Rizab Antarabangsa BNM Meningkat Kepada US$114.6 Bilion Pada 30 Dis 2022

KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) — Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) meningkat kepada US$114.6 bilion (US$1=RM4.37) pada 30 Dis 2022 daripada US$110.3 bilion dicatatkan pada 15 Dis 2022.

Menurut bank pusat itu dalam kenyataan hari ini,  paras rizab ini telah mengambil kira perubahan suku tahunan bagi penilaian semula pertukaran asing.

“Paras rizab ini memadai untuk membiayai 5.2 bulan import barangan dan perkhidmatan serta 1.0 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek,” katanya.

Katanya komponen utama rizab antarabangsa adalah rizab mata wang asing (US$102.6 bilion), kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (US$1.4 bilion),  Hak Pengeluaran Khas (SDR) (US$5.7 bilion), emas (US$2.3 bilion) dan aset rizab lain (US$2.6 bilion).

Aset tersebut terdiri daripada emas, pertukaran asing dan rizab lain termasuk SDR (RM503.29 bilion), kertas kerajaan Malaysia (RM12.82 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM2.94 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM23.69 bilion), tanah dan bangunan (RM4.14 bilion) serta aset-aset lain (RM72.06 bilion).

Menurut BNM, modal dan liabiliti terdiri daripada modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM153.10 bilion), mata wang dalam edaran (RM162.07 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM221.89 bilion), deposit kerajaan Persekutuan (RM5.22 bilion), deposit lain (RM37.29 bilion), kertas Bank Negara (RM6.65 bilion), peruntukan SDR (RM28.21 bilion) dan liabiliti-liabiliti lain (RM4.40 bilion).

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/rizab-antarabangsa-bnm-meningkat-kepada-us114-6-bilion-pada-30-dis-2022/

Previous ArticleNext Article

Konflik Asia Barat: Bank Dunia Gariskan Tiga Bidang Untuk Malaysia Perkukuh Kedudukan

KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) — Bank Dunia menggariskan tiga bidang utama yang perlu diberi tumpuan oleh Malaysia untuk mengukuhkan kedudukan ekonominya dalam jangka masa panjang di tengah-tengah cabaran global semasa yang timbul daripada konflik di Asia Barat.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia untuk Malaysia Dr Apurva Sanghi berkata kerajaan perlu menggunakan krisis ini untuk “merebut beberapa peluang” yang timbul daripada persekitaran semasa, sambil terus menguruskan tekanan dengan segera.

“Perkara pertama, percepatkan peralihan tenaga pintar,” kata beliau sambil menekankan bahawa usaha itu harus melangkaui kenderaan elektrik dengan merangkumi tenaga boleh baharu dan penyimpanan, jika tidak, ia hanya beralih sedikit daripada minyak kepada elektrik.

“Yang kedua, Malaysia boleh menjadi hab pelancongan serantau dengan menambah infrastruktur, kesalinghubungan dan kedudukan yang diperlukan untuk menyokong aspirasi itu,” katanya pada Forum Ilmuan Malaysia MADANI Siri 9 di sini hari ini.

Beliau berkata perkara ketiga ialah Malaysia perlu menempatkan dirinya untuk menarik aliran modal dan membangunkan pengurusan kekayaan yang mana ia memerlukan penambahbaikan dalam infrastruktur kewangan.

Bidang-bidang itu mewakili peluang jangka panjang yang boleh dibangunkan oleh Malaysia, walaupun kerajaan menumpukan perhatian kepada menguruskan kesan segera yang tercetus daripada ketidaktentuan global, tambahnya.

— BERNAMA