Kerajaan Akan Terus Pantau Kadar Inflasi Susulan Kenaikan Gaji Penjawat Awam – PM

PUTRAJAYA, 1 Mei (Bernama) — Kerajaan MADANI akan terus memantau kadar inflasi dan impaknya kepada negara susulan pengumuman kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus bermula Disember ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan meneliti dari segi pelaksanaan kenaikan gaji tersebut sekali gus memastikan hasil negara meningkat menerusi pemantauan yang lebih kemas.

“Sebab itu kenaikan (inflasi) (dijangka) secara berperingkat pada Disember dan diikuti pada tahun berikutnya. 

“Justeru, kalau (inflasi) naik pun, (ia) dalam keadaaan terkawal kerana seperti yang kita tahu, inflasi di negara kita paling rendah di Asia,” kata beliau pada program ‘Soal Jawab Perdana Menteri’ yang disiarkan oleh semua stesen TV tempatan termasuk Bernama TV hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung kebimbangan mengenai kenaikan inflasi dalam negara susulan pengumuman kenaikan gaji penjawat awam.

Terdahulu, pada sambutan Hari Pekerja 2024 peringkat Kebangsaan di sini pagi ini, Anwar  mengumumkan kenaikan tersebut, antara tertinggi dan terbaik dalam sejarah negara dan  melibatkan peruntukan lebih RM10 bilion. 

Anwar berkata kerajaan akan terus memantau untuk memastikan kenaikan inflasi tidak akan membebankan rakyat.

Menurut Bank Negara Malaysia, inflasi keseluruhan dijangka kekal sederhana, antara 2.0 peratus dan 3.5 peratus pada tahun ini, berikutan tekanan kos yang terkawal susulan keadaan bekalan global yang bertambah baik.

Menyentuh mengenai kos sara hidup, Perdana Menteri menafikan rungutan daripada beberapa pihak bahawa kos sara hidup pada masa ini adalah paling tinggi dalam sejarah.

“Itu bohong. Saya pernah dulu mempengerusikan (mesyuarat) berpuluhan tahun yang lepas mengenai pengawalan harga barang selaku Menteri Kewangan ketika itu. Memang kita andaikan setiap tahun sebelum raya, mesti harga ayam naik tetapi kali ini, tidak.

“Kemudian tentang harga sayur dan ikan, kita juga pantau. Ada beberapa yang naik. Saya tidak menafikan tetapi kita pantau,” kata beliau, sambil menambah kos sara hidup di Malaysia masih dikawal baik berbanding Singapura, Thailand, Indonesia dan Filipina. 

Temu bual khas hampir sejam bersama Perdana Menteri Malaysia Ke-10 itu dikendalikan penyampai RTM Sayed Munawar Sayed Mustar, Pasha Abdul Rahim (Bernama TV), Muhammad Zulfitri Yusof (Awani) dan Azaria Tagaya (TV3).

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

TP-Link Dan UiTM Bekerjasama Tangani Jurang Bakat Rangkaian Enterprise

SHAH ALAM – TP-Link Distribution Malaysia Sdn. Bhd. (“TP-Link Malaysia”) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) strategik bagi melengkapkan pelajar dengan kemahiran rangkaian yang relevan dengan industri, pengalaman praktikal enterprise serta pensijilan bertaraf global.

Kerjasama selama tiga tahun ini direka untuk merapatkan jurang antara pembelajaran akademik dan keperluan sebenar industri, membolehkan pelajar UiTM menamatkan pengajian dengan keupayaan praktikal yang selari dengan keperluan semasa enterprise, sekali gus mengukuhkan kolaborasi antara industri dan institusi pendidikan.

Di teras kerjasama ini ialah pelaksanaan penyelesaian rangkaian enterprise Omada oleh TP-Link di makmal UiTM, yang memberikan pendedahan langsung kepada pelajar terhadap infrastruktur yang sama digunakan dalam persekitaran perniagaan. Inisiatif ini turut disokong dengan program latihan berstruktur, bengkel teknikal serta akses kepada laluan pensijilan Omada Certified Network Administrator (OCNA).

Pelajar juga akan mendapat manfaat daripada peluang latihan industri dan praktikal bersama TP-Link, sekali gus membuka laluan yang lebih jelas daripada universiti ke alam pekerjaan dalam ekonomi digital Malaysia yang semakin berkembang.

Inisiatif ini membina kerjasama terdahulu TP-Link Malaysia dengan Universiti Malaya, di mana lebih 500 pelajar telah menyertai program pensijilan pada tahun 2025, menunjukkan permintaan tinggi terhadap kemahiran rangkaian dan pensijilan yang selari dengan kehendak industri.

Hugo Cai, Pengarah Serantau TP-Link Distribution Malaysia Sdn. Bhd. berkata, “Dalam pelbagai industri, organisasi sedang memperluaskan infrastruktur digital mereka, namun ketersediaan profesional dengan kepakaran rangkaian enterprise tidak berkembang seiring. Kerjasama ini bertujuan merapatkan jurang tersebut dengan melengkapkan pelajar dengan kemahiran praktikal yang disokong pensijilan dan relevan dengan keperluan industri sejak hari pertama.”

“Memastikan graduan kami dilengkapi dengan pengetahuan akademik serta kemahiran praktikal yang relevan dengan industri adalah sangat penting dalam landskap digital yang berkembang pesat hari ini. Kerjasama seperti ini membolehkan kami menyelaraskan program dengan lebih dekat kepada kemajuan teknologi dan jangkaan industri,” tambah Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, Naib Canselor Universiti Teknologi MARA.

Selain pembangunan bakat, kedua-dua organisasi juga akan meneroka inisiatif bersama dalam penyelidikan, perundingan dan perkongsian ilmu, sekali gus mengukuhkan kerjasama antara jurutera TP-Link dan tenaga pengajar UiTM.

Seiring Malaysia terus memperkukuh aspirasi ekonomi digital, inisiatif yang menghubungkan pendidikan dengan keperluan industri secara langsung akan memainkan peranan penting dalam memastikan negara kekal kompetitif dalam membangunkan serta mengekalkan infrastruktur digital moden.

Untuk maklumat lanjut mengenai penyelesaian rangkaian enterprise Omada oleh TP-Link, sila layari:
https://www.omadanetworks.com/us/business-networking/consult/