens Idaman dan Saujana Idaman menunjukkan bahawa kelestarian dan kemampuan milik boleh bergerak seiring. Pencapaian ini turut mencerminkan usaha kami untuk menerapkan pendekatan pembangunan yang lebih mampan dalam projek perumahan mampu milik,” jelasnya.

Gardens Idaman menggabungkan pelbagai ciri reka bentuk mampan termasuk reka bentuk luaran bangunan bagi mengurangkan penyerapan haba, kelengkapan kecekapan air 100%, penggunaan bahan binaan rendah karbon, sistem acuan aluminium boleh guna semula, sistem lif cekap tenaga, cat rendah penyerapan sebatian organik (VOC) serta pengoptimuman pencahayaan semula jadi.

Secara keseluruhannya, langkah-langkah ini dijangka meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga dan air, memperbaiki kualiti persekitaran dalaman serta mewujudkan persekitaran kediaman yang lebih selesa untuk para penghuni.

Berdasarkan penilaian GreenRE, Gardens Idaman dijangka mencapai penjimatan tenaga kira-kira 30.61% berbanding dengan garis dasar GreenRE, serta mengurangkan pelepasan karbon operasi yang dianggarkan sebanyak 337 tan karbon dioksida setara (CO₂e) setiap tahun.

Terletak di salah satu koridor pertumbuhan utama Selangor, Gardens Idaman menawarkan hubungan strategik ke Rawang, Sungai Buloh, Kwasa Damansara, Petaling Jaya dan Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Koridor Guthrie serta Lebuhraya Utara-Selatan (NSE).

Pembangunan ini turut menawarkan akses mudah ke sekolah, kemudahan penjagaan kesihatan dan rekreasi serta pusat komersial berhampiran.

Gardens Idaman merupakan projek terbaharu dalam portfolio Rumah Idaman OIB, selepas kejayaan pelancaran Putra Idaman di Desa Pinggiran Putra pada tahun 2024.

Dengan Saujana Idaman dijadualkan untuk dilancarkan pada suku ketiga 2026, OIB akan terus mengembangkan portfolio perumahan mampu miliknya di Selangor, selaras dengan aspirasi perumahan negeri. Untuk maklumat lanjut mengenai Gardens Idaman, layari https://www.myra.com.my/myra-homes/gardensidaman